Santapan Rohani


Random Hadith Widget

Saturday, October 29, 2011

Sejarah Solat Lima Waktu



Subuh:

Manusia pertama yang mengerjakan solat subuh ialah Nabi Adam a.s. iaitu ketika baginda keluar dari syurga lalu diturunkan ke bumi. Perkara pertama yang dilihatnya ialah kegelapan dan baginda berasa takut yang amat sangat. Apabila fajar subuh telah keluar, Nabi Adam a.s. pun bersembahyang dua rakaat.

Rakaat pertama: Tanda bersyukur kerana baginda terlepas dari kegelapan malam.
Rakaat kedua: Tanda bersyukur kerana siang telah menjelma.

Zohor:

Manusia pertama yang mengerjakan solat Zohor ialah Nabi Ibrahim a.s. iaitu tatkala Allah SWT telah memerintahkan padanya agar menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s.. Seruan itu datang pada waktu tergelincir matahari, lalu sujudlah Nabi Ibrahim sebanyak empat rakaat.

Rakaat pertama: Tanda bersyukur bagi penebusan.
Rakaat kedua: Tanda bersyukur kerana dibukakan dukacitanya dan juga anaknya.
Rakaat ketiga: Tanda bersyukur dan memohon akan keredhaan Allah SWT.
Rakaat keempat: Tanda bersyukur kerana korbannya digantikan dengan tebusan kibas.

Asar:

Manusia pertama yang mengerjakan solat Asar ialah Nabi Yunus a.s. tatkala baginda dikeluarkan oleh Allah SWT dari perut ikan Nun. Ikan Nun telah memuntahkan Nabi Yunus di tepi pantai, sedang ketika itu telah masuk waktu Asar. Maka bersyukurlah Nabi Yunus lalu bersembahyang empat rakaat kerana baginda telah diselamatkan oleh Allah SWT daripada 4 kegelapan iaitu:

Rakaat pertama: Kelam dengan kesalahan.
Rakaat kedua: Kelam dengan air laut.
Rakaat ketiga: Kelam dengan malam.
Rakaat keempat: Kelam dengan perut ikan Nun.

Maghrib:

Manusia pertama yang mengerjakan solat Maghrib ialah Nabi Isa a.s. iaitu ketika baginda dikeluarkan oleh Allah SWT dari kejahilan dan kebodohan kaumnya, sedang waktu itu telah terbenamnya matahari. Bersyukur Nabi Isa, lalu bersembahyang tiga rakaat kerana diselamatkan dari kejahilan tersebut iaitu:

Rakaat pertama: Untuk menafikan ketuhanan selain daripada Allah yang Maha Esa.
Rakaat kedua: Untuk menafikan tuduhan dan juga tohmahan ke atas ibunya Siti Mariam yang telah dituduh melakukan perbuatan sumbang.
Rakaat ketiga: Untuk meyakinkan kaumnya bahawa Tuhan itu hanya satu iaitu Allah SWT semata-mata, tiada dua atau tiganya.

Isyak:

Manusia pertama yang mengerjakan solat Isyak ialah Nabi Musa a.s.. Pada ketika itu, Nabi Musa telah tersesat mencari jalan keluar dari negeri Madyan, sedang dalam dadanya penuh dengan perasaan dukacita. Allah SWT menghilangkan semua perasaan dukacitanya itu pada waktu Isyak yang akhir. Lalu sembahyanglah Nabi Musa empat rakaat sebagai tanda bersyukur.

Rakaat pertama: Tanda dukacita terhadap isterinya.
Rakaat kedua: Tanda dukacita terhadap saudaranya Nabi Harun.
Rakaat ketiga: Tanda dukacita terhadap Firaun.
Rakaat keempat: Tanda dukacita terhadap anak Firaun

Sekadar Rujukan Buat Diri

Monday, October 10, 2011

Cerpen : Ternoktah Sebuah Harapan

Sedari kecil aku tidak pernah mendapat kasih sayang dari orang tuaku. Aku dipelihara dan dijaga nenek dan datukku sejak aku kecil lagi. Menurut nenek dan datukku, waktu itu usiaku baru seminggu. Ibuku berhasrat memberikan aku kepada orang lain. Mengapa ibu bapaku hendak menyerahkan aku kepada orang lain? Aku pun tidak mengetahui dan tidak pernah bertanya kepada mereka.


Namun begitu aku seharusnya bersyukur kerana nenek dan datukku telah mengambil dan membesarkanku. Sekurang-kurangnya darah daging aku sendiri yang mahu memelihara aku. Walaupun hidup kami sederhana, kehidupanku bersama nenek dan datuk tetap bahagia.


