Santapan Rohani


Random Hadith Widget

Friday, December 30, 2011

Tunangku... Perlukah Kita Bertunang?

Kahwin 2013?

Ya, Pakar Cinta agak tidak seronok apabila mendengar berita seorang kenalan yang mahu bertunang tahun ini tetapi hanya mahu berkahwin 2 tahun akan datang. Mungkin dia ada alasan sendiri, tetapi perlukah sehingga meletakkan target sebegitu jauh?

Itu mungkin salah satu dari ribuan kisah lain yang sudah menjadi kebiasaan berlaku dalam masyarakat kita. Seronok mahu bertunang, tetapi takut untuk berkahwin.

Lalu tarikh berkahwin sebolehnya dilontar jauh-jauh ke hadapan.

Pakar Cinta mahu bercakap secara ringkas tentang pertunangan. Selepas anda membaca artikel ini, mungkin anda boleh fikirkan kembali tindakan mana yang lebih tepat untuk anda lakukan dengan merujuk kepada situasi masing-masing.



BERTUNANG

Hukum bertunang disebut oleh para ulamak sebagai SUNAT, meskipun ada juga ulamak yang menghukumnya sebagai HARUS. Bermakna, amalan tersebut digalakkan di dalam Islam demi mencapai Maqasid (tujuan) yang tertentu.

Apabila kita melihat kepada hukum, maka kita juga perlu meneliti kepada maqasid ataupun hikmah di sebalik hukum tersebut. Dari situ, barulah kita akan jelas dengan apa yang perlu kita lakukan.

Bertunang, ada tujuan dan hikmahnya yang tersendiri. Antara tujuannya adalah supaya kedua-dua pasangan boleh mengambil sedikit masa untuk bersedia (mental dan fizikal) serta mengambil peluang untuk mengenali antara satu sama lain, sebelum melangkah ke alam perkahwinan.

Antara lain, tujuan bertunang itu juga adalah supaya keluarga kedua-dua belah pihak dapat membina hubungan sebelum bergelar besan. Kita selalu dengar orang tua-tua menyebut; apabila kita berkahwin, kita bukan berkahwin dengan lelaki atau wanita itu sahaja, tetapi kita juga ‘berkahwin’ dengan keluarganya sekali.

Bermakna, proses ta’aruf itu sangat penting. Sebab itu, dalam misi mahu bertunang ini, apabila seorang lelaki sudah bertekad mahu mengambil wanita itu menjadi isterinya, maka dia diharuskan untuk melihat wajah dan tangan wanita tersebut.

Dalam hal ini, tiada istilah ‘malu-malu’ atau ‘aurat’. Semua itu, tujuannya adalah supaya si lelaki beroleh momentum tersendiri untuk menuju perkahwinan.



BAGAIMANA PERTUNANGAN BERLAKU?

Pertama sekali, kita perlu membezakan antara amalan dalam masyarakat yang dipanggil sebagai ‘uruf (adat) dan juga konsep sebenar amalan tersebut mengikut syarak. Dalam bab pertunangan, ia tidak berhajat kepada majlis besar-besaran atau hebahan seumpama mahu bernikah. Ia juga tidak memerlukan kepada hantaran, dulang-dulang dan sebagainya.

Pertunangan itu secara mudahnya adalah lamaran seorang lelaki ke atas seorang wanita untuk dijadikan isterinya. Sebagai contoh:

Ali: Saya sudah membuat keputusan dan berfikir masak-masak, saya mahu melamar awak untuk dijadikan isteri saya serta ibu kepada anak-anak saya nanti.

Fatimah: Saya terima dengan hati yang terbuka dan semoga Allah permudahkan urusan kita.

Itu contoh bagaimana pertunangan berlaku. Tetapi perlu diperhatikan juga beberapa perkara: Antaranya , wanita tersebut perlulah seorang yang sudah matang dan berkelayakan untuk membuat keputusan.

Kalau masih dirasuk jiwa remaja dan angin cinta entah dari mana, maka jawapan dari si wanita atau si gadis dianggap tidak layak. Maka sebaiknya, melamarlah terus kepada bapa atau ahli keluarga si wanita tersebut, jika benar-benar ikhlas dan serius.

