Santapan Rohani


Random Hadith Widget

Monday, August 27, 2012

Sketsa Di Hari Raya

Sketsa raya : Pak cik / Mak cik hulur tangan? Kita nak buat apa?

Pernah tak alami keadaan ini? Mesti pernah kan? Tambah-tambah lagi waktu perayaan macam ni. Memang agak sukar untuk 'lari', pasti ada sahaja tangan yang terdahulu dihulur apabila berkunjung ke satu-satu rumah.

Bagi mereka yang faham, Alhamdulillah. Mereka tahu kenapa kita tidak menyambut huluran tangan untuk bersalam. Namun, bagi mereka yang kurang dan tidak faham, rasa bersalah menyusup di hati kita. Bimbang tindakan kita - tidak menyambut huluran tangan akan menjatuhkan air muka mereka. Lebih-lebih lagi pada mereka yang sebaya ibu ayah kita.

Maka, perlu bagi kita untuk bijak 'banyak' dalam menguruskan hal ini.

Sebelum menghulur atau membalas huluran tangan ketika hendak bersalaman, perlu untuk kita tahu dan selidiki dahulu. Siapa yang boleh kita bersentuhan dengannya? Adakah dia mahram atau tidak kepada kita? Dalam hadis Rasulullah SAW, baginda bersabda yang berbunyi:-

"Bergerombolan dengan babi (khinzir) itu adalah lebih baik berbanding dengan bersentuhan(secara sengaja) dengan wanita yang bukan mahramnya."
(Riwayat Ibnu Majah)

Justeru, siapa pula yang dikatakan golongan mahram kepada wanita? Hanya mereka yang Mahram sahaja yang diperbolehkan untuk melihat aurat sepertimana yang terkandung di dalam Al-Quran, surah An-Nur ayat 31. Mereka ialah:-

1. Suami

2. Bapa sendiri ( bapa kandung)

3. Bapa suami (bapa mertua)

4. Anak lelaki

5. Anak lelaki suaminya (anak tirinya atau anak isteri lain bagi suaminya sama ada isteri itu masih hidup atau telah bercerai atau meninggal) tetapi bukan anak dari bekas isteri suaminya dengan suami yang lain yang dikahwininya setelah bercerai dengan suaminya.

6. Saudara lelaki (adik atau abang seibu sebapa atau seibu sahaja atau sebapa sahaja).

7. Anak lelaki kepada saudara lelaki (anak saudara)

8. Anak lelaki kepada saudara perempuan (anak saudara)

9. Wanita Islam yang berakhlak.

10. Hamba lelaki yang mereka miliki

11. Pelayan lelaki (khadam) yang sudah tidak ada syahwat kepada wanita.

12. Kanak-kanak lelaki yang bukan mahram yang belum mengerti tentang aurat wanita (belum mumayyiz).

13. Anak lelaki susuan.

14. Bapa susuan.

15. Saudara susuan.

16. Bapa saudara sususan, datruk saudara susuan hingga ke atas, dan anaksaudara susuan hingga ke bawah.

17. Menantu lelaki.


Teringin untuk share sedikit tip cara-cara yang boleh dibuat untuk berhadapan dengan situasi begini berdasarkan pengalaman sepanjang open house di rumah.

1. Jadi orang pertama menghulur salam
Cepat-cepat dapatkan mak cik dan golongan perempuan untuk yang perempuan / pak cik dan golongan lelaki untuk yang lelaki
-Perkara ini memang susah juga nak buat kerana jika satu rombongan datang, selalunya yang mengetuai rombongan tersebut adalah lelaki. Bagi lelaki, mudah diurus. Bagi perempuan kita kena guna taktik sikit.

Sebelum pak cik/ abang sepupu/ kawan lelaki sempat hulur tangan mereka, kita cepatkan langkah mendekati mak cik/ saudara perempuan yang lain. lepas tu, cepat-cepat bawa mereka masuk ke rumah. Jangan biarkan ada ruang kita bersendirian kerana boleh saja akan membuka peluang untuk mereka (lelaki) menghulurkan tangan.

