Santapan Rohani


Random Hadith Widget

Tuesday, October 13, 2009

Lalat Dan Penyakit; Rasulullah Dan Saintis

Hadith :
Dari Abi Hurairah r.a berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: “ “Apabila lalat jatuh ke dalam minuman salah seorang di antara kamu maka rendamkanlah lalat itu kemudian buanglah. Kerana pada salah satu sayapnya terdapat penyakit dan pada sayap yang lain terdapat ubat.” -Riwayat al-Bukhari-

Huraian
Islam menghendaki kita supaya menjaga kebersihan bukan sahaja pada pakaian dan tempat tinggal malah pada makanan dan juga minuman. Rasulullah SAW amat menitikberatkan hal ini sehinggakan apabila seekor lalat pun yang memasuki makanan atau minuman, baginda menyuruh kita berwaspada terhadap penyakit yang bakal menimpa seperti keracunan makanan dan sebagainya.

Apa yang disebutkan di dalam hadis di atas telah pun dibuat kajian oleh para saintis pada zaman kemudiannya. Contohnya pada tahun 1871, Prof. Brefild, Ilmuwan Jerman dari Universiti Hall menemui mikroorganisma jenis Fitriat yang diberi nama Ambaza Mouski dari golongan Antomofterali. Mikroorganisma ini hidup di bawah tingkat zat minyak di dalam perut lalat. Ambaza Mouski ini berkumpul di dalam sel-sel sehingga membentuk kekuatan yang besar. Kemudian sel-sel itu akan pecah dan mengeluarkan sitoplasma yang dapat membunuh kuman-kuman penyakit. Sel-sel tersebut terdapat di sekitar bahagian ke tiga dari tubuh lalat, iaitu pada bahagian perut dan ke bawah.

Kemudian pada tahun 1947, Ernestein seorang Inggeris juga menyelidiki Fitriat pada lalat ini. Hasil penyelidikannya menyimpulkan bahawa fitriat tersebut dapat memusnahkan pelbagai bakteria. Tahun 1950, Roleos dari Switzerland juga menemui mikroorganisma ini dan memberi nama Javasin. Para peneliti lain iaitu Prof. Kock, Famer (Inggeris), Rose, Etlengger (German) dan Blatner (Switzerland) melakukan penyelidikan dan membuat kesimpulan yang sama tentang mikroorganisma pada lalat sekali gus membuktikan bahawa pelbagai penyakit dan bakteria pada lalat hanya terdapat pada hujung kakinya saja dan bukan pada seluruh badannya.

Justeru mikroorganisma yang dapat membunuh kuman itu tidak dapat keluar dari tubuh lalat kecuali setelah disentuh oleh benda cair. Cairan ini dapat menambah tekanan pada sel-sel yang mengandungi mikroorganisma penolak kuman sehingga pecah dan memercikkan mikroorganisma istimewa ini. Maka adalah ternyata bahawa apa yang dikatakan oleh Rasulullah adalah benar iaitu saranan baginda kepada kita agar menenggelamkan lalat terlebih dahulu ke dalam air bagi mengeluarkan mikroorganisma penolak kuman dari badan lalat tersebut, dalam erti kata bahawa badannya harus dibasahkan sebelum membuangnya dan air yang menjadi tempat pendaratan lalat tadi dapat diminum dengan selamat. Subhanallah betapa hebatnya junjungan kita, Nabi Muhammad SAW.


Sumber: Hadis Harian Jakim

Sunday, October 11, 2009

Puasa Qadha' Ramadhan Atau Puasa Enam Syawal?

Bahagian 1

Selain daripada persoalan mengenai pelaksanaan puasa sunat enam Syawal (samada dilakukan berturut-turut ataupun rambang), satu lagi isu yang sering menjadi pertanyaan di kalangan masyarakat dalam hal ini ialah berkaitan kedudukan puasa qadha’ (Ramadhan). Terdapat dua persoalan yang harus dibincangkan di sini:


>> Melaksanakan puasa sunat enam Syawal sebelum mengqadha’ puasa Ramadhan.
>> Menggabungkan puasa qadha’ Ramadhan dengan puasa sunat enam Syawal.

Apa yang menjadi persoalan; bolehkah kedua perkara di atas ini dilakukan? Adakah kedua-duanya dibenarkan?

Sebelum diteruskan perbincangan panjang lebar ini, terlebih dahulu saya akui, saya bukanlah seorang yang arif dan bijak dalam soal agama. Masih banyak ilmu agama yang perlu saya pelajari. Namun demikian, berdasarkan pembacaan dan rujukan kepada mereka yang lebih arif, diharapkan perkongsian mengenai dua isu ini dapat membantu mereka yang masih kurang faham, untuk mendapatkan jawapan.

Hasil pembacaan saya dari sumber yang pelbagai, ternyata para ulama’ juga mempunyai pendapat yang berbeza dalam merungkai isu berkaitan dua puasa ini (qadha’ Ramadhan dan juga sunat enam Syawal).


(A) MANA YANG HARUS DIUTAMAKAN?

Di sini wujudnya perbincangan di kalangan para ulama’; apakah dibolehkan bagi seseorang itu untuk berpuasa sunat enam Syawal seandainya dirinya memiliki hutang puasa Ramadhan yang masih belum diqadha’nya? Terdapat dua pendapat ulama’ dalam hal ini:


# Pendapat Pertama: Boleh melakukannya.

Hujah-hujah yang diberikan:

(i) Aisyah R.A. pernah mengakhirkan hutang puasa Ramadhan yang perlu diqadha’nya hingga ke bulan Sya3ban yang akan datang.