Apabila lamaran diterima, maka mereka berdua dianggap sah menjadi tunangan masing-masing, samada diketahui orang ataupun tidak, dan si lelaki atau wanita tidak boleh dipinang lagi oleh orang lain selagi mana ikatan pertunangan itu masih berlangsung.

Ini kerana ia merupakan ‘perjanjian’, maka ia perlu dijaga sebagai satu amanah dan tidak boleh dikhianati. Kerana itu, Nabi s.a.w mengharamkan pinangan atas pinangan.




MASALAH DALAM PERTUNANGAN :

(1) Bercouple

Sebenarnya, terlalu banyak masalah yang berlaku melibatkan hal ehwal pertunangan ini. Pakar Cinta pernah menulis salah satu masalahnya ialah bertunang tetapi bercouple. Sedangkan hakikatnya, dalam pertunangan si lelaki tidak ada hak langsung ke atas si wanita melainkan ikatan atau ‘perjanjian’ tersebut sahaja.

Tetapi dalam bab keluar bersama-sama tanpa mahram, berdua-duaan dalam kereta, keluar pagi balik petang, menghantar mengambil dari tempat kerja, tinggal bersama-sama dan segala jenis perbuatan seumpama itu yang lain, maka hukumnya adalah HARAM.

Anehnya, masih ramai yang menyangka diri mereka mempunya hak ke atas tunangan masing-masing, sehingga kehidupan mereka tidak ubah seperti suami isteri walaupun masih belum berkahwin.

Ibu bapa pula ramai yang menjadi dayus dengan membiarkan sahaja anak gadis mereka keluar berduaan bersama tunangan masing-masing dengan alasan ‘mereka sudah bertunang’.

Sedangkan dalam tempoh bertunang itu, si gadis masih berada di bawah tanggungjawab walinya, justeru tindakan membiarkan si gadis tenggelam dalam maksiat itu adalah tindakan tidak bermaruah dan walinya dikira sebagai dayus.

Sabda Nabi S.A.W. : “Orang dayus tidak akan masuk syurga.”


(2) Tempoh

Seperti yang Pakar Cinta sebutkan di awal artikel ini, terlalu ramai orang yang bermudah-mudah dalam bab pertunangan tetapi tidak serius dalam misi mahu berkahwin.

Keadaan ini bertambah buruk apabila keluarga masing-masing terlalu mendewa-dewakan adat ataupun membesarkan-besarkan perkara materialistik sehingga mengabaikan nilai beragama dalam diri anak masing-masing.

Mereka sudah suka sama suka, keluarga juga sudah berkenan, lalu diatur majlis pertunangan. Tempoh bertunang diletak sehingga 3-5 tahun semata-mata beralasan supaya mereka bersedia, ada kerja, ada rumah, ada kereta dan sebagainya.

Lalu dalam tempoh tersebut, anak masing-masing dibiarkan berhubung sebagaimana layaknya pasangan bercinta- atas alasan supaya lebih kenal mengenali- dan dibiarkan keluar ke mana sahaja yang mereka suka atas alasan supaya membina rasa tanggungjawab dan persefahaman.

Lebih parah, ada juga ibu bapa yang langsung tidak risau kiranya anak mereka itu terjatuh ke kancah zina, kerana beralasan ; mereka sudah bertunang dan akan datang pun, tetap juga menjadi suami isteri. Sesungguhnya, amat tebal kejahilan mereka tentang qadha’ qadar dan percaturan daripada Allah.

Tanya kembali kepada diri, adakah itu maqasid/ tujuan / hikmah Allah mensyariatkan pertunangan? Supaya berlaku zina? Mukaddimah zina? Boleh bercinta sebebas-bebasnya? Boleh berduaan ke mana suka? Boleh lakukan apa sahaja?


(3) Jahil atau Tidak Serius

Mereka tidak tahu kenapa mereka bertunang. Sama juga isunya, lelaki dan wanita bertunang atau mahu bertunang, tetapi langsung tidak mengambil berat kenapa mereka bertunang. Adakah hanya semata-mata suka? Adakah hanya semata-mata mahu ‘chop’ si gadis dari disambar orang lain?