Jika perlu, buatlah diri seakan-akan sibuk, agar mereka tiada ruang untuk bersalaman dengan kita.

2. Cari piring/ gelas yang kotor bawa ke dapur dan basuh
- Kadang- kadang cara pertama tidak sesuai dengan kita atau walau kita rancang namun tetap tidak berkesan. Maka, perlu juga bagi kita plan B. Jika kita rasa kita tidak cukup kuat untuk lakukan strategi nombor 1, maka, gunakanlah cara lain iaitu cepat-cepat cari piring/gelas kotor untuk dibasuh.

Sekiranya tidak ada yang kotor pun, bawa saja ke dapur. Nampakkan diri kita sibuk. Sekiranya mereka datang untuk bersalam, katakanlah tangan kita bersabun dan kita nak basuh piring/gelas dulu. Mudah-mudahan dengan cara itu, mereka akan akur dan niat bersalam mungkin tidak kesampaian kerana mereka sibuk menjamu selera selepas tu.

3. Bagi alasan kita ada wudhu dan nak sembahyang
- Rasanya, cara ni pun susah nak buat sebab nanti mesti mereka kata kita boleh ambil wudhu lagi. Tapi dalam hal ni kita kena tegas. Memang perlu untuk kita menghormati orang yang lebih tua. Apalagi jarang berjumpa, pasti mereka rasa kecil hati kalau kita menolak terang-terangan.

Apapun, kita kena balik pada hukum Allah. Pada yang haram tetap kekal pada hukumnya selagi mana tiada yang menghalalkan. Oleh tu, cuba saja menggunakan cara ini dengan senyuman yang lebar di bibir dan tidak menunjukkan sebarang reaksi yang kurang selesa. kalau mereka mempertikaikan lagi, kita cepat-cepat minta untuk beredar dari sana dengan alasan kita nak solat dulu sebab takut lebih lama kita berdebat, silap haribulan timbulnya pergaduhan.

4. Minta bantuan adik/ kakak/ abang
- Cara ni kena minta persetujuan kedua-dua pihak. sebelum tetamu datang, berbincang dengan adik beradik yang lain. Bagi adik lelaki atau abang, kita boleh minta mereka untuk bersalam dengan para lelaki. Dan kita pula akan bersalam dengan tetamu perempuan sahaja.

Dengan cara ini, kita hendaklah perlu lebih peka. Jika kita nampak sahaja ada kawan perempuan yang mula mendekati adik/abang kita, cepat-cepat kita hulurkan tangan kepada mereka untuk mengelakkan mereka menyalam adik/abang kita dan terus membawanya jauh dari adik/abang kita. Demikian juga pada adik/abang kita perlunya kata dalam setiap situasi. Justeru komitmen yang tinggi dalam melakukan cara ini perlu ada agar tidak menimbulkan persepsi 'pelik' daripada para tetamu.

5. Pakai sarung tangan
-Sekiranya kesemua strategi di atas juga tidak berkesan, pakailah 'sarung tangan pencegah'. Mungkin tetamu akan rasa sedikit pelik, dan rasa janggal namun kita perlu lakukannya untuk elak kulit bersentuh kulit antara yang bukan mahram. Walaubagaimana pun pernah saya membaca, walau dengan memakai sarung tangan, tetap tidak boleh bersalam selagi kita dapat merasa bentuk tangannya.

6. Jangan tonjolkan diri terlalu kerap
- Bila orang selalu nampak kita, mereka akan rasa nak salam sebab rasa hormat mereka pada tuan rumah. Tapi, kita juga perlu bertanggungjawab atas diri kita. kita nak elak dosa, dan kita harap kita dapat selamatkan mereka juga. oleh itu, bagi yang perempuan jangan terlalu menonjolkan diri pada tetamu lelaki. banyakkan berkumpul dengan tetamu perempuan agar mereka tidak begitu perasan dengan kewujudan kita, sekaligus dapat elak risiko dilema menyambut huluran salam mereka.

