Santapan Rohani


Random Hadith Widget

Wednesday, April 27, 2011

Perkongsian : Kahwin Muda

Dipetik dari blog seorang ukhti...

Bismillahirrahmanirrahim.

Harini sudah 5 bulan 2 minggu dan 4 hari bergelar seorang isteri. Terlalu cepat masa berlalu, terasa masih terkejut apabila dilamar oleh suami rupanya sudah hampir separuh tahun ini menjadi isteri beliau. Ramai yang bertanya sama ada sahabat-sahabat di alam nyata mahupun teman-teman di alam siber yang hairan bagaimana ana boleh menerima seseorang sebagai suami di usia yang masih muda. Ana hanya tersenyum. Kalau sudah jodoh, segalanya Allah permudahkan.

Masih terasa seperti semalam ana terduduk saat mendapat berita lamaran dari suami. Trauma. Tidak mampu untuk berkongsi sekadar ingin mengingatkan diri bahawa setiap yang Allah aturkan adalah terbaik buat hamba-hamba Nya. Allah mengatur kehidupan ini dengan sangat indah dan Allah mengurniakan akal untuk berfikir baik dan buruk sesuatu perkara, namun tidak semua menggunakan akal dengan baik bahkan ramai para ilmuan (read - genius) mempunyai masalah mental.

Manusia tidak mampu terus berfikir dan berfikir, akal itu perlu dipandu dengan iman. Iman itu adalah keyakinan, yakin kepada Allah yang memiliki segala-galanya apa yang ada di bumi, langit dan di dasar lautan. Masih terlalu kecil perumpamaan ini, tetapi Dialah yang memiliki segala-galanya. Taqwa itu bagaimana kita berhati-hati dengan penipuan di dunia ini. Hati ini lemah, jasad ini kerdil dan jiwa ini kerapuhan namun Allah sentiasa memujuk dengan cara dan kehendak Nya.

"Ya Allah, sekiranya ada jodoh buatku di dunia ini maka Engkau bukakanlah hati hamba Mu untukku..."

Tanpa perancangan manusia, Dia aturkan kehidupan ini mengikut perkiraan Nya. Bukan atas kehendak hamba yang sentiasa lemah pengetahuan tentang rahsia-rahsia Nya. Benar, Dia gerakkan hati hamba Nya untuk hamba Nya. Dia memiliki hati manusia, Dia juga yang menggerakkan hati manusia bahkan Dia juga yang membolak balikkan hati manusia. Ya Allah, janganlah Engkau pesongkan hati kami setelah Engkau berikan hidayah...

Pertunangan secara syariat, hanya persetujuan dari ana untuk menjadi isterinya maka termeterai ikatan pertunangan antara kami. Tanpa pertemuan dan 'ayat-ayat cinta' bahkan tanpa lirikan manja dan mencuri pandangan, Dia mentakdirkan bahawa kami akan menempuh kehidupan bersama. Arus dan gelombang di alam pertunangan menduga hati dan perasaan, meski hancur luluh jiwa ini menyembam bumi sekalipun digagahkan juga jasad untuk berdiri. Air mata yang menjadi teman setia, kesihatan yang merudum lantaran tekanan perasaan yang dihadapi ditelan sendirian.

Biarlah, ini yang Allah mahukan supaya hamba ini segera menjahit kembali baju-baju yang tercarik meski luka di jari masih berlumuran dengan darah. Allah mahu segera bangkit dari kelemasan perasaan supaya hamba yang lemah ini belajar menjadi tabah dan tenang dalam gelora di dalam kehidupan rumahtangga kelak.

"Cuti sekolah nanti ada di rumah?"

"Insya Allah, ada."

Tanpa banyak berbasa-basi, dia segera menalifon abi dan berbincang. Cuti sekolah nanti, keluarganya mahu melihat ana. Ya, pertemuan pertama. Sebelumnya, hanya sekeping gambar wajah ana yang diberikan kepada keluarganya. Hanya raut wajah tanpa badan diberikan. Tanpa di duga, keluarga lelaki membawa beberapa dulang hantaran. Ummi tersandar di tiang luar rumah melihat mereka dengan dulang hantaran.

Kami menyambut sekeluarga tanpa pihak ketiga. Abi sendiri yang menjadi 'jurucakap' bagi pihak perempuan. Kelakar. Adat diketepikan bukan tidak menjunjung adat tetapi memudahkan apa yang perlu diutamakan dan mengutamakan syariat dalam urusan ini akhirnya memudahkan segala-galanya. Secara rasminya, majlis pertunangan kami di rumah ana...

Tidak seperti mereka yang mahu bertunang, berdandan rapi di kamar dan menanti saat untuk disarungkan cincin pada jari. Ana dari pagi memasak di dapur, dan sibuk dengan periuk dan kuali :P Tiba-tiba akhun datang ke dapur memanggil ana untuk 'menunjukkan diri' pada keluarga lelaki, tiba-tiba panik kerana muka yang sangat 'comel' akibat memasak dari pagi dan bersiap untuk menjamu makanan pihak lelaki diminta ke ruang tamu.

Mujurlah pakaian tidak kekampungan dengan kain batik dan t-shirt seperti biasa. Jubah dan tudung berwarna ungu, perasan comel dan agak-agak ayu bersalaman dengan keluarga lelaki yang datang dari jauh. Tak tahu mana satu bakal ibu mertua, selepas mereka semua pulang baru ana tanya pada ummi mana satu bakal ibu mertua. Yang paling kelakar, pihak ana tidak membalas apa-apa kepada pihak lelaki. Mana tahu mereka datang dengan dulang-dulang bagai :)

2 bulan kemudian, hari pernikahan.

"Mana satu bakal suami?" Sepupu yang menjadi pengiring ana bertanya.

"Entah lah..." Jawapan paling bagus yang dapat diberikan. Sepupu-sepupu memaksa ana menanggal cermin mata semasa majlis akad nikah, kononnya nampak cantik akhirnya ana tak nampak sesiapa, semuanya kabur :D

Pertama kali bersalaman dengan dia, lelaki yang selama ini digeruni kerana garang dan tegas akhirnya duduk di hadapan sambil tersenyum. Masih tertahan pandangan mata ini, tidak pernah bertentang mata dengan dia. Gerak geri juga kaku, maafkanlah atas sikap kebudak-budakan isterimu ini.


Saat pertama kali memanggilnya "Abang", jantung terhenti seketika. Saat pertama kali keluar berdua-duaanya dengannya, pelik sungguh rasanya.

Di usia 20 tahun, Allah mentakdirkan diri ini menjadi isteri kepada seorang lelaki. Allah memilih dia saat diri terhumban ke dalam kegelisahan yang tidak mampu untuk diucapkan. Allah menarik tangan ini ke arah lelaki itu untuk memimpin gerak langkah ini supaya tidak jatuh sekali lagi. Alhamdulillah, segala puji-pujian buatmu ya Allah.