Bahkan tidak pelik, terlalu ramai orang yang bertunang tetapi masih tidak tahu hukum berkahwin padanya itu samada wajib, sunat ataupun makruh. Isu kahwin enggan difikir, lantaran merasa ‘selesa’ dengan tempoh bertunang yang sebegitu lama. Seronoklah masing-masing bermain cinta, dengan menggunakan ‘tiket agama’!

Akhirnya Syaitan mendominasi rasa, terbuai hanyut entah ke mana, lalu jadilah mereka mangsa kepada nafsu durjana. Rasa bersalah mula mengisi jiwa, perasaan terhadap pasangan mula hambar tidak seperti mula-mula, akhirnya dengan mudah mengungkap kata ; awak, baik kita putus tunang saja.

Masa bercinta semuanya indah belaka, bila sampai bab tanggungjawab semua benda jadi keruh belaka. Alasannya ; masih belum puas enjoy zaman remaja!


(4) Putus Tunang

Mengapa saya sebutkan ini sebagai salah satu masalah dalam pertunangan? Sebab fenomena malang inilah yang seringkali berlaku kepada pasangan yang bertunang akibat daripada :

1- Tidak faham mengapa mereka bertunang.

2- Tidak menjaga ikhtilat (perhubungan) semasa bertunang.

3- Tidak benar-benar ikhlas dan serius mahu bernikah.

4- Tempoh bertunang yang terlalu lama.

Cuba anda fikir, dalam bab putus tunang ini sahaja, berapa banyak malapetaka yang berlaku?

Malapetaka pertama , sudah tentulah isu perasaan. Kecewa, tertekan, putus asa dan malu, lebih-lebih lagi kalau bertunang riuh sekampung. Malapetaka kedua, tertutup ruang dan peluang bagi lelaki yang lain untuk masuk melamar si wanita.

Contoh situasi yang banyak berlaku:

Bertunang 5 tahun. Tahun pertama ok, tahun kedua mula ada masalah sikit, tahun ketiga mula rasa hambar. Belum sampai tahun kelima.

Dalam tempoh tersebut, katakan si wanita benar-benar mahu berkahwin. Dia sudah betul-betul bersedia untuk menjadi isteri orang dan dia juga benar-benar tidak suka dengan ikhtilat yang tidak terjaga dalam tempoh bertunang.

Tetapi apabila diajak berbincang untuk mempercepatkan pertunangan, si lelaki berdolak dalih dengan pelbagai alasan. Tidak bersedia, mahu kukuhkah ekonomi, perlu fokus kerja dan macam-macam lagi.

Akhirnya si wanita terpaksa menunggu dan terus menolak lamaran demi lamaran dari lelaki lain dalam tempoh tersebut, semata-mata kerana statusnya yang sudah bertunang.

Masuk tahun keempat, si lelaki terjatuh hati dengan wanita lain. Berlaku konflik antara mereka dan si lelaki dengan mudahnya memutuskan pertunangan. Jadi siapa yang merana?

Itu satu contoh malapetaka yang seringkali berlaku dalam bab pertunangan, di mana punca terbesarnya adalah faktor MASA.



JIKA DILAMAR

Saya mahu sebutkan beberapa perkara kepada wanita terutama yang belum dilamar.

Pertama : Anda mempunyai nilaian yang mahal. Mahal anda bukan kerana rupa, tetapi kerana agama dalam diri anda. Akhlak, peribadi, budi bahasa dan kebaikan yang ada pada diri anda adalah satu ‘seni’ paling unik yang sekaligus menjadikan anda punya nilai yang mahal.

Kedua : Disebabkan anda mahal, jangan beri peluang untuk lelaki ‘murah’kan anda. Caranya, jangan buka hati kepada lelaki murahan. Lelaki murahan itu bagaimana?

Antaranya lelaki yang hanya tahu bermadah cinta, tetapi langsung tidak dewasa (tidak matang), lelaki yang hanya mahu suka-suka tetapi tidak serius mahu memimpin kita (menjadikan isteri) dan lelaki yang mudah mengajak kita bertunang tetapi begitu susah mengajak kita berkahwin.