7. Katakan 'tak nak' dan ucapkan maaf
- Cara ini memang nampak sedikit kurang sopan. Namun lebih baik daripada bersalam untuk elak dosa. Dan dalam masa yang sama kita juga nak selamatkan mereka. Jika kalau cara yang sebelum ini tak boleh pakai, teruskan saja dengan cara ke tujuh. Berterus terang bahawa dan ucapkan maaf serta terangkan kepada mereka asbab mengapa kita tidak dapat bersalam dengan mereka.

Maklumkan kepada mereka dengan ringkas bahawa perkara tu dilarang dalam agama islam. Bersuaralah dengan berhikmah dengan senyuman namun tetap tegas tanda adanya pendirian. Bukan untuk menyombongkan diri tapi kerana kita takut pada Allah, dan kita tidak mahu melanggar perintahNya.



Sesungguhnya hukum Allah tu bukannya bermusim. kita nak guna alasan 'tak apalah, waktu raya ni saja'. Alasan sebegini tidak dapat diterima. Cuba kita bayangkan, jika Allah gunakan cara tu ke atas kita macamana? Contohnya Allah bagi kita oksigen percuma waktu siang saja, dan malamnya Allah kenakan cas kalau kita nak dapatkan oksigen, pasti tak adil kan?

Oleh tu, yang haram tetap kekal pada hukumnya. Niat tidak menghalalkan cara dan masa juga keadaan tidak membetulkan yang salah. Nabi Muhammad pun tidak pernah menyentuh tangan mana-mana wanita yang bukan mahram walaupun semasa baiat. Maka mengapa pula kita perlu sentuh wanita/lelaki yang bukan mahram pada waktu raya pula? Bukan hanya waktu raya, hatta setiap masa tetap jangan!

Jaga lah diri kita baik-baik kerana ia adalah amanah Allah. Dengan cara itu Allah akan pelihara kita dan orang di sekeliling kita. Sesiapa yang menjaga hak Allah, maka Allah akan menjaga kita. Bukankah pada diri kita sendiri ada hak Allah yang perlu dijaga?

Dalam Hadits Ma'qil bin Yasar radhyillahu 'anhu, Rasulullah shallallaahu 'alaihi wasallam bersabda:-

"Andaikata kepala salah seorang di antara kalian ditusuk dengan jarum besi, itu lebih baik baginya daripada menyentuh wanita yang tidak halal baginya"
(HR Ath-Thobrany dan Al-Baihaqy dan dishohihkan oleh syeikh Al-Albany dalam Ash-Shohihah)
Sumber daripada iluvislam

Thursday, August 23, 2012

Apa Yang Terjadi Pada Tubuh Kita Setelah Dikuburkan?

Sesungguhnya mayat di dalam kubur akan melalui beberapa fasa perubahan. Berikut ini adalah fasa tersebut secara ringkas sejak malam pertama di alam kubur sehingga 25 tahun berikutnya.



Malam Pertama
Setelah dikuburkan, pembusukan bermula pada daerah perut dan kemaluan. Subhanallah, perut dan kemaluan adalah dua hal terpenting yang anak cucu Adam saling bergulat dan menjaganya di dunia. Setelah itu, jasad akan mula berubah menjadi hijau kehitaman. Setelah berbagai solekan dan alat-alat kecantikan semasa hayat di dunia, setelah meninggal dunia manusia hanya akan memiliki satu warna sahaja.

Malam Kedua
Anggota-anggota tubuh yang lain seperti limpa, hati, paru-paru dan lambung akan mula membusuk.

Hari Ketiga
Anggota-anggota tubuh mula mengeluarkan bau yang busuk.

Setelah Seminggu
Wajah dan mata mula membengkak.