Di saat manusia lain bimbang dan khuatir apakah diri ini akan disunting lelaki, Dia menggerakkan hati seseorang supaya mengambil ana dengan cara syari'e tanpa ada percintaan mahupun garapan perasaan yang bukan-bukan apatah lagi rindu yang menghukum jiwa. Dia mempercepatkan perjalanan marhalah perkahwinan ini kerana Dia sedang memujuk hamba Nya dengan cara dan kehendak Nya, usir segala kedukaan yang menapak di jiwa dan Dia menggantikan dengan senyuman.

"Insyirah kahwin atas pilihan keluarga atau pilihan sendiri?"

"Kahwin atas pilihan Allah."

Ummi dan abi tidak pernah memaksa ana untuk menerima zauj, mereka juga bebas memberi ana ruang membuat keputusan sendiri.

"Macammana Abang boleh taqdim?"

"Allah yang suruh."

Allah memilih dia untuk ana, Allah menyuruh dia untuk melamar ana. Allah yang SURUH. Kerana Allah yang menyuruh jugalah, kami berusaha beriringan tangan untuk menempuh gelora-gelora yang datang menjengah di teratak kehidupan kami tanpa berprasangka kepada sesiapa. Terkadang, lelah dengan tanggungjawab sebagai isteri kerana bimbang tidak mampu memuaskan hati suami. Terkadang, dihimpit perasaan bersalah apabila tidak mampu menunaikan tanggungjawab sebagai seorang isteri.

"Kalau sakit, jangan paksa diri."

Segera menoleh pandangan ke sisi lain membuang perasaan jauh-jauh dari suami. Saat ana terlantar dan tidak mampu menguruskan diri sendiri, si suami masih menggagahkan semangat untuk terus bersabar dengan kerenah ana.

Perkahwinan itu penyatuan tanggungjawab dua insan, setiap pihak mestilah memainkan peranan masing-masing agar hak pasangan akan dipenuhi. Kelemahan perasaan wanita haruslah dididik supaya tidak menjadi satu tembok yang akan menyusahkan suami dalam memenuhi tanggungjawabnya. Rajuk atas perkara-perkara remeh mestilah digantikan dengan penilaian perasaan yang lebih waras.

Di saat suami tidak memahami isteri, segeralah beristighfar.

"Ya Allah, ampunkanlah aku. Bukan suamiku yang tidak memahami perasaan aku tetapi aku yang belum mengenali suamiku."

Di saat isteri tidak memahami suami, segeralah beristighfar.

"Ya Allah, ampunkanlah isteriku. Bukan isteriku tidak memahami perasaan aku tetapi aku yang belum berkenalan dengan isteriku."

Seorang isteri, apabila mempunyai dosa dengan suami... Berat tanggungannya. Di saat suami menyimpan duka terhadap perangai isteri, tidak mustahil isteri AKAN disusahkan oleh Allah dalam kerja seharian. Di saat suami marah pada isteri, tidak mustahil isteri AKAN ditimpakan kecelakaan pada hari tersebut.

Menjadi isteri harus memahami kepentingan dan keutamaan kehidupan. Perlu berkorban perasaan apabila kehendak diri ditangguhkan demi ibubapa suami kerana keutamaan seorang isteri adalah pada suami sedangkan seorang lelaki meski sudah bercucu cicit sekalipun tanggungjawab terhadap ibubapanya tidak lucut. Itu yang sering wanita lupa, seharusnya seorang isteri mengingatkan suami supaya melebihkan ibubapa suami (mertua isteri) berbanding isterinya (kita) sendiri tetapi dewasa ini para wanita menyibukkan fikiran suami dengan kehendak diri sendiri supaya suami melupakan ibubapanya. Nauzubillah.

"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmat Nya bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki,) isteri-isteri dari jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir." (Surah ar-Ruum ayat 21)

Berkahwin muda itu seronok kerana Dia telah menutup banyak pintu-pintu fitnah. Berkahwin muda itu indah kerana dibebaskan dari keadaan yang akan menjerumuskan remaja ke alam dilema percintaan. Berkahwin muda itu tenang kerana di dalam perkahwinan itu ada sakinah, mawaddah wa rahmah. Berkahwin muda itu bahagia kerana ada teman yang akan berkongsi segala suka dan duka.

Andai perkahwinan itu dibina hanya untuk kepentingan diri sendiri, kita tidak akan menghiraukan tanggungjawab kerana sentiasa memikirkan hak yang suami perlu penuhi tanpa kita memenuhi tanggungjawab sebagai isteri dan mengabaikan hak suami.

Kematangan bukan pada landasan usia tetapi kepada corak pemikiran, bagaimana kita mengurus perasaan dalam menghadapi kehidupan. Buat sahabat-sahabat yang bakal bernikah pada hujung tahun ini, selamat mendirikan rumahtangga. Barakallahu lakuma wa baraka 'alaykuma wa jamaa bainakuma fi khayr.

Jadikanlah pasangan sebagai sebuah anugerah dalam kehidupan dan manfaatkanlah peluang tersebut dengan sebaik-baiknya. Di saat gelora bertandang, kenangkanlah saat-saat yang indah sewaktu lafaz nikah dituturkan suami. Nikmatilah perasaan yang indah saat bergelar seorang isteri kerana perkahwinan itu satu anugerah dari Tuhan buat hamba-hamba Nya.

"Dan kahwinilah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) di antara kamu, dan orang soleh daripada hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia Nya, kerana Allah amat luas (rahmat dan limpah kurnia Nya), lagi amat mengetahui." (Surah An-Nuur ayat 32)

Dipetik dari sini.

Tuesday, April 26, 2011

Wanita Lamar Lelaki Amalan Terpuji

Alhamdulillah , Segala Puja – Puji hanyalah milik Allah Ta’ala semata-mata. Selawat dan salam ke atas Baginda Rasulullah s.a.w, ahli keluarga baginda yang suci, para sahabat yang kesemua mereka itu merupakan golongan yang amat mulia, para ulama’ yang mukhlisin , para mujahidin di Jalan Allah Ta’ala dan seluruh muslimin. Amin.



ADA si teruna yang lambat menyatakan hasrat menyunting pilihan hati lalu jatuh ke pihak lain. Begitu juga halnya dengan seorang wanita yang tertarik dengan lelaki yang dirasakan calon sesuai untuk dijadikan suami namun disebabkan dia hanya menunggu akhirnya turut terlepas peluang.


Tiada larangan dalam Islam jika wanita membuat lamaran terhadap lelaki yang layak menjadi pasangan hidupnya. Apa yang berlaku itu berkait rapat dengan soal lambat menzahirkan lamaran.