Ketiga : Anda sesungguhnya tidak tahu siapakah lelaki yang terbaik untuk anda. Tetapi DIA Maha Tahu. Jadi, apabila anda telah bersedia untuk menjadi suri kepada seorang lelaki, mohonlah pada DIA lelaki yang terbaik untuk anda.

Jangan ikat diri anda dengan seorang lelaki yang sengaja ‘menyimpan’ anda lama-lama, kerana anda sendiri tidak tahu adakah lelaki itu benar-benar bakal menjadi suami anda ataupun tidak. Terlalu banyak tragedi sekeliling anda yang boleh dijadikan iktibar.

Keempat : Bincang dengan mak dan ayah, jika seorang lelaki masuk melamar atau mahu bertunang, tempohnya hendaklah tidak lebih dari setahun. Ini pendapat peribadi saya sahaja. Saya merasakan, pertunangan dalam tempoh yang lama itu lebih banyak membawa mudharat dari manfaat.



KESIMPULAN

Bertunang itu maqasidnya jelas, maka fokuslah kepada maqasid tersebut. Jangan jadikan pertunangan sebagai tiket untuk melambat-lambatkan pernikahan sekaligus melengah-lengahkan masa untuk memikul tanggungjawab.

Jangan ambil kesempatan bertunang untuk bermain cinta, kerana sesama tunang tidak ada bezanya dengan bukan tunang. Kalau perlu kepada bertemu atau berbincang, bawalah mahram bersama.

Tetapi praktikalnya, mungkin terlalu jarang berlaku di mana tunangan keluar dengan membawa ayah atau abang mereka bersama. Mereka kononnya mahukan privacy. Akhirnya, privacy makan diri.

Justeru, timbang-timbangkanlah segala perkara yang disebutkan ini dan tanyalah kembali kepada diri masing-masing, perlukah anda bertunang? Jika perlu, kenapa ? Kemudian, berapa lama? Kemudian, adakah target untuk bernikah benar-benar telah menjadi fokus utama?

Buatlah keputusan yang terbaik untuk diri dan agama, juga untuk masa depan anda di akhirat sana.

Dipetik dari sini.

5 Tips Menjaga Rumahtangga dan Perkahwinan

Usia perkahwinan sudah lebih tiga puluh tahun. Mereka sudah punya tiga orang cucu. Namun si isteri meluahkan rasa hatinya dengan berkata, “saya sudah letih berdepan dengan kerenah suami.

Sikap sambil lewanya sangat memeningkan kepala. Saya benar-benar berada di persimpangan, ingin minta agar perkahwinan ini dibubarkan atau meneruskannya. Apa pandangan saudara?”

“Teruskan perkahwinan,” jawab saya dengan pasti. Saya teringat ungkapan lama yang menjadi pegangan diri sejak dahulu.

Ungkapan itu berbunyi: “Jika sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan. Tetapi jika jalan sudah benar namun pelbagai masalah menghalang, jangan berpatah balik, teruskan perjalanan!”

“Mengapa pula?” tanya si isteri.

“Jika puan boleh sabar selama 30 tahun, hanya ada beberapa tahun sahaja untuk terus bersabar. Umur kita tidak lama. Sabarlah dalam bersabar. Yang penting cubalah positifkan pemikiran dan perasaan. Puan di jalan yang betul, cuma rintangannya ada. Puan mesti atasi dan teruskan perkahwinan ini. ”

“Saudara cakap senang tetapi bagaimana hendak terus positif jika dia terus bersikap negatif?”

Saya senyum. Ya, tulisan kali ini saya tujukan untuknya dan untuk saya juga serta untuk kita semua. Sebenarnya pemikiran yang betul adalah syarat untuk kita bersikap positif. ‘Right mental attitude’ sangat penting dalam melayari bahtera rumah tangga.

Sikap yang betul perlu untuk menghadapi cuaca rumah tangga yang tidak menentu. Bagaimana untuk tenang dan bahagia di dalam diri tidak kira apa yang sedang dihadapi di luar diri kerana apa yang lebih utama ialah ‘what happens in you’ bukan ‘what happens to you.’

Untuk mengekalkan cinta perlu ada sikap positif. Tanpa sikap yang positif, cinta akan terbarai dan kebahagiaan akan berkecai.



