Santapan Rohani


Random Hadith Widget

Saturday, March 30, 2013

Istikharah, Dan Istisyarah



''Kalau suka tapi masih belum tiba masa yang sesuai (still study ke, kewangan belum cukup ke, ilmu agama belum mantap ke) diam diam je, cerita dengan Allah je. Suatu masa nanti, akan tiba jua. jangan gopoh. Sekian''
Penjelasan yang cukup baik berkenaan topik ''Istikharah, Dan Istisyarah'' dari Hilal Asyraf. Terasa kebenaran dari tulisan beliau..

Istikharah. Popular di alam para muslim dan muslimah kala bercinta. Yang menggeletek jiwa saya pula adalah, istikharah ini hanya sibuk diperkatakan untuk perkahwinan sahaja.

Sedangkan, istikharah ini sebenarnya bukanlah satu perkara yang khusus untuk mereka yang mahu berkahwin semata-mata. Bukan ‘alat pencari jodoh’. Bukan juga alat ‘penentu’ mana yang patut menjadi pasangan kita. Tetapi istikharah ini adalah apa yang dididik oleh Rasulullah SAW kepada kita, dalam hendak membuat apa-apa sahaja keputusan.

Namun, apabila ‘sesetengah pihak’ mula menganggap ianya ‘alat pencari jodoh sebenar’ yang kononnya ‘tepat 100%’, maka mulalah istikharah menjadi satu punca kekeliruan hati. Bukan lagi yang membantu menenangkan jiwa dan men’thabat’kan kalbu kita.

Mengapa saya nyatakan demikian?

Di lembaran ini saya berkongsi.

Istikharah, Bila Menjadi Satu Fitnah.

Fitnah. Bukanlah ‘cakap benda tidak betul fasal fulan bin fulan atau fulanah binti fulan’. Bukan. Tetapi interprestasi fitnah yang sebenar adalah ujian yang menduga kepercayaan.

Di dalam situasi pergerakan ke arah rumahtangga ini, istikharah juga boleh menjadi satu fitnah.

Bagaimana?

Saya berikan beberapa situasi yang popular.

1 – Fulan bin Fulan telah bertunang dengan fulanah binti fulan, kemudian fulan bin fulan ini pergi beristikharah lagi selepas telah bertunang, tiba-tiba dia ‘nampak’ perempuan lain dalam mimpinya. Terus dikatakan itu adalah ‘petunjuk istikharah’ dan kemudiannya dia hendak memutuskan pertunangannya dengan fulanah binti fulan, kerana dirasakan bahawa Allah telah tunjukkan bahawa pertunangannya itu satu kesilapan.

2 – Fulan bin Fulan sedang mencari seseorang untuk dijadikan isteri. Akhirnya, dia beristikharah. Dia nampak Fulanah binti Fulan. Terus dia menyatakan hasratnya kepada Fulanah binti Fulan itu. Tetapi Fulanah binti Fulan menolak, namun Fulan bin Fulan ini berkeras dan mengugut bahawa Allah memang sudah takdirkan mereka bersama, berdalilkan istikharahnya. Membuatkan Fulanah binti Fulan serba salah untuk menolak ‘wahyu Ilahi’ ini.

3 – Fulanah binti Fulan, beristikharah, dan ‘nampak’ Fulan bin Fulan. Tetapi Fulan bin Fulan tidak pula dikenalinya. Tidaklah pula mampu dicapainya. Pada masa yang sama, datang pula Fulan bin Fulan yang lain, melamarnya. Fulanah binti Fulan ini ‘hold’ dahulu untuk menerima Fulan bin Fulan yang kedua, semata-mata kerana merasakan jodohnya dengan Fulan bin Fulan yang ‘dilihatnya’. Walaupun dia sedar, dia tak mampu mencapai, mendekati, mendapatkan Fulan bin Fulan yang dilihat dalam istikharahnya itu.

Ya. Ini beberapa situasi. Serabut bukan? Hati jadi keliru, jiwa jadi serabut, kalbu rasa kontang.
Bukankah sepatutnya istikharah itu meyakinkan?
Jadi, mengapa boleh begini?