Aku tidak seperti anak orang lain yang boleh meminta apa sahaja yang mereka mahu. Dari kecil aku diajar berjimat cermat kerana hidup kami sederhana sahaja. Tetapi nenek dan datukku tidak pernah mengabaikan pelajaranku. Datukku boleh membaca dan menulis walaupun lambat dan merangkak-rangkak tetapi nenekku buta huruf. Akulah yang menolong mereka membaca.


Nenekku selalu berpesan agar aku belajar bersungguh-sungguh kerana apabila mereka dah tiada, aku harus bergantung dengan diriku sendiri. Tiada orang yang akan membantu kecuali diriku sendiri. Sejak kecil lagi aku tak sama dengan kanak-kanak yang lain. Aku ada azamku sendiri iaitu belajar, kemudian dapatkan kerja untuk menyara hidup kami. Pak cik dan mak cikku ada juga menghulurkan duit untuk datuk dan nenekku tetapi berapalah sangat jumlah yang mereka beri untuk perbelanjaan kami.


Datukku hanya menerima duit pencen lebih kurang RM320 sebulan. Bayar bil air, bil eletrik, keperluan sekolahku, jadi tak banyak yang tinggal. Selebihnya disimpan di dalam bank. Terngiang diingatanku kata-kata datukku waktu itu, "Atuk simpan untuk kegunaan Mimi melanjutkan pelajaran". Sebaknya rasa hatiku teringatkan kata-kata datukku.


Tamat sahaja sekolah menengah aku melanjutkan pelajaran di matrikulasi yang terletak di ibu kota. Aku merantau buat pertama kalinya ke negeri orang. Kehidupan di sini membuatkan aku bersosial dengan bebas. Boleh dikatakan rakan-rakanku semua pernah ke kelab malam yang terletak tidak jauh dari tempat belajarku. Aku juga tidak terkecuali.


Aku hanya fikir untuk berseronok namun aku masih tahu menjaga diriku dan kerana itu aku mendapat keputusan yang baik dan seterusnya menyambung lagi pelajaranku peringkat ijazah di Universiti Malaysia Sabah (UMS), tempat tinggalku. Alhamdulillah, berkat doa nenek dan datukku, aku akhirnya berjaya mengejar cita-citaku. Aku bekerja di makmal kimia dan gaji yang kuterima setiap bulan kuhabiskan untuk nenek dan datukku yang tersayang. Bagiku merekalah segala-galanya. Apa yang mereka inginkan akan aku tunaikan. Aku tidak kisah gajiku habis namun yang penting mereka gembira dan bahagia. Aku juga membeli sebuah kereta untuk kegunaan mereka. Betapa gembiranya raut wajah mereka ketika itu. Aku sangat bahagia.


Teringat aku sewaktu diriku masih kecil dan baru mahu mengenal dunia, aku terjumpa satu foto dan aku tidak kenal pun siapa yang ada di dalam foto itu. Aku bertanya kepada datuk dan nenekku, "Itulah bapa dan ibu Mimi, mereka bercerai lepas lahirkan Mimi", jawab mereka ringkas. Aku tak pernah sangka aku ada ibu bapa yang lain. Bagi aku datuk dan nenekku itulah ayah dan ibuku. Aku masih berhubung dengan ibu bapa kandungku tetapi aku tersangat jarang berjumpa mereka. Kadangkala hati ini tak ingin berjumpa mereka.


Tahun 2002 aku cuba memohon Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) dan alhamdulillah aku diterima masuk ke Institut Perguruan Gaya, Sabah selama setahun. Aku mula bekerja sebagai pendidik pada tahun 2004 dan ditempatkan di Semporna. Agak jauh dari kampung halamanku dan aku terpaksa berpisah dengan datuk dan nenekku.


Hidup tak selalu indah, langit tak selalu cerah. Ajal dan maut semuanya di tangan Allah. Bulan Jun 2004 menjadi sejarah hitam dalam hidupku. Sesungguhnya Allah lebih menyayangi datukku pada waktu itu. Datukku pergi meninggalkan aku dan nenekku. Namu aku bersyukur nenekku masih ada untuk menemaniku. Tetapi, dugaan itu tetap menimpaku. Tak sampai sebulan pemergian datukku, nenekku pula menyusul pemergian datukku. "Ya Allah, ujian apa yang cuba kau berikan kepadaku," aku sedih dan aku menangis.