Berikut adalah beberapa langkah praktikal untuk membina pemikiran yang positif seterusnya membentuk sikap yang positif:

1.) Fokus pada tanggung jawab, bukan menuntut hak.

Punca hati tidak tenang dan hilang kebahagiaan dalam hidup kebanyakannya manusia ialah perjuangannya untuk mendapatkan hak. Manusia sering marah dan mengeluh dengan berkata, “aku sepatutnya tidak dilayan begini.”

Dalam kebanyakan situasi, kita sering tidak mendapat apa yang kita jangkakan dan harapkan. Betul bukan? Selagi kita hidup kita akan alami pelbagai situasi yang mana susu yang kita berikan tetapi tuba kita terima sebagai balasannya.

Di dalam rumah tangga jangan mengharapkan kesempurnaan pada pasangan kita. Bunga yang kita berikan, jangan mengharap bunga sebagai balasannya. Tetapi apakah kerana tidak mendapat balasan lalu kita berhenti menghulurkan kebaikan?

Jangan! Fokus pada tanggung jawab – sebagai suami atau isteri kita dituntut oleh syariat untuk melaksanakan tanggung jawab. Tunaikan hak pasangan kita itu lebih utama daripada kita menuntut hak kita. Ah, apakah ini bererti kita akan terus menjadi mangsa?

Jawabnya, tidak. Kita akan lebih tenang, percayalah. Adalah tidak bijak untuk terus membuang masa dan tenaga memikirkan tentang apa yang sepatutnya berlaku berbanding apa yang perlu dan patut kita lakukan?

Ramai orang terseksa dengan kekecewaan dan geramkan pasangannya yang sepatutnya berbuat begini atau begitu… Pada hal, pemikiran yang negatif itu akan memburukkan lagi keadaan. Yang penting fokus kepada apa yang aku boleh lakukan untuk melaksanakan tanggung jawab ku.

Katalah dalam satu pertelingkahan dan kita berada di pihak yang betul dan benar, itu pun bukan jaminan untuk kita dimenangkan dan dibenarkan. Acap kali pihak pasangannya kita terus berusaha menegakkan benang yang basah.

Apatah lagi bila egonya tercabar. Lalu sikap kita bagaimana? Jangan berterusan menuntut hak. Jangan memendam rasa dengan mengecam bahawa keadaan itu tidak adil.

Ingatlah, berterusan memperjuangkan kesempurnaan dalam dunia (termasuk rumah tangga) yang tidak sempurna ini hanya akan menjerumuskan kita ke lembah dendam, marah, kecewa dan kemurungan.

Rasa-rasa yang negatif ini akan ‘menyedut’ tenaga, keceriaan dan akan menyebabkan kedutan pada wajah kita. Kesannya, kita akan ditarik ke belakang. Malah kita akan ditolak ke lorong yang salah dalam kembara kehidupan yang penuh ujian ini.

Untuk bergerak ke hadapan dan terus memburu kemajuan dalam diri agar lebih bahagia dan tenang dalam hidup… kita perlu tinggalkan segala keegoan, kepentingan, ketakutan dan sikap tidak memaafkan.

Semua itu hanya boleh dicapai apabila kita fokus kepada tanggung jawab dan selalu berfikir tentang apa yang perlu aku lakukan berbanding dengan apa yang sepatutnya dia (pasangan kita) lakukan.

Tumpukan kepada apa yang boleh kita kawal, yakni tanggung jawab kita bukan pada sesuatu yang di luar kawalan kita yakni hak kita yang ada pada kawalan pasangan kita.

Ironinya, mereka yang berjaya melaksanakan tanggung jawab dengan baik sering mendapat haknya sebagai balasan. Dan kalau mereka tidak mendapat balasan daripada pasangannya pun, Allah akan memberikan ketenangan dalam hati mereka seperti mana ketenangan yang dirasai oleh Siti Asiah isteri kepada Firaun.

2.) Sering berdamping dengan orang yang positif.

