Santapan Rohani


Random Hadith Widget

Sunday, December 27, 2009

Menjaga Etika Bertudung

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh….

Izinkan diri ini untuk meluahkan kata-kata, Bukan kata-kata kesat, Bukan kata sindirian, Bukan kata kosong.

Perkara ini nampak seperti hal yang remeh, tetapi bagi ana ini merupakan sesuatu yang amat mendalam dan agak menikam kalbu.. Apabila diutarakan mengenai tudung labuh, walaupun bukan tudung bulat pun, apabila tudung itu sudah lebih besar daripada orang lain, pastinya persepsi masyarakat akan turut berubah seiring dengan perubahan tudung tersebut.



Mengapa persoalan ini diutarakan? Apa selalunya yang terlintas dalam diri masing-masing apabila melihat seorang perempuan memakai baju kurung berserta dengan tudung yang lebih labuh daripada perempuan-perempuan yang lain? Pastinya tanggapan pertama ialah; perempuan ini perempuan yang baik, perempuan yang sopan, perempuan yang tahu menjaga adab dirinya.

Namun adakah kita sedar, dalam majoriti kaum wanita yang dikatakan bertudung labuh yang nampaknya sopan itu, terdapat sebilangan kecil daripada mereka ini yang sebenarnya sedang menconteng arang ke muka wanita-wanita yang lain.

Mengapa ana berkata begini? Tentu saja anda semua pernah dengar perkataan ini, “Alah tak payahlah nak poyo-poyo pakai tudung labuh. Ingat semua orang yang tudung labuh ni baik sangat ke? Kadang-kadang yang tudung labuh ni lagi teruk daripada tudung kecil!” pasti pernahkan? Bagi yang baru pertama kali mendengarnya, pasti hati berasa panas sahaja mendengar perkataan sebegitu yang diluahkan. Namun, itulah hakikat.

Kebanyakkan wanita sekarang ini, maaf untuk menegur, tidak berakhlak seperti yang tertera pada pakaiannya yang labuh. Berdating sana sini, bermesejan lelaki itu ini, berhuha-huha dengan lelaki ajnabi, berkoling-koling, berkapelan islamik kononnya, cakap buang masa, menggedik sana sini(maaf kalau ada yang terasa) dan banyak lagi yang mana akhlak tersebut langsung tidak kena pada imej wanita muslimah yang ditonjolkan.

Apabila orang kata tudung labuh pun sama teruk juga, cepat saja naik darah. Sedangkan siapa yang menyebabkan orang lain berfikiran seperti itu? Apabila timbul masalah seperti ini, pastinya orang lain yang mahu bertudung labuh terbantut niatnya melihatkan akhlak wanita bertudung labuh yang lain ini. Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.

Akhirnya timbullah perkataan seperti, “ Aku tak pakai tudung labuh pun, free hair je kot, tapi aku tak adalah macam si polan tudung labuh tu. Harap tudung tu je yang besar, akhlak tak besar pun,”

Ya, memang diakui,yang bertudung labuh juga adalah manusia biasa yang punya keinginan. Tapi bukankah elok jika cara pemakaian kita seiring dengan tudung yang dipakai? Tutup aurat itu merupakan satu kewajipan,menjaga akhlak juga satu kewajipan bagi kita. Mengapa hanya diambil satu perkara sahaja, dan ditinggalkan satu perkara lagi?

Dipetik dari : iluvislam.com

Wanita : Agar Dikau Bahagia

Kepada setiap muslimah yang rela Allah swt sebagai Rabbnya, Islam sebagai agamanya dan Muhammad sebagai Rasulnya.

Kepada setiap pendidik yang berjihad di jalan Allah dengan untaian kalimahnya, menjaga norma-norma nya dan menyucikan jiwanya.

Kepada wanita yang bimbang dan bersedih, berbahagialah dengan dekatnya kemudahan, datangnya pertolongan Allah swt serta janji pahala yang besar dan terhapus segala dosa.



***


Tidak ada kecantikan bagi seorang wanita, tiada pula keindahan, harga diri dan kedudukan kecuali beriman kepada Allah swt. Apabila dirinya tegak di atas jalan ini, maka dia lah wanita yang mendapat petunjuk, diterima amalnya dan menjadi wanita pilihan disisi RabbNya.

Namun, jika dia melepaskan jalan kebenaran tersebut,kafir terhadap Tuhannya, mengingkari agamanya dan melepaskan tuntutanNya, maka dia lah cermin kepada wanita yang murahan, hina dan terbuang.

Pada saat itulah sinar kecantikan seorang wanita mula menghilang, walau berkalung gugusan bintang di langit, meskipun bermahkota bintang gemini dan matahari terbit di keningnya.

Wahai wanita muslimah yang jujur, wahai wanita mu'minah yang selalu kembali kepada Allah.

Jadikanlah dirimu itu seperti sepohon kurma. Jauh dari keburukan, menjulang tinggi menghindar dari sifat mengangau. Dilempar dengan batu dia menjatuhkan buahnya, tetap hijau pada musim panas mahupun dingin dan memberikan manfaat kepada sekalian manusia.

Jadilah engkau orang yang menjauhi perkara-perkara yang rendah, keperibadianmu terjaga dari segala pola hidup yang menipu rasa malu. Ucapanmu adalah zikir, pandanganmu melahirkan ibrah, diammu adalah berfikir.

Saat itulah engkau mendapatkan ketenangan dan akan diterima oleh penduduk bumi. Tercurah segala pujian yang baik-baik, doa yang jujur dari semua makhluk, dan Allah swt akan menjauhkanmu dari awan kesempitan, bayang-bayang ketakutan, dan gumpalan kekeruhan.

Tidurlah berbantalkan curahan doa orang-orang mu'min, lalu bangunlah untuk meraih pujian yang ditujukan kepadamu. Saat itulah engkau mula menyedari bahawa kebahagiaan bukan terdapat pada simpanan harta, kad kredit dan kereta, rumah yang bagaikan istana, mahupun pada kasih nya seorang manusia, namun pada ketaatan terhadap Zat Yang Maha Terpuji. Kedamaian hidup bukan pada hiasan keduniaan, bukan pula mengabdi kepada hamba, namun kepada kepatuhan terhadap Zat Yang Maha Mulia.

Pesanku, jadilah seorang wanita yang bermaruah, yang punya kedudukan tinggi di sisi Tuhannya. Di mana namanya sentiasa disebut-sebut dalam kalangan para malaikat, dan yang berjaya memperoleh cinta yang Teragung, iaitu cintanya Ya Rabb lantas menjadi wanita yang paling bahagia di dunia.

Dipetik dari: iluvislam.com

Friday, December 11, 2009

Jadilah Seorang Lelaki Yang Beriman




Jadilah seorang lelaki yang beriman,
Yang hatinya disalut rasa taqwa kepada Allah,
Yang jiwanya penuh penghayatan terhadap Islam,

Yang sentiasa haus dengan ilmu,
Yang sentiasa dahaga akan pahala,
Yang solatnya adalah maruah dirinya,
Yang tidak pernah takut untuk berkata benar,
Yang tidak pernah gentar untuk melawan nafsu,
Yang sentiasa bersama kumpulan orang-orang yang berjuang di jalan Allah.

Jadilah seorang lelaki,
Yang menjaga tutur katanya,
Yang tidak bermegah dengan ilmu yang dimilikinya,
Yang tidak bermegah dengan harta dunia yang dicarinya,
Yang sentiasa berbuat kebajikan kerana sifatnya yang penyayang,
Yang mempunyai ramai kawan dan tidak mempunyai musuh yang bersifat jembalang.

Jadilah seorang lelaki,
Yang menghormati ibu bapanya,
Yang sentiasa berbakti kepada orang tua dan keluarga,
Yang bakal menjaga kerukunan rumahtangga,
Yang akan mendidik isteri dan anak-anak mendalami Islam,
Yang mengamalkan hidup penuh kesederhanaan,
Kerana dunia baginya adalah rumah sementara menuju akhirat.

Jadilah seorang lelaki,
Yang sentiasa bersedia untuk menjadi imam,
Yang hidup di bawah naungan al-Quran dan mencontohi sifat-sifat Rasulullah,
Yang boleh diajak berbincang dan berbicara,
Yang menjaga matanya dari berbelanja,
Yang sujudnya penuh kesyukuran dengan rahmat Allah ke atasnya.

Jadilah seorang lelaki,
Yang tidak pernah membazirkan masa,
Matanya kepenatan kerana membaca al- Quran,
Suaranya lesu kerana penat berzikir,
Tidurnya lena dengan cahaya keimanan,
Bangunnya Subuh penuh kecergasan,
Kerana sehari lagi usianya bertambah kematangan.

Jadilah seorang lelaki,
Yang sentiasa mengingati mati,
Yang baginya hidup di dunia adalah ladang akhirat,
Yang mana buah kehidupan itu perlu dibaja dan dijaga,
Agar berputik tunas yang bakal menjaga baka yang baik,
Meneruskan perjuangan Islam sebelum hari kemudian.

Jadilah seorang lelaki,
Yang tidak terpesona dengan buaian dunia,
Kerana dia mengimpikan syurga Allah.

Sumber: iluvislam.com

Friday, December 4, 2009

Empat Golongan Lelaki Masuk Neraka Kerana Perempuan


Perempuan merupakan penyumbang yang paling besar menyebabkan lelaki masuk ke dalam Neraka Allah, Banyak lelaki yang terjebak ke dalam maksiat kerana perhiasan wanita, terutama pada zaman sekarang terlalu ramai perempuan yang mendedahkan aurat mereka sehingga menyebabkan berlakunya maksiat dan sebagainya. Perempuan yang tidak mempunyai kesedaran agama adalah diibaratkan sepertimana anak panah syaitan yang sentiasa memanah lelaki-lelaki sehingga berlakunya perkara maksiat. Contohnya di sebuah kedai kereta itu mempunyai gadis seksi, mesti ramai lelaki yang akan mengunjungi kedai keretanya bukan kerana mahu membeli kereta, tetapi nak tengok perempuan seksi. Firman Allah yang bermaksud “Jangan hampiri zina”. Frman Allah yang bermaksud lagi : "Hai anak adam peliharalah diri kamu serta ahlimu dari api neraka, dimana bahan pembakaranya ialah manusia dan batu-batu ... "

Terdapat empat golongan lelaki yang ditarik ke Neraka disebabkan wanita, sepertimana di bawah ini :

1.
Ayah, Apabila seseorang yang bergelar ayah tidak memperdulikan anak-anak perempuannya di dunia. Dia tidak memberikan segala keperluan agama seperti mengajar solat, mengaji dan sebagainya. Dia membiarkan anak-anak perempuannya tidak menutup aurat.....tidak cukup kalau dengan hanya memberi kemewahan dunia sahaja maka dia akan ditarik oleh anaknya.

2.
Suami, Apabila seorang suami tidak memperdulikan tindak tanduk isterinya. Bergaul bebas di pejabat, memperhiaskan diri bukan untuk suami tapi untuk pandangan kaum lelaki yang bukan mahram, apabila suami mendiam diri...walaupun dia seorang alim (solat tidak tangguh, puasa tidak tinggal) maka dia akan ditarik oleh isterinya.

3.
Abang, Apabila ayahnya sudah tiada, tanggungjawab menjaga maruah wanita jatuh ke pula abang-abangnya jikalau mereka hanya mementing keluarganya sahaja dan adik perempuannya dibiar melencong dari ajaran Islam.... tunggulah tarikan adiknya di akhirat.

4.
Anak Lelaki, Apabila seorang anak tidak menasihati seorang ibu perihal kelakuan yang haram dari Islam, maka anak itu akan disoal dan dipertangungjawabkan di akhirat kelak nantikan tarikan ibunya.

Empat golongan inilah yang akan masuk ke neraka Allah disebabkan oleh wanita, mari bermuhasabah diri masing-masing, adakah kita tergolong dalam golongan ini, kalau tergolong marilah bertaubat, beristiqfar dan cepat-cepat memohon ampun kepada Allah akan kesalahan-kesalahan yang telah dilakukan. Kepada kawan-kawan semua lepas baca artikel ini kalau ada pandangan dan komen boleh kemukakan di ruangan komen dibawah ini, sesungguhnya komen anda sangat bermakna buat saya.

Dipetik dari sini.