Santapan Rohani


Random Hadith Widget

Friday, December 30, 2011

Tunangku... Perlukah Kita Bertunang?

Kahwin 2013?

Ya, Pakar Cinta agak tidak seronok apabila mendengar berita seorang kenalan yang mahu bertunang tahun ini tetapi hanya mahu berkahwin 2 tahun akan datang. Mungkin dia ada alasan sendiri, tetapi perlukah sehingga meletakkan target sebegitu jauh?

Itu mungkin salah satu dari ribuan kisah lain yang sudah menjadi kebiasaan berlaku dalam masyarakat kita. Seronok mahu bertunang, tetapi takut untuk berkahwin.

Lalu tarikh berkahwin sebolehnya dilontar jauh-jauh ke hadapan.

Pakar Cinta mahu bercakap secara ringkas tentang pertunangan. Selepas anda membaca artikel ini, mungkin anda boleh fikirkan kembali tindakan mana yang lebih tepat untuk anda lakukan dengan merujuk kepada situasi masing-masing.



BERTUNANG

Hukum bertunang disebut oleh para ulamak sebagai SUNAT, meskipun ada juga ulamak yang menghukumnya sebagai HARUS. Bermakna, amalan tersebut digalakkan di dalam Islam demi mencapai Maqasid (tujuan) yang tertentu.

Apabila kita melihat kepada hukum, maka kita juga perlu meneliti kepada maqasid ataupun hikmah di sebalik hukum tersebut. Dari situ, barulah kita akan jelas dengan apa yang perlu kita lakukan.

Bertunang, ada tujuan dan hikmahnya yang tersendiri. Antara tujuannya adalah supaya kedua-dua pasangan boleh mengambil sedikit masa untuk bersedia (mental dan fizikal) serta mengambil peluang untuk mengenali antara satu sama lain, sebelum melangkah ke alam perkahwinan.

Antara lain, tujuan bertunang itu juga adalah supaya keluarga kedua-dua belah pihak dapat membina hubungan sebelum bergelar besan. Kita selalu dengar orang tua-tua menyebut; apabila kita berkahwin, kita bukan berkahwin dengan lelaki atau wanita itu sahaja, tetapi kita juga ‘berkahwin’ dengan keluarganya sekali.

Bermakna, proses ta’aruf itu sangat penting. Sebab itu, dalam misi mahu bertunang ini, apabila seorang lelaki sudah bertekad mahu mengambil wanita itu menjadi isterinya, maka dia diharuskan untuk melihat wajah dan tangan wanita tersebut.

Dalam hal ini, tiada istilah ‘malu-malu’ atau ‘aurat’. Semua itu, tujuannya adalah supaya si lelaki beroleh momentum tersendiri untuk menuju perkahwinan.



BAGAIMANA PERTUNANGAN BERLAKU?

Pertama sekali, kita perlu membezakan antara amalan dalam masyarakat yang dipanggil sebagai ‘uruf (adat) dan juga konsep sebenar amalan tersebut mengikut syarak. Dalam bab pertunangan, ia tidak berhajat kepada majlis besar-besaran atau hebahan seumpama mahu bernikah. Ia juga tidak memerlukan kepada hantaran, dulang-dulang dan sebagainya.

Pertunangan itu secara mudahnya adalah lamaran seorang lelaki ke atas seorang wanita untuk dijadikan isterinya. Sebagai contoh:

Ali: Saya sudah membuat keputusan dan berfikir masak-masak, saya mahu melamar awak untuk dijadikan isteri saya serta ibu kepada anak-anak saya nanti.

Fatimah: Saya terima dengan hati yang terbuka dan semoga Allah permudahkan urusan kita.

Itu contoh bagaimana pertunangan berlaku. Tetapi perlu diperhatikan juga beberapa perkara: Antaranya , wanita tersebut perlulah seorang yang sudah matang dan berkelayakan untuk membuat keputusan.

Kalau masih dirasuk jiwa remaja dan angin cinta entah dari mana, maka jawapan dari si wanita atau si gadis dianggap tidak layak. Maka sebaiknya, melamarlah terus kepada bapa atau ahli keluarga si wanita tersebut, jika benar-benar ikhlas dan serius.

Apabila lamaran diterima, maka mereka berdua dianggap sah menjadi tunangan masing-masing, samada diketahui orang ataupun tidak, dan si lelaki atau wanita tidak boleh dipinang lagi oleh orang lain selagi mana ikatan pertunangan itu masih berlangsung.

Ini kerana ia merupakan ‘perjanjian’, maka ia perlu dijaga sebagai satu amanah dan tidak boleh dikhianati. Kerana itu, Nabi s.a.w mengharamkan pinangan atas pinangan.




MASALAH DALAM PERTUNANGAN :

(1) Bercouple

Sebenarnya, terlalu banyak masalah yang berlaku melibatkan hal ehwal pertunangan ini. Pakar Cinta pernah menulis salah satu masalahnya ialah bertunang tetapi bercouple. Sedangkan hakikatnya, dalam pertunangan si lelaki tidak ada hak langsung ke atas si wanita melainkan ikatan atau ‘perjanjian’ tersebut sahaja.

Tetapi dalam bab keluar bersama-sama tanpa mahram, berdua-duaan dalam kereta, keluar pagi balik petang, menghantar mengambil dari tempat kerja, tinggal bersama-sama dan segala jenis perbuatan seumpama itu yang lain, maka hukumnya adalah HARAM.

Anehnya, masih ramai yang menyangka diri mereka mempunya hak ke atas tunangan masing-masing, sehingga kehidupan mereka tidak ubah seperti suami isteri walaupun masih belum berkahwin.

Ibu bapa pula ramai yang menjadi dayus dengan membiarkan sahaja anak gadis mereka keluar berduaan bersama tunangan masing-masing dengan alasan ‘mereka sudah bertunang’.

Sedangkan dalam tempoh bertunang itu, si gadis masih berada di bawah tanggungjawab walinya, justeru tindakan membiarkan si gadis tenggelam dalam maksiat itu adalah tindakan tidak bermaruah dan walinya dikira sebagai dayus.

Sabda Nabi S.A.W. : “Orang dayus tidak akan masuk syurga.”


(2) Tempoh

Seperti yang Pakar Cinta sebutkan di awal artikel ini, terlalu ramai orang yang bermudah-mudah dalam bab pertunangan tetapi tidak serius dalam misi mahu berkahwin.

Keadaan ini bertambah buruk apabila keluarga masing-masing terlalu mendewa-dewakan adat ataupun membesarkan-besarkan perkara materialistik sehingga mengabaikan nilai beragama dalam diri anak masing-masing.

Mereka sudah suka sama suka, keluarga juga sudah berkenan, lalu diatur majlis pertunangan. Tempoh bertunang diletak sehingga 3-5 tahun semata-mata beralasan supaya mereka bersedia, ada kerja, ada rumah, ada kereta dan sebagainya.

Lalu dalam tempoh tersebut, anak masing-masing dibiarkan berhubung sebagaimana layaknya pasangan bercinta- atas alasan supaya lebih kenal mengenali- dan dibiarkan keluar ke mana sahaja yang mereka suka atas alasan supaya membina rasa tanggungjawab dan persefahaman.