Istikharah, Dan Istisyarah.

Istisyarah. Satu perkara yang manusia sering lupa. Istisyarah adalah seperti kita meminta pendapat orang lain(Ibu Bapa contohnya), mengumpul maklumat dan pandangan terhadap situasi yang sedang kita berhadapan dengannya. Dalam konteks kita sekarang, situasi hendak memilih pasangan.

Ramai meninggalkan perkara ini.

Ini adalah antara sebab mengapa Istikharah menjadi satu perkara yang kemudiannya menyerabutkan jiwa. Kerana akhirnya kita menganggap Istikharah itu MEMANG ‘alat pencari jodoh’. Kemudian, dari celah mana, kita yakin bahawa istikharah itu akan datang dalam bentu mimpi dan tanda-tanda ajaib(nampak wajah seseorang di langit, contohnya).

Di celah-celah kepercayaan seperti inilah, syaitan menyusup dan menyuntik ‘was-was’ serta keraguan dan kekeliruan.

Kerana itu, mimpi hakikatnya tidak akan boleh menjadi dalil. Petanda-petanda ‘ajaib’ itu, bukannya dalil. Dan bukanlah sesuatu yang mesti, pada orang beristikharah, jawapannya adalah mimpi dan petanda-petanda itu.

Kadangkala, kita yang sibuk memikirkan ini dan itu, maka ia keluar dalam bentuk mimpi. Maka, apa pun yang kita nampak, kita ‘lihat’ apa yang kita nak. Di situ, kita keliru, dan kemudian sibuk menyatakan ‘Inilah dia petunjuk Tuhan’!

Kita lupa untuk bermesyuarat dahulu dengan keluarga. Sepatutnya, kita bentangkan pilihan-pilihan yang ada, dan bincangkan pro dan kontranya setiap pilihan. Di situlah kita menilai dan mengimbang. Kalau dengan itu telah kita dapat nampak yang mana pilihan yang terbaik, maka istikharah tidak diperlukan. Jika kita rasa tidak yakin, barulah istikharah. Bila istikharah yang pertama tidak mendatangkan keyakinan, buatlah istikharah yang kedua dan ketiga. Kemudian tetapkanlah hati, dan buatlah pilihan!

Rasulullah SAW juga, ada beberapa situasi penting, baginda tidak melakukan istikharah. Kerana baginda telah yakin, pilihan itu adalah pilihan yang tepat.

Contohnya dalam peperangan Badar, Rasulullah SAW hendak memilih satu kawasan yang jauh dari mata air. Para sahabat pula mencadangkan agar dipilih tempat yang dekat dengan mata air. Rasulullah SAW selepas mendengar penerangan betapa pentingnya membuat kem dekat dengan mata air, terus menerima cadangan sahabat itu, tanpa diriwayatkan melakukan istikharah. Kerana, cadangan itu memang relevan dan jauh lebih baik dari cadangan baginda yang pertama tadi.

Ketika peperangan Khandaq pula, apabila Salman Al-Farisi mencadangkan untuk menggali parit, Rasulullah SAW menerimanya tanpa beristikharah. Kerana cadangan itu memang dalam pertimbangan, adalah yang terbaik.

Hadith berkenaan Istikharah pun, tidak menunjukkan kewajipan dalam melakukannya:
Daripada Jabir bin Abdullah RA berkata : “Adapun Rasulullah s.a.w. mengajarkan kami Istikharah dalam melakukan sesuatu perkara sebagaimana baginda mengajarkan kami satu Surah daripada Al-Quran. Baginda Rasulullah s.a.w. bersabda : Apabila merancang salah seorang daripada kamu dalam sesuatu perkara, maka hendaklah dia melakukan solat sunat dua rakaat..” Hadith Riwayat Imam Bukhari.

Hadith ini umum. Bukannya disebutkan bahawa ‘wajib melakukan istikharah’. Ini terbukti, apabila Rasulullah SAW sendiri, dalam beberapa hal, tidak pula melakukan istikharah.

Kemudian, tidak pernah diriwayatkan apabila Rasulullah SAW telah membuat keputusan, baginda beristikharah lagi. Tidak pernah.