Aisyah R.A. berkata (maksudnya): “Aku memiliki hutang puasa bulan Ramadhan. Aku tidak mampu mengqadha’nya kecuali pada bulan Sya3ban.” Kerana sibuk (melayani) Rasulullah SAW. [Sahih Muslim no: 1146. Sahih al-Bukhari, hadis no: 1950, penjelasan "kerana sibuk melayani Rasulullah SAW" ialah penjelasan salah seorang perawi hadith yang bernama Yahya bin Sa‘id.]


Para ulama’ yang mengemukakan pendapat pertama ini berhujah, sebagai isteri Rasulullah SAW, sudah tentu tidak mungkin Aisyah R.A. tidak melaksanakan puasa sunat enam Syawal. Mereka ini berkeyakinan, sudah pasti Aisyah R.A. melaksanakannya dan tindakannya yang mengqadha’ puasa Ramadhan pada bulan Sya3ban menunjukkan dibolehkan berpuasa sunat enam Syawal sekalipun seseorang itu memiliki hutang puasa Ramadhan.

(ii) Kewajipan mengqadha’ puasa Ramadhan tidak dibatasi oleh waktu-waktu tertentu.


Menurut Imam An-Nawawi dalam Syarah Muslim: Mazhab Malik, Abu Hanifah, Asy-Syafie, Ahmad dan jumhur salaf dan khalaf mengatakan: “Qadha’ puasa Ramadhan bagi mereka yang berbuka kerana uzur seperti kedatangan haid dan musafir, maka kewajipan mengqadha’nya adalah secara bertangguh (‘ala at-tarakhi), tidak disyaratkan qadha’ terus apabila boleh melakukannya”.
[Syarah Sahih Muslim 8/22]


Ini adalah berdasarkan firman Allah yang memberi keumuman bagi mengqadha’kan puasa Ramadhan.


Firman Allah SWT yang bermaksud: “Berpuasalah pada hari-hari yang lain, Allah menghendaki kemudahan bagi kamu dan tidak menghendaki kesusasah bagi kamu”. (Al-Baqarah 2: 185)

Menurut Imam Qurtubi rahimahullah: “Ayat ini menunjukkan wajibnya mengqadha’ puasa tanpa ditentukan harinya, kerana lafaz ayat tersebut berlaku sepanjang masa tanpa ditentukan pada masa-masa tertentu”. (Lihat: Al-Jami’ Li Ahkam Al-Quran 2/282. Al-Qurtubi)


# Pendapat Kedua: Tidak boleh melakukannya.

Hujah-hujah yang diberikan:

(i) Terdapatnya lafaz “thumma” (kemudian) dalam hadith yang menganjurkan puasa sunat enam Syawal.


Maksudnya: “Siapa yang berpuasa Ramadhan kemudian mengiringinya dengan (berpuasa) enam hari dari bulan Syawal, maka yang demikian itu seolah-olah berpuasa sepanjang masa” - [Hadith riwayat Imam Muslim di dalam Sahihnya, no: 1164]


Berdasarkan hadith ini, Rasulullah SAW mensyaratkan “berpuasa Ramadhan” terlebih dahulu, kemudian barulah “mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal”. Ini menunjukkan puasa sunat enam Syawal hanya dilaksanakan sesudah seseorang itu menggenapkan puasa Ramadhannya. Tidak ada puasa enam di bulan Syawal, melainkan setelah sempurna puasa Ramadhannya. Dalam erti kata lain, jika ada puasa Ramadhan ditinggalkan, maka ia perlu diqadha’ terlebih dahulu. Kemudian barulah diiringi dengan puasa sunat enam Syawal.

(ii) Menepati ganjaran seolah-olah berpuasa sepanjang masa.

Hadith yang menganjurkan amalan puasa sunat enam Syawal ini menekankan tentang ganjaran yang diperoleh, iaitu seakan-akan berpuasa sepanjang masa (setahun). Mengikut perhitungan, ianya dikira sebagai 300+60 = 360, maka terlebih dahulu hendaklah dipastikan cukup harinya untuk 300 pahala kebaikan itu, kemudian barulah ditambah dengan 60 lagi pahala kebaikan, barulah boleh mendapatkan ganjaran puasa setahun.

(iii) Membayar hutang (wajib) hendaklah didahulukan sebelum memberi sedeqah (sunat).

Merujuk kepada firman Allah dalam ayat 133 surah Aali Imran seperti yang dikemukakan sebelum ini, Allah SWT menganjurkan kita supaya bersegera dalam melakukan amal kebajikan. Dalam hal ini, sudah tentulah amal yang wajib itu lebih perlu untuk disegerakan berbanding amal yang sunat. Penekanan mengutamakan yang wajib ini juga ada disebut dalam satu hadith Qudsi yang sahih (maksudnya):


"..dan tidaklah hampir kepada-Ku seorang hamba-Ku dengan apa jua pun, maka yang lebih Aku sukai adalah mereka melaksanakan amalan fardhu/ wajib ke atas mereka, dan sentiasalah mereka ingin menghampirkan diri mereka kepada-Ku dengan mengerjakan amalan sunat sehinggalah Aku kasih kepadanya...”
(Riwayat Al-Bukhari, no 6021)


Hadis di atas adalah sebagai asas keutamaan. Namun demikian, dari sudut praktikal, jawapannya mungkin berbeza menurut keadaan diri seseorang. Maksudnya, jika seseorang itu perlu qadha’ puasanya selama penuh 30, berpuluh atau berbelas hari (kerana nifas atau haid yang lama di bulan Ramadhan sebagai contoh), dan tubuhnya juga sihat dan diyakini masih kuat, maka eloklah dia mengerjakan puasa sunat Syawal terlebih dahulu ketika itu, kerana tempoh puasa sunat Syawal adalah singkat berbanding tempoh qadha’ puasa (sepanjang tahun).