Lebih parah, ada juga ibu bapa yang langsung tidak risau kiranya anak mereka itu terjatuh ke kancah zina, kerana beralasan ; mereka sudah bertunang dan akan datang pun, tetap juga menjadi suami isteri. Sesungguhnya, amat tebal kejahilan mereka tentang qadha’ qadar dan percaturan daripada Allah.

Tanya kembali kepada diri, adakah itu maqasid/ tujuan / hikmah Allah mensyariatkan pertunangan? Supaya berlaku zina? Mukaddimah zina? Boleh bercinta sebebas-bebasnya? Boleh berduaan ke mana suka? Boleh lakukan apa sahaja?


(3) Jahil atau Tidak Serius

Mereka tidak tahu kenapa mereka bertunang. Sama juga isunya, lelaki dan wanita bertunang atau mahu bertunang, tetapi langsung tidak mengambil berat kenapa mereka bertunang. Adakah hanya semata-mata suka? Adakah hanya semata-mata mahu ‘chop’ si gadis dari disambar orang lain?

Bahkan tidak pelik, terlalu ramai orang yang bertunang tetapi masih tidak tahu hukum berkahwin padanya itu samada wajib, sunat ataupun makruh. Isu kahwin enggan difikir, lantaran merasa ‘selesa’ dengan tempoh bertunang yang sebegitu lama. Seronoklah masing-masing bermain cinta, dengan menggunakan ‘tiket agama’!

Akhirnya Syaitan mendominasi rasa, terbuai hanyut entah ke mana, lalu jadilah mereka mangsa kepada nafsu durjana. Rasa bersalah mula mengisi jiwa, perasaan terhadap pasangan mula hambar tidak seperti mula-mula, akhirnya dengan mudah mengungkap kata ; awak, baik kita putus tunang saja.

Masa bercinta semuanya indah belaka, bila sampai bab tanggungjawab semua benda jadi keruh belaka. Alasannya ; masih belum puas enjoy zaman remaja!


(4) Putus Tunang

Mengapa saya sebutkan ini sebagai salah satu masalah dalam pertunangan? Sebab fenomena malang inilah yang seringkali berlaku kepada pasangan yang bertunang akibat daripada :

1- Tidak faham mengapa mereka bertunang.

2- Tidak menjaga ikhtilat (perhubungan) semasa bertunang.

3- Tidak benar-benar ikhlas dan serius mahu bernikah.

4- Tempoh bertunang yang terlalu lama.

Cuba anda fikir, dalam bab putus tunang ini sahaja, berapa banyak malapetaka yang berlaku?

Malapetaka pertama , sudah tentulah isu perasaan. Kecewa, tertekan, putus asa dan malu, lebih-lebih lagi kalau bertunang riuh sekampung. Malapetaka kedua, tertutup ruang dan peluang bagi lelaki yang lain untuk masuk melamar si wanita.

Contoh situasi yang banyak berlaku:

Bertunang 5 tahun. Tahun pertama ok, tahun kedua mula ada masalah sikit, tahun ketiga mula rasa hambar. Belum sampai tahun kelima.

Dalam tempoh tersebut, katakan si wanita benar-benar mahu berkahwin. Dia sudah betul-betul bersedia untuk menjadi isteri orang dan dia juga benar-benar tidak suka dengan ikhtilat yang tidak terjaga dalam tempoh bertunang.

Tetapi apabila diajak berbincang untuk mempercepatkan pertunangan, si lelaki berdolak dalih dengan pelbagai alasan. Tidak bersedia, mahu kukuhkah ekonomi, perlu fokus kerja dan macam-macam lagi.

Akhirnya si wanita terpaksa menunggu dan terus menolak lamaran demi lamaran dari lelaki lain dalam tempoh tersebut, semata-mata kerana statusnya yang sudah bertunang.

Masuk tahun keempat, si lelaki terjatuh hati dengan wanita lain. Berlaku konflik antara mereka dan si lelaki dengan mudahnya memutuskan pertunangan. Jadi siapa yang merana?

Itu satu contoh malapetaka yang seringkali berlaku dalam bab pertunangan, di mana punca terbesarnya adalah faktor MASA.



JIKA DILAMAR

Saya mahu sebutkan beberapa perkara kepada wanita terutama yang belum dilamar.

Pertama : Anda mempunyai nilaian yang mahal. Mahal anda bukan kerana rupa, tetapi kerana agama dalam diri anda. Akhlak, peribadi, budi bahasa dan kebaikan yang ada pada diri anda adalah satu ‘seni’ paling unik yang sekaligus menjadikan anda punya nilai yang mahal.

Kedua : Disebabkan anda mahal, jangan beri peluang untuk lelaki ‘murah’kan anda. Caranya, jangan buka hati kepada lelaki murahan. Lelaki murahan itu bagaimana?

Antaranya lelaki yang hanya tahu bermadah cinta, tetapi langsung tidak dewasa (tidak matang), lelaki yang hanya mahu suka-suka tetapi tidak serius mahu memimpin kita (menjadikan isteri) dan lelaki yang mudah mengajak kita bertunang tetapi begitu susah mengajak kita berkahwin.

Ketiga : Anda sesungguhnya tidak tahu siapakah lelaki yang terbaik untuk anda. Tetapi DIA Maha Tahu. Jadi, apabila anda telah bersedia untuk menjadi suri kepada seorang lelaki, mohonlah pada DIA lelaki yang terbaik untuk anda.

Jangan ikat diri anda dengan seorang lelaki yang sengaja ‘menyimpan’ anda lama-lama, kerana anda sendiri tidak tahu adakah lelaki itu benar-benar bakal menjadi suami anda ataupun tidak. Terlalu banyak tragedi sekeliling anda yang boleh dijadikan iktibar.

Keempat : Bincang dengan mak dan ayah, jika seorang lelaki masuk melamar atau mahu bertunang, tempohnya hendaklah tidak lebih dari setahun. Ini pendapat peribadi saya sahaja. Saya merasakan, pertunangan dalam tempoh yang lama itu lebih banyak membawa mudharat dari manfaat.



KESIMPULAN

Bertunang itu maqasidnya jelas, maka fokuslah kepada maqasid tersebut. Jangan jadikan pertunangan sebagai tiket untuk melambat-lambatkan pernikahan sekaligus melengah-lengahkan masa untuk memikul tanggungjawab.

Jangan ambil kesempatan bertunang untuk bermain cinta, kerana sesama tunang tidak ada bezanya dengan bukan tunang. Kalau perlu kepada bertemu atau berbincang, bawalah mahram bersama.

Tetapi praktikalnya, mungkin terlalu jarang berlaku di mana tunangan keluar dengan membawa ayah atau abang mereka bersama. Mereka kononnya mahukan privacy. Akhirnya, privacy makan diri.

Justeru, timbang-timbangkanlah segala perkara yang disebutkan ini dan tanyalah kembali kepada diri masing-masing, perlukah anda bertunang? Jika perlu, kenapa ? Kemudian, berapa lama? Kemudian, adakah target untuk bernikah benar-benar telah menjadi fokus utama?