Perigi mencari timba pula merujuk kepada wanita yang berusaha mencari lelaki untuk dijadikan teman hidup.

Namun dalam masyarakat kita perkara berkenaan dianggap lari daripada adat dan budaya.

Mungkin ‘tugas’ itu sukar dan mustahil kerana ia tidak pernah dilakukan dalam masyarakat kita.

Lihat saja sejarah Siti Khadijah yang bertindak ‘berani’ melamar Nabi Muhammad s.a.w. Beliau tidak berasa rendah diri walaupun jarak usianya dengan Rasulullah agak jauh.

Bagaimana dengan wanita moden yang mahu mencontohi tindakan Siti Khadijah? Kita semua tahu, Siti Khadijah berketurunan bangsawan yang kaya-raya.


Bukan saja mempunyai perniagaan besar, tetapi beliau juga disegani kerana mempunyai kebijaksanaan dan sopan-santun tinggi.

Bagaimana jika wanita datang menyunting lelaki pilihannya dengan menggunakan orang perantaraan bagi menyampaikan hasratnya?


Mungkin kaum wanita menganggap usaha mereka itu sebagai ‘terhegeh-hegeh’ dan sebab itulah ia gagal dilaksanakan.

Diharap selepas ini kaum wanita terbuka hatinya untuk merubah budaya.

Wanita meminang lelaki adalah sesuatu yang lumrah. Selain Siti Khadijah meminang Rasulullah dan Saidina Umar juga pernah meminang Saidina Abu Bakar untuk puterinya Siti Habsah.

Jika mereka bertemu dengan lelaki yang layak menjadi pasangan maka ambillah peluang untuk memulakan lamaran. Jangan takut untuk mencuba dan berasa malu kerana jika ditolak sekalipun Allah pasti menjanjikan insan yang lebih baik untuk mereka.

Pernah pinangan Umar ditolak Saidina Abu Bakar, tetapi penolakan itu dilakukan dengan cara paling terhormat. Namun selepas itu Umar mendapat calon yang lebih baik apabila Rasulullah memperisterikan Siti Habsah.

Jelas Allah tidak akan mengecewakan hamba yang bersungguh melaksanakan syariat-Nya. Sayang sekali, malu kita tidak merujuk kepada syariat.

Sebuah hadis yang diriwayatkan Anas berkata: “Ada seorang wanita yang datang menawarkan diri kepada Rasulullah dan berkata: “Ya Rasulullah! Apakah kau memerlukan aku?” Puteri Anas yang hadir ketika mendengar perkataan wanita itu mencelanya dengan mengatakan dia tidak punya harga diri dan rasa malu. “Sungguh memalukan dan betapa buruknya…!” Anas berkata kepada puterinya itu: “Dia lebih baik daripadamu! Wanita itu senang kepada Nabi dan menawarkan dirinya!” (Riwayat Bukhari)

Pendakwah dan Pengarah Penyelidikan dan Modul Fitrah Perkasa Sdn Bhd, Pahrol Mohamad Juoi, berkata malu dalam Islam mesti diukur atas dasar iman.

“Tidak seharusnya seorang wanita berasa malu untuk memulakan langkah untuk melamar lelaki yang dirasakan layak untuknya.

“Malah, tiada tentangan dari sudut akidah, syariah dan akhlak Islamiah terhadap perkara berkenaan,” katanya.

Beliau berkata pendekatan yang digunakan perlu selaras dengan prinsip dan matlamat yang bertepatan dengan nilai agama.

“Umpamanya, wanita perlu menggunakan orang tengah iaitu keluarga, sahabat dan orang yang boleh dipercayainya untuk tujuan melamar.

“Jika diterima, alhamdulillah dan jika ditolak sekalipun tidak mengapa. Allah tetap menilai percubaan itu sebagai amal soleh kerana mereka sudah melakukan sesuatu yang halal dan harus di sisi Islam,” katanya.

Pahrol berkata tidak timbul soal perigi mencari timba kerana dalam sejarah Islam ada pihak wanita yang meminang lelaki dan begitulah sebaliknya.

“Kedua-dua cara berkenaan boleh dilaksanakan. Apabila ada wanita melamar lelaki yang dirasakan baik untuk dijadikan pasangan hidup ia adalah usaha yang sangat terpuji.

“Berjaya atau tidak, bukan soalnya kerana Allah menilai usaha berkenaan. Jangan sesekali berasa diri direndahkan.

Mereka perlu berasa malu jika terbabit dengan pergaulan bebas, pendedahan aurat dan tindakan haram lain untuk mendapatkan pasangan hidup,” katanya.

Beliau berkata pasangan hidup adalah teman yang akan bersama-sama membentuk keluarga dalam menjalani ibadat sebagai hamba Allah di atas muka bumi ini.

“Ini misi besar dan berat. Bermula dari keluarga barulah terbentuknya sebuah masyarakat, negara dan ummah. Untuk membentuk keluarga ini perlu kepada lelaki kepada wanita.

“Wanita tidak seharusnya rasa ‘terhegeh-hegeh’ atau tidak laku. Wanita yang dikatakan tidak laku dan terhegeh-hegeh ialah mereka yang mendedah aurat, berkelakuan tidak senonoh dan bergaul bebas sehingga ke tahap hilang rasa malu, menggadai iman serta akhlak Islamiah.

“Bagaimana umpan begitulah ikan yang akan kita dapat. Jangan terkejut jika wanita yang mendedah aurat (seksi) akan mendapat lelaki hidung belang sebagai pasangannya,” katanya.

Berdasarkan sejarah yang masyhur, Pahrol berkata Siti Khadijah tertarik dengan keperibadian Nabi Muhammad yang mempunyai sifat jujur dan bijak ketika menjalankan perniagaan.

“Semua maklumat itu diperoleh daripada hambanya, Maisarah yang ditugaskan membantu serta mengiringi Rasulullah ketika berniaga.

“Sepanjang bermusafir Maisarah melihat, merasai dan meyakini bahawa Nabi Muhammad memang seorang yang baik kemudian menyampaikan laporan kepada tuannya Siti Khadijah.

“Khadijah mempunyai ketajaman menilai sumber maklumat. Apabila maklumat yang diterima diyakini benar, Siti Khadijah bertindak memanggil bapa saudaranya dan saudaranya yang lain untuk menyatakan hasrat melamar Nabi Muhammad.

“Allah mengkabulkan hajatnya dan lamarannya diterima,” katanya.

Beliau menasihatkan perkara utama untuk mencari pasangan ialah menjaga akhlak dan keperibadian selain memastikan maklumat pasangan itu benar.