Justeru, sesiapa yang telah membuat keputusan, hingga telah bertunang contohnya, maka buat apa beristikharah lagi? Hiduplah dengan keputusan yang telah dilakukan itu. Berusahalah dengan apa yang telah berada di dalam tangan. Melainkan, ketika pertunangan itu, berlaku perselisihan, atau telah jelas kita dengan tunang kita tidak serasi, maka di situ bolehlah kita lakukan istikharah. Bukan istikharah untuk cari jodoh lain, tetapi istikharah untuk ‘apakah putus tunang ini baik untuk aku dan dia?’. Begitu!

Dan semestinya, istisyarah jangan ditinggalkan dalam situasi sedemikian. Berbincanglah dengan keluarga, minta pendapat orang-orang tua yang kita kenali, ustaz ustazah yang kita rapati.

Daripada Rasulullah SAW sendiri kita belajar. Bukan daripada orang lain.

Rasulullah SAW, manusia yang Allah paling kasih. Tidak pula baginda meninggalkan mesyuarat bersama manusia, mengambil pandangan mereka, mempertimbangkannya. Di sini Rasulullah SAW mendidik kita. Yang kita perlukan adalah apa yang Allah telah ajarkan kita. Di situ, kita membuat keputusan, berdasarkan selagi keputusan itu tidak bercanggah dengan perintahNya dan ajaranNya. Bukannya kita meletakkan bulat-bulat kepada mengangkat kepala ke langit, menanti ‘wahyu yang baru’!

Istikharah dan Saya.

Saya istikharah tiga kali.

Pertama, sebelum memberitahu abang perempuan yang saya cintai bahawa saya berhajat nak menjadikan adiknya isteri saya.

Keduanya, ketika saya berpeluang menjejakkan kaki ke tanah haram, Makkah dan Madinah. Di situ saya meminta kepada Allah SWT, agar jika perasaan yang ada di dalam jiwa saya itu hanya mainan, saya minta disisihkan. Saya minta petunjuk kepada Allah SWT, apakah pilihan saya ini benar, atau sepatutnya saya tidak membuat pilihan ini? Begitu.

Ketiganya, apabila saya mendapat panggilan daripada Sang Abang, bahawa Ibu kepada perempuan yang saya cintai ingin menghubungi saya berkenaan anaknya. Saya pantas meminta masa seminggu. Seminggu itu, saya berusaha solat istikharah saban malam, dan meminta kepada Allah SWT agar membantu saya membuat pilihan. Saya masih ingat ketika itu saya meminta:

“Ya Allah, lepas ini, kalau aku kata ‘ya’, tak ada patah balik. Maka tunjukkanlah aku. Janganlah perasaan ini main-main. Jika main-main, buanglah ia ya Allah.”

Tetapi selepas seminggu, keyakinan saya semakin menebal untuk menyatakan ‘Ya, saya ingin memperisterikan perempuan yang saya cinta’.

Maka apabila Ibu kepada perempuan yang saya cinta, menghubungi saya di Jordan, sedangkan dia di Malaysia sana, saya dengan yakin menyatakan: “Ya makcik, Hilal suka pada anak makcik. Memang benar-benar nak memperisterikan anak makcik.”

Saya masih ingat bagaimana sembang-sembang kami berlaku. Bermula dengan tanya khabar dan berbasa basi bertukar cerita, masuk kepada soalan cepu mas daripada Ibu perempuan yang saya cinta.

“Dengar kata, Hilal suka anak makcik. Benarkah?”

Saya mula rasa segan. Risau kalau Ibu kepada perempuan yang saya cinta, tidak suka dengan saya mencintai anaknya. “Makcik tak sukakah?”

“Cakaplah dulu, betul ke?”

“Ya makcik, Hilal suka pada anak makcik. Memang benar-benar nak memperisterikan anak makcik. Makcik marah ke?”

“Eh, tak adalah. Kenapa haritu masa datang rumah, tak cakap awal-awal?”

Ya. Begitulah. Selepas itu, saya tidak pernah beristikharah lagi. Kerana keputusan telah dibuat, dan Ibu kepada perempuan yang saya cinta merestui, begitu juga ayahnya. Saya memilih untuk yakin. Dan mengusahakan apa yang ada.

Perkara itu dirahsiakan kepada perempuan yang saya cintai, kerana pada ketika itu dia baru habis SPM dan baru nak memulakan pengajian di Universiti. Saya sendiri memahami keadaannya, dan meminta Si Ibu untuk merahsiakan terlebih dahulu, hingga bila saya sendiri ingin melamarnya.

Namun, apa yang menariknya dalam perjalanan cinta saya adalah, belum saya melamar, saya sudah di’reject’ oleh perempuan yang saya cinta beberapa bulan selepas sembang-sembang dengan Si Ibu.

Rupa-rupanya, Si Ibu risaukan saya, membuatkan dia bertanya kepada anaknya akan saya.

Anaknya tidak mahu bersuamikan saya.

Nah, menarik kan?

Perkara ini akan saya sambung di lembaran lain.

Penutup: Bersederhanalah.

Istikharah ini adalah untuk menjemput keyakinan dalam membuat pilihan. Tidak semestinya datang petandanya dalam bentuk mimpi dan petanda-petanda. Dan, sekiranya datang sekalipun, istikharah kita tidak boleh menjadi dalil dalam memaksa seseorang, menderitakan seseorang.

Saya bila kena reject, tidaklah pula saya menghubungi perempuan yang saya cinta, dan menceritakan dia istikharah saya. Menggugut dia dengan istikharah saya. Sebab saya jelas memahami bahawa, ada kemungkinan saya yang tidak pandai menilai sebuah istikharah. Ada kemungkinan, dia ini sekadar satu ‘checkpoint’ untuk saya sampai kepada pasangan saya yang sebenar. Begitulah saya positifkan hati saya. Bukan pergi ugut-ugut dia dengan menceritakan bahawa istikharah saya sekian dan sekian.

Sentiasalah berpijak di alam realiti. Bermesyuaratlah, berbincanglah.

Saya bila kena reject itu, Ummi Abah adalah yang saya cari.

“Ummi, Hilal kena rejectlah.”

“La, ya ke? Sabar ya.”

“Ummi bolehlah kut carikan yang lain.”

“Eh, sabar dulu. Kita bagi masa.”

Begitulah Ummi. Dan itulah dia istisyarah yang saya lakukan. Benda ini saya akan kupas lebih panjang, menceritakan hari-hari saya di’reject’. Jangan ingat saya dapat semua benda yang saya mahu. Allah, Dia sentiasa mengaturkan saya ujian demi ujian, untuk saya meningkat tahap demi tahap. Saya sentiasa yakin dengan itu.

Pokok pangkalnya, istikharah bukan ‘alat ajaib penentu jodoh dengan tepat’.

Istikharah hanyalah satu galakan, untuk kita bergantung kepada Allah, dalam membuat keputusan. Tanpa menafikan, bahawa Allah SWT dan RasulNya juga, menggalakkan bermesyuarat dan meminta pendapat manusia lain.

Pendek kata, bersederhanalah. Imbangilah dengan baik.
Jangan hingga istikharah kita menjadi fitnah!

Dipetik daripada sini.

Tujuh Perangkap Semasa Menuntut Ilmu - Prof Muhaya




1. Masih Mengenang Kegemilangan Lalu

Ramai penuntut di kolej/universiti adalah pelajar-pelajar cemerlang di sekolah menengah. Ini memberi mereka rasa selamat yang palsu. Mereka mungkin telah menjadi pelajar kesayangan guru dan pelajar cemerlang dalam kelas mereka tetapi apa yang mereka tidak sedar ialah apabila mereka masuk ke kolej/universiti, mereka sedang belajar dengan 200 lagi pelajar cemerlang. Mereka juga tidak sedar bahawa mereka sedang mempelajari subjek yang keseluruhannya baru yang mana mereka perlu mendapat bimbingan untuk memperolehi ilmu pengetahuan. Oleh yang demikian, jika pendekatan mereka silap, sukar bagi mereka untuk memahami apa yang mereka sedang pelajari.

2. Kejutan Budaya

Penuntut yang masuk ke kolej/universiti akan mengalami perubahan yang mendadak dalam budaya hidup dan budaya belajar mereka yang mana kini mereka hidup berjauhan daripada ibu bapa mereka atau disiplin ketat sekolah berasrama. Oleh kerana kehadiran ke kuliah tidak diambil maka tidak ada sesiapa pun yang tahu jika seseorang itu ponteng kuliahnya. Di sekolah atau pusat matrikulasi, semua yang perlu dipelajari oleh pelajar diberi oleh guru atau tutor. Sebaliknya di kolej/universiti, pensyarah bertugas membekalkan prinsip-prinsip asas dan ilmu pengetahuan teras yang perlu diperluaskan oleh penuntut-penuntut sendiri dan berkeupayaan menggunakan ilmu yang diberi.

Kejutan budaya yang mendadak ini menyebabkan ada penuntut-penuntut menghadapi kesukaran menyesuaikan diri mereka. Sekiranya keadaan ini tidak di tekankan kepada penuntut-penuntut dan menyediakan mereka bersedia terhadap kenyataan ini, kejutan budaya ini boleh menjejaskan prestasi mereka. Pendekatan pembelajaran berasaskan masalah yang digunakan di kolej/universiti adalah sesuatu yang baru dan ia menggunakan kaedah pembelajaran terarah pada penuntut dan ia adalah amat berbeza daripada kaedah belajar di sekolah.

Situasi sebenar: Seorang penuntut yang baru masuk ke kolej/universiti diberi sebuah kereta dan telefon bimbit dan tinggal di pangsapuri bersama kawan-kawannya. Dengan budaya berkumpulan ini mereka keluar makan malam pada pukul 8 malam dan balik pada jam 10 malam, kemudian baru mula belajar. Mereka meneruskan rutin ini sehingga semua ahli dalam kumpulan ini gagal peperiksaan dalam peperiksaan tahun pertama. Selepas gagal percubaan mengulangi peperiksaan yang sama mereka terpaksa bertukar ke fakulti lain.

3. Memilih Atau Dipilih Oleh Rakan-rakan Yang ‘Salah’

Bercakap melalui pengalaman saya, saya dapati ramai pelajar yang cemerlang di sekolah tidak menunjukkan prestasi sebaik yang sepatutnya di universiti oleh kerana mereka bergaul dengan kumpulan rakan yang salah yang tidak tahu keutamaan dan matlamat penuntut kolej/universiti. Mereka suka dan teruja bertemu kawan-kawan baru dan menemui cara-cara baru menghabiskan masa berhibur sesama mereka terutama sekali apabila mereka mendapat banyak wang daripada ibu bapa kaya yang berfikir anak mereka akan mencapai prestasi yang baik jika mereka diberi segala-galanya.

4. Hilang Semangat

Ramai pelajar belajar bersungguh-sungguh untuk peperiksaan semata-mata untuk masuk universiti. Malangnya, haluan masa depan kerjaya mereka selepas masuk ke universiti tidak difikirkan dulu atau dibincangkan dengan kaunselor sekolah. Setelah bertungkus-lumus untuk masuk ke universiti, mereka hilang semangat dan hilang motivasi untuk belajar.


5. Dipaksa Oleh Ibu Bapa Untuk Mengambil Jurusan Tertentu

Contohnya, bidang perubatan. Ada juga penuntut-penuntut yang tidak berminat dalam jurusan perubatan tetapi masuk ke kolej/universiti kerana dipaksa oleh ibu bapa mereka. Subjek-subjek perubatan tidak boleh dipelajari jika seseorang itu tidak berminat. Melalui pengalaman saya, saya pernah melihat pelajar yang sudah masuk tahun empat berhenti kerana mereka tidak dapat meneruskan dan terpaksa memulakan pengajian di fakulti lain.

6. Belajar Bersendirian

Sewaktu menuntut di kolej/universiti, belajar dalam kumpulan adalah sangat penting. Tiga sebab utama kenapa ada penuntut-penuntut tidak belajar dalam kumpulan:

Tidak mahu orang lain tahu tentang kejahilan mereka dalam subjek-subjek yang diambil
Takut berkongsi pengetahuan mereka dengan rakan-rakan yang lain yang mungkin memperolehi markah yang lebih tinggi daripada mereka
Tidak mahu berusaha lebih
Melalui pengalaman saya, ramai penuntut yang tidak mendapat prestasi baik adalah mereka yang tidak mempunyai kumpulan belajar dan hanya berpuas hati duduk di perpustakaan berjam-jam lamanya dan membaca buku. Apabila mereka tidak lulus dengan baik dalam peperiksaan, mereka menjadi murung kerana tidak ada tempat mengadu. Keadaan ini menyebabkan mereka patah semangat dan hilang dorongan untuk belajar. Akhirnya berlakulah lingkaran ganas sebab dan akibat dengan mengakibatkan bertambah lagi kehilangan semangat mereka. Sebaliknya penuntut-penuntut yang ada kumpulan belajar lulus dengan lebih baik dan jika ada di antara mereka yang lulus tidak sebegitu baik, rakan sekumpulan akan cuba membantu mereka sebab kelemahan setiap ahli telah didedahkan semasa sesi perbincangan.

7. Terlalu Bersaing dan Tidak Bekerjasama

Keadaan ini lazim berlaku dikalangan penuntut-penuntut perempuan. Keadaan ini berlaku mungkin disebabkan mereka adalah pelajar cemerlang di sekolah menengah atau pusat matrikulasi. Akibatnya, mereka mahu kekal menjadi pelajar cemerlang dan menjadi terlalu bersemangat serta cuba mendapat sebanyak ilmu pengetahuan yang boleh, tanpa memberi pertimbangan kepada orang lain. Masalah ini dijelmakan dalam salah satu atau semua tingkah laku berikut:

Berebut mendapat perhatian pensyarah
Bersikap mementingkan diri dan tidak rela berkongsi dengan orang lain nota- nota dan buku-buku yang baik yang diberi pelajar senior
Mengawal atau mendominasikan sesi makmal dan tidak beri peluang kepada orang lain menyertai membuat eksperimen
Menyembunyikan fakta yang mereka telah pelajari

Belajar di kolej/universiti diibaratkan seperti berperang. Kita tidak boleh melakukannya bersendirian. Kerja berkumpulan amat penting. Tidak ada siapa menjadi pesaing dan semua orang merupakan rakan seperjuangan. Semua ahli mesti berkongsi kelengkapan perang untuk memenangi peperangan dan memperolehi kejayaan bersama. Tidak ada kuota berapa orang patut dapat A di kolej/universiti. Hakikatnya, seorang rakan yang mendapat A tidak akan merampas peluang kita untuk mendapat A. Lebih banyak kita memberi, lebih banyak kita mendapat. Dengan kata lain, lebih banyak kita memberi ilmu pengetahuan kepada rakan-rakan kita, berkongsi nota dengan mereka, lebih banyak mereka akan berkongsi dengan kita. Dengan itu dua tambah dua jadi lima, ini yang kita panggil SINERGI.


by PROF. DR. MUHAYA HJ MOHAMAD
BAGAIMANA MENJADI SEORANG PELAJAR YANG BAIK DAN BERJAYA

Wednesday, March 27, 2013

Qailullah

Mungkin masih ramai yang tidak tahu akan kepentingan tidur selepas zohor. Dalam Islam, umatnya digalakkan melelapkan mata seketika iaitu dalam jangkamasa (10 hingga 20 minit) dan waktu paling baik ialah antara pukul 12 tengahari sehingga sebelum Zohor. Namun boleh juga dilakukan selepas Zohor kerana terdapat kebaikan di dalamnya untuk sistem tubuh badan manusia. 

Tambahan lagi, tidur selepas zohor adalah sunat. Sunat maknanya berpahala kepada sesiapa yang mengamalkannya. Tidur tengahari ini adalah amalan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat baginda.

Dalam kitab Fiqhus Sunnah terdapat keterangan sebagai berikut: “Terdapat sebuah hadis dari Ibnu Umar, beliau berkata :
“Kami (para sahabat) pada zaman Rasulullah SAW suka tidur di masjid, kami tidur qailulah (tidur tengah hari) di dalamnya, dan kami pada waktu itu masih muda-muda.” (Kitab Fiqhus Sunnah; Juz I; Hal. 252)


Jom Amalkan Qailulah!

Apa maksud qailulah? Tidur tengahari ini dipanggil sebagai qailulah dalam bahasa Arab manakala golongan barat memanggil qailulah sebagai nap. Di negara barat, biasanya nap dilakukan antara pukul 2 hingga 4 petang. Selain itu, hasil kajian juga mengatakan bahawa amalan nap pada waktu tengahari dapat mengelakkan penyakit jantung.

Dalam hal qailulah ini, Rasullullah SAW ada bersabda :

Sabda Rasullah s.a.w “Lakukanlah qailulah, kerana sesungguhnya syaitan itu tidak berani qailulah” (Riwayat ai-Tabrani)

Waktu paling sesuai untuk amalkan qailulah ini adalah sekitar pukul 12 tengahari sehingga sebelum Zohor. Namun, amalan ini boleh juga dilakukan selepas Zohor.

Kelebihan Qailulah

Menurut kajian, seminit qailulah kualitinya adalah bersamaan dengan 45 minit waktu tidur kita pada waktu malam. Jadi, cukup sekadar dapat 10-20 minit qailulah. Selepas itu, kita sudah boleh bangun solat malam tanpa rasa mengantuk lagi, insyaAllah. Maknanya di sini, tujuan qailulah adalah untuk memastikan umat Islam mudah pula untuk melakukan qiamullai pada sebelah malamnya.

Seterusnya, tidur sejenak ini akan membuatkan badan mendapat kerehatan yang mencukupi sehingga membolehkannya melakukan ibadat dengan sempurna sepanjang hari.

Menurut kajian lagi, sebenarnya manusia perlu berehat setelah 6-8 jam berjaga. Sebagai umat Islam, lazimnya akan bangun seawal jam 5.30 pagi untuk menunaikan solat subuh. Dalam hal ini, jika dikira dari waktu subuh hingga pukul 12-1 tengahari, ianya sudah cukup sekitar 7-8 jam kita berjaga.

Oleh itu, qailulah atau nap ini adalah amat berpatutan untuk dilakukan pada masa itu serta sangat sesuai dengan fitrah badan manusia. Bagi mereka yang istiqamah (konsisten) dalam mengamalkan qailulah ini, sebaik bangkit dari qailulah akan sedikit pening selama 5-10 minit. Namun, selepas itu kita akan mendapati perubahan mendadak dari segi emosi, kecerdasan dan lebih fokus seterusnya meningkatkan produktiviti.

Bagaimana Pula Dengan Orang Yang Bekerja?

Bagi yang bekerja pula tidur berlebihan dalam waktu bekerja adalah dikira haram kerana melanggari perjanjian kerja dengan pihak majikan. Amalan sunat ini boleh dilakukan ketika waktu makan tengahari dan selepas solat zohor iaitu dalam tempoh rehat makan tengahari.
Tidur sekadar 10 minit ini akan membantu seseorang pekerja itu lebih bersemangat dan mengembalikan mood di samping dapat merehatkan minda sekadar perlu.

Dalam kajian yang dilakukan oleh pakar, tidur tengahari dapat mengurangkan risiko sakit jantung sehingga 30% serta membantu masalah sakit kepala dan migraine.

Kesimpulannya, ternyata sunnah tidur tengahari yang diajarkan Nabi Muhammad SAW merupakan suatu yang amat berfaedah. Sebagaimana yang kita semua yakini, setiap sunnah itu ada tujuannya, kebaikan dan hikmahnya. Dengan kajian saintifik ini membuktikan dan menguatkan lagi hujahnya. 

Renung-renungkan…wallahu'alam.

Yang baik itu dari Allah jua..

Monday, March 4, 2013

Keperluan Untuk Berdakwah


Dari Anas r.a. berkata, “Rasulullah bersabda, “Perintahkanlah yang makruf meskipun kamu belum mengamalkannya, dan cegahlah kemungkaran meskipun kamu belum meninggalkan seluruhnya.” (HR Thabrani)

Seringkali seorang muslim merasa berat atau enggan melakukan kerja dakwah, menyuruh kepada makruf (kebaikan) dan mencegah kemungkaran. Ia merasa masih banyak kekurangan, banyak melakukan kesalahan dan dosa serta sering melalaikan kewajipan agama.

Untuk berdakwah kita tidak harus menunggu diri kita menjadi individu yang sempurna tanpa dosa. Kita harus menyuruh kepada kebaikan meskipun kita belum mampu melaksanakannya. Begitu juga mencegah kemungkaran meskipun kita belum boleh meninggalkan seluruhnya.

Setiap manusia tidak luput dari melakukan kesalahan dan dosa, namun kerja-kerja dakwah harus diteruskan kerana ia merupakan kewajipan yang mesti kita laksanakan sehingga ajal datang menjemput kita.

Sesungguhnya mengajak kepada kebaikan adalah suatu kebaikan dan kewajipan bagi orang yang berilmu. Mengajak kepada kebaikan dan mengerjakannya adalah suatu kewajipan. Tuntutan untuk melaksanakan kedua-duanya (mengajak kepada kebaikan dan mengerjakan kebaikan) adalah satu tuntutan yang tidak akan gugur dengan hanya mengerjakan salah satunya (Menurut pendapat yang paling sahih dari para ulama salaf dan khalaf).

Seandainya tidak boleh memberikan nasihat kepada orang lain kecuali orang yang terpelihara dari dosa, maka tidak ada seorang pun yang berhak memberikan nasihat selain Rasulullah S.A.W. Bukankah tidak ada yang bersih dari dosa kecuali para nabi dan Rasul?

Sa’id bin Jubair berkata, “seandainya seorang tidak boleh menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran sehingga ia menjadi orang yang bersih dari semua dosa, maka tidak ada seorang pun yang akan menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran”.

Khalifah Umar Bin Abdul Aziz semasa berceramah dan memberi nasihat telah berkata: “Sesungguhnya aku mengatakan hal ini, padahal aku tahu tidak ada seorang pun yang lebih banyak dosanya melebihi aku. Maka aku memohon ampunan kepada Allah dan bertaubat kepada-Nya.”

Beliau juga pernah menulis surat kepada gabenur di mana pada baris akhir surat ditulis, “Sesungguhnya aku memberimu nasihat seperti ini, padahal aku sendiri banyak lalai atas diriku sendiri dan tidak mampu mengendalikan diri dalam banyak hal. Seandainya seseorang tidak boleh memberi nasihat kepada saudaranya sampai ia mampu mengendalikan dirinya, maka perkara kebaikan, menyeru kepada kebaikan dan mencegak kemungkaran tidak akan dipeduli. Soal halal, haram tidak diambil kisah.

Sesungguhnya syaitan dan pengikutnya menginginkan agar tidak ada seorangpun yang mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Hendaklah kita menyedari bahawa mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran, memberi nasihat dan pelajaran kepada orang lain bererti kita memiliki peluang yang lebih baik untuk menjadi lebih baik, bahkan yang terbaik. Allah berfirman yang bermaksud:

“Hendaklah kamu menjadi orang-orang rabbani (orang yang sempurna ilmu dan bertaqwa kepada Allah), kerana kamu selalu mengajarkan Al Kitab dan disebabkan kamu selalu mempelajarinya,” (Surah Ali Imran ayat 79)

Semoga apa yang dinyatakan di atas menjadi dorongan dan motivasi kepada kita untuk melaksanakan kerja yang mulia iaitu mengajak manusia untuk beriman kepada Allah dan mencegah kemungkaran. Baikilah diri sendiri dan ajaklah orang lain... Ganjarannya adalah syurga....

Rujukan:

Fakhruddin Nursyam, Lc, Syarah Lengkap Arba’in Da’awiyah – Teladan Aplikatif Dakwah Rasulullah, Bina Insani Press Solo, September 2006

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Waktu Solat