Bagaimanapun harus diingat, walaupun tempoh bagi puasa qadha’ adalah panjang, namun kita tetap tidak pasti adakah kita mampu sampai ke tarikh itu, atau barangkali ajal yang datang menjemput kita terlebih dahulu.

Dalam hal ini, seseorang yang mati sebelum sempat menggantikan puasa Ramadhannya, tetapi sudah berpuasa sunat Syawal, pasti akan bermasalah kerana dia dikira masih berhutang dengan Allah SWT. Sementara itu, bagi seseorang yang mati setelah menyelesaikan puasa qadha’nya tetapi tidak sempat berpuasa sunat Syawal, pastinya tiada sebarang masalah pun, malah mungkin juga diberikan pahala sunat Syawal itu sekali. Ini adalah berdasarkan kepada sabda Nabi SAW (maksudnya):


" ... barangsiapa yang beringinan melakukan kebaikan tetapi tidak melakukannya, telah dituliskan oleh Allah baginya pahala penuh, maka jika ia beringinan dan kemudian melakukannya, maka telah dituliskan oleh Allah di sisinya 10 pahala sehingga 700 kali ganda…" (Riwayat Al-Bukhari, no: 6010)



:: KESIMPULANNYA ::

Di sini kita harus memahami bahawa darjat puasa qadha’ adalah lebih tinggi dan tanggungjawab bagi menunaikannya adalah jauh lebih besar berbanding sunat Syawal kerana puasa qadha’ adalah puasa wajib dan merupakan ‘hutang' ibadah dengan Allah berbanding puasa Syawal yang hanyalah sebagai tambahan pahala (perkara sunat).

Justeru itu, hendaklah kita mengutamakan qadha’ puasa Ramadhan terlebih dahulu sebelum kita melakukan puasa sunat enam Syawal kerana sesungguhnya kita tidak tahu bilakah Izrail akan datang mencabut nyawa kita…

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

Bahagian 2

Sepertimana yang dinyatakan dalam bahagian pertama tajuk ini, terdapat dua persoalan berkaitan puasa qadha’ Ramadhan dan juga puasa sunat enam Syawal. Persoalan yang pertama sudahpun dibincangkan dengan panjang lebar dalam bahagian pertama. Maka sekarang fokusnya adalah pada persoalan yang kedua, iaitu isu berkaitan penggabungan kedua-dua puasa ini.


(B) FORMULA DUA DALAM SATU??

Di Malaysia, terdapat pandangan yang amat masyhur yang membolehkan ibadah puasa dilakukan dua dalam satu, iaitu berpuasa qadha’ Ramadhan dan berpuasa sunat enam Syawal dalam satu hari. Mereka ini yang terdiri daripada kalangan ulama’ Syafi’iyyah berpendapat, ganjaran puasa sunat enam Syawal tetap akan diperolehi apabila seseorang itu berpuasa qadha’, sekalipun tidak berniat menggabungkan kedua-duanya.

Menurut mereka, memadai dengan niat hanya untuk berpuasa qadha’, tetap juga akan beroleh pahala puasa sunat enam Syawal, namun pahala yang diperolehi itu adalah kurang berbanding pahala bagi orang yang berpuasa kedua-duanya secara berasingan. [Lihat: Hasyiah Asy-Syarqawi ‘Ala Tuhfah At-Tullab 1/428, cet, Darul Ma'rifah, Fatawa Al-Azhar 9/261 Al-Maktabah Asy-Syamilah]

Mereka mengatakan amalan ini mendapat juga pahala puasa sunat oleh kerana kebetulan puasa qadha’ tersebut dilakukan dalam bulan Syawal, sama seperti pahala sunat tahiyyatul masjid yang juga diberikan kepada orang yang terus melakukan solat fardhu apabila masuk ke dalam masjid. Wallahu a3lam.

Namun apa pun jua, mereka yang membenarkan amalan begini tidak pula mengemukakan sebarang dalil dari Al-Qur’an mahupun Hadith yang sahih yang membolehkannya. Apabila Nabi, para sahabat dan salaf soleh tidak melakukannya, maka pastinya ia bukanlah amalan yang terpilih dan terbaik kerana pilihan Nabi SAW dan para sahabat selamanya adalah yang terbaik.