“Carilah saudara, rakan, ustaz atau sesiapa yang terdekat dengan lelaki pilihan kita. Setelah ada maklumat yang benar, dirikan solat istikharah untuk meminta Allah perteguhkan keputusan yang sudah ada atau meminta petunjuk membuat keputusan yang belum ada.

“Orang yang bersolat istikharah tidak akan kecewa kerana solatnya bukan saja mencari petunjuk Allah dalam membuat keputusan yang belum pasti, tetapi turut juga meminta diperteguhkan hati melaksanakan keputusan yang pasti.

“Selepas menetapkan keputusan, teguhkan azam dan terus bertawakal. Kemudian segerakan urusan lamaran dengan memilih wakil yang baik bagi urusan meminang dan seterusnya segerakan perkahwinan,” katanya.

Pahrol berkata bagi mereka yang sudah berusaha mencari pasangan, tetapi masih belum berjaya perlu bersangka baik kepada Allah.

“Penangguhan itu satu ujian yang pasti ada hikmahnya. Mungkin Allah hendak selamatkan mereka daripada mendapat suami yang jahat, pendera dan tidak bertanggungjawab.

“Jadi, berusahalah sambil menunggu ketentuan daripada Allah. Jangan membuat keputusan untuk tidak berkahwin sampai akhir hayat kerana ia bertentangan dengan syariat dan fitrah.

“Golongan yang menentang peraturan Allah akan menderita jiwanya dan hidup dalam kesepian. Dalam apa saja keadaan, beribadatlah sehingga kita berasa letih untuk melakukan maksiat,” katanya.

Beliau berkata gelaran seperti ‘andartu’ dan ‘andalusia’ tidak sewajarnya dilemparkan kerana hakikatnya mereka sedang diuji Allah.

“Orang yang diuji sepatutnya dibantu, dikasihi dan didoakan. Masyarakat Islam sepatutnya memikirkan bagaimana kaedah untuk mencarikan jodoh buat mereka,” katanya.

Dipetik dari sini.

Isteri Solehah Buat Suami Yang Soleh

Janji Allah itu benar sebagaimana Nabi Muhammad SAW bersabda;

"Apabila seorang perempuan mencuci pakaian suaminya, maka Allah mencatat baginya seribu kebaikan dan mengampuni dua ribu kesalahan dosanya, bahkan segala sesuatu yang disinari oleh matahari memohon ampun baginya serta Allah mengangkat seribu darjat baginya.

"Wahai Fatimah, setiap wanita yang mengeluarkan peluh ketika membuat roti, Allah akan membina tujuh parit antara dirinya dengan api neraka. Jarak antara parit itu ialah sejauh bumi dangan langit.

"Wahai Fatimah, setiap wanita yang berair matanya ketika memotong bawang untuk menyediakan makanan keluarganya, Allah akan mencatat untuknya pemberian sebanyak yang diberi kepada mereka yang menangis kerana takutkan Allah."

" Seorang wanita yang solehah itu lebih baik daripada seribu orang lelaki yang tidak soleh dan seorang perempuan yang berkhidmat melayani suaminya selama seminggu maka ditutuplah daripadanya tujuh pintu neraka dan dibukakan lapang pintu syurga dan dia bebas masuk dari pintu mana yang disukainya tanpa hisab."

"Wanita yang taatkan suaminya semua burung-burung di udara, ikan- ikan di air, malaikat di langit, matahari dan bulan semua beristighfar baginya selama mana ia (isteri) masih taat pada suaminya dan diredhai (serta menjaga sembahyang dan puasanya)."

Suami Soleh, Suami Teladan


Entri hari ini pula cerita tentang suami soleh. Apakah ciri-ciri suami yang soleh dan suami teladan. Ada beza dua tu. Maka teruskan lah membaca untuk mengenal ciri-ciri suami soleh dan suami teladan.

Ciri-ciri suami yang soleh ialah:
a. Sentiasa bertolak ansur dan tidak meminta sesuatu yang di luar kemampuan isteri. 
b. Menyediakan keperluan dan tempat tinggal yang selesa.
c. Jangan mengeji isteri di hadapan orang lain ataupun memuji wanita lain di hadapan isteri. 
d. Melayani dan menasihati isteri dengan sebaik-baiknya. 
e. Bersabar dan menerima kelemahan isteri dengan hati yang terbuka. 
f. Bertanggungjawab mendidik akhlak keluarganya. g. Mendirikan rumahtangga semata-mata kerana Allah SWT. 
h. Menjaga hati dan perasaan isteri. 
i. Mentaati Allah SWT dan Rasul-Nya dengan mengerjakan segala perintah dan menjauhi segala larangan. 
k. Bersabar dan menghindari daripada memukul isteri dengan pukulan yang memudaratkan. 
l. Mengelakkan daripada terlalu mengikut kemahuan isteri kerana ia akan menjejaskan imej dan prestasi suami sebagai pemimpin. 
m. Memberi nafkah kepada keluarga mengikut kemampuan. 
n. Sentiasa mengambil berat tentang keselamatan mereka. 
o. Memberikan kasih sayang dan berkorban untuk kepentingan dan kebahagiaan bersama. 

Ciri-ciri Suami Teladan 
a. Suami yang tidak sanggup melihat isterinya meringankan perintah Allah. 
b. Suami yang selalu mengerjakan perintah Allah dan menjauhkan laranganNya. Selalu menjaga hubungan dengan isterinya serta melaksanakan tanggungjawab yang sesuai dengan kemampuannya. Ia selalu berterus terang dengan isterinya. Jika ia mempunyai kekurangan, ia akan menyatakan kepada isterinya. 
c. Suami yang soleh yang sentiasa menjalankan perintah Allah. 
d. Suami yang menganggap isterinya sebagai kekasih dan sahabat. Tidak mudah cemburu. Mempunyai keyakinan dan menaruh kepercayaan terhadap isterinya. 
e. Suami yang bijaksana, suami yang sanggup menjadi pemimpin rumahtangga. 
f. Suami yang baik, tidak menyembunyikan rahsia yang tidak disenangi isterinya. Apabila berkata-kata dengan isterinya dengan cara lembut dan bersopan santun. 
g. Suami yang bersikap mahu memaafkan dan membetulkan kesalahan isterinya. 
h. Suami yang soleh, selalu membimbing isterinya, menghiburkan isterinya,berbincang-bincang, menghargai pandangan isterinya dan sebagainya.

Suami yang layak menjadi pemimpin
a. Pengetahuan agama yang sempurna - untuk membimbing ahli keluarganya mengamalkan ajaran agama sebagai panduan hidup. 
b. Tubuh badan yang sempurna - sanggup melaksanakan tanggungjawabnya dengan kesempurnaan anggotanya. Ini bermaksud selagi mampu memenuhi keperluan zahir dan batin. 
c. Membelanjakan sebahagian harta - mencari nafkah untuk menyara hidup ahli keluarganya 
d. Akal fikiran yang sempurna - berfikiran positif.

