Santapan Rohani


Random Hadith Widget

Monday, May 4, 2009

Luahan Rasa : Cerpen Balqis

Cinta mana yang perlu dipilih?
Cinta yang sementara atau cinta yang kekal selamanya....

Inilah kisah hidup seorang syabab....

Pernah seketika dahulu aku diminati beberapa orang wanita di sekolahku. Bukan ingin berbangga akan diri tetapi sekadar untuk muhasabah diri. Walaupun begitu, aku belum pernah punya teman wanita. Mungkin kerana aku masih belum berani dan takut untuk menjalinkan hubungan percintaan. Mungkin juga aku terlalu memilih. Aku pun bukanlah seorang lelaki yang boleh dikatakan baik. Aku pernah menghisap rokok, ponteng kelas bahkan solat juga. Aku tidak tahu mengapa diriku boleh menjadi sedemikian rupa padahal bapaku seorang yang sangat mementingkan agama lebih-lebih lagi dalam menjaga bab solat.

Di kala aku sendiri, acapkali aku terfikir, apa sangatlah yang ada pada rupa? Bukankah keimanan itu tunjang segala-galanya? Bila aku bertemu dengan pelajar perempuan atas urusan tertentu, ada sahaja pelajar lelaki yang cemburu. Cemburunya mengalahkan perempuan padahal buka
n aku jumpa berdua pun. Ada yang kata aku ni ‘playboy’ hinggakan aku diberi amaran dek rasa tak puas hati mereka. Sampai sekarang pun, semua masalah ini tak pernah terlepas dari hidupku. Tapi aku tak kisah. Mungkin aku dah mangli dengan semua ini. Pada aku, aku adalah aku.

Aku insan yang tak boleh lari daripada rasa kekosongan, kekosongan pada hati. Rasa ingin disayangi dan menyayangi mula berputik kerana itulah lumrah manusia, benar bukan? Perasaan itu kian meronta apabila melihat ramai kawan-kawanku yang dah mula bercinta. Dalam kelas cerita pasal ‘girlfriend’ saja. Ada yang telefon sampai satu malam boleh sampai berjam-jam lamanya. Walaupun nampak macam membazir, tapi hati yang sepi tetap rasa cemburu pada mereka.

Mindaku mula terfikir, "Adakah aku perlu bercinta?" Dengan menggunakan akal seorang pelajar yang masih belum matang di tingkatan 3 pada masa itu, aku pun mula menanam hasrat untuk menyayangi dan disayangi. Tatkala itulah aku mengenali Balqis, kawan satu sekolahku. “Dialah calon yang sesuai untukku,” getusku di dalam hati. “Inilah satu-satunya peluang aku untuk membuang gelaran ‘playboy’ yang diberi oleh mereka yang hanya tahu mengejek tanpa bisa mengenali diriku terlebih dahulu,” hatiku menyambung lagi.

Pada masa yang sama, aku juga telah berkenalan dengan seorang gadis. Aku tertarik dengan peribadinya yang tampak solehah, dipelihara oleh jilbabnya malah bersekolah di sekolah agama. Kini, di hatiku bertakhta dua jelita yang masing-masing punya keistimewaan. Aku keliru. Dalam kekeliruan itu, telah aku putuskan untuk cuba memikat Balqis kerana dialah yang mula aku kenal dan yang pertama sekali bertapak di hati ku.

Balqis, sukar sungguh untuk aku mengalahkan egonya. Dia bersikap endah tidak endah apabila aku ingin berkenalan dengannya. “Nantilah saya fikirkan dulu,” jawabnya bila aku berterus terang untuk menjalinkan hubungan yang lebih dari sahabat. Sikapnya membuatkan hatiku berbolak-balik. Akhirnya, aku putuskan untuk cuba menyulam bibit cinta bersama Aqilah, gadis berjilbab dari sekolah agama itu. 28 Julai 2005, tarikh keramat buatku kerana pada hari itulah aku meluahkan rasa hatiku pada Aqilah. Itulah juga cinta pertamaku. Debaranku kian memuncak disulami dengan senyuman syukur tatkala Aqilah menggangguk malu, menerima rasa hatiku. Terasa bagai dunia ini, aku yang punya!

Di kala bercinta, semangatku memuncak. Cinta pertama orang kata. Acapkali kami meluangkan waktu bersama-sama. Belajar bersama, balik berdua, makan bertentang mata dan banyak lagi aktiviti yang kami lakukan bersama-sama. Dialah yang telah menunjukkan aku jalan untuk mendekatkan diri dengan Islam dan kerana dia jugalah aku berhenti daripada tabiat burukku. Sejak dari saat aku mengenali Aqilah, aku mula rapatkan diri dengan masjid, lidahku bertartil melafazkan kalamullah, bersolat jemaah pada awal waktu malah juga telingaku dihidangkan dengan juadah tazkirah penuh ilmiah. Walaupun pada awalnya niatku bukan untuk mencari mardatillah, namun Dialah Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Setelah sekian lama aku mengamalkan amalan-amalan itu, niatku telah berubah. Daripada hanya mahu menunjuk-nunjuk, timbul pula rasa seronok dalam melaksanakan ibadah-ibadah ini. Mungkinkah itu yang dikatakan kelazatan dalam beribadah? Mungkinkah itu hikmahnya aku bercinta dengan pelajar dari sekolah agama, yang punya ilmu agama? Tidak putus-putus aku merafakkan syukur di atas perubahan positifku ini. Terima kasih Aqilah. Syukur Ya Rabbi.