Al-Khatib Asy-Syarbini berkata: “Jika seseorang berpuasa qadha’ atau puasa nazar atau puasa sunat yang lain di bulan Syawal, adakah dia mendapat pahala sunat (Syawal) atau tidak? Saya tidak mendapati pendapat ulama’ yang menyebut tentangnya, dan yang zahirnya adalah dapat pahala tersebut (pahala puasa yang diniatkannya). Namun, dia tidak mendapat pahala sebagaimana yang disebut oleh hadith yang menerangkan tentang kelebihan puasa enam tadi, khasnya mereka yang tertinggal puasa Ramadhan kemudian berpuasa pada bulan Syawal. Ini kerana mereka tidak memenuhi maksud hadith tersebut (menyempurnakan puasa Ramadahan kemudian diikuti dengan puasa enam)”. [Mughni Al-Muhtaj 2/184 cet, Darul Kutub Al-Ilmiah, Beirut]


>> HUJJAH – HUJJAH PENOLAKAN FORMULA 2 DALAM 1

(1) Jika seseorang mengatakan boleh menggabungkan puasa qadha’ (yang wajib) dengan puasa Syawal (yang sunat), maka sudah tentu selepas ini timbul pula individu yang cuba menggabungkan solat wajib dengan solat sunat, seperti gabungan solat fardhu Isyak dengan solat sunat Tarawih. Maka ini pasti menyebabkan masalah lain timbul dalam ibadah wajib termasuk rekaan-rekaan pelik seperti mencampurkan solat fardhu Subuh dengan solat sunat Istikharah dan lain-lain.

(2) Menurut Prof. Dr Syeikh Abd Malik as-Sa'dy (ex-Lajnah Fatwa Iraq) dan Prof Dr Mohd ‘Uqlah el-Ibrahim (Jordan), amalan wajib tidak boleh digabungkan dengan apa-apa amalan wajib atau sunat yang lain, kerana amalan wajib memerlukan tumpuan khusus yang tidak berbelah bahagi semasa pelaksanaannya dan ia perlu bagi mengangkat tuntutan kewajibannya. Justeru, tindakan menggabungkan ini pasti mengurangkan kesempurnaan hamba tersebut dalam menunaikan tuntutan wajib mereka. Wallahu a3lam.

(3) Tindakan A'isyah R.A. yang melewatkan puasa qadha’ juga boleh dijadikan hujjah bahawa beliau mengasingkan puasa qadha’ dengan puasa sunat Syawal. Maka inilah yang sepatutnya dijadikan ikutan, iaitu dengan tidak menggabungkan kedua puasa ini.

Aisyah menyebut (maksudnya): "Kewajiban ke atasku untuk puasa (qadha’) dari puasa Ramadhan, maka tidaklah aku menggantikannya sehingga datang Sya3ban" (Hadith Riwayat Muslim, no: 101)


(4) Amalan wajib (qadha’) memerlukan niat yang ‘jazam' (tepat dan pasti) maka tindakan menggabungkannya dengan niat puasa sunat mungkin boleh merosakkan kepastiannya. Kerana itulah ulama’ yang mengizinkannya mencadangkan agar diniat puasa qadha’ sahaja, adapun Syawal itu dipendamkan sahaja dengan harapan Allah menerimanya. Bagaimanapun, ulama’ yang mencadangkan ini jelas menyatakan bahawa tindakan menggabungkannya akan mengurangkan pahala sunat Syawal kerana tidak diniat dan tidak dilakukan sepenuhnya (Hasyiah As-Syarqawi ‘ala al-Tahrir, Syeikh Zakaria Al-Ansary, 1/427; naqal dari Min Ahsanil Kalam Fil Fatawa, Atiyyah Saqr, 2/23)


(5) Menurut Syeikh Abu Raghib al-Asfahani, Syeikh Ihsan Muhammad 'Aayish al-'Utaibi dan juga disebutkan oleh Dr Yusof Al-Qaradawi di dalam kitabnya Fiqh Awalwiyyat, amalan sunat tidak boleh dilaksanakan sebelum amalan fardhu. Ini adalah merujuk kepada hadith Nabi SAW yang menyebut bahawa puasa sunat Syawal itu dilakukan setelah puasa Ramadhan.


Nabi SAW bersabda (maksudnya): "Barangsiapa telah berpuasa Ramadhan kemudian diikuti dengan (puasa) enam hari dari Syawal maka ia adalah seperti (pahala) puasa ad-Dahr (setahun)” (Hadith Riwayat Al-Bukhari, no: 6502)


(6) Kita dapat melihat penggunaan ‘fe3il madhi’ iaitu ‘past tense’ bagi puasa Ramadhan, mungkin sahaja boleh membawa makna sesiapa yang belum lengkap puasa Ramadhannya, maka perlulah melengkapkannya terlebih dahulu, kemudian barulah dibolehkan bagi mereka untuk mendapatkan peruntukan pahala sunat Syawal.



:: KESIMPULANNYA ::


Daripada perbincangan yang terbatas ini, dapatlah dibuat kesimpulan bahawa sebaiknya kedua-dua puasa ini hendaklah dilakukan secara berasingan dengan mendahulukan yang wajib (qadha’) daripada yang sunat (Syawal). Menyempurnakan puasa bulan Ramadhan terlebih dahulu dengan menggantikan puasa-puasa yang tertinggal kemudian barulah dikerjakan puasa sunat Syawal adalah lebih bertepatan dengan maksud hadith saranan berpuasa sunat di bulan Syawal itu sendiri demi mendapatkan keutamaannya, iaitu seolah-olah berpuasa sepanjang masa (setahun).


Tidak dinafikan, puasa sunat mempunyai kelebihan yang besar di sisi Allah SWT dan sangat digalakkan oleh Rasulullah SAW. Namun, sebagaimana yang diketahui umum, amalan sunat adalah sebagai penampal kepada mana-mana kekurangan dalam amalan fardhu. Justeru itu, sempurnakanlah dahulu qadha’ beberapa hari yang tertinggal, kerana kita tidak tahu apakah hayat dan kesihatan yang ada akan berterusan sehingga kita dapat menunaikannya di masa hadapan.