Buatlah keputusan yang terbaik untuk diri dan agama, juga untuk masa depan anda di akhirat sana.

Dipetik dari sini.

5 Tips Menjaga Rumahtangga dan Perkahwinan

Usia perkahwinan sudah lebih tiga puluh tahun. Mereka sudah punya tiga orang cucu. Namun si isteri meluahkan rasa hatinya dengan berkata, “saya sudah letih berdepan dengan kerenah suami.

Sikap sambil lewanya sangat memeningkan kepala. Saya benar-benar berada di persimpangan, ingin minta agar perkahwinan ini dibubarkan atau meneruskannya. Apa pandangan saudara?”

“Teruskan perkahwinan,” jawab saya dengan pasti. Saya teringat ungkapan lama yang menjadi pegangan diri sejak dahulu.

Ungkapan itu berbunyi: “Jika sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan. Tetapi jika jalan sudah benar namun pelbagai masalah menghalang, jangan berpatah balik, teruskan perjalanan!”

“Mengapa pula?” tanya si isteri.

“Jika puan boleh sabar selama 30 tahun, hanya ada beberapa tahun sahaja untuk terus bersabar. Umur kita tidak lama. Sabarlah dalam bersabar. Yang penting cubalah positifkan pemikiran dan perasaan. Puan di jalan yang betul, cuma rintangannya ada. Puan mesti atasi dan teruskan perkahwinan ini. ”

“Saudara cakap senang tetapi bagaimana hendak terus positif jika dia terus bersikap negatif?”

Saya senyum. Ya, tulisan kali ini saya tujukan untuknya dan untuk saya juga serta untuk kita semua. Sebenarnya pemikiran yang betul adalah syarat untuk kita bersikap positif. ‘Right mental attitude’ sangat penting dalam melayari bahtera rumah tangga.

Sikap yang betul perlu untuk menghadapi cuaca rumah tangga yang tidak menentu. Bagaimana untuk tenang dan bahagia di dalam diri tidak kira apa yang sedang dihadapi di luar diri kerana apa yang lebih utama ialah ‘what happens in you’ bukan ‘what happens to you.’

Untuk mengekalkan cinta perlu ada sikap positif. Tanpa sikap yang positif, cinta akan terbarai dan kebahagiaan akan berkecai.



Berikut adalah beberapa langkah praktikal untuk membina pemikiran yang positif seterusnya membentuk sikap yang positif:

1.) Fokus pada tanggung jawab, bukan menuntut hak.

Punca hati tidak tenang dan hilang kebahagiaan dalam hidup kebanyakannya manusia ialah perjuangannya untuk mendapatkan hak. Manusia sering marah dan mengeluh dengan berkata, “aku sepatutnya tidak dilayan begini.”

Dalam kebanyakan situasi, kita sering tidak mendapat apa yang kita jangkakan dan harapkan. Betul bukan? Selagi kita hidup kita akan alami pelbagai situasi yang mana susu yang kita berikan tetapi tuba kita terima sebagai balasannya.

Di dalam rumah tangga jangan mengharapkan kesempurnaan pada pasangan kita. Bunga yang kita berikan, jangan mengharap bunga sebagai balasannya. Tetapi apakah kerana tidak mendapat balasan lalu kita berhenti menghulurkan kebaikan?

Jangan! Fokus pada tanggung jawab – sebagai suami atau isteri kita dituntut oleh syariat untuk melaksanakan tanggung jawab. Tunaikan hak pasangan kita itu lebih utama daripada kita menuntut hak kita. Ah, apakah ini bererti kita akan terus menjadi mangsa?

Jawabnya, tidak. Kita akan lebih tenang, percayalah. Adalah tidak bijak untuk terus membuang masa dan tenaga memikirkan tentang apa yang sepatutnya berlaku berbanding apa yang perlu dan patut kita lakukan?

Ramai orang terseksa dengan kekecewaan dan geramkan pasangannya yang sepatutnya berbuat begini atau begitu… Pada hal, pemikiran yang negatif itu akan memburukkan lagi keadaan. Yang penting fokus kepada apa yang aku boleh lakukan untuk melaksanakan tanggung jawab ku.

Katalah dalam satu pertelingkahan dan kita berada di pihak yang betul dan benar, itu pun bukan jaminan untuk kita dimenangkan dan dibenarkan. Acap kali pihak pasangannya kita terus berusaha menegakkan benang yang basah.

Apatah lagi bila egonya tercabar. Lalu sikap kita bagaimana? Jangan berterusan menuntut hak. Jangan memendam rasa dengan mengecam bahawa keadaan itu tidak adil.

Ingatlah, berterusan memperjuangkan kesempurnaan dalam dunia (termasuk rumah tangga) yang tidak sempurna ini hanya akan menjerumuskan kita ke lembah dendam, marah, kecewa dan kemurungan.

Rasa-rasa yang negatif ini akan ‘menyedut’ tenaga, keceriaan dan akan menyebabkan kedutan pada wajah kita. Kesannya, kita akan ditarik ke belakang. Malah kita akan ditolak ke lorong yang salah dalam kembara kehidupan yang penuh ujian ini.

Untuk bergerak ke hadapan dan terus memburu kemajuan dalam diri agar lebih bahagia dan tenang dalam hidup… kita perlu tinggalkan segala keegoan, kepentingan, ketakutan dan sikap tidak memaafkan.

Semua itu hanya boleh dicapai apabila kita fokus kepada tanggung jawab dan selalu berfikir tentang apa yang perlu aku lakukan berbanding dengan apa yang sepatutnya dia (pasangan kita) lakukan.

Tumpukan kepada apa yang boleh kita kawal, yakni tanggung jawab kita bukan pada sesuatu yang di luar kawalan kita yakni hak kita yang ada pada kawalan pasangan kita.

Ironinya, mereka yang berjaya melaksanakan tanggung jawab dengan baik sering mendapat haknya sebagai balasan. Dan kalau mereka tidak mendapat balasan daripada pasangannya pun, Allah akan memberikan ketenangan dalam hati mereka seperti mana ketenangan yang dirasai oleh Siti Asiah isteri kepada Firaun.

2.) Sering berdamping dengan orang yang positif.

Siapa kita lima tahun akan datang dicorakkan oleh dengan siapa kita bergaul dan buku apa yang kita baca. Begitu ditegaskan oleh orang bijaksana. Dengan siapa kita meluangkan masa kita sangat menentukan sikap kita. Kata pepatah, burung yang sama bulu akan terbang bersama. Rasulullah s.a.w menegaskan, agama seseorang ditentukan oleh temannya.

Justeru, berhati-hatilah memilih orang untuk kita dampingi. Jauhkan ‘toxic people’ yang sering menusuk jarum-jarum umpatan, adu domba dan rasa pesimis dalam melayari kehidupan berumah tangga. Pernah kita jumpa orang yang sentiasa mengeluh?