Setelah 10 hari
Tetap terjadi pembusukan pada pada anggota-anggota tubuh.

Setelah 2 Minggu
Rambut mulai gugur. Lalat hijau mulai mencium bau busuk dari jarak 5 km dan ulat-ulat pun mula menutupi seluruh tubuh.

Setelah 6 Bulan
Semua anggota telah tiada yang tinggal cuma tulang rangka sahaja.

Setelah 25 Tahun
Rangka tubuh ini akan berubah menjadi semacam biji, dan di dalam biji tersebut, anda akan menemukan satu tulang yang sangat kecil disebut ‘Ajbudz Dzanab’ (tulang ekor), dari tulang inilah kita akan dibangkitkan oleh ALLAH SWT pada hari kiamat.


Sahabat-sahabat yang dirahmati ALLAH, inilah tubuh yang selama ini kita jaga.
Inilah tubuh yang kita berbuat maksiat kepada ALLAH dengannya.
Oleh kerana itu, janganlah biarkan umur dan jasad kita dalam keadaan sia-sia janji ALLAH adalah benar.

Ya ALLAH, Dzat yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-
MU. Ya ALLAH, jadikanlah kuburan kami sebagai satu taman dari taman-taman syurga dan jangan jadikan ianya sebagai satu lubang dari lubang-lubang api neraka.
Aaamiiin Ya Robbal Alamiiin.

Semoga bermanfaat bagi kita semua.

Wednesday, August 8, 2012

Pegang Quran Tanpa Wuduk dan Ketika Haid

Oleh: Ustaz Hafiz Firdaus

Antara soalan yang lazim dikemukakan oleh para muslimah adalah bagaimana mereka dapat memanfaatkan bulan Ramadhan apabila didatangi haid. Ini kerana apabila mereka didatangi haid, mereka tidak boleh berpuasa, tidak boleh bersolat – khasnya solat tarawih dan tidak boleh membaca al-Qur’an. Lalu apakah yang boleh mereka amalkan agar hari-hari Ramadhan tidak berlalu begitu sahaja ketika mereka didatangi haid?


Penulis menjawab, kalian boleh membaca al-Qur’an ketika haid. Jawapan ini secara automatis dibalas dengan soalan: “Bukankah wanita yang didatangi haid dilarang daripada memegang dan membaca al-Qur’an?” Soalan ini memerlukan jawapan yang panjang lagi mendalam. Berikut adalah jawapan penulis tentang hukum sebenar bagi wanita memegang dan membaca al-Qur’an ketika didatangi haid, sama ada di bulan Ramadhan atau selain Ramadhan.




Pertama: Hukum wanita yang didatangi haid memegang al-Qur’an.

Umumnya terdapat dua pendapat, yang pertama mengatakan tidak boleh manakala yang kedua berkata boleh. Pendapat yang pertama merujuk kepada firman Allah:

Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci. [al-Waqiah 56:79]

Diikuti dengan sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

Tidaklah menyentuh al-Qur’an dan tidak juga mushaf melainkan orang yang suci.[1]


Manakala bagi pendapat kedua, mereka berpegang kepada kaedah bahawa seseorang wanita yang sedang haid boleh melakukan semua perkara seperti biasa melainkan wujud dalil tepat (qathi) yang melarangnya. Dalam hal ini yang jelas dilarang adalah bersolat, berpuasa, melakukan tawaf dan bersetubuh. Adapun hukum memegang al-Qur’an, tidak ada dalil tepat yang melarang seseorang yang sedang haid daripada memegangnya.