Bagi orang yang tidak sempat melakukan puasa sunat kerana sibuk dengan puasa wajib, diharapkan Allah SWT akan tetap memberikan ganjaran berdasarkan niat dan azamnya. Ini adalah berdasarkan kepada sabda Nabi SAW (maksudnya): “Apabila seorang hamba Allah sakit atau musafir (beliau tidak dapat melakukan amalan yang biasa dilakukannya) maka dituliskan baginya pahala seperti amalan yang biasa dilakukannya sewaktu tidak bermusafir dan sewaktu sihat” [Sahih Al-Bukhari no. 2834]


Akhir kalam, semoga kita semua diberikan taufiq dan hidayah oleh Allah SWT ke jalan yang diredhai-Nya serta dapat melaksanakan ibadah puasa enam hari di bulan Syawal ini dengan sempurna, dan seterusnya dimasukkan ke dalam golongan mereka yang mendapat kejayaan dunia dan akhirat. Aamiiin...


RUJUKAN:






Saturday, October 10, 2009

Tangisan Nabi Kerana Wanita

Diceritakan daripada Saidina Ali R.A pada suatu hari ia masuk ke rumah Rasullulah bersama-sama isterinya, Siti Fatimah R.A didapati Rasullulah sedang menangis bersungguh-sungguh maka kataku: Apakah yang menjadikan engkau menangis ya Rasullulah? Lalu nabi bersabda : "Sesungguhnya aku telah diperlihatkan pada malam Israk dan Mikraj beberapa perempuan daripada umatku keadaannya diseksa yang bersangatan kerana kesalahan yang dilakukan oleh mereka dalam dunia." Kataku, "Bagaimanakah keadaan mereka ya Rasullulah dan apakah sebab kesalahannya?" Sabdanya:

1)Perempuan yang di gantung dengan rambutnya Perempuan yang tiada menutup rambut kepalanya pada lelaki yang bukan muhrim.

2)Perempuan yang digantungkan lidahnya dan dituang air panas ke dalam lehernya. Perempuan yang menyakiti hati suami.

3)Perempuan yang digantung dua buah dadanya Perempuan yang memberi harta suami kepada orang lain dengan tanpa izin suami.

4)Perempuan yang digantung 2 kakinya ke dalam karung api neraka Perempuan yang keluar dari rumah tiada minta izin suami atau tiada keizinannya.

5)Perempuan yang digantung dan memakan tubuhnya sendiri dan dinyalakan api neraka dibawahnya Perempuan yang menghiasi dirinya bg orang lain tidak untuk suaminya.

6)Perempuan yang digantung 2 kakinya dan ditambatkan kebuah dadanya dan buah dadanya ditambat ke ubun-ubunnya dan menjadi beberapa ular dan kala dan meminum darahnya Perempuan yg tiada junub atas mandi haid atau mandi nifaz dan perempuan yang meringankan sembahyang.

7)Perempuan yg digantung keadaannya kelu dan buta tuli yang berada dalam karung api neraka. Perempuan yang berzina.

8)Perempuan yang kepalanya seperti babi dan badannya seperti keldai Perempuan yang suka mengadu-ngadu dan pendusta.

9)Perempuan seperti rupa anjing dgn dimasukkan api neraka kemulutnya dan keluar melalui duburnya Perempuan yang sangat dengki-mendengki akan manusia. Akhirnya Rasullulah bersabda: "Hai ,Fatimah, Neraka Wail itu di sediakan bagi perempuan yang tidak taat kepada suaminya."

Dipetik dari sini.

Luahan Rasa : Sekitar Jamuan Aidilfitri Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)

Pada 21 Syawal bersamaan 10 Oktober, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) telah mengadakan jamuan aidilfitri di Sekolah Kebangsaan Bandar Darul Aman, Jitra Kedah.



Adik2 ni beratur nak ambil duit raya. Ana je tak dapat...he2..






Persembahan nyanyian..




Tak cukup ke makanan tu..??





Wednesday, October 7, 2009

Bagaimana memotivasikan murid untuk rajin bersolat?

Bermula persekolahan tahun ini saya mengajar pelajar darjah 4 (berumur 10 tahun). Pertama sekali yang saya tanyakan kepada mereka, "siapa di sini solat cukup lima waktu". Kebetulan pula pada waktu itu subjek Ibadah yang menyentuh tentang kepentingan solat.

Seperti biasalah, yang mengangkat tangan dua, tiga orang dari kelas yang berjumlah 38 orang...

Memang begitulah, kadang-kadang cikgu di sekolah sudah bertungkus lumus mengajar anak muridnya tatacara solat, cukup dengan rukun qolbi, qauli dan fe'li. Bermula dari darjah satu lagi diperkenalkan perbuatan di dalam solat, niatnya, takbir, rukuk dan sujudnya sehinggalah memberi salam.

Bersabarlah Dalam Mengajar

Dalam mengajar anak murid kena banyak bersabar, jangan putus asa. Maklumlah untuk menjadikan mereka 'manusia' banyak yang perlu dibentuk. Dan antara perkara yang penting adalah hal ehwal solatnya, kerana persoalan pertama yang ditanya ALlah adalah tentang solat jua.