Kewajipan Suami Dalam Rumahtangga

1. Memenuhi mas kahwin isteri secara sempurna
2. Memberi nafkah kepada isteri
3. Menggaulinya dengan baik 
a. Memberi nafkah sesuai dengan kemampuan. 
b. Sentiasa berbincang dengan isteri dalam segala hal. 
c. Mengajak isteri bergurau senda, berlaku lemah lembut kepadanya, menghiburkan isteri supaya hatinya sentiasa gembira. 
d. Memaafkan kesalahan isterinya apalagi terhadap isteri yang berbudi pekerti mulia. 
e. Di hadapan isteri hendaklah menunjukkan keindahan dan kebaikan kerana isterinya juga menyenangi apa yg disenangi oleh suaminya. 
f. Membantu isteri dalam urusan rumahtangga terutama apabila isteri sakit atau sibuk dengan pekerjaannya. 
g. Tidak membuka rahsia isteri serta memperkatakannya di hadapan umum. 
h. Melindungi isteri dari api neraka.

4. Cemburu hanya kerana agama dan kehormatan

Cemburu ini bermaksud, menjaga isteri dari segala sesuatu yang berbentuk pandangan, perkataan atau perasaan. Secara umum lelaki bersifat : 
- berani dan gagah perkasa
- ingin menolong yang lemah 
- ingin berkuasa
- kasar dan tamak 

manakala wanita bersifat : 
- lemah lembut 
- pemalu 
- mempunyai perasaan yang halus 
- bersopan santun 
- penyabar.

Sifat-sifat ini adalah bersesuaian dengan kewajipan dan tanggungjawab masing-masing.

5. Membimbing isteri

Di samping memiliki sifat-sifat yang baik, wanita juga mempunyai sifat buruk yang kadangkala merupakan sifat asal ataupun dari pengaruh luaran. Diantaranya: 
a. Mudah lupa dalam mengingati Allah. Kesibukan dengan harta kekayaan dan anak-anak kadang-kala membuat wanita lengah akan perintah Allah. Kelalaian ini akan memberi peluang kepada hawa nafsu menguasainya. 
b. Mudah terpengaruh oleh tipu daya dunia. Kemilauan dunia sering membuat wanita terpedaya. 
c. Sering bersikap bangga dan bermegah-megah kepada orang lain

Dengan memahami sifat isteri, suami boleh membimbing dan menasihati isteri. Suami pula sepatutnya tahu bagaimana cara membetulkan isteri. Tersilap cara akan mengakibatkan perselisihan. Perselisihan dalam rumahtangga dapat dikurangkan sekiranya pasangan mengamalkan perangai yang baik seperti :
1. Janganlah suami dan isteri marah pada masa yang sama. 
2. Jangan mengeluarkan suara yang kuat antara satu sama lain. 
3. Jika ada seorang yang harus menang dalam perselisihan, maka biarkanlah ia menang. 
4. Jika harus mengkritik pasangan, lakukanlah dengan sikap kasih sayang. 
5. Jangan mengungkit kembali kesalahan-kesalahan lalu. 
6. Lebih baik tidak mempunyai masa untuk orang lain daripada tidak mempunyai masa terhadap pasangan. 
7. Jangan tidur jika ada perselisihan belum diselesaikan. 
8. Berkata sesuatu yang manis atau pujian pada pasangan kita sekurang-kurangnya sekali sehari. 
9. Jika bersalah, akuilah kesalahan dan meminta maaf. 
10. Jangan lupa bahawa perselisihan terjadi akibat dua orang dan biasanya orang yang bersalah paling banyak berbicara.


6. Membimbing anak

Seorang suami yang adalah suami yang tidak mengabaikan tanggungjawabnya antaranya: 
a. Memberikan nama yang baik bagi anaknya. 
b. Memberi nafkah. 
c. Bertanggungjawab atas pendidikan anak dan sebagainya.

Keperibadian Suami yang menjadi Impian isteri
1. Penuh dengan kerinduan dan kasih sayang 
2. Persaan mencintai 
3. Gagah dan berakhlak mulia 
4. Kaya dan bijaksana 
5. Memberikan cahaya dalam kehidupan 
6. Menegakkan kebenaran 
7. Mulia di sisi Allah

Suami yang penuh dengan sentuhan kasih

Ada 10 nasihat untuk suami dalam memahami hubungannya dengan isteri :

1. Bersikap tegas dan lemah lembut terhadap isteri

Betapapun seorang wanita itu mempunyai kemampuan dan kemahuan yang tinggi, memiliki kemahiran serta percaya terhadap diri sendiri namun pada hakikatnya, ia masih ingin mencari perlindungan dengan seorang lelaki. Jika keinginan mencari perlindungan itu datangnya dari wanita, namun selalulanya ia merahsiakannya. Seandainya hajatnya tercapai, ia mengharapkan layanan yang lemah lembut dan amat mengharapkan perlindungan dari lelaki yang bertanggungjawab.

Sifat lemah lembut dan tegas ini harus dimiliki oleh lelaki kerana setiap isteri mengharapkan suaminya mampu menjadi pemimpin dalam rumahtangga yang dibina. Menjadi pemimpin bukan bermaksud menjadi "boss". Sifat tegas dan lemah lembut ini biarlah kena pada tempatnya.

2. Memberi pujian terhadap isteri

Peranan wanita sebagai ibu menyebabkan ia perlukan perlindungan daripada keyakinan. Hanya suami yang bijaksana dapat memberikan keyakinan kepada isterinya. Dengan cara memberikan penghargaan seperti pujian, hadiah ataupun ungkapan yang boleh menambahkan keyakinan dalam diri isteri. 

Jangan merasa hairan jika seorang wanita selalu bertanya kepada pasangannya, "Adakah engkau cinta padaku? " Pertanyaan ini bukan bermakna ia tidak percaya kepada pasangannya tetapi ia menginginkan keyakinan untuk dirinya. Oleh itu, suami usah jemu dengan ungkapan itu, malah berusahalah untuk mengerti hakikat seorang wanita.

3. Menentukan batas tanggungjawab

Islam telah mengatur tanggungjawab terhadap suami dan isteri. Suami berkewajipan mencari nafkah yang halal untuk kelurganya dan isteri pula berkewajipan melayan suami serta mengasuh anak-anak. Ini bukan bermakna tanggungjawab lain patut diabaikan, malah semua tanggungjawab lain seharusnya dipikul bersama mengikut keadaan masa dan tempat.