Asalkan berjumpa sahaja mulalah dia mengeluh tentang badannya yang tidak sihat, dia sering ditipu, dia dilayan dengan buruk sampailah ke rumahnya yang sempit… Apa yang anda dapat daripada orang yang begini?

Oleh itu jika jiran, teman atau kenalan kita ialah dia yang tidak ‘melahirkan’ sesuatu yang baik dan positif daripada diri anda, mengapakah tidak kita buat sedikit perubahan atau penyesuaian?

Kita berhak untuk meletakkan satu jarak yang agak jauh untuk tidak dijangkiti oleh sikap negatifnya. Ingat, teman rapat kita ialah mereka yang membantu kita mengeluarkan yang terbaik dari dalam diri kita.

Kaki umpat, mengeluh dan menghasut hakikatnya bukan sahabat kita walaupun kelihatan dia baik dengan kita! Ingat pepatah Melayu lama – sokong yang membawa rebah.

3.) Jadikan sekarang masa paling gembira.

Jika orang bertanya bilakah masa yang paling gembira dalam hidup berumah tangga kita, jawablah, “sekarang!” Usah berpaling ke belakang dengan mengatakan semasa mula-mula kahwin dahulu atau melangkau ke masa hadapan dengan berkata, “bila anak-anak sudah besar dan hidup lebih stabil.” Dengan berkata demikian kita telah ‘membunuh’ potensi hari ini.

Ya, memang kita mula-mula kahwin dahulu kita gembira, tetapi rasa gembira itu hanya pada waktu itu. Dan waktu itu telah berlalu. Kita hanya hidup pada masa ini bukan pada masa lalu.

Justeru, jadikanlah masa ini masa yang paling gembira. Hiduplah untuk hari ini kerana semalam sudah berlalu dan hari esok masih belum tentu. Inilah yang dipesankan oleh Rasulullah s.a.w, jika kamu berada pada pagi jangan menunggu waktu petang dan begitulah sebaliknya.

Kita hanya akan meletihkan diri sendiri jika cuba hidup dalam tiga masa – semalam, hari ini dan esok!

Jangan biarkan tragedi masa lalu menyengat kita berkali-kali dengan mengenangnya selalu. Sebaliknya, carilah pengajaran yang kita dapat daripadanya dan selepas itu terus lupakan.

Juga jangan sentiasa diingat-ingat saat gembira masa lalu kerana itu hanya memori dan itu bukan lagi realiti yang sedang kita hadapi masa kini. Sebaliknya, carilah apakah ‘resipi’ yang menghasilkannya dahulu dan mari dengan itu kita ciptakan kegembiraan baru hari ini!

4.) Cari jalan untuk mengatasi stres.

Stres akan menyebabkan keletihan dalam pemikiran dan perasaan yang lama-kelamaan akan membentuk sikap yang negatif. Oleh itu para suami atau isteri mesti menemukan cara untuk mengawal stres.

Antara kaedah terbaik ialah dengan melakukan aktiviti fizikal, hobi atau minat kita. Boleh jadi dengan berkebun, menenun, membaca, berjoging atau bersukan. Lepaskanlah geram, kecewa dan marah kita kepada aktiviti yang menyihatkan dan menceriakan.

Jangan tahan jika anda hendak ketawa, berlari atau melompat sepuas-puasnya. Bebaskan diri daripada belenggu tekanan dan masalah yang menghantui hidup anda.

Dengan aktiviti yang aktif dan perlakuan yang memerlukan konsentrasi mental, fikiran, jiwa dan emosi kita akan melalui tempoh ‘pause’ atau istirehat. Lupakah kita bahawa Rasulullah saw berlumba lari dengan isterinya?

Ini akan memberi kekuatan untuk kita meneruskan kehidupan dengan lebih baik. Kita akan dapat melupakan seketika masalah yang kita hadapi… bukan untuk eskapisme tetapi untuk kembali menanganinya semula apabila jiwa kita segar, fikiran kita tenang dan emosi kita telah kembali stabil.

5.) Jangan terlalu serius.

Kehidupan berumah tangga ialah sesuatu yang serius tetapi perlu dijalani dengan tidak terlalu serius. Jalanilah kehidupan dengan sedikit gurau senda dan berhibur. Siti Aishah pernah meletak dagunya di bahu Rasulullah s.a.w untuk melihat tarian orang Habsyah.

Hiburan umpama garam dalam masakan. Tidak perlu terlalu banyak, tetapi cukup sekadar keperluan untuk memberi rasa yang enak. Ya, sedangkan Rasulullah s.a.w lagikan bergurau dengan isteri-isterinya, mengapa kita tidak?

Memang banyak perkara yang penting dan kritikal perlu kita selesaikan, tetapi itu tidak menghalang daripada kita berjenaka dan bergurau senda seadanya dengan pasangan kita.

Insya-Allah dengan unsur-unsur humor dalam rumah tangga kita, hubungan kita suami isteri akan lebih kukuh dan kita akan mampu bergerak lebih jauh untuk menghadapi cabaran dalam rumah tangga.

Ternyata mereka yang menangani kehidupan dengan ceria menjadi individu yang lebih berjaya menyelesaikan konflik dalam berumah tangga seterusnya membina rumah tangga bahagia.

Apabila rumah tangga kelihatan malap atau ‘sindrom bisu’ mula melanda, cepat-cepatlah ubah suasana luaran itu dengan mengubah suasana dalaman kita dengan empat cara yang dicadangkan ini.

Insya-Allah, yang penting bukan apa yang kita lihat tetapi bagaimana kita melihatnya. Orang yang positif akan sentiasa melihat sisi positif pada pasangan dan keadaan yang sedang dihadapinya…

Mereka sahaja yang layak bahagia kerana sentiasa berfikir untuk membahagiakan orang lain. Sebaliknya orang yang negatif, hanya akan menyeksa dirinya dan membosankan pasangan hidupnya!

Kesimpulannya, bersangka baiklah walaupun kekadang keadaan tidak sebaik yang kita sangkakan. Bukan menafikan realiti, tetapi demi ketenangan hati. Orang yang buruk sangka akan tersiksa dua kali, pertama oleh sangkanya atas keburukan yang belum terjadi. Kedua, oleh derita hatinya apabila yang buruk itu telah benar-benar terjadi.

Apabila kita bersangka baik, hati akan menjadi lebih tenang. Kita punya tenaga dan upaya untuk menghadapi ujian hidup apabila kita hadapinya dengan tenang. Ya, mungkin kita tidak mampu mengubah keadaan, tetapi sekurang-kurangnya kita punya kekuatan untuk menghadapinya.

Pada hal yang buruk dan sukar itu kekadang hanya seketika, atau boleh jadi yang buruk itu… tidak buruk sama sekali. Ada hikmah yang tersirat di sebaliknya. Ada kebaikan yang tersembunyi di belakangnya.

Begitulah hidup… satu siri misteri yang tidak dapat ditebak dan diduga. Pernah kita membayangkan suami atau isteri kita yang ada ini sebelum ini? Kebanyakkannya tidak! Bercinta dengan orang lain, berkahwin dengan orang lain. Itulah misterinya takdir…

Apa yang perlu kita lakukan… bersyukur dengan apa yang ada. Bila bersyukur Allah tambah nikmat. Bersyukurlah dengan pasangan yang ada, Insya-Allah, Tuhan akan menambah kebahagiaan kita.