Pesan Rasulullah yang bererti : "Yang mula-mula dicabut daripada manusia ialah amanah dan yang terakhir tinggal daripada agama mereka ialah solat. Ramai orang yang solat, tetapi tidak ada nilai di sisi ALLah.." (Riwayat al Hakim)

Allahu.. Allah... Ada orang Islam tetapi tidak solat, ada yang sengaja, yang jahil, yang terlupa, ada juga yang tahu tetapi amalan solatnya dilemparkan ke muka...

Tiadalah cara lain melainkan saya perlu berbuat sesuatu untuk menimbulkan keinginan dan suka mereka untuk solat. Agar bila sudah dewasa nanti tidak perlu disuruh, diherdik, dimarahi baru bergerak hendak solat.

Kepada anak muridku, ALlah telah mengajar kita bahawa sesungguhnya solat dapat menghalang keburukan dan kemungkaran (surah al Ankabut : 45). Di setiap suara bilal yang memanggil kita untuk menghadapNya, bilal menyeru "Marilah tunaikan Solattt!, Marilah Menuju Kejayaan!".

Murid saya disuruh untuk mengambil satu buku 'kosong' dan buat jadual seperti di bawah :





Penerangan kod : S = Subuh, Z= Zohor, A= Asar, M=Maghrib, I=Isyak

Setiap hari dan masa solat mereka perlu mengisikan jadual ini, tarikh dan waktu solat. Jika solat sudah disempurnakan pada waktu tersebut maka ia hendaklah diisikan dengan = 1 manakala jika tidak dibuat walau dengan apa jua alasan maka ia ditulis= 0.

Dan '0' itu bermakna akan dimasukkan ke neraka Saqar. Ini menurut amaran ALlah dalam surah al Muddathir ayat 42-43 yang bererti : "Apakah yang menjerumuskan kamu ke dalam Neraka Saqar? Mereka berkata : kami tidak menunaikan solat".

Pada setiap hari Jumaat saya meminta mereka menunjukkan Jadual Solat tersebut. Dan sekiranya ada 'telur' = O, maka hukuman rotan akan diberikan sekali di telapak tangan. Di rumah, ibu dan ayah mereka mendidik, tetapi jika di sekolah, sayalah ibu dan ayah mereka.

Hadis riwayat Ahmad dan Abu Daud berkata RasuluLlah yang bererti ;“Perintahkanlah anak-anakmu mengerjakan solat di kala mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka karena mereka tidak mengerjakannya di kala mereka berumur tahun pisahkanlah tempat tidurnya”

Ya, positive punishment saya perlu berikan kepada mereka untuk mendidik, dan apabila mereka berjaya menyempurnakan solat pada hari tersebut dan berikutnya, saya ucapkan tahniah.

Dipetik dari sini.

Syeikh Tantawi Haramkan Purdah ke Universiti al-Azhar

KAHERAH 6 Okt. - Syeikh Al-Azhar, Mohammed Sayyed Tantawi merancang untuk mengharamkan pelajar perempuan yang memakai purdah daripada memasuki institusi-institusi pendidikan di bawah Universiti al-Azhar.

Seorang pegawai keselamatan semalam berkata, polis telah menerima arahan secara lisan supaya menghalang pelajar perempuan yang berkelubung daripada memasuki institusi-institusi al-Azhar termasuk sekolah menengah dan tinggi, serta asrama beberapa universiti di Kaherah.

Pegawai itu berkata, pengharaman tersebut adalah atas sebab keselamatan.

Langkah itu dipercayai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk membendung manifestasi Islam yang dianggap ultrakonservatif di Mesir.

Sungguhpun majoriti wanita Mesir memakai tudung, hanya segelintir yang memakai purdah atau dikenali di sini sebagai niqab yang menutup muka dan lebih kerap ditemui di Arab Saudi yang mengamalkan ajaran Wahhabi.

Kebanyakan ulama berpendapat purdah tidak wajib tetapi hanyalah adat resam yang diamalkan oleh masyarakat Arab Badwi sebelum kedatangan Islam.

Rancangan Tantawi itu diumumkan semasa beliau menyuruh seorang pelajar sekolah menengah di sebuah kelas yang dikunjunginya awal minggu ini, supaya menanggalkan niqabnya.

Syeikh itu melawat sekolah-sekolah al-Azhar pada permulaan tahun akademik untuk memeriksa langkah yang diambil bagi membendung wabak selesema babi, menurut butir-butir lawatan yang disiarkan semalam oleh akhbar bebas, Al-Masry Al-Youm.

Tantawi dengan tegas memberitahu gadis berkenaan bahawa niqab 'tidak ada kena-mengena dengan Islam dan hanya satu adat resam' dan memaksanya menanggalkan niqabnya.

Beliau kemudian mengumumkan akan mengeluarkan arahan tidak lama lagi bagi mengharamkan pelajar perempuan yang memakai niqab daripada memasuki sekolah-sekolah al-Azhar.

"Niqab tidak ada kaitan dengan Islam...saya lebih arif tentang agama daripada kamu dan ibu bapa kamu," kata Tantawi kepada pelajar berkenaan.

Seorang sarjana di sebuah pusat penyelidikan al-Azhar, Abdel Moati Bayoumi berkata, para sarjana al-Azhar akan menyokong Tantawi jika beliau mengeluarkan arahan tersebut.

Bagaimanapun pengkritik langkah itu berkata, pengharaman niqab tidak akan dilaksanakan.