Pada sebelah malamnya, aku akan menelefon teman hatiku ini. Begitulah juga sebaliknya. Dengan menggunakan telefon awam sahaja, aku sabar berbual dengannya. Biarpun nyamuk menggila mencari peluang untuk menghisap darahku, tidakku endahkan dengungan serangga ini. Kukira, itulah ertinya pengorbanan. Sangat indah waktu itu, bagai hidup dalam kayangan lagaknya. Tanpa sedar segumpal daging di dalam diri kami telah dihuni oleh syaitan yang tak pernah jemu untuk mengheret cucu cicit Nabi Adam ke arah zina. Ya, zina hati! Namun mata hati kami tertutup seketika untuk bermuhasabah pada qalbi gara-gara bercinta. Aduhai hati...

Setiap yang bermula, pasti ada akhirnya। Ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Tautan hati antara aku dan Aqilah yang diharapkan berkekalan kini mula berantakan gara-gara latar belakang keluarganya. Dia sebenarnya dipelihara oleh ibu tirinya kerana ibu kandungnya telah meninggal dunia kerana penyakit kanser. Ibu tirinya tidak senang hati melihat Aqilah terlalu asyik dengan cinta, mungkin risau pada pelajarannya. Lalu, hubungan kami usai begitu sahaja. Tiada kata sepakat dan tiada nilai muafakat. Nokhtah. Sukar untuk kugambarkan bagaimana perasaanku ketika itu. Menangis? Meraung? Tidaklah sebegitu kerana aku adalah lelaki. Sedih? Ya, sangat sedih. Hanya itu yang mampu untuk aku simpulkan. Namun, akal yang waras memujuk hati agar redha dan bangkit terus maju mengejar cinta yang lain. “Mungkin tuhan menghadirkan Aqilah dalam hidupku kerana tuhan masih lagi menyayangi diriku. Kerana dia aku berubah. Lagipun kita hanya merancang dan Allah yang menentukan,” monolog ku pada diri.

Hati kembali kosong tidak terisi. Hati ini juga pinta diisi. Lalu, aku teringat pada senyuman manis Balqis. Ya, kali ini aku nekad untuk melamar hatinya. Daripada seorang rakan, aku telah berjaya mendapatkan nombor telefon Balqis. Pantas jari-jemari menaip pesanan ringkas buat menyatakan rasa hatiku terhadapnya. Tanggal 13 Disember 2005, cinta ku berbalas jua. “Tahniah wahai aku,” kataku pada diri sambil bibirku memberi senyuman yang memberi seribu erti. Terlalu sukar untuk aku gambarkan. Kini, aku kembali bersemangat. Mana tidaknya, hatiku kini sudah punya permaisuri yang umpama pelita tatkala aku kegelapan. Tatkala itu, tidak ku terfikirkan wajah-wajah tua yang sering bergantung harap padaku, yang saban hari mendoakan kejayaan aku. Aduhai hati...

Hatiku kian parah. Percintaan kali ini ternyata satu dugaan yang maha hebat buatku ku. Sekiranya dahulu hanya bersaya dan awak kini telah bertukar ganti kepada ‘abang’ dan ‘ayang’. Kiranya dahulu sekadar lima belas minit berbual di telefon kini bertambah ke minit yang ke enam puluh. Hubungan kami diserikan lagi dengan lagu tema aku dan Balqis, Insan Bernama Kekasih dendangan kumpulan nasyid UNIC. Setiap bait liriknya mengkhabarkan kiasan hati aku dan hati Balqis. Jalinan kali ini, lebih asyik daripada dahulu, lebih manis malah lebih indah.

Kadang kala, aku terdengar satu suara berbisik lemah. Jauh di sanubariku, sangat perlahan ia berbisik. Berbisik memberikan aku peringatan untuk mengawal nafsuku dan memelihara hatiku. Namun, bisikan itu terlalu lemah untuk melawan hangatnya rasa cintaku. Aku endahkan suara itu dan terus-menerus membiarkan hatiku dibuai asyik. Keasyikan cinta yang di sebaliknya terpalit kekalahan dalam memelihara hati dan iman. Ya Allah, Kau ampunilah segala dosaku...

Masa kian berlalu tanpa kami sedari. Genaplah kini dua tahun usia percintaan kami. Kini kami di tingkatan lima, satu tahun yang penuh dengan latih tubi, bergelumanglah kami dengan kertas-kertas nota dan naskah-naskah soalan percubaan dari pelbagai negeri. Dalam tahun inilah masing-masing menyemai janji untuk menghadiahkan kejayaan pada ibu dan ayah yang sekian lama menanti. Itulah azam aku dan intan payungku, Balqis.

Sudah lama aku tidak menghidangkan telingaku dengan ilmu-ilmu agama di masjid yang berhampiran. Suatu hari, Allah menggerakkan kakiku untuk bersolat di masjