Santapan Rohani


Random Hadith Widget

Thursday, December 30, 2010

Nikah Gantung (Khitbah) Satu Alternatif

Sedang pelbagai pihak seperti buntu mencari penyelesaian kepada barah sosial yang menjurus kepada pergaulan dan seks bebas (zina) serta rogol dan buang bayi berleluasa pada hari ini, saya menyarankan satu program atau projek besar iaitu "Taysir az Ziwaj" dilaksanakan, khasnya oleh pihak berwajib.

Taysir Az Ziwaj ialah "Permudahkan Proses Perkahwinan" terutama kepada anak-anak muda yang tidak berkemampuan dari segi material untuk mendirikan rumahtangga tetapi dalam masa yang sama mempunyai keinginan yang tinggi untuk hidup berpasangan.

Islam adalah agama yang penuh dengan rahmah dan berkah. Ia diutuskan oleh Allah swt Tuhan yang mencipta manusia bukan untuk menghalang atau menidakkan keperluan manusia seperti keinginan (nafsu) syahwah dan sebagainya tetapi Islam datang untuk membetulkan dan memandu manusia agar melunas keinginannya secara yang betul, benar dan baik.

Gejala seks bebas (zina) dan rogol adalah angkara nafsu yang tidak terkawal dan ia disalurkan secara tidak betul, tidak benar dan membawa keburukan kepada diri dan orang lain. Sedang Islam menggalakkan perkahwinan (aqad nikah) agar hati manusia tenteram dan tenang serta nafsu dapat dikawal. Ini membawa kebaikan kepada semua ummat manusia.

Firman Allah swt yang bermaksud :

"Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya kerana Allah swt Maha Luas rahmat dan kurnia-Nya lagi Maha Mengetahui." (Surah An-Nuur : Ayat 32)

Perkahwinan yang digalakkan oleh Islam ini sewajarnya dipermudahkan prosesnya agar generasi muda negara tidak liar dan kemaruk nafsu lalu terjebak dalam kancah seks bebas (zina). Memudahkan prosesnya boleh dilakukan oleh pihak berwajib (kerajaan) seperti (sekadar menyebut beberapa contoh) :

Memberi peruntukan kepada pasangan muda yang ingin berkahwin
Memberi insentif sebagai galakan berkahwin
Mengurangkan karenah birokrasi yang menyulitkan
Kursus dan khidmat bimbingan perkahwinan secara percuma
Menganjurkan perkahwinan beramai-ramai yang menjimatkan
Mendidik masyarakat dengan budaya sederhana dalam majlis perkahwinan
Merendahkan hantaran perkahwinan
Antara kaedah mempermudahkan proses perkahwinan ini ialah Nikah Khitbah atau dalam bahasa mudah disebut oleh masyarakat kita sebagai Nikah Gantung. Nikah Khitbah adalah sama seperti nikah biasa mengikut hukum dan perundangan Islam yang mempunyai 5 rukunnya iaitu :

Suami
Isteri
Wali
Saksi
Aqad (Ijab Qabul)

Cuma bezanya ialah pasangan pengantin (suami isteri) tidak tinggal serumah dalam tempoh-tempoh tertentu kerana beberapa keadaan seperti (sekadar menyebut beberapa contoh) :

Masih menuntut di kolej atau universiti
Tidak mempunyai kemampuan menyewa rumah
Belum bersedia menanggung komitmen kehidupan berumahtangga
Justeru itu , buat tempoh tertentu pasangan suami isteri yang telah dinikahkan itu tinggal berasingan (atas persetujuan bersama kedua-dua pihak) dan barangkali tinggal bersama keluarga masing-masing sehinggalah mereka merasakan segala halangan di atas telah selesai dan mereka benar-benar bersedia mengharungi kehidupan berumahtangga yang besar tanggungjawabnya.

Kelebihan Nikah Gantung

Kelebihan Nikah Gantung ini ialah mereka adalah pasangan suami isteri yang sah mengikut hukum agama dan undang-undang negara. Andai dalam tempoh itu mereka bertemu, keluar makan, dating, study bersama bahkan kalau mereka terlanjur sekalipun mengadakan hubungan seks, maka apa yang mereka lakukan itu tidak salah atau tidak haram.

Andai berlaku kehamilan, maka pasangan itu tidak perlu panik terutama pihak gadis yang hamil kerana ia menghamilkan anaknya yang sah nasab (keturunan). Bahkan nanti mereka tidak perlu malu dan menjauhkan diri dari keluarga kerana keluarga pula akan menyambut kedatangan bayi itu dengan bangga dan bermaruah.

Kes buang bayi yang berleluasa hari ini rata-ratanya adalah ekoran rasa panik dan hilang pertimbangan akibat malu dan hilang maruah dari pasangan terbabit. Malah mereka juga takut untuk kembali kepangkuan keluarga justeru mereka mengetahui bahawa hubungan mereka salah dan mereka hamil hasil hubungan terlarang. Ia memalukan keluarga dan mencemarkan maruah bangsa dan agama. Akhirnya, jalan pintas dan terdesak yang ada pada mereka ialah buang bayi tersebut dengan harapan selesai masaalah dan beban yang mereka hadapi tanpa mereka menyedari bahawa akan mencetus bencana yang lebih parah kepada sosial negara.

Penerimaan Masyarakat

Sebenarnya Nikah Khitbah ini pernah dilakukan dalam masyarakat Arab. Menurut amalan tersebut, sewaktu majlis pertunangan, ia dilangsungkan sekali dengan majlis aqad nikah (halflun nikah) tetapi mempelai tidak boleh tinggal sekali (serumah) sehingga berlangsungnya pula majlis perkahwinan (haflul Qiran). Terkadang tempoh itu (antara pertunangan dan perkahwinan) menjangkau tahun lamanya.

Dalam masyarakat Melayu, amalan ini sebenarnya pernah diamalkan sebelum ini dengan namaNikah Gantung. Ia pernah dikaji oleh beberapa Anthropologist seperti Paletz, Djamour dan Jones. Mereka mengistilahkan Nikah Gantung sebagai "Suspended Marriage Contract" iaitu satu fenomena sosial yang diamalkan oleh masyarakat Islam di Asia tenggara.

Malah menurut Abdul Jalil Borhan, perkara yang berkaitan dengan Nikah Gantung terdapat dalam seksyen 112 (dalam bahagian 5) enakmen Pentadbiran Agama Islam Johor.

Perbahasan Hukum

Salah satu dalil yang digunakan oleh sebahagian para alim ulama' ialah Perkahwinan Rasulullah saw dengan Aishah rha. Menurut hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, Rasulullah saw telah mengahwini Aishah ketika berumur 6 tahun dan hanya duduk serumah ketika Aishah berumur 9 tahun. Hadis ini menjadi dalil berlakunya aqad nikah, maka bukan menjadi kewajipan bagi mempelai untuk terus tinggal serumah terutama atas persetujuan kedua pihak untuk beberapa tempoh yang dipersetujui.

Apabila pasangan pengantin (nikah gantung) bersetuju untuk tinggal berasingan kerana beberapa perkara yang diambil kira seperti yang saya sebutkan di atas tadi, maka tidaklah berbangkit isu nafkah batin (jima'/bersetubuh). Apa yang timbul ialah perbahasan dari segi nafkah zahir (material) . Berkait perkara ini, kita mempunyai beberapa pandangan :

a] Mazhab Zahiri seperti yang dinyatakan oleh Ibn Hizam iaitu nafkah ini (nafkah zahir) wajib dengan berlakunya aqad, maka selepas sahaja aqad nikah, suami wajib memberi nafkah zahir kepada isterinya.

b] Pandangan jumhur ulama' iaitu nafkah zahir itu hanya wajib apabila isteri memenuhi syarat-syarat tertentu seperti isteri menyerahkan diri kepada suami (berpindah ke tempat suami), boleh melakukan istimta' (mengambil keseronokan) , jima'/bersetubuh , isteri tidak keluar rumah tanpa izin suami dan seumpamanya.

Nikah khitbah dapat disimpulkan bahawa ; bebanan nafkah itu tidak diwajibkan ke atas suami sekiranya kehidupan biasa suami isteri belum berlaku. Bagaimanapun sekiranya suami isteri tersebut keluar bersama, maka tiada halangan dari segi hukum syara' kerana mereka adalah suami isteri yang sah. Demikian juga andai berlaku kehamilan maka bayi itu sah dan mereka boleh menjalani kehidupan berkeluarga seperti biasa yang sah. Tidak perlulah mereka melarikan diri, buang bayi dan menggugurkan bayi atau membunuhnya .

Tegasnya saya sebutkan disini, terutama kepada pihak berkuasa agama, ibu bapa dan seluruh anggota masyarakat termasuk anak-anak muda agar mereka kembali kepada cara hidup Islam. Walaupun nikah gantung ini kelihatan seperti baru dalam negara kita bagi sesetengah pihak, tetapi ia lebih baik dari kita membiarkan anak-anak gadis dan teruna kita berpeleseran, bergaul bebas lalu akhirnya mereka terjebak dalam kancah seks bebas dan penzinaan yang memalukan. Bukan sahaja maruah keluarga dan agama tercalar, murka Allah swt itulah yang paling ditakuti.

Dipetik dari sini.

Sunday, December 26, 2010

Mak Cakap Tak Nak Dengar! Tapi..?

"Kenapa bila Encik Talha nasihatkan dia, dia boleh terima, walhal nasihat yang sama saya selalu beri, tapi dia tak mau ubah perangai pemalas dia tu, tapi sekarang ni, alhamdulillah, bilik dia sentiasa kemas, tak lah macam tempat kucing beranak...Hairan betul budak sekarang ni, emak sendiri beri nasihat, tak mau dengar, tapi orang lain beri, boleh pulak dia ikut..."


Aku cuma tersenyum mendengar luahan seorang ibu yang pernah menghantar anaknya ke salah satu dari seminar yang kukendalikan.


Benar, saya rasa bukan hanya remaja tersebut, tetapi ramai lagi remaja mahupun orang dewasa yang susah untuk mendengar nasihat dari ibubapa, akan tetapi, boleh mengikut nasihat yang sama dari orang lain. Mengapa?


Perkara ini sebenarnya amat penting untuk diketahui oleh bukan sahaja setiap pasangan yang akan menjadi ibubapa, tetapi jua individu yang mempunyai hubungan rapat dengan bayi atau kanak-kanak.


Usia antara 2 hingga 7 tahun merupakan waktu yang sangat aktif bagi perkembangan minda anak-anak. Didalam usia inilah, minda mereka mula mengumpul info dan input yang akan berkumpul menjadi 'sub conscious mind' atau minda separa sedar mereka. Dalam ertikata lain, kebanyakan input yang diserap ke dalam minda mereka akan membentuk cara mereka menanggapi dunia, personaliti dan lain-lain termasuk tabiat dan persepsi. Proses pengumpulan info dan input yang berupaya mempengaruhi minda separa sedar ini akan berterusan hingga keusia remaja.


Amat malang bagi ibubapa yang menggunakan usia anak-anak mereka ini penuh dengan leteran, pendekatan marah yang negatif (tidak berhikmah) dan lain-lain perlakuan negatif yang dilakukan dihadapan anak-anak ketika usia 2-7 tahun ini, seperti bergaduh di depan mereka, mengeluh dan merungut tentang masalah kewangan dihadapan mereka dan lain-lain. Semuanya ini akan memberikan impak negatif kedalam pembentukan minda separa sedar mereka.


Antaranya ialah, secara tak disedari (sub-conscious) mereka menjadi fobia dan tidak selesa dengan ibu mereka sendiri yang hanya suka meleteri mereka, walaupun mereka pada hakikatnya menyayangi ibubapa mereka. Oleh itu, sedikit-demi sedikit, hari demi hari, minda separa sedar mereka yang juga agen pertahanan diri, mula mempelajari dan memahami bahawa suara ibu adalah suatu yang menyakitkan, memberikan tekanan dan kesakitan pada diri mereka, dan memberi arahan pada minda bahawa suara ibu adalah sesuatu yang perlu diawasi dan dijauhi. Dan ini akan menghasilkan fobia atau trauma tanpa disedari oleh sesiapa.


Saya berikan contoh, seorang ibu yang mempunyai anak kecil yang masih bayi,dengan mudahnya akan dapat terjaga ditengah malam jika bayinya menangis atau pun merengek kecil. Walaupun dari segi psikologi, ini adalah kerana ikatan naluri dan instinct seorang ibu, akan tetapi juga melibatkan subconscious mind ibu bahawa suara rengekan anak adalah tanda amaran dan perlu diambil perhatian. TETAPI, ibu tersebut dapat tidur nyenyak tanpa terganggu oleh bunyi dengkuran suaminya. Ini adalah kerana subconscious mind ibu itu memahami bahawa suara dengkuran suaminya bukan perkara penting yang perlu diberi perhatian.


Maka, inilah yang berlaku pada ramai remaja, mahupun orang dewasa hari ini, yang mana sebenarnya, tanpa disedari, mereka ini fobia dengan suara ibu atau bapa mereka sendiri, sehingga mereka tidak dapat untuk menerima nasihat yang diberikan oleh ibu mereka walaupun mereka tahu bahawa apa yang dikatakan oleh ibu mereka adalah nasihat yang benar dan berguna. Hal ini berlaku adalah disebabkan minda separa sedar mereka bagai telah memasang penggera amaran bahawa suara dari ibu itu adalah suatu yang menyakitkan, memberikan tekanan dan kesakitan pada diri mereka. Maka dengan itu, input dan info yang ingin disampaikan oleh ibu ini kepada anak mereka ditolak mentah-mentah oleh mereka kerana jiwa mereka dikelirukan oleh amaran dari minda separa sedar yang tidak dapat membezakan antara nasihat dan leteran. Atau pun, anak-anak ini mengikutkan nasihat ibu itu dengan muka yang masam dan tidak ikhlas.


Maka inilah juga sebabnya, mengapa nasihat yang sama yang dikeluarkan dari lontaran suara orang lain dapat mereka ikuti atau fahami dengan mudah, ikhlas tanpa penolakan. Ini adalah kerana minda separa sedar mereka mengetahui bahawa suara ini tidak memberikan kesakitan atau keperitan dijiwa mereka.


Mulai dari hari ini, bagi sesiapa yang membaca artikel ini, samada anda adalah bakal ibubapa, atau sudah mempunyai anak, atau seorang kakak atau abang, mulailah mengubah cara pendekatan kita dengan orang-orang yang kita sayangi. Jangan kita selalu letakkan mereka didalam keadaan tidak selesa dan menyeksakan dari segi psikologi kerana ini hanya akan membuatkan sisiem pertahanan jiwa mereka yang dikuasai oleh minda separa sedar mereka akan membentuk sistem penggera amaran bahaya terhadap suara atau diri kita, kepada mereka.


Bagi mereka yang mempunyai fobia atau trauma terhadap suara atau (ada yang melihat wajah pun sudah terganggu), muhasabah kembali diri anda, beritahu minda anda bahawa mereka yang anda 'trauma' kan itu adalah orang-orang yang telah melahirkan, membesarkan anda, dan tiada sesiapa pun didunia ini yang tidak melakukan kesilapan. Lagipun, sebilangan besar dari ibubapa dahulu, tidak mempelajari pelajaran psikologi, ilmu minda dan lain-lain yang amat mudah anda miliki pada hari ini. Antara perkara yang paling baik untuk menghilangkan fobia ini ialah dengan cara muhasabah diri. Selain dari itu, method EFT (Emotional Freedoms Technique) juga telah banyak dapat membantu membetulkan semula subconcsious mind yang telah tercemar.


Sebaiknya, semua dari kita, amalkan 'memberi kemaafan' dengan tulus ikhlas kepada semua orang yang kita kenali termasuk diri kita sendiri, setiap malam sebelum tidur.


Semoga kita semua diberi Rahmat dan Keampunan serta Petunjuk oleh Allah S.W.T

Dipetik dari sini.

Saturday, December 25, 2010

Kisah Gadis Hantaran 20k

Kecoh satu Malaya kes Gadis Hantaran 20K di blog Dunia Sebelah Zara tentang seorang ibu yang meminta 20K untuk anak perempuannya (Fakta: lepasan SPM), lalu terjadilah peristiwa drama cinta yang mampu mengalahkan drama Adamaya apabila ibu perempuan mula menjadi antagonis ala-ala Bawang Putih Bawang Merah. Cerita yang baru DKDM terima ini mungkin lebih sopan sedikit, tiada kecoh-kecoh, kemungkinan besar happy ending. Jom layan.

Alkisahnya, si gadis berumur 24 tahun masih belajar, berada dalam kelompok keluarga “ado-ado” (baca: berada). Si jejaka sudah bekerja selepas tamat belajar, kini cuba meminang si gadis. Si gadis meminta habis belajar, tetapi si jejaka sangat “macho” (baca: setia) ingin melangsungkan perkahwinan segera.

Si ibu gadis menerjah meminta 20K. Si lelaki agak pusing, tetapi terima dengan rela hati. Berita disampaikan seperti dibawah:

Kahwin muda

Nama informer terpaksa dirahsiakan kerana beliau malu nak jadi famous.

Cadangan perbualan informer dan rakan yang ingin berkahwin:

Kasut: Hei Tumit, aku nak kahwin!

Tumit: Omaigosh, ko serius. kenapa tetibe pulak ni?? happynyer!!

Kasut: Ha’ah, si Lutut propose aku.. malu tau~

Tumit: Eh untungnye kau.. romantik gitu. Hantaran berape?

Kasut: 20K, giler tak? Feeling artis wei!

Tumit: MasyaAllah! tak kahwin ko wei, mane si lutut nak dapat duit??

Kasut: Tak surelah, mak aku yang letak, tapi ok lah kan si Lutut tu pun family ok gak, kerja pun elok, tapi happynye nak kahwin!

Tumit: Hm tu la, dengar ko tetibe nak kahwin, aku pun rase nak kawin jugak. Ahaks.

Sekadar cerita rakyat yang pendek. Banyaknya kisah perkahwinan masa kini. Persoalannya di sini, bukanlah hantaran 20K yang dirasakan menggunung tu, walaupun dalam hati, DKDM pun rasa takut nak berkahwin atas bebanan yang dirasakan berat.

Apa pun, cerita ini berbeza kerana si gadis dan si jejaka tetap rela dan dilihat tidak sangat menghadapi masalah. Setia? Cinta? Jikalau tiada masalah, mungkin perkara ini boleh dijalankan, mengikut kemampuan masing-masing.

Persoalan kedua, adakah hantaran tinggi melambangkan status? Mungkinkah ini terjadi dek kerana keluarga si gadis yang “ado-ado”? (baca: berada). Atau kerana si gadis yang berkelulusan tinggi?

Fenomena hantaran tinggi yang saban tahun meningkat mengikut kadar inflasi negara terus menjadi satu budaya masyarakat. Diingatkan, ini hanyalah cerita rakyat, DKDM hanya menjadi wadah, sekadar menyampaikan.

Nota Kaki: Kalau manusia, jawab soalan ini.

Perempuan: Kalau nak kahwin nanti nak hantaran berapa? Jujur.

Lelaki: Rasanya kalau pihak perempuan letak harga tinggi, kalau tak boleh tawar menawar, tinggal tak? ke cinta raga ku serahkan? LOL

Kepada yang dah rasa bunga-bunga nak kahwin lepas baca entri ni, kahwin lah cepat, dah bau-bau nasi minyak ni! ^^


Dipetik dari sini.