4. Menghindari kritikan terhadap isteri 

Kritikan bukan satu-satunya cara untuk menyelesaikan masalah. Ia boleh dilakukan, namun biarlah dengan lembut dan bertempat. Jangan sesudah bernikah, suami merasa berhak berkasar, mengkritik dan menghina isteri sewenang-wenangnya kerana banyak kesannya pada isteri. Suami yang terlalu banyak mengkritik isteri akan meninggalkan kesan negatif terhadap isterinya iaitu: 

a. Perasaan isteri menjadi tertekan akibat menahan marah 
b. Menimbulkan pelbagai jenis penyakit fizikal akibat daripada perasaan kecewa dan tekanan batin. 
c. Isteri menjadi pemarah, pendiam, kadangkala hilang keinginan untuk bersama. 
d. Akibat selalu dikritik serta tidak dihargai, isteri akan kehilangan identiti dirinya sendiri 
e. Untuk menyenangkan hati, isteri akan menyalahkan anak-anak. 
f. Jika perasaannya terlalu tertekan, mungkin ia inginkan perceraian.

5. Memperhatikan sesuatu yang romantik

Suami seringkali kurang memperhatikan keperluan yang tidak begitu penting seperti ulangtahun isteri, perkahwinan dan sebagainya. Namun bagi wanita,hal sebegitu penting. Cinta bukan hanya berkaitan dengan perasaan tetapi juga berkaitan dengan aktiviti romantik yangmempunyai nilai yang bererti dalam diri wanita. Mungkin sesuatu yang tidak bererti pada lelaki namun ianya amat bernilai pada wanita. Oleh itu suami harus banyak mempelajari keperluan isteri dan tidak menganggap remeh terhadap kepentingan isteri.

6. Memahami isteri yang ingin selalu di samping suami

Setiap isteri selalu menginginkan serta merindukan untuk selalu bersama suaminya. Isteri selalu mengharapkan perhatian yang cukup dari suaminya. Kerana itu, suami yang baik akan berusaha meluangkan masa untuk bersama isterinya. Selalu bersama boleh meningkatkan kasih sayang.

7. Menjaga perasaan aman dalam kehidupan isteri

Suami yang bertanggungjawab akan selalu memberikan rasa aman dan tenteram terhadap perasaan isterinya, selalu berusaha menyelesaikan setiap masalah rumahtangga dengan secepat mungkin. Berusaha membantu menyelesaikan masalah isteri.

8. Memahami gelora jiwa isteri

Wanita lebih mudah mengalami perubahan emosi jika dibandingkan dengan lelaki. Jika suami dapat menerima hakikat perubahan emosi isterinya, maka isterinya pasti dapat menerima suaminya sebagai org yang dapat membimbing hidupnya.

9. Membina kerjasama yang baik

Suami yang boleh diajak berbincang dan selalu bekerjasama dengan isterinya akan mampu mengujudkan keluarga bahagia.

10. Memenuhi keperluan peribadi

Tidak ada dua wanita di dunia ini yang sama, kerana masing-masing memiliki peribadi yang khusus. Wanita mempunyai sifat yang unik baik dari segi emosi maupun keinginan. Suami yang bijaksana akan mudah memahami akan keperluan peribadi isterinya dan mampu melaksanakan tanggungjawabnya sesuai dengan kemampuan dirinya.

Dipetik dari sini

Saturday, April 23, 2011

Cinta Sejati Adalah Ketika Dia Mencintai Orang Lain, Kamu Masih Mampu Tersenyum

Cinta sejati adalah ketika dia mencintai orang lain, dan kamu masih mampu tersenyum...


[1] Cinta tidak pernah meminta, ia sentiasa memberi, cinta membawa penderitaan, tetapi tidak pernah berdendam, tak pernah membalas dendam. Di mana ada cinta di situ ada kehidupan; manakala kebencian membawa kepada kemusnahan.~ Mahatma Ghandi

[2] Tuhan memberi kita dua kaki untuk berjalan, dua tangan untuk memegang, dua telinga untuk mendengar dan dua mata untuk melihat. Tetapi mengapa Tuhan hanya menganugerahkan sekeping hati pada kita? Karena Tuhan telah memberikan sekeping lagi hati pada seseorang untuk kita mencarinya. Itulah namanya Cinta.

[3] Ada 2 titis air mata mengalir di sebuah sungai. Satu titis air mata tu menyapa air mata yg satu lagi,” Saya air mata seorang gadis yang mencintai seorang lelaki tetapi telah kehilangannya. Siapa kamu pula?”. Jawab titis air mata kedua tu,” Saya air mata seorang lelaki yang menyesal membiarkan seorang gadis yang mencintai saya berlalu begitu sahaja.”

[4] Cinta sejati adalah ketika dia mencintai orang lain, dan kamu masih mampu tersenyum, sambil berkata: aku turut bahagia untukmu.

[5] Jika kita mencintai seseorang, kita akan sentiasa mendoakannya walaupun dia tidak berada disisi kita.

[6] Jangan sesekali mengucapkan selamat tinggal jika kamu masih mau mencuba. Jangan sesekali menyerah jika kamu masih merasa sanggup. Jangan sesekali mengatakan kamu tidak mencintainya lagi jika kamu masih tidak dapat melupakannya.

[7] Perasaan cinta itu dimulai dari mata, sedangkan rasa suka dimulai dari telinga. Jadi jika kamu mahu berhenti menyukai seseorang, cukup dengan menutup telinga. Tapi apabila kamu Coba menutup matamu dari orang yang kamu cintai, cinta itu berubah menjadi titisan air mata dan terus tinggal dihatimu dalam jarak waktu yang cukup lama.

[8] Cinta datang kepada orang yang masih mempunyai harapan walaupun mereka telah dikecewakan. Kepada mereka yang masih percaya, walaupun mereka telah dikhianati. Kepada mereka yang masih ingin mencintai, walaupun mereka telah disakiti sebelumnya dan kepada mereka yang mempunyai keberanian dan keyakinan untuk membangunkan kembali kepercayaan.

[9] Jangan simpan kata-kata cinta pada orang yang tersayang sehingga dia meninggal dunia , lantaran akhirnya kamu terpaksa catatkan kata-kata cinta itu pada pusaranya . Sebaliknya ucapkan kata-kata cinta yang tersimpan dibenakmu itu sekarang selagi ada hayatnya.

[10] Mungkin Tuhan menginginkan kita bertemu dan bercinta dengan orang yang salah sebelum bertemu dengan orang yang tepat, kita harus mengerti bagaimana berterima kasih atas kurniaan itu.

[11] Cinta bukan mengajar kita lemah, tetapi membangkitkan kekuatan. Cinta bukan mengajar kita menghinakan diri, tetapi menghembuskan kegagahan. Cinta bukan melemahkan semangat, tetapi membangkitkan semangat -Hamka

[12] Cinta dapat mengubah pahit menjadi manis, debu beralih emas, keruh menjadi bening, sakit menjadi sembuh, penjara menjadi telaga, derita menjadi nikmat, dan kemarahan menjadi rahmat.