Ayat al-Qur’an yang dijadikan rujukan oleh pendapat pertama adalah tidak tepat untuk dijadikan hujah kerana perkataan al-Mutatahharun sebenarnya merujuk kepada para malaikat sebagaimana yang boleh dilihat daripada keseluruhan ayat yang berkaitan:

Bahawa sesungguhnya itu ialah Al-Quran yang mulia, Yang tersimpan dalam Kitab yang cukup terpelihara, Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci; Al-Quran itu diturunkan dari Allah Tuhan sekalian alam. [al-Waqiah 56:77-80][2]



Berkata Ibnu Abbas radhiallahu 'anh, ayat “fii Kitabim-maknun” bererti di langit, yakni di al-Lauh al-Mahfuz manakala al-Mutatahharun adalah para malaikat yang suci.[3]

Justeru keseluruhan ayat sebenarnya menerangkan tentang kitab al-Qur’an yang sebelum ini tersimpan dalam al-Lauh al-Mahfuz, di sana ia tidak disentuh oleh sesiapa kecuali para malaikat sehinggalah ia diturunkan ke bumi kepada manusia.

Hadis yang dijadikan dalil melarang adalah juga tidak tepat sandarannya kerana perkataan al-Taharun yang bererti suci adalah satu perkataan yang memiliki banyak erti (lafaz Mushtarak) dan mengikut kaedah Usul Fiqh: Sesuatu perkataan yang memiliki banyak erti tidak boleh dibataskan kepada satu maksud tertentu melainkan wujud petunjuk yang dapat mendokongi pembatasan tersebut.

Perkataan suci dalam hadis di atas boleh bererti suci daripada najis seperti tahi dan air kencing. Boleh juga bererti suci daripada hadas besar seperti haid dan junub, dan suci daripada hadas kecil yakni seseorang yang dalam keadaan wudhu’. Ia juga boleh bererti suci dari sudut akidah sepertimana firman Allah terhadap orang-orang musyrik:

Sesungguhnya orang-orang musyrik itu najis. [al-Taubah 9:28]

Oleh itu perlu dicari maksud sebenar kepada perkataan suci dalam hadis di atas. Salah satu caranya ialah dengan mengkaji keseluruhan hadis di mana ia sebenarnya adalah sepucuk surat yang dihantar oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam kepada seorang sahabat di Yaman. Pada saat itu Yaman adalah sebuah wilayah yang penduduknya masih terdiri daripada campuran orang bukan Islam dan Islam, justeru kemungkinan yang besar adalah surat tersebut bertujuan melarang al-Qur’an daripada disentuh oleh orang bukan Islam.

Himpunan antara asal usul hadis dan rujukan al-Qur’an kepada orang musyrik sebagai najis dapat mengarah kepada satu petunjuk yang tepat bahawa erti suci dalam hadis di atas sebenarnya merujuk kepada orang Islam. Justeru keseluruhan hadis sebenarnya melarang orang-orang bukan Islam daripada memegang kitab atau mushaf al-Qur’an.

Akhirnya jika dianalisa antara dua pendapat di atas, yang lebih tepat adalah pendapat kedua yang membolehkan seorang wanita yang sedang haid untuk memegang al-Qur’an.


Kedua: Hukum wanita yang didatangi haid membaca al-Qur’an.

Dalam persoalan ini terdapat sebuah hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

Tidak boleh membaca sesuatu apa jua daripada al-Qur’an seorang yang dalam keadaan junub atau haid.[4]

Hadis ini memiliki beberapa jalan periwayatan namun setiap darinya adalah dha‘if. Berkata Imam al-Nawawi rahimahullah (676H):[5]



Adapun hadis Ibn Umar: “Tidak boleh membaca sesuatu apa jua daripada al-Qur’an seorang yang dalam keadaan junub atau haid” , maka ia diriwayatkan oleh al-Tirmizi, Ibn Majah, al-Baihaqi dan selainnya. Ia adalah hadis yang dha‘if, didha‘ifkan oleh al-Bukhari, al-Baihaqi dan selainnya. Kedha‘ifan yang terdapat padanya adalah jelas.