Insan yang paling aku sayangi di dunia ini pergi meninggalkanku buat selama-lamanya. Yang paling menyedihkan, aku tidak sempat pulang untuk melihat pengebumian mereka. Walaupun aku sudah cuba mengejar masa dari Semporna ke Kota Kinabalu namun semuanya terlambat. Aku hanya dapat melihat kubur mereka sahaja. Waktu itu usiaku sudah pun 26 tahun. Tak cukup dengan itu, Pak cik dan makcikku menghalau pula aku keluar dari rumah pusaka datuk dan nenekku. Tidak terkecuali ibuku. Aku bertanya kepada ibuku di mana aku harus tinggal? "Kau pergilah cari rumah sewa," betapa sakitnya hati yang sedih ini mendengar ayat yang keluar dari ibuku. Rumah pusaka itu memang mahal kerana terletak di tengah bandar Kota Kinabalu. Kerana harta aku dihalau keluar. Kejam sungguh dunia ini.


Waktu itu masih banyak barang-barangku yang ada di dalam rumah itu. Aku tak tahu harus letak di mana. Tuhan itu maha pengasih, aku masih ada sahabat untuk membantu aku. Merekalah yang menolong aku membungkus barang-barangku di dalam rumah itu. Kemudian barang itu sahabat-sahabatku mengambil seorang sedikit sementara aku mencari tempat tinggal. Dengan hati yang sayu aku melangkah keluar dari halaman rumah pusaka itu. Di rumah itulah aku mendapat kasih sayang dan kebahagian. Ke mana harus aku tuju? Berat sungguh ujian Allah terhadapku.


Aku tak sanggup lagi untuk teruskan hidup, namun Allah masih memberikan aku kekuatan untuk terus hidup. Aku mula hidup sebatang kara, berpindah-randah membawa barang-barangku. Dengan gaji yang aku terima waktu itu cukup untuk aku membeli sebuah apartment. Di apartment itulah aku menyimpan barang-barangku dan tidak perlu lagi menyusahkan sahabat-sahabatku untuk menyimpan barang-barangku di rumah mereka. Sahabat-sahabatku itulah yang selama ini memberi aku semangat untuk meneruskan hidup.


Aku masih teruskan kehidupanku tapi kali ini hidupku tiada matlamat. Aku hanya menunggu bilakah sampai ajalku? Hidupku kini hanya untuk menikmati pekerjaanku. Aku tidak pernah fikirkan hal yang lain. Kerja! Kerja! Kerja! Waktu makanku juga tidak menentu sejak kematian datuk dan nenekku. Kadang aku makan, kadang-kadang aku tak makan. Jika dulu nenekku akan menyediakan sarapan, makan tengahari, makan malam, cukup lengkap untuk pemakanan yang baik. Namun sekarang aku hanya makan sesuka hatiku. Kadang hanya sekali dan kadang tidak makan terus. Aku telah jatuh sakit dan pemeriksaan doktor mengesahkan. Tapi aku gembira dengan penyakit aku kerana pada fikiranku tidak lama lagi aku akan bersama-sama berjumpa dengan nenek dan datukku. Kolot sungguh fikiranku waktu itu.


Secara jujur aku bukanlah manusia yang sempurna dan baik. Aku tak pernah menjaga solat, ilmu agama pun aku kurang. Masakan tidak, aku bersekolah di sekolah kristian dari sekolah rendah. Umurku pada tahun ini genap 32 tahun. Sepatutnya perempuan yang seusiaku sudah berumahtangga, ada suami yang baik dan melahirkan anak-anak yang comel. Aku bukan tak mahu berumahtangga tetapi sebelum ini aku ada tanggungjawab menjaga nenek dan datukku yang sudah tua.


Teringat aku sewaktu bergurau dengan nenekku, selalu dia berpesan jika aku nak bernikah carilah lelaki yang solat lima waktu. InsyaAllah rumahtangga akan bahagia. "Tak naklah kahwin," aku berkata kepada nenekku. Pada fikiranku jika aku berkahwin pasti aku akan mengikut suamiku dan tinggal bersamanya, jadi tiada siapa yg akan menjaga nenek dan datukku. Namun kata-kata nenekku itu aku pegang sehingga ke hari ini.


Bukan tiada lelaki yang mahu melamarku, tetapi aku berat untuk menerima pinangan mereka. Ada yang sudah menjadi tunangan orang yang berkata menyukaiku. Sudahlah, aku tak pernah percaya kepada lelaki dan aku masih bersedih dengan kematian datuk dan nenekku.