[13] Sungguh menyakitkan mencintai seseorang yang tidak mencintaimu, tetapi lebih menyakitkan adalah mencintai seseorang dan kamu tidak pernah memiliki keberanian untuk menyatakan cintamu kepadanya.

[14] Hal yang menyedihkan dalam hidup adalah ketika kamu bertemu seseorang yang sangat bererti bagimu. Hanya untuk menemukan bahawa pada akhirnya menjadi tidak bererti dan kamu harus membiarkannya pergi.

Kamu tahu bahwa kamu sangat merindukan seseorang, ketika kamu memikirkannya hatimu hancur berkeping.

Dan hanya dengan mendengar kata “Hai” darinya, dapat menyatukan kembali kepingan hati tersebut.

[15] Tuhan ciptakan 100 bahagian kasih sayang. 99 disimpan disisinya dan hanya 1 bahagian diturunkan ke dunia. Dengan kasih sayang yang satu bahagian itulah, makhluk saling berkasih sayang sehingga kuda mengangkat kakinya kerana takut anaknya terpijak.

[16] Kadangkala kamu tidak menghargai orang yang mencintai kamu sepenuh hati, sehinggalah kamu kehilangannya. Pada saat itu, tiada guna sesalan karena perginya tanpa berpatah lagi.

[17] Jangan mencintai seseorang seperti bunga, kerana bunga mati kala musim berganti. Cintailah mereka seperti sungai, kerana sungai mengalir selamanya.

[18] Cinta mampu melunakkan besi, menghancurkan batu, membangkitkan yang mati dan meniupkan kehidupan padanya serta membuat budak menjadi pemimpin. Inilah dasyatnya cinta !

[19] Permulaan cinta adalah membiarkan orang yang kamu cintai menjadi dirinya sendiri, dan tidak merubahnya menjadi gambaran yang kamu inginkan. Jika tidak, kamu hanya mencintai pantulan diri sendiri yang kamu temukan di dalam dirinya.

[20] Cinta itu adalah perasaan yang mesti ada pada tiap-tiap diri manusia, ia laksana setitis embun yang turun dari langit,bersih dan suci. Cuma tanahnyalah yang berlain-lainan menerimanya. Jika ia jatuh ke tanah yang tandus,tumbuhlah oleh kerana embun itu kedurjanaan, kedustaan, penipu, langkah serong dan lain-lain perkara yang tercela. Tetapi jika ia jatuh kepada tanah yang subur,di sana akan tumbuh kesuciaan hati, keikhlasan, setia budi pekerti yang tinggi dan lain-lain perangai yang terpuji.~ Hamka

[21] Kata-kata cinta yang lahir hanya sekadar di bibir dan bukannya di hati mampu melumatkan seluruh jiwa raga, manakala kata-kata cinta yang lahir dari hati yang ikhlas mampu untuk mengubati segala luka di hati orang yang mendengarnya.

[22] Kamu tidak pernah tahu bila kamu akan jatuh cinta. namun apabila sampai saatnya itu, raihlah dengan kedua tanganmu,dan jangan biarkan dia pergi dengan sejuta rasa tanda tanya dihatinya

[23] Cinta bukanlah kata murah dan lumrah dituturkan dari mulut ke mulut tetapi cinta adalah anugerah Tuhan yang indah dan suci jika manusia dapat menilai kesuciannya.

[24] Bukan laut namanya jika airnya tidak berombak. Bukan cinta namanya jika perasaan tidak pernah terluka. Bukan kekasih namanya jika hatinya tidak pernah merindu dan cemburu.

[25] Bercinta memang mudah. Untuk dicintai juga memang mudah. Tapi untuk dicintai oleh orang yang kita cintai itulah yang sukar diperoleh.

[26] Satu-satunya cara agar kita memperolehi kasih sayang, ialah jangan menuntut agar kita dicintai, tetapi mulailah memberi kasih sayang kepada orang lain tanpa mengharapkan balasan. (Dale Carnagie)

Dipetik dari sini..

Menguruskan Fikiran Tentang Perkahwinan

Saya masih ingat kepada tulisan Ustaz Maszlee Malik tentang Fenomena Cinta Anta Anti beberapa bulan yang lalu. Anggaplah artikel saya ini sebagai penyambung kepada mesej yang sama, iaitu usaha untuk mendidik adik-adik remaja memikirkan tentang perkahwinan yang seimbang di antara tuntutan yang idealistik dengan realiti. Berlandaskan agama…

Bagi mereka yang tidak segan untuk menguruskan cinta dan perkahwinan mereka mengikut kemahuan hawa nafsu dengan membelakangkan wahyu, biarlah mereka belajar tentang akibat yang bakal ditanggung.


Di dalam artikel saya sebelum ini, saya berkongsi nasihat dengan adik-adik bahawa jika mereka yang bercouple dan buat ‘ringan-ringan’ sebelum berumahtangga akan menghadapi kesannya di masa hadapan. Apatah lagi jika terjebak ke kancah zina. Selepas berumahtangga, si suami akan terfikir, “jika dengan aku dia berani berzina, apa yang boleh menghalangnya dari berzina dengan orang lain?” Kecurigaan ini menyebabkan jiwanya gelisah setiap kali meninggalkan isteri di rumah. Manakala si isteri berfikir dengan kecurigaan yang sama. Akhirnya rumahtangga itu penuh dengan syak wasangka dan pantang ada yang mencuit, pasti berbalas tuduh menuduh. Inilah yang maksudkan sebagai “dosa hari ini, menjadi kecurigaan esok dan selamanya” ketika menulis artikel “Erti Sebuah Perkahwinan“.

Ia bukanlah teori saya, tetapi sebahagian daripada pengalaman yang dikutip semasa mengendalikan kursus bersama Fitrah Perkasa. Pasangan yang pernah berzina sebelum bernikah, akan dihukum oleh Allah di dunia, sebelum hukuman Akhirat. Apakah ada ketenangan hidup, jika rumahtangga diselubungi prasangka? Itulah neraka dunia balasan zina, sebelum neraka Akhirat yang maha seksa lagi duka.

Namun bagi adik-adik yang mempunyai kesedaran Islam, cara mereka ‘menjaga hukum Allah’, penting untuk dipandu. Bukan apa, kadang-kadang cara merek menimbulkan kehairanan kepada saya. Syariat manakah yang mengajar Muslimat supaya menundukkan pandangan hingga terlanggar tong pemadam api yang tergantung di koridor? Islam manakah yang mengajar Muslimat kita supaya bercakap seperti ‘warden penjara’ ketika berurusan dengan Muslimin, semata-mata kerana mahu menghayati kehendak Syarak agar mereka tidak melunakkan suara yang boleh menimbulkan fitnah.