Namun sebahagian ahli fiqh tetap melarang seorang wanita yang sedang haid daripada membaca al-Qur’an kerana diqiyaskan keadaan haid kepada keadaan junub.[6] Namun hal ini dianggap tidak tepat kerana dua sebab:



1. Peranan qiyas ialah mengeluarkan hukum bagi perkara-perkara yang tidak wujud pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Apa-apa perkara baru yang wujud selepas itu, maka hukumnya disandarkan secara analogi kepada sesuatu yang sudah sedia dihukumkan pada zaman Rasulullah berdasarkan kesamaan sebabnya (‘illat). Adapun haid, maka ia adalah sesuatu yang wujud secara lazim pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Apabila pada zaman itu Allah dan Rasul-Nya tidak menjatuhkan hukum melarang wanita yang haid daripada membaca al-Qur’an, maka tidak perlu bagi orang-orang terkemudian membuat hukum yang baru.



2. Haid dan junub adalah dua keadaan yang jauh berbeza. Junub adalah satu keadaan di mana seseorang itu memiliki pilihan untuk berada dalamnya atau tidak, dan seseorang itu boleh keluar daripada keadaan junub pada bila-bila masa melalui mandi wajib atau tayamum. Berbeza halnya dengan haid, ia bermula dan berakhir tanpa pilihan.

Sebahagian lain melarang atas dasar memelihara kesucian dan keagungan al-Qur’an. Justeru mereka berpendapat tidak boleh membaca (mentilawahkan) al-Qur’an kecuali beberapa perkataan atas dasar zikir dan memperoleh keberkatan.[7]



Pendapat ini juga dianggap kurang tepat kerana seseorang wanita, sama ada dalam keadaan haid atau tidak, tetap dianggap suci dan dihalalkan bagi mereka semua yang dihalalkan melainkan wujudnya dalil yang sahih yang melarang sesuatu ibadah seperti solat, puasa, tawaf dan bersetubuh. Adapun pensyari‘atan mandi wajib selepas berakhirnya tempoh haid, ia adalah penyucian atas sesuatu yang sedia suci dan bukannya penyucian atas sesuatu yang sebelum itu bersifat najis. Oleh itu tidaklah berkurang sedikitpun kesucian dan keagungan al-Qur’an apabila ia dibaca oleh seseorang wanita yang sedang dalam keadaan haid.

Pernah sekali Abu Hurairah radhiallahu 'anh mengasingkan diri daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Beliau balik ke rumah untuk mandi wajib dan kemudian kembali. Rasulullah bertanya kenapakah dilakukan sedemikian, lalu Abu Hurairah menerangkan bahawa tadi beliau sebenarnya dalam keadaan junub. Mendengar itu Rasulullah bersabda:

Subhanallah! Wahai Abu Hurairah! Sesungguhnya orang mukmin tidaklah ia menjadi najis.[8]

Kata-kata Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam di atas bersifat umum, menunjukkan bahawa seorang mukmin tidaklah ia sekali-kali akan berada dalam keadaan najis sekalipun dia dalam keadaan junub. Termasuk dalam keumuman hadis ini ialah wanita yang sedang haid.

Sebagai rumusan kepada kupasan ini, berikut dinukil kata-kata Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah (728H):[9]



Sesungguhnya para wanita mereka mengalami haid pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, maka seandainya membaca al-Qur’an diharamkan ke atas mereka (ketika haid) sepertimana solat, pasti baginda Nabi shallallahu 'alaihi wasallam akan menjelaskannya kepada umatnya. Baginda akan mengajarnya kepada para Ummul Mukminun (para isteri baginda) dan akan dinukil daripada mereka oleh orang ramai. Akan tetapi tidak ada satupun (riwayat) yang melarang yang dinukil daripada Nabi. Oleh itu hal ini tidak boleh dianggap terlarang padahal telah diketahui bahawa baginda tidak melarangnya. Justeru jika baginda tidak melarangnya padahal ramai wanita yang haid di zamannya, maka sesungguhnya ketahuilah bahawa ia sememangnya tidak haram.