Arahan sebelum ini oleh Kementerian Wakaf untuk mengharamkan penceramah wanita yang memakai niqab daripada memasuki masjid dibantah keras.

Seorang penyelidik yang dihalang daripada memasuki perpustakaan Universiti Amerika di sini pada 2001 kerana memakai niqab membawa kesnya ke Mahkamah Agung Mesir dan akhirnya menang.

Mahkamah memutuskan pengharaman menyeluruh ke atas niqab menyalahi perlembagaan. - AP

Sumber dari Utusan Malaysia

Terkejut bukan dengan tajuk dalam post ana ni? Ana pun terkejut dan keliru bila membaca tajuk ni kerana berbeza dengan hukum yang ana jumpa sebelum ni. Jadi ana poskan dalam iluvislam untuk bertanya pendapat sahabat-sahabat. Jom kita tengok komen dari sahabat-sahabat iluvislam di sini.

Renungan : Adakah Anda Wanita Muslimah Yang Berfikir?

Wanita Muslimah yang memahami dengan jelas tentang hidupnya yang sebenar hanyalah untuk mencari keredhaan Penciptanya dan yakin bahawa Jannah (syurga) atau Jahanamwanita yang cantik”. Keutamaan dalam kehidupannya adalah bagaimana menjadi seorang hamba yang tawaddhu’ kepada Penciptanya dan mengumpulkan sebanyak pahala yang mungkin untuk hari kemudian.

Model contoh dalam kehidupannya bukan pelakon filem, pemuzik atau model yang superfisial di Barat atau Timur tetapi lebih kepada Sahabiyaat dan wanita Muslim lampau yang mengabdikan diri hanya kepada Allah dengan memenuhi segala tanggungjawab kepadaNya dengan sepenuh daya tenaga mereka. Mereka ini dikenalpasti dan disanjung oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam ulama-ulama dan didalam sirah Islam bukan kerana kecantikan mereka tetapi kerana keperibadian yang tinggi dan kebijaksaan yang berkualiti, kedermawanan, kerendahan diri, kesetiaan, keberanian, kekuatan, pengorbanan dan menjadi isteri-isteri yang taat dan ibu-ibu yang penyayang. Mereka diiktiraf didalam budaya Islam bukan kerana paras rupa mereka tetapi kerana menjadi pemikir-pemikir yang hebat, cendikiawan yang hebat, pejuang-pejuang yang hebat, pensyair-pensyair yang hebat dan ahli-ali politik yang hebat dan juga para pendakwah yang hebat.

Wanita-wanita seperti Khadijah Radhiallahu anha isteri pertama Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam yang menyokong suaminya didalam berdakwah untuk membentuk Negara Islam yang pertama telah sanggup mengharungi segala kesukaran dan rintangan dengan tabah dan sabar, malah menyaksikan penderitaan anak-anak beliau pada masa yang sama. Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam berkata mengenainya “Aku tidak pernah berjumpa isteri yang lebih baik dari beliau. Dia mempercayai aku ketika orang lain, walaupun ahli dan kaum keluargaku sendiri tidak mempercayai aku, dan menerima bahawa aku adalah Rasul dan Pesuruh Allah yang sebenar. Dia memeluk Islam dan membelanjakan segala harta bendanya untuk membantu aku menyebarkan kepercayaan ini dan juga pada ketika seluruh dunia menentang dan menganiaya aku. Dan melaluinya, Allah mengurniakan aku dengan cahayamata.”

Sedemikianlah keperibadiannya sehingga Allah Subhanahu wa Taala mengirimkan salam kepadanya sepertimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah dalam sebuah hadis yang menyatakan bahawa Malaikat Jibrail datang kepada Rasul Sallallahu Alaihi wa Sallam dan berkata, “Wahai Pesuruh Allah! Khadijah akan datang kepada kamu dengan membawa semangkuk sup daging. Apabila dia sampai kepada kamu, sambutlah dia bagi pihak Tuhan kamu dan diriku, dan berilah dia khabar gembira bahawa sebuah istana yang diperbuat dari Oasab menantinya disyurga yang tidak akan ada sebarang kebisingan dan kesusahan.” [Riwayat Bukhari]


Wanita-wanita seperti Fatimah Radhiallahu anha anak perempuan kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam adalah seorang yang sangat pemurah seperti perumpamaan cahaya api diatas bukit yang memberi panduan kepada kapal-kapal yang lalu. Contohnya, pada suatu ketika dimana Salman Radhiallahu anhu salah seorang dari rakan Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam cuba mencari makanan untuk seorang Muslim yang kelaparan kerana telah tidak makan untuk beberapa lama. Dia membawa orang tersebut kebeberapa buah rumah tetapi tiada sesiapa pun yang dapat memberikan sebarang makanan. Tiba-tiba dia sampai kerumah Fatimah, lalu mengetuk pintu serta memberitahu tujuan kedatangannya. Dengan airmata berlinangan, Fatimah memberitahunya bahawa dia telah tiga hari tidak mempunyai sebarang makanan dirumah. Walaupun begitu, Fatimah enggan menolak tetamu tersebut dan berkata, “Aku tidak boleh menghantar pulang seorang tetamu yang kelaparan tanpa memberi sebarang makanan kepadanya”. Fatimah lalu merayu Salman supaya memberikan sehelai pakaian kepunyaannya kepada Shamoon, seorang Yahudi untuk ditukarkan dengan sedikit jagung. Orang Yahudi tersebut sangat kagum dengan kemurahan hati anak perempuan Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam lalu memeluk Islam. Salman membawa jagung tersebut kepada Fatimah, lalu dikisarnya jagung tersebut untuk dijadikan beberapa buku roti. Apabila Salman mencadangkan supaya Fatimah menyimpan beberapa buku roti untuk diri dan keluarganya, Fatimah menjawab bahawa dia tidak mempunyai hak keatasnya kerana dia telah menyerahkan pakaian tersebut kerana Allah.