Kalau dia tidak berubah perangai, kita pula yang Allah kurniakan kesabaran untuk menghadapi karenahnya. Itu juga satu anugerah bukan? Ya, kata bijak pandai, “jangan minta hidup yang mudah tetapi pintalah hati yang tabah untuk menghadapinya!”

Dipetik dari sini.

Saturday, November 26, 2011

Luahan Rasa : Sedikit Ujian Buat Diriku

Apakah ini ujian buat diriku?
Kisahnya apabila ada orang menuduh ana mengambil duit dia yang berjumlah RM 50. 
Ceritanya macam ni...........


Pada hari Khamis yang lepas, seperti biasa ana bangun untuk menunaikan solat fardu Subuh dan sesudah itu, terniat di hati untuk ana keluar berjogging dan melakukan sedikit senaman. Namun pada pagi itu hujan turun dengan renyai. Jadi ana mengambil keputusan untuk melelapkan mata sementara menunggu hujan berhenti. Selepas setengah jam, ana bangun juga untuk bersenam di kawasan rumah ana. Balik saja dari bersenam, jiran sebelah ana minta tolong ana membelikan sedikit barang. Jadi ana tiada hal setakat nak beli barang tu.

Di kedai bermula cerita.............

Setibanya ana di kedai, ternampaklah ana akan seorang wanita yang sedang membeli barang di kedai yang sama. Ana pun tak kisah la sebab ana pun nak beli barang ana. Sewaktu ana nak bayar tiba-tiba wanita tersebut bertanya sama ada ana ternampak duit RM 50 dia. Ana memang tak nampak, jadi jawablah "tak'. Kesian pula ana tengok dia muka dia sedih je. Dia kata duit tu dia baru je pegang dan mungkin tercicir sewaktu dia pegang duit tu. Ana tolong juga cari duit dia tu di sekitar kawasan kedai. Tapi hampa, memang tak jumpa.

Dah tak jumpa tu, ana bayarlah barang ana dan sebelum pulang dia ada katakan kepada ana "pulangkanlah siapa yang ambil duit tu". Dah ana tak ambil takkan ana nak pulangkan pula. huhu..... Ana pun pesan kat dia supaya tinggalkan nombor telefon dia pada orang kedai tu kalau-kalau ada terjumpa nanti dan ana pun pulanglah ke rumah.

Lepas beberapa minit, loceng rumah ana berbunyi. Ana lihat orang yang menekan loceng rumah ana adalah wanita yang ana jumpa di kadai tadi. Dengan lagak bagai seorang pegawai polis dia menyoal ana dan mengatakan ana yang mengambil duit dia. Terkejut juga sebab seumur hidup ana tak pernah ada orang sergah macam tu. Sudah berkali-kali ana menafikan yang ana tak ambil duit tu, namun dia masih tidak berpuas hati. Dia suruh mengikut ana ke kedai dan ke rumahnya untuk melakukan sumpah. Dalam hati ana, "wah, tekad betul orang ni, macam yakin je aku yang ambil duit dia". 

Potong cerita di kedai, ana nak ceritakan sewaktu ana di rumahnya. Waktu ini ana pergi bersama adik ana. Di rumahnya, dia menyuruh ana mengambil air sembahyang untuk memegang al-quran dan bersumpah. Wanita itu juga meminta dompet dan kunci motor ana untuk diperiksa. Sebab tu ana kata, lagak dia bagai seorang pegawai polis. Ana masa ni pun masih blur. Tak tahu nak cakap apa. 

Di dalam rumahnya, ana bercakap pula dengan bapanya di dalam telefon kerana bapanya kerja. Pun macam nak marah bapanya menyoal. Tak tahulah, mungkin suara dia macam tu. Dalam telefon dikatakan sama ada ana berani bersumpah dan beberapa kali ana diingatkan jika balasan tidak turun kepada ana, mungkin akan turun kepada ibu bapa ana, anak-anak ana, keturunan ana dan macam-macam lagi. Ada juga kata nak buat laporan polis. Ana pun ikutlah kalau bapanya nak buat macam tu.

Sambil telefon, adik ana berdebat pula dengan wanita tersebut. Ibunya ana lihat seorang yang pendiam kerana mungkin tidak menyokong sesiapa. Sabar jela... 

Hmm... panjang lagi kalau nak cerita ni. Cukuplah tu. Apapun ana anggap ini sebagai ujian dan tidak diturunkan ujian itu melainkan kepada 3 sebab; balasan dari Allah, sebagai penghapus dosa kecil, dan sebagai ujian kepada hambanya. Mungkin ana tergolong dalam mana-mana 3 golongan tersebut. 

Tetapi dalam masa yang sama, ana tidak setuju dengan cara wanita tersebut. Kesian ana....tak pasal-pasal kena kata macam tu. Kalau nak curi duit, dalam rumah ana pun banyak duit RM 50 tu. Mungkin juga kerana kurangnya ilmu agama. Bersumpah dengan nama tuhan seharusnya didasari dengan ketakwaan dan keimanan, bukannya dengan nafsu amarah. 

Sebagai seorang mukmin, seharusnya kita bertanya dengan baik jika kita mengesyaki seseorang dan jika orang tersebut tidak mengambilnya, terimalah ia sebagai ujian qada dan qadar dari Allah buat kita. Kita juga harus lebih berhati-hati supaya menjaga barang  kita dengan baik. Wallahualam...

Sunday, November 13, 2011

Kucing Haiwan Yang Bersih

Nabi menekankan di dalam beberapa hadisnya bahawa kucing itu tidaklah najis. Malah diperbolehkan untuk berwudhuk menggunakan air bekas minuman kucing.

Kenapa Rasulullah Saw berani mengatakan bahawa kucing tidak menjadi najis kepada manusia?

Persoalannya, bagaimana Nabi mengetahui badan kucing tidak mempunyai najis?

Jawapannya, kulit kucing mempunyai otot-otot yang berfungsi untuk melawan sel bakteria.

Otot kucing juga dapat menyesuaikan diri dengan sentuhan otot manusia. Pada permukaan lidah kucing pula dilapisi oleh berbagai benjolan kecil yang runcing, benjolan ini berbentuk bengkok mengucup seperti kikir atau gergaji. Bentuk ini sangat berguna untuk membersihkan kulit.

Ketika kucing minum, tidak ada setitis pun air yang akan jatuh dari lidahnya. Sedangkan lidah kucing sendiri merupakan alat pembersih yang paling canggih, permukaannya yang kasar boleh membuang bulu-bulu mati dan membersihkan bulu-bulu yang tersisa di badannya.



Kajian Yang Dijalankan

Telah dilakukan berbagai penyelidikan terhadap kucing mengikut pelbagai perbezaan usia, posisi kulit, punggung, bahagian dalam tapak kaki, bibir, dan ekor. Pada bahagian-bahagian tersebut dilakukan pengambilan sampel. Di samping itu, kuman juga diletakkan pada bahagian-bahagian tertentu. Diambil juga cairan khusus (air liur) yang berada pada dinding dalam mulut dan lidahnya.