Kesimpulan:

Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

Alif-Lam-Mim. Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya; ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa. [al-Baqarah 2:1-2]

Setiap individu Muslim yang bertaqwa memerlukan al-Qur’an sebagai kitab yang memberi petunjuk kepada mereka. Petunjuk ini diperlukan pada setiap masa dan tempat, termasuk oleh para wanita ketika mereka didatangi haid. Tidak mungkin untuk dikatakan bahawa ketika haid mereka tidak memerlukan petunjuk dalam kehidupan sehari-harian mereka. Atas keperluan inilah al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih tidak melarang para wanita yang didatangi haid daripada memegang dan membaca al-Qur’an seperti biasa. Adapun pendapat yang mengatakan ianya haram, ia adalah pendapat yang lemah sekalipun masyhur.

Monday, August 6, 2012

Janji Allah Kepada Orang Yang bernikah

Ketika seorang Muslim baik pemuda mahupun wanita akan menikah, biasanya akan timbul perasaan yang bermacam-macam. Ada rasa gundah, resah, risau, bimbang, termasuk juga tidak sabar menunggu saat melangkah pelamin. Bahkan ketika dalam proses ta'aruf sekalipun masih ada juga perasaan keraguan.

Berikut ini sekelumit apa yang hadir dari janji Allah kepada mereka yang menyimpan perasaan negatif dalam mencari teman hidup.

"Wanita-wanita yang keji adalah untuk lelaki-lelaki yang keji, dan lelaki-lelaki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula)" (An Nuur:26)

Bila ingin mendapatkan jodoh yang baik, maka perbaikilah diri. Hiduplah sesuai ajaran Islam dan Sunnah NabiNya. Jadilah lelaki-lelaki yang soleh, jadilah wanita yang solehah. Semoga Allah memberikan hanya yang baik buat kita. Amin.

"Dan kahwinkanlah orang-orang yang sendirian di antara kamu dan orang-orang yang layak (berkawin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memampukan mereka dengan kurniaNya. Dan Allah Maha Luas (pemberianNya) lagi Maha Mengetahui" (An Nur:32)

Sebahagian para pemuda ada yang merasa bingung dan bimbang ketika menikah. Salah satu sebabnya adalah kerana belum punya pekerjaan. Dan anehnya ketika para pemuda telah mempunyai pekerjaan-pun tetap ada perasaan bimbang juga. Sebahagian mereka tetap ragu dengan kemampuan gajinya. Dalam fikiran mereka terbit suatu persoalan, "Apakah cukup untuk keluarga gaji sekian?".

Ayat tersebut merupakan jawapan buat mereka yang ragu melangkah ke jenjang pernikahan kerana alasan ekonomi. Yang perlu ditekankan kepada para pemuda dalam masalah ini adalah kesanggupan untuk memberi nafkah, dan terus bekerja mencari nafkah memenuhi keperluan keluarga. Bukan gaji yang tinggi yang selama-lamanya tidak akan berkesudahan. Allah Maha Adil, bila tanggungjawab para pemuda bertambah dengan kewajiban menafkahi isteri-isteri dan anak-anaknya, maka Allah akan memberikan rezeki yang lebih. Tidakkah kita lihat kenyataan di masyarakat, banyak mereka yang semula miskin tidak punya apa-apa ketika menikah, kemudian Allah memberinya rezeki yang berlimpah dan mencukupkan keperluannya?

"Ada tiga golongan manusia yang berhak Allah tolong mereka, iaitu seorang mujahid fi sabiliLlah, seorang hamba yang menebus dirinya supaya merdeka dan seorang yang menikah kerana ingin memelihara kehormatannya" (Musnad Imam Ahmad 2:251, Sunan An Nasa'ie, At Tirmizi, Ibnu Majah hadis No.2518, dan Hakim 2:160)

Bagi sesiapa sahaja yang menikah dengan niat menjaga kesucian dirinya, maka berhak mendapatkan pertolongan dari Allah berdasarkan penegasan Rasulullah S.A.W dalam hadis ini. Dan pertolongan Allah itu pasti datang.

"Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikanNya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir". (Ar Ruum:21)

"Dan Tuhanmu berfirman : Berdoalah kepadaKu, nescaya akan Kuperkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembahKu akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina-dina". (Al Mu’min:60)

Ini juga janji Allah ‘Azza wa Jalla, bila kita berdoa kepada Allah nescaya akan diperkenankanNya. Termasuk didalamnya ketika kita berdoa memohon diberikan pendamping hidup yang agamanya baik, cantik, penurut, dan seterusnya. Dalam berdoa perhatikan adab dan sebab terkabulnya doa. Di antaranya adalah ikhlas, bersungguh-sungguh, merendahkan diri, menghadap kiblat, mengangkat kedua tangan. Perhatikan juga waktu-waktu yang mustajab dalam berdoa. Di antaranya adalah berdoa pada waktu sepertiga malam yang terakhir di mana Allah turun ke langit dunia, pada waktu antara azan dan iqamah, pada waktu turun hujan. Perhatikan juga penghalang terkabulnya doa. Di antaranya adalah makan dan minum dari yang haram, juga makan, minum dan berpakaian dari usaha yang haram, melakukan apa yang diharamkan Allah dan lain-lain.

Manfaat lain dari berdoa bererti kita meyakini kewujudan Allah Taala, mengakui bahawa Allah itu tempat meminta, mengakui bahawa Allah Maha Kaya, mengakui bahawa Allah Maha Mendengar. Sebahagian orang ketika jodohnya tidak kunjung datang maka mereka pergi ke dukun dan bomoh, berharap agar jodohnya segera tiba. Sebahagian orang ada juga yang menggunakan guna-guna (ilmu pengasih). Cara-cara seperti ini jelas dilarang oleh Islam. Perhatikan hadis-hadis berikut yang merupakan peringatan keras dari Rasulullah S.A.W, "Barang siapa yang mendatangi peramal/ dukun, lalu ia menanyakan sesuatu kepadanya, maka tidak diterima solatnya selama empat puluh malam" (Hadis Sahih riwayat Muslim 7/37 dan Musnad Imam Ahmad).

"Mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat" (Al Baqarah:153)
Mintalah pertolongan kepada Allah dengan melaksanakan sifat sabar dan menunaikan solat. Tentunya agar datang pertolongan Allah, maka kita juga harus bersabar sesuai dengan Sunnah Nabi S.A.W. Juga harus solat sesuai Sunnahnya dan terbebas dari perbuatan yang haram. Firman Allah Taala lagi (maksudnya), "Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan, sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan" (Al Syarh:5-6)

Ini juga janji Allah. Mungkin terasa bagi kita jodoh yang dinanti tidak kunjung datang. Segalanya terasa sukar dan sulit. Tetapi kita harus tetap berbaik sangka kepada Allah dan yakinlah bahawa sesudah kesulitan itu ada kemudahan.

"Wahai orang-orang yang beriman jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu" (Muhammad:7)
Supaya Allah Taala menolong kita, maka kita mestilah menolong agama Allah Taala. Baik dengan berinfak di jalanNya, membantu penyebaran dakwah Islam dengan penyebaran risalah-risalah dakwah agama Islam, menyiapkan generasi yang akan melanjutkan perjuangan Islam dan sebagainya.

"Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa" (Al Hajj:40)

"Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat" (Al Baqarah:214)
Itulah janji Allah. Dan Allah tidak akan menyalahi janjiNya. Kalaupun Allah tidak/ belum mengabulkan hajat dan doa kita, tentu ada hikmah dan kasih sayang Allah yang lebih besar buat kita. Kita harus berbaik sangka kepada Allah. Inilah keyakinan yang harus ada pada setiap Muslim. Jadi, tidak ada sebabnya untuk kita meragukan tentang janji Allah ini. - TARBAWI


Dipetik daripada sini.