Wanita-wanita seperti Aisyah Radhiallahu anha isteri kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam adalah seorang yang bijaksana dan mempunyai daya ingatan yang sangat kuat, telah meriwayatkan lebih 2,000 buah hadis. Beliau mempunyai pengetahuan yang mendalam dibidang tafsir, hadis, fikih dan Shari’ah. Didalam suatu mimpi Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam, Malaikat Jibra’il menunjukkan satu gambar Aisyah yang dibaluti oleh sutera berwarna hijau dan berkata, “Dia adalah isterimu didunia dan akhirat.

Wanita-wanita seperti Khansaa seorang penyair yang mahir dan menggunakan kemahirannya untuk memotivasikan anak-anaknya berjihad untuk menaikkan ayat-ayat Allah yang Maha Tinggi dengan berkata kepada mereka, “ Kamu tahu ganjaran yang Allah janjikan kepada orang -orang yang berjuang untuk menentang orang - orang yang memusuhi jalanNya. Kamu harus ingat bahawa kehidupan akhirat adalah jauh lebih baik dari kehidupan dunia yang sementara ini. Apabila kamu bangun dikeesokan paginya, bersedialah untuk melakukan yang terbaik didalam peperangan. Berjuanglah menentang musuh dan mintalah pertolongan dengan Allah. Apabila kamu melihat api peperangan menyala, pergilah kamu ketengah medan peperangan dan hadapilah ketua-ketua musuhmu. InsyaAllah, kamu akan tinggal disyurga dengan kemuliaan dan kejayaan”. Keesokan harinya, keempat-empat anaknya melangkah kemedan peperangan Qadasiyyah, sambil mengulang-ulangi syair ibu mereka dan berperang sehingga mereka terbunuh. Apabila Khansaa menerima berita kematian anak-anaknya, dia berkata, “Alhamdulillah. Puji-pujian bagi Allah yang telah memuliakan aku dengan kesyahidan mereka. Aku berharap agar Allah mempertemukan aku dengan mereka dibawah lindungan Yang Maha Pengasih”.

Wanita-wanita seperti Ummu Amarah Radhiallahu anha seorang pejuang yang sangat mahir dan telah berjuang didalam banyak peperangan termasuk Perang Uhud, Hunayn dan Yamamah. Seorang yang melindungi Rasullullah dengan badannya serta mengalami banyak kecederaan didalam Peperangan Uhud. Rasullullah Sallallahu Alaihi wa Sallam pernah menceritakan ketika Perang Uhud dimana sahaja dia beralih, kekiri atau kekanan, dia melihat Ummu Amarah berjuang bermati-matian untuk melindunginya. Beliau berdoa untuk Ummu Amarah dan keluarganya yang telah berjuang dengan penuh semangat dan kekuatan pada hari tersebut dan bersabda; “Ya Allah! Jadikanlah keluarga ini teman –temanku disyurga.”

Wanita-wanita seperti Ummu Shareek yang mengabdikan dirinya untuk berdakwah kejalan Islam dikalangan wanita-wanita Quraish sehingga pada satu masa dia dihalau dari masyarakat oleh ketua-ketua orang Quraish dan wanita-wanita seperti Sumayyah yang pertama syahid kerana Islam, yang sentiasa menyeru kepada orang ramai untuk menyembah Allah Subhanahu wa Taala walaupun sedang diseksa oleh Abu Jahal.

Khatimah
Wanita Muslimah adalah individu yang berfikir, seorang yang tidak membuta tuli meniru dan menurut orang-orang disekitarnya walaupun dia menentang kebiasaan masyarakat. Dia bukanlah seorang individu yang merasa rendah diri kerana imejnya tetapi dia adalah seorang wanita yang yakin dengan kehidupan yang telah dipilihnya untuk memwujudkan kebenaran Islam melalui minda dan keyakinanya. Akhirnya, dia bukanlah seorang wanita yang hanya taksub dengan imejnya sendiri; keterampilan atau kehidupan tetapi sebagai seorang individu yang mengetahui urusan dunia, memahami masalah-masalah manusia dan berfikir dengan hati-hati tentang peranannya untuk merealisasikan sistem yang sebenarnya untuk mentadbir manusia; iaitu Daulah Khilafah. Anda bagaimana?? Marilah sama-sama kita renungkan. Wallahu alam bishawab (neraka) merupakan balasan diakhirat, adalah seorang wanita yang berfikir. Dia adalah seorang yang tidak akan terpedaya dengan mitos kecantikan atau berusaha sedaya upaya untuk menerima imej dangkal yang dipropagandakan oleh Negara Kapitalis Barat. Dia tidak akan terpengaruh dengan dakyah dangkal yang membincangkan tentang kecantikan, rambut atau fesyen yang betul, atau membuang masa dan tenaga cuba untuk mencapai harapan yang tidak realistik sepertimana yang didefinasikan oleh masyarakat Barat sebagai “

Dipetik dari sini.