Hasil yang didapati selepas ujikaji adalah:

1. Hasil yang diambil dari kulit luar tidak mempunyai kuman, meskipun dilakukan berulang kali.

2. Tempat yang kuman sengaja diletakkan menunjukkan hasil negatif sekitar 80% (20% mempunyai kuman), jika dilihat dari air liurnya. Ini menunjukkan kucing dapat melawan kuman yang diberikan kepadanya.

3. Cairan yang diambil dari permukaan lidah juga menunjukkan ketidak hadiran kuman.

4. Hanya sekali kuman dijumpai semasa proses penyelidikan. Kuman ini termasuk dalam kumpulan kuman yang dianggap sebagai kuman biasa yang selalunya membiak dalam tubuh manusia dalam jumlah yang kecil seperti enterobacter, streptococcus, dan taphylococcus. Jumlahnya kurang dan membiak dalam lingkungan 50 ribu pertumbuhan.

5. Kajian tidak menemui jenis kuman yang beragam dan berbahaya. Perbagai sumber yang dipercayai dan hasil penyelidikan laboratorium menyimpulkan bahawa kucing tidak mempunyai kuman dan mikrobakteria. Air liurnya bersih dan boleh membersihkan seluruh badannya.


Ulasan para doktor yang bergiat dalam bidang kuman, Dr. George Maqshud, ketua laboratorium di Klinik Haiwan Baitharah, jarang sekali ditemui kehadiran kuman pada lidah kucing. Jika mempunyai kuman, itu menunjukkan kucing itu akan atau sedang sakit.

Selain itu, Dr. Gen Gustafsirl menemui kuman yang banyak pada anjing, manusia 25% dari anjing, kucing mempunyai separuh kuman dari manusia. Doktor haiwan di klinik haiwan Damaskus, Said Rafah menegaskan bahawa kucing mempunyai peranti pembersih yang bemama lysozyme.

Lysozyme menjadi agen pembersih di dalam tubuh kucing
Kucing tidak menyukai air kerana air merupakan tempat yang sangat subur dalam pertumbuhan bakteria. Kucing juga sangat menjaga kestabilan suhu tubuhnya.

Jika diperhatikan, kucing tidak banyak berjemur dan tidak suka mendekati air. Tujuannya agar bakteria tidak berpindah kepadanya. Inilah yang menjadi faktor yang membuatkan kuman tidak ada pada tubuh kucing.



Hadis-Hadis Mengenai Kucing

Kabsyah binti Kab bin Malik menceritakan bahawa Abu Qatadah, mertua Kabsyah masuk ke rumahnya lalu dia menuangkan air untuk wudhuk. Pada masa itu datang seekor kucing yang ingin minum. Lantas dia menuangkan air di bekas untuk kucing itu minum.
Kabsyah berkata, “Perhatikanlah”.
Abu Qatadah berkata, “Apakah kamu hairan?”
Kabsyah menjawab, “Ya”.
Lalu Abu Qatadah berkata bahawa Nabi SAW pernah bersabda, Kucing itu tidak najis. Kucing binatang yang suka berkeliling di rumah (binatang rumahan), (HR At-Tirmidzi, An-Nasai, Abu Dawud, dan Ibnu Majah).


Diriwayatkan Ali bin Al-Hasan dan Anas menceritakan bahawa Nabi Saw pergi ke Bathhan suatu daerah di Madinah. Lalu beliau berkata, “Ya Anas, tuangkan air wudhuk untukku ke dalam bekas”.
Lalu Anas menuangkan air. Ketika sudah selesai, Nabi menuju bejana. Namun terdapat seekor kucing datang dan menjilati bekas air tersebut.
Melihat kejadian itu, Nabi berhenti sehinggakan kucing tersebut berhenti minum lalu Rasulullah berwudhuk. Nabi ditanya mengenai kejadian tersebut, beliau menjawab, “Ya Anas, kucing termasuk perhiasan rumah tangga, ia tidak dikotori sesuatu, malah tidak ada najis.”


Diriwayatkan dari Dawud bin Shalih At-Tammar dan ibunya yang menerangkan bahawa hambanya memberikan Aisyah semangkuk bubur. Namun ketika ia sampai di rumah Aisyah, tenyata Aisyah sedang solat. Lalu dia memberikan isyarat untuk menyimpannya. Sayangnya setelah Aisyah selesai mendirikan solat, dia lupa adanya bubur. Datanglah seekor kucing lalu memakan sedikit bubur tersebut. Ketika Aisyah melihat bubur tersebut dimakan kucing, Aisyah lalu membersihkan bahagian yang disentuh kucing dan Aisyah memakannya. Rasulullah Saw bersabda, “Ia tidak najis. Ia binatang yang berkeliling”. Aisyah pernah melihat Rasulullah SAW berwudhuk dari sisa bekas jilatan kucing, (HR AlBaihaqi, Abd Al-Razzaq, dan Al-Daruquthni).


Kalaulah bukan dari wahyu Allah tentulah Rasulullah SAW tidak akan berani mengatakan bahawa kucing itu bersih. Segala sesuatu yang baru ditemui oleh para ilmuwan pada zaman moden ini, telah diketahui ilmunya oleh Rasul Kita Muhammad saw sejak 1500 tahun yang lalu.

Dipetik dari sini.

Mendidik Anak Dalam Kandungan


Seorang perempuan telah dianugerahi oleh Allah SWT untuk menyandang gelar sebagai seorang ibu, tatkala statusnya telah menjadi seorang istri, maka iapun harus menyiapkan mental agar mampu menjadi seorang ibu yg baik, mampu merawat dan menjaga anak-anaknya sebagai amanah dari Allah SWT.

Menjaga anak-anak sebagai amanah dari Allah tidak dilakukan setelah ibu melahirkan, tapi ketika si ibu dalam proses pembuahan, sudah dimulai proses pendidikan yaitu dengan cara berdo’a terlebih dahulu sebelum melakukan hubungan suami istri. Sehingga setelah dinyatakan hamil, proses pendidikan dalam kandungan untuk janin yg ada di dalam rahim akan segera dimulai, para ibu perlulah mempelajari hal-hal yg dianjurkan bagi ibu hamil untuk melakukan proses pendidikan dalam kandungan, bila proses pendidikan dilakukan ketika bayi telah lahir atau ketika ia sudah mulai berbicara.