Siapa kita lima tahun akan datang dicorakkan oleh dengan siapa kita bergaul dan buku apa yang kita baca. Begitu ditegaskan oleh orang bijaksana. Dengan siapa kita meluangkan masa kita sangat menentukan sikap kita. Kata pepatah, burung yang sama bulu akan terbang bersama. Rasulullah s.a.w menegaskan, agama seseorang ditentukan oleh temannya.

Justeru, berhati-hatilah memilih orang untuk kita dampingi. Jauhkan ‘toxic people’ yang sering menusuk jarum-jarum umpatan, adu domba dan rasa pesimis dalam melayari kehidupan berumah tangga. Pernah kita jumpa orang yang sentiasa mengeluh?

Asalkan berjumpa sahaja mulalah dia mengeluh tentang badannya yang tidak sihat, dia sering ditipu, dia dilayan dengan buruk sampailah ke rumahnya yang sempit… Apa yang anda dapat daripada orang yang begini?

Oleh itu jika jiran, teman atau kenalan kita ialah dia yang tidak ‘melahirkan’ sesuatu yang baik dan positif daripada diri anda, mengapakah tidak kita buat sedikit perubahan atau penyesuaian?

Kita berhak untuk meletakkan satu jarak yang agak jauh untuk tidak dijangkiti oleh sikap negatifnya. Ingat, teman rapat kita ialah mereka yang membantu kita mengeluarkan yang terbaik dari dalam diri kita.

Kaki umpat, mengeluh dan menghasut hakikatnya bukan sahabat kita walaupun kelihatan dia baik dengan kita! Ingat pepatah Melayu lama – sokong yang membawa rebah.

3.) Jadikan sekarang masa paling gembira.

Jika orang bertanya bilakah masa yang paling gembira dalam hidup berumah tangga kita, jawablah, “sekarang!” Usah berpaling ke belakang dengan mengatakan semasa mula-mula kahwin dahulu atau melangkau ke masa hadapan dengan berkata, “bila anak-anak sudah besar dan hidup lebih stabil.” Dengan berkata demikian kita telah ‘membunuh’ potensi hari ini.

Ya, memang kita mula-mula kahwin dahulu kita gembira, tetapi rasa gembira itu hanya pada waktu itu. Dan waktu itu telah berlalu. Kita hanya hidup pada masa ini bukan pada masa lalu.

Justeru, jadikanlah masa ini masa yang paling gembira. Hiduplah untuk hari ini kerana semalam sudah berlalu dan hari esok masih belum tentu. Inilah yang dipesankan oleh Rasulullah s.a.w, jika kamu berada pada pagi jangan menunggu waktu petang dan begitulah sebaliknya.

Kita hanya akan meletihkan diri sendiri jika cuba hidup dalam tiga masa – semalam, hari ini dan esok!

Jangan biarkan tragedi masa lalu menyengat kita berkali-kali dengan mengenangnya selalu. Sebaliknya, carilah pengajaran yang kita dapat daripadanya dan selepas itu terus lupakan.

Juga jangan sentiasa diingat-ingat saat gembira masa lalu kerana itu hanya memori dan itu bukan lagi realiti yang sedang kita hadapi masa kini. Sebaliknya, carilah apakah ‘resipi’ yang menghasilkannya dahulu dan mari dengan itu kita ciptakan kegembiraan baru hari ini!

4.) Cari jalan untuk mengatasi stres.

Stres akan menyebabkan keletihan dalam pemikiran dan perasaan yang lama-kelamaan akan membentuk sikap yang negatif. Oleh itu para suami atau isteri mesti menemukan cara untuk mengawal stres.

Antara kaedah terbaik ialah dengan melakukan aktiviti fizikal, hobi atau minat kita. Boleh jadi dengan berkebun, menenun, membaca, berjoging atau bersukan. Lepaskanlah geram, kecewa dan marah kita kepada aktiviti yang menyihatkan dan menceriakan.

Jangan tahan jika anda hendak ketawa, berlari atau melompat sepuas-puasnya. Bebaskan diri daripada belenggu tekanan dan masalah yang menghantui hidup anda.

Dengan aktiviti yang aktif dan perlakuan yang memerlukan konsentrasi mental, fikiran, jiwa dan emosi kita akan melalui tempoh ‘pause’ atau istirehat. Lupakah kita bahawa Rasulullah saw berlumba lari dengan isterinya?