Bagi Muslimin juga, pelbagai karenah yang timbul. Kerana mahu menjaga Syariat, mereka langsung tidak berhubung semasa bertunang sehingga tidak kenal di antara satu sama lain. Maka terbatallah hikmah pertunangan yang dianjurkan oleh Islam. Kita menjadi seperti robot keras yang jika tidak A, maka B. Malah ada yang bertanya kepada saya, berapakah kadar panggilan telefon yang boleh dibuat dalam seminggu semasa bertunang? Pelbagai soalan ganjil dan matematika yang saya terima. Kepelbagaian tanda tanya inilah yang mengundang saya untuk berkongsi pengalaman agar adik-adik yang beriltizam dengan Islam ini dapat mencari contoh yang praktikal. Perkahwinan saya jauh daripada layak untuk menjadi contoh yang paling sempurna. Namun, pada satu dua benda yang baik, bolehlah diambil sebagai teladan. Mana-mana yang silap, jadikan sebagai sempadan.

Saya telah bertemu dengan banyak contoh pasangan yang sudah terlalu lama ‘mengikat’ hubungan tetapi lambat menuju perkahwinan, akhirnya kecundang di tengah jalan. Malah ramai yang berubah menjadi musuh. Hal ini, janganlah terlalu cepat dikaitkan dengan dosa, sebagai ‘hukuman dari Allah’ kerana pernah ada cela zahir atau batin antara kedua pasangan itu. Seorang lelaki dan seorang perempuan yang terlalu lama kenal tetapi tidak menyegerakan perkahwinan, akan dengan sendirinya berubah menjadi musuh akibat fitrah perhubungan itu sendiri.

Bagi pasangan yang berumahtangga, setahun dua yang pertama, biasanya indah dan ditambah lagi dengan kedatangan cahaya mata penyeri rumahtangga. Tetapi apabila masuk tahun ketiga dan keempat, hubungan suami isteri akan teruji. Mudah terjadi, suami mula mudah marah terhadap isteri. Manakala si isteri pula kerap tertekan dengan ‘warna sebenar suaminya’.Saya masih ingat kata-kata Profesor Abdullah al-Ahsan di UIA ketika mengulas tentang Romanticism, “kita selalu tidak rasional dan realistik semasa kita romantik!”. Mungkin di awal perkahwinan, romantik itu kuat mendominasi rumah tangga. Ketika itu suami fokus kepada isteri dan isteri pula fokus kepada suami. Tetapi ketika munculnya anak pertama, kedua-duanya beralih fokus kepada anak dan selepas muncul anak kedua, fokus itu perlu diubah suai lagi. Semasa itulah, rumahtangga lebih didominasi oleh tanggungjawab dan tugas. Seronok-seronok sudah berkurang sedikit. Tetapi ia adalah proses biasa.

Hubungan suami dan isteri boleh selamat dan terus memanjat usia matang pada tahun-tahun yang berikutnya. Selamat kerana proses itu berlaku di dalam perkahwinan, bukan di luar. Ini adalah kerana, perkahwinan sebenarnya menggabungjalinkan antara cinta, kasih sayang, tanggungjawab dan peranan. Ada hari air pasang, cinta memainkan peranan. Ada hari air surut, maka tanggungjawab dan kematangan pula mengambil tugas.

Akan tetapi bagi pasangan yang berkenalan semenjak di sekolah menengah, atau di matrikulasi, tetapi selepas tiga atau empat tahun, mereka masih belum berumahtangga, hubungan mereka akan melalui proses yang sama. Malangnya proses itu berlaku di luar perkahwinan. Cinta jadi derita, tiba-tiba sahaja satu perasaan yang pelik datang, dan dengan mudah, mereka akan memutuskan hubungan tersebut. Jemu, itu sahaja.

Sebab itulah, saya sering memberi dorongan kepada adik-adik bahawa, kita tidak perlu memulakan hubungan jika dalam jangka masa terdekat, tiada kemungkinan untuk perhubungan itu dinaik taraf menjadi perkahwinan. Janganlah berjinak-jinak untuk berkawan antara lelaki dan perempuan semasa di matrikulasi, jika kita sedia maklum yang ibu bapa tidak akan membenarkan perkahwinan, kecuali selepas tamat pengajian. Komitmen ‘atas angin’ yang tidak disegerakan kepada sebuah perkahwinan, sering berakhir hanya disebabkan oleh emosi yang saya terjemahkan ia sebagai JEMU.

Syukur, saya terselamat dari ujian itu. Semenjak di Tingkatan 1, kehidupan saya di sekolah menengah amat sibuk. Pelajaran, disertai dengan usrah, gerak kerja persatuan, pertandingan-pertandingan yang disertai dan pelbagai aktiviti menjadikan saya terfokus kepada memanfaatkan umur ketika itu tanpa perlu ‘cuba-cuba bercinta’. Benarlah kata pepatah Arab:
“Air yang tidak mengalir (statik), akan merosakkan air tersebut. Pemuda yang banyak masa kosong (tidak dinamik), akan dibunuh oleh masa kosong itu”

Walau bagaimana pun, pasti sudah ramai yang telah pun berada di ‘situ’. Sudah kenal. Sudah lama kenal.

Untuk mereka, janganlah pula pendapat saya ini menjadi alasan untuk cepat seseorang itu memutuskan perhubungan. Janganlah biarkan diri kita dipandu oleh keputusan-keputusan emosi semata-mata. Jika pasangan lelaki atau perempuan sudah baik agamanya, atau yang paling utama, sedia dididik dan mahu belajar, maka terimalah seadanya.

Saya cukup terkilan apabila mendengar ada dari kalangan adik-adik, khususnya Muslimah, yang terlalu mudah mengambil keputusan memutuskan hubungan semata-mata beralasan terasa ada kesilapan malah dosa yang terselit di celah-celah perkenalannya dengan seorang lelaki Muslim yang baik. Jika pernah buat silap, bawalah bertaubat dan bukannya dengan sewenang-wenang membatalkan hubungan. Ingatlah pesan Nabi SAW,

“Apabila datang melamar kepadamu seseorang yang kamu redha agamanya dan akhlaknya, maka kawinkanlah. Jika tidak kamu laksanakan, maka akan terjadi fitnah di muka bumi dan kerosakan yang luas”. (HR. Tirmidzi)

Pesan saya kepada adik-adik di kampus, dalam soal perkahwinan ini, JANGAN TERGESA-GESA, DAN JANGAN BERTANGGUH-TANGGUH.

Dipetik dari sini..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Waktu Solat