Menurut penelitian ilmiah terbaru, anak-anak dapat dididik sejak masih dalam kandungan, kerana selama dalam kandungan, otak dan indra pendengaran anak sudah mulai berkembang, mereka dapat merasakan apa yang terjadi di luar kehidupan mereka, sementara yang mempengaruhi otak dan indera pendengaran bayi di dalam kandungan antara lain emosi dan kejiwaan ibu, rangsangan suara yang terjadi di sekitar ibu, juga nutrisi yang ibu konsumsi, harus dijaga agar selama hamil, tidak stress, kerana stress dapat berpengaruh terhadap bayi yang sedang dikandung. Ibu hamil yang stress dapat melahirkan bayi yang bermasalah, juga gizi yang tidak sehat akan dapat mempengaruhi otak janin, hal tersebut dapat terlihat setelah dilahirkan, atau ketika ia menbesar

Setiap ibu pasti menginginkan bayinya lahir dengan selamat, tumbuh dengan sehat dan cerdas, maka untuk mendapatkan hal itu, seorang ibu boleh memulainya dengan mendidik bayi dalam kandungan.

Pada dasarnya pendidikan dalam kandungan bererti mendidik ibu yang sedang mengandung bayinya yang secara garis lurus akan tertuju pada bayi yang sedang di kandung. Berikut ini beberapa point pendidikan dalam kandungan yang dapat dijalani semua ibu yang sedang mengandung maupun yang belum. diantaranya:

1. Berpikir positif dan melawan emosi diri sendiri, berusaha menjaga keharmonian dengan pasangan dan berusaha menghindari konflik dengan pasangan, dengan demikian Insya Allah akan melahirkan bayi-bayi yang kuat. Sebaliknya bila ibu berpikir negatif dan tidak berusaha menghindari konflik, maka akan lahir bayi-bayi yang lemah dan akan berpengaruh pada emosi kejiwaan mereka.

2. Stimulasi kandungan dengan elusan dan tepukan halus, boleh dilakukan ketika si janin mulai menendang perut ibu, balaslah dengan tepukan halus dimana ia menendang. hal ini akan mengajarkan kepadanya bahwa setiap tindakannya akan mendapat respon dari ibunya.

3. Selalu mengajak bayi ibu berbicara, semakin ibu komunikatif, semakin cepat bayi belajar untuk mengerti setiap kata yang ibu sampaikan, kerana di dalam perut ibu, indera pendengaran bayi sudah mulai berfungsi.

4. Perbanyakkan ibadah, ini merupakan hal terpenting dalam kehidupan kita, apalagi bila ibu sedang mengandung, ada kehidupan lain di dalam perut ibu, hanya Allah yang mampu memberikan itu semua, perbanyaklah ibadah, sering-seringlah mengaji, baik untuk ketenangan bayi yang ada dalam kandungan ibu atau untuk ketenangan ibunya sendiri. Alunan suara ibu yang sedang mengaji, akan membuat bayi tenang juga menstimulasi otak dan pendengarannya.

5. Ibu yang sedang mengandung,dianjurkan mengkonsumsi makanan yang halal, bergizi, berprotein tinggi,dianjurkan pula untuk menghindari makanan yang haram, makanan junk food(makanan sampah), makanan instant, minuman berkafein seperti kopi, danjuga rokok (baik aktif maupun pasif) Cobalah bicarakan dengan pasangan ibu yang perokok, katakan bahwa ini semua demi bayi yang akan lahir agar menjadi anak yang sehat, kerana semua orang tua mengimpikan bayi yang lahir sehat dan sempurna

6. Mencari pasangan yang tepat, bagi perempuan yang belum menikah, bukan bererti tidak memikirkan hal ini (pendidikan dalam kandungan), karana mencari pasangan yang tepat untuk hidup anda kelak, merupakan tolak ukur dalam pendidikan terhadap anak anda nantinya, pasangan yang tepat akan sangat membantu anda dalam melakukan proses pendidikan sejak anda mengandungkan buah hati tercinta.

Pendidikan dalam kandungan dapat juga dikatatakan pendidikan pra-lahir, “sebelum dilahirkan”, adalah suatu hal yang biasa terjadi bahwa dalam perkembangan janin banyak sel otak yang mati, stimulasi pra-lahir memberi otak suatu kesempatan untuk memanfaatkan sel-selnya sebelum kelahiran, ertinya memberi bayi kapasiti otak total yang lebih besar dan suatu langkah maju yang nyata dalam kehidupan.

Stimulasi pra-lahir dapat mempengaruhi pertumbuhan mental bayi yang akan dilahirkan. Berikut hal-hal yang di dapat oleh bayi yang mendapatkan stimulasi pra-lahir:

1. nampaknya ada suatu masa kritis dalam perkembangan bayi yang dimulai pada usia sekitar 5 bulan sebelum dilahirkan dan berlanjut hingga usia 2 tahun ketika stimulasi otak dan latihan-latihan intelektual dapat meningkatkan kemampuan mental bayi.

2. Stimulasi pra-lahir dapat membantu mengembangkan orientasi dan efektif bayi dalam mengatasi dunia luar setelah ia dilahirkan.

3. Bayi-bayi yang mendapatkan stimulasi pralahir lebih mampu mengawasi gerakan-gerakan mereka dan lebih sedia untuk menjelajahi juga mempelajari lingkungan setelah mereka dilahirkan.

4. Ibubapa yang telah berpartisipasi dalam program pendidikan pra-lahir menggambarkan anak mereka lebih tenang, waspada, dan bahagia.

Bayi-bayi yang selama dalam kandungan selalu mendapat perhatian, selalu diajak berbicara, biasanya lebih penuh perhatian (terutama terhadap suara ibu atau orang tua mereka) dan lebih termotivasi untuk belajar. Proses belajar pada bayi apalagi janin memang tidak sama dengan belajar, seperti halnya belajar formal, tapi belajar yang dialami janin merupakan proses belajar dari yang sesungguhnya, yang terkadang terlupakan atau tak terberikan. Semoga semua ibu sedar bahwa proses pembelajaran bagi seorang manusia adalah saat ia berada dalam kandungan.

Wednesday, November 2, 2011

Berkahwin Awal

Rasulullah s.a.w bersabda: Tiga perkara yang jangan dilambat-lambatkan, iaitu solat apabila telah masuk waktunya, jenazah apabila telah siap (urusan mandi dan kafan) dan anak gadis setelah ditemui (pasangan) yang sesuai untuknya. (H.R. Tirmidzi)

Kahwin awal bukan satu masalah. Mari lihat persoalan-persoalan yang selalu menerjah di kepala anak-anak muda yang fitrahnya terhalang atas sebab-sebab tertentu.



1. Kahwin waktu masih belajar, adakah tidak mengganggu pelajaran?
Siapa cakap kahwin waktu sedang belajar mengganggu? Salah tanggapan tu. Sepatutnya, kahwin awal lebih memberi kita semangat yang membara. Yelah, sudah ada pasangan yang halal dan akan sentiasa menyokong kita, mesti la lagi bersemangat mau belajar kan? Lagi satu, orang yang sudah kahwin ni akan berasa lebih bertanggungjawab dari sebelum kahwin. Sebab mereka tahu bahawa mereka punya pasangan untuk dijaga, jadi mereka pun akan berusaha untuk buat yang terbaik bagi pasangan mereka. Apa-apa pun, tengok ibu bapa kita saja sebagai contoh. Sudah kahwin, tapi adakah mengganggu kerja mereka? Tidak kan?