Ini akan memberi kekuatan untuk kita meneruskan kehidupan dengan lebih baik. Kita akan dapat melupakan seketika masalah yang kita hadapi… bukan untuk eskapisme tetapi untuk kembali menanganinya semula apabila jiwa kita segar, fikiran kita tenang dan emosi kita telah kembali stabil.

5.) Jangan terlalu serius.

Kehidupan berumah tangga ialah sesuatu yang serius tetapi perlu dijalani dengan tidak terlalu serius. Jalanilah kehidupan dengan sedikit gurau senda dan berhibur. Siti Aishah pernah meletak dagunya di bahu Rasulullah s.a.w untuk melihat tarian orang Habsyah.

Hiburan umpama garam dalam masakan. Tidak perlu terlalu banyak, tetapi cukup sekadar keperluan untuk memberi rasa yang enak. Ya, sedangkan Rasulullah s.a.w lagikan bergurau dengan isteri-isterinya, mengapa kita tidak?

Memang banyak perkara yang penting dan kritikal perlu kita selesaikan, tetapi itu tidak menghalang daripada kita berjenaka dan bergurau senda seadanya dengan pasangan kita.

Insya-Allah dengan unsur-unsur humor dalam rumah tangga kita, hubungan kita suami isteri akan lebih kukuh dan kita akan mampu bergerak lebih jauh untuk menghadapi cabaran dalam rumah tangga.

Ternyata mereka yang menangani kehidupan dengan ceria menjadi individu yang lebih berjaya menyelesaikan konflik dalam berumah tangga seterusnya membina rumah tangga bahagia.

Apabila rumah tangga kelihatan malap atau ‘sindrom bisu’ mula melanda, cepat-cepatlah ubah suasana luaran itu dengan mengubah suasana dalaman kita dengan empat cara yang dicadangkan ini.

Insya-Allah, yang penting bukan apa yang kita lihat tetapi bagaimana kita melihatnya. Orang yang positif akan sentiasa melihat sisi positif pada pasangan dan keadaan yang sedang dihadapinya…

Mereka sahaja yang layak bahagia kerana sentiasa berfikir untuk membahagiakan orang lain. Sebaliknya orang yang negatif, hanya akan menyeksa dirinya dan membosankan pasangan hidupnya!

Kesimpulannya, bersangka baiklah walaupun kekadang keadaan tidak sebaik yang kita sangkakan. Bukan menafikan realiti, tetapi demi ketenangan hati. Orang yang buruk sangka akan tersiksa dua kali, pertama oleh sangkanya atas keburukan yang belum terjadi. Kedua, oleh derita hatinya apabila yang buruk itu telah benar-benar terjadi.

Apabila kita bersangka baik, hati akan menjadi lebih tenang. Kita punya tenaga dan upaya untuk menghadapi ujian hidup apabila kita hadapinya dengan tenang. Ya, mungkin kita tidak mampu mengubah keadaan, tetapi sekurang-kurangnya kita punya kekuatan untuk menghadapinya.

Pada hal yang buruk dan sukar itu kekadang hanya seketika, atau boleh jadi yang buruk itu… tidak buruk sama sekali. Ada hikmah yang tersirat di sebaliknya. Ada kebaikan yang tersembunyi di belakangnya.

Begitulah hidup… satu siri misteri yang tidak dapat ditebak dan diduga. Pernah kita membayangkan suami atau isteri kita yang ada ini sebelum ini? Kebanyakkannya tidak! Bercinta dengan orang lain, berkahwin dengan orang lain. Itulah misterinya takdir…

Apa yang perlu kita lakukan… bersyukur dengan apa yang ada. Bila bersyukur Allah tambah nikmat. Bersyukurlah dengan pasangan yang ada, Insya-Allah, Tuhan akan menambah kebahagiaan kita.

Kalau dia tidak berubah perangai, kita pula yang Allah kurniakan kesabaran untuk menghadapi karenahnya. Itu juga satu anugerah bukan? Ya, kata bijak pandai, “jangan minta hidup yang mudah tetapi pintalah hati yang tabah untuk menghadapinya!”

Dipetik dari sini.