Namun dalam kesedihanku, Allah telah menemukan aku dengan Arif. Dia lebih muda dariku. Aku berjumpa dengannya sewaktu aku berkursus di Kedah. Pertama kali berjumpa dengannya aku nampak ketenangan di wajahnya. Tapi aku masih belum punyai perasaan kepada lelaki. Namun Arif, peribadinya yang tidak pernah meninggalkan solat lima waktu membuatkan hatiku sedikit goyah. Dia pernah menegur tentang auratku namun aku sedikitpun tidak terasa dengan tegurannya. Cara dia menegur aku sangat berhikmah.


Tidak seperti orang lain yang berkata sesuka hati dan kemudian menyakitkan hatiku. Tudungku, pakaianku, dan semuanya berkenaan aurat Arif tegur dengan baik dan terperinci. Sejak itu aku mula membiasakan diri dengan pakaian berlengan panjang. Sedikit demi sedikit aku berubah. Tapi kerana apa? Adakah kerana tegurannya atau kerana aku menyukai sifat yang ada padanya? Aku berdoa semoga hatiku ikhlas berubah kerana Allah.


Aku masih belum faham dengan perasaanku, aku gembira bila melihatnya walaupun dari jauh. Tanpa aku sedari lahir perasaan sayang dari hatiku. Aku cuba menafikan perasaan itu. Aku menelefon sahabatku dan bertanya kepada mereka. Mereka kata aku dilamun cinta. "Ah, tak mungkinlah" aku tetap menafikan hatiku. Sahabatku ingin tahu siapa lelaki yang membuatkan aku jatuh hati. Ya, selama aku hidup tak pernah aku menyukai mana-mana lelaki.


Mungkin kerana itu mereka ingin tahu lelaki yang telah mencuri hatiku. Arif mempunyai ciri-ciri lelaki yang selama ini aku cari. Dia seorang yang pendiam, paras rupa yang tenang dan bersahaja, dan yang paling penting cukup solat lima waktu seperti yang dipesan oleh nenekku. Mulalah aku terbayang-bayang hidup aku akan ada lelaki yang mengimami aku bersolat, mengajar aku mengaji, dan membimbingku ke arah kebaikan. Tapi aku rasa berdosa menyayanginya kerana dia telah mempunyai calon pilihan hatinya sendiri.


Aku tidak pernah menyalahkan Arif kerana dari awal lagi dia sudah memberitahuku tentang calon pilihannya itu. Aku serba salah. Aku sedar, aku bukanlah di kalangan perempuan-perempuan baik yang layak untuk Arif. Mungkin aku diberikan tuhan satu lagi ujian. Berat aku merasakannya. Mengapa hidupku ini sentiasa diuji?


Ujian itu didatangkan kerana dua sebab. Pertama, sebagai ujian dari Allah dan yang kedua sebagai penghapus dosa kita. "Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui."


Ayat-ayat yang Arif katakan kepadaku ini antara yang menjadi penguat semangatku untuk aku meneruskan hidup. Dialah orang yang banyak menasihatiku dan dialah juga tempat aku mengadu segala-galanya. Adakah salah perasaan yang hadir dalam hatiku ini? Aku cuba menghalang perasaanku ini dari menguasai hatiku, tetapi aku tidak mampu. Ya Allah berikanlah hambamu ini kekuatan. Kurasakan amat berat ujian dari-Mu Ya Allah.


Arif yang membaca helaian kertas itu melipat kemas dan dimasukkan semula ke dalam sampulnya. Termenung panjang Arif usai habis dibacanya surat itu. "Cik Mimi meninggal dunia kerana pendarahan di dalam otak dan sebelum dia meninggal dunia dia ada membuat wasiat", kata Encik Hakim, seorang peguam yang menguruskan bahagian surat wasiat. "Wasiat?" Arif bertanya kehairanan. "Cik Mimi mahu hartanya dibahagikan dua. Satu bahagian hartanya untuk Encik Arif dan satu lagi bahagian untuk di sedekahkan kepada badan kebajikan. Surat yang Encik Arif baca itu juga merupakan salah satu dari wasiat Cik Mimi," jelas Encik Hakim dengan ringkas.


Arif masih kebingungan. Tiada apa yang mampu diberi olehnya selain fatihah buat roh Mimi. Semoga roh Mimi tenang disisi-Nya.





Nukilan:
Azinuddin Muhammad Bin Zainudin
PISMP Pengajian Melayu Semester 2/2010
IPG Kampus Sultan Abdul Halim, Sg Petani Kedah.