2. Saya masih belajar, macam mana mahu bagi nafkah pada isteri kalau belum ada kerja?
Saya tahu ramai antara kita yang masih belajar, dan ramai yang meminjam dapat elaun biasiswa. Saya beranggapan pasangan yang ingin dikahwini juga masih study Jadi ia bermakna dua-dua masih dapat hidup dengan wang yang asas tu. Jadi, sementara masih belum ada kerja, suami berilah nafkah yang termampu kepada isteri. Mungkin $25 atau $50 sebulan? Bergantung kepada berapa banyak isteri gunakan untuk makan. 


Lagipun, isteri jugak ada wang, jadi tak perlu rasa ada masalah di situ. Yang penting dua-dua masih dapat hidup. Lain la kalau isteri demand kereta, rumah, rantai emas, baju berlambak-lambak, dan macam-macam lagi. Jadi, sepatutnya tiada masalah dalam bab nafkah. Cuba kita tengok orang Arab zaman Nabi dulu. Adakah kebanyakan daripada mereka orang berharta? Tidak. Mereka cuma mampu memberi isteri makan makanan setakat yang mereka mampu beri. Itu pun sudah mencukupi untuk dijadikan nafkah. 


Nabi tak larang pun orang miskin berkahwin. Jangan jadikan kekurangan wang sebagai penghalang perkahwinan. Itu namanya menyalahkan takdir Allah. Berdosa.

Firman Allah: Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui. (An-Nur:32)

3. Macam mana mahu cari modal untuk majlis perkahwinan?
Apa perkara asas dalam kahwin? Ya, akad nikah dan walimatul urus. Merisik dan bertunang tu bukan wajib pun. Jadi, potong kos seperti bagi hantaran waktu merisik dan bertunang, sudah jimat wang. Waktu akad nikah pun, jemputlah keluarga terdekat dengan kawan-kawan saja yang dapat datang. Berdosa bila tidak menghadiri jemputan walimatul urus. Jadi, jimat sikit kos kenduri. Buang wang saja sewa pelamin, sewa baju pengantin, sewa jurukamera dengan mak andam semua tu kerana ia termasuk dalam hal-hal yang sia-sia. Mas kahwin pun tidak perlu tinggi-tinggi kerana sebaik-baik magar adalah yang paling rendah. Mudah saja majlis perkahwinan dalam agama Islam. Tidak sampai puluh ribu pun.

Sabda Rasulullah s.a.w: Tiga golongan yang akan selalu diberi pertolongan oleh Allah ialah seorang mujahid yang selalu memperjuangkan agama Allah s.w.t, seorang penulis yang selalu memberi penawar dan seorang yang menikah demi menjaga kehormatan dirinya. (H.R. Thabrani)

4. Tidak terlalu awalkah untuk saya berkahwin?
Kalau rasa dengan kahwin boleh buat semangat untuk belajar semakin meningkat, kahwin la. Kalau rasa kahwin boleh buat diri semakin bersemangat dalam agama, kahwin la. Kalau rasa kahwin boleh elak daripada fitnah dan maksiat, kahwin la. Itu maksudnya, kahwin memang perlu di usia muda. 


Benda yang baik, jangan dilambatkan. Takut kelak bertukar menjadi benda yang tidak baik. Cuba bayangkan anda ada pasangan yang disukai. Kan bagus kita cepatkan benda yang baik dengan berkahwin terus. Tapi kalau kita melambatkan perkahwinan yang bagus itu, mungkin kita akan terjerumus ke lembaah maksiat. Kenapa kita boleh beralasan untuk melakukan perkara yang halal, tetapi tidak langsung mengemukakan alasan untuk melakukan perkara yang haram? Tanya diri, jagalah iman.

Sabda Rasulullah s.a.w: Apabila datang kepadamu seorang laki-laki untuk meminang, yang engkau redha terhadap agama dan akhlaknya, maka nikahkanlah dia. Bila tidak engkau lakukan maka akan terjadi fitnah di muka bumi dan akan timbul kerosakan yang merata di muka bumi. (H.R. Tirmidzi dan Ahmad)

5. Bersediakah saya untuk kahwin awal?
Ini soalan paling bagus ditanya kepada diri sendiri. Tanya dulu soalan asas ni. Sudahkah saya solat penuh 5 kali sehari semalam? Bertanggungjawab sudahkah saya? Adakah saya panas baran atau penyabar? Adakah saya seorang yang bercakap menggunakan akal atau bertindak menggunakan akal di lutut? 


Pendek kata, ada banyak soalan spesifik yang boleh ditanya kepada diri sendiri. Walau apa pun jawapan dia, ini nasihat saya. Sentiasalah perbaiki diri dan mantapkan diri. Orang yang sudah berkahwin dan sedang belajar solat lebih baik berbanding orang yang sudah kahwin dan pandai solat tapi tidak amalkannya lepas kahwin. Orang yang bersedia mengubah dirinya adalah yang paling bersedia sebenarnya.

6. Macam mana dengan restu ibu bapa?
Ya, ini la benda paling susah bila mahu kahwin awal. Faktor penghalang paling utama. Kalau kita dapat menjelaskan dengan baik kepada ibu bapa dan mereka faham, insyaAllah tiada masalah untuk berkahwin awal. Tapi kalau ibu bapa kita susah mahu terima sebab fikiran mereka masih terikat dengan fikiran tipikal masyarakat Melayu sekarang ni yang lebih terpengaruh kepada adat dan cerekarama di tv semata-mata, serta pemikiran risau akan tak cukup wang nak sara anak dara orang, sudah tentu mereka tidak akan terima setiap hujah yang diberikan seperti di atas. 


Apa-apa pun, saya doakan yang terbaik untuk mereka yang mahu kahwin awal supaya cepat bertemu jodoh. Ingat, bila seseorang itu berkahwin kerana ingin mengikut sunnah Rasulullah, maka terbukalah segala pintu rezeki untuknya. Lihat, betapa banyaknya kelebihan kahwin awal. Fikiran kita yang sempit saja membuatkan kahwin ni nampak terlalu susah sangat.

Umar bin al-Khattab r.a telah berkata: Kahwinlah anak-anak kamu apabila sampai baligh, janganlah kamu menanggung dosa-dosa mereka. (Disebut oleh Ibnu Jauzi dalam Ahkam An-Nisa)

Nasihat saya untuk golongan-golongan yang sedang hangat bercinta tu, sebaiknya kahwinlah awal. Lebih banyak kelebihan kahwin awal berbanding kahwin lambat. Tapi semua itu pilihan masing-masing juga. Mudah-mudahan setiap pilihan yang kita buat adalah yang terbaik dan dirahmati Allah. InsyaAllah.

Rasulullah s.a.w bersabda: Siapa yang benci dengan cara hidup (sunnah) ku maka dia tidak termasuk golonganku. (H.R. Bukhari dan Muslim)

Dan antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya bahawa Dia menciptkan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu BERSENANG HATI dan hidup MESRA dengannya, dan dijadikan di antara kamu (suami isteri) perasaan KASIH SAYANG dan BELAS KASIHAN." (Surah Ar-Rum, 21)


Dipetik dari Facebook seorang sahabat