Tuesday, December 21, 2010

Jauhi Hutang Bila Nak Kahwin!

Tadi bersembang dengan beberapa rakan, betapa mahalnya untuk mengadakan satu majlis perkahwinan pada zaman sekarang. Purata 'belanja hangus' buat kenduri sahaja perlu ada kira-kira RM20 000. Itu paling kurang.

Jika lelaki, belum termasuk belanja duit hantaran yang diminta pihak perempuan dan persediaan pindah ke rumah baru. Congak-congak, keseluruhan majlis & urusan kahwin boleh mencecah sehingga RM40 000 (ada yang jauh lebih tinggi). Seorang kawan perempuan mencelah, "patutla, ramai lelaki tidak berani nak komit kahwin..." (Ini kena tanya orang lelaki).

Sedihnya, kesan dari belanja kahwin yang semakin meningkat menyebabkan ramai pasangan muda berkahwin dengan membuat pinjaman peribadi. Walaupun, tiada statistik rasmi, saya percaya, anda kenal seorang atau dua kawan-kawan yang pernah membuat pinjaman peribadi (atau anda sendiri) bagi urusan perkahwinan. Mari kita cuba fahami mengapa pasangan (terutama lelaki) perlu meminjam untuk berkahwin...

[*]Nilai hantaran yang diminta pihak perempuan tinggi antara RM10,000 ke RM30,000[/*]
[*]Kos membuat sekurang-kurangnya satu majlis kahwin tinggi antara RM7500 ke RM12500 (anggaran RM25 per pax)[/*]
[*]Urusan pindah rumah & deposit sewa semakin tinggi antara RM2000 ke RM6000[/*]

Katakanlah Mamat & Minat yang baru habis belajar di universiti mahu terus mengikat perkahwinan dan mereka mahu membuat majlis yang sederhana tetapi meriah. Minah yang baru Ijazah Kelas Pertama ingin membantu Mamat dengan hanya meletakkan hantaran bernilai RM5000 dengan membuat hanya satu majlis perkahwinan untuk mereka berdua. Dijangka 500 orang sanak saudara & kawan-kawan akan hadir. Kemudian, urusan pindah rumah dan membeli serba sedikit perabot mungkin sekitar RM2000. Bajet keseluruhan majlis dianggarkan RM19,500 (RM5000 + RM12500 + RM2000).

Saya dapat bayangkan si Mamat akan mula mencongak belanja kahwinnya RM19500. "Kat mana aku nak cari duit sebanyak itu? Aku pun belum kerja lagi...".

Selalunya, 2 perkara yang terlintas di benak si Mamat

[*]"Aku boleh kerja dulu dan simpan setiap bulan. Kalau gaji aku RM2000, tiap-tiap bulan, aku simpan separuh. Dalam tempoh 20 bulan atau lagi 2 tahun, boleh la aku kahwin" atau...[/*]
[*]"hish... aku dah sayang sangat pada si Minah, pinjam bank je la"[/*]

Keputusan ini sebenarnya, Mamat tidak perlu fikir seorang diri. Bincang dengan keluarga. Dan, berbincanglah dengan Minah. Kasih sayang dalam perkahwinan adalah kombinasi komunikasi, sakinah, mawardah dan warahmah. Mendapat keberkatan dalam sesebuah perkahwinan adalah jauh lebih penting dari mengadakan kenduri besar-besaran yang berlandaskan hutang.

Satu paradigma harus diubah di dalam masyarakat supaya tidak meletakkan 'piawaian saiz perkahwinan'. Besar kecil sesuatu majlis perkahwinan mestilah berdasarkan kemampuan. Jika bajet kecil, tidak perlu hidangkan nasi beriani, cukuplah sekadar hi-tea. Majlis perkahwinan adalah majlis resepsi untuk sanak saudara & kawan-kawan berkenalan mesra dengan temah hidup anda. Cadangan saya, anda dan pasangan boleh cuba untuk memikirkan kaedah kreatif yang tidak memerlukan banyak modal untuk satu majlis perkahinan.

Pasangan yang ingin berkahwin, sedarlah...

[*]Hadis riwayat Ahmad dan al-Hakim, "kebanyakan perempuan yang berkat perkahwinannya ialah mudah (rendah) perbelanjaan (mahar)".[/*]
[*]hantaran kahwin seharusnya adalah pemberian ikhlas pihak lelaki dan bukannya paksaan oleh pihak perempuan[/*]
[*]janganlah mendekati hutang di awal perkahwinan[/*]
[*]muafakat antara pasangan sebelum perkahwinan membawa keberkatan yang berterusan dalam perkahwinan[/*]
[*]jangan gunakan alasan duit tiada untuk tidak berkahwin dan mengambil keputusan untuk terus membujang[/*]
[*]belajar untuk jadi kreatif dalam menangani bajet yang kecil untuk melangsungkan perkahwinan.[/*]

Doa saya semoga anda dan pasangan dapat membina hidup bersama dengan tenang dan tanpa perlu pening memikirkan hutang keliling pinggang. Perkahwinan hanya permulaan kepada lebih banyak keputusan-keputusan penting dalam hidup.

Dipetik dari sini.

Thursday, December 9, 2010

Luahan Rasa : Terjadi Lagi

Merujuk pos di sini..

Pada hari Isnin, 15 November 2010 seusai aku menjawab kertas peperiksaan yang terakhir pada pukul 5.00 petang aku terus mengambil motosikalku untuk pulang bercuti. Tidak sabar rasanya untuk pulang selepas sekian lama aku berada di Kedah. Aku menunaikan solat asar di dalam perjalananku dan terus menunggang melalui Lebuhraya Utara-Selatan menghala ke kampung halamanku. Lebih kurang pada pukul 9.30 malam aku tiba di Seremban dan aku akan bermalam di sini kerana sudah berjanji dengan seorang sahabat dari Institut Perguruan Raja Melewar juga sebagai sahabat dari sekolah rendahku untuk pulang bersama-sama.


Namun malangnya kerana beberapa faktor aku terpaksa juga pulang sendirian. Aku bergerak dari Seremban pada waktu tengah hari dan aku menghala ke Melaka untuk berjumpa saudaraku. Hari sudah petang, aku mengambil keputusan untuk pulang ke Segamat dan sekali lagi menggunakan Lebuhraya Utara Selatan untuk ke kampung halamanku.

Tiba di susur keluar Tangkak, aku menyalakan lampu 'signal'. Waktu menunjukkan hari hampir senja dan selepas aku mengambil selekoh di situ tiba-tiba pandanganku menjadi gelap. Aku tidak tahu kenapa tetapi dalam kegelapan itu aku terdengar yang aku melanggar sesuatu. Aku terus tidak sedarkan diri dan ketika tidak sedarkan diri itu aku boleh nampak sesuatu yang sangat menggembirakan/menyenangkan hatiku.

Aku tidak sedar aku kemalangan pada waktu itu sehinggalah aku tersedar sebentar di tepi jalan itu. Aku bagaikan tidak percaya aku sedang terbaring di tepi jalan dan aku lihat ada beberapa orang di sekelilingku yang menolongku. Aku tidak berdaya untuk bangun dan akhirnya menutup mataku.

Bila aku sedar lagi, aku berada di hospital. Seluruh badanku sakit sehingga aku tidak berdaya untuk bangun. Aku lihat kulit siku di tangan kiriku terkoyak dan luka besar di tangan kananku. Aku di tahan di wad selama tiga hari. Alhamdulillah, tiada kecederaan serius yang menimpaku..

Kini selepas beberapa bulan berlalu, aku ingat segala-galanya. Ya, jelas sekali. Adakah aku nampak seorang wanita ataupun bidadari di dalam tidak sedarku itu? Wallahualam. Apa yang aku ingat aku rasa gembira sekali sewaktu tidak sedarkan diri itu sehingga aku rasa tak mahu sedar lagi. Tiba-tiba cahaya putih datang, sangat terang. Waktu itulah aku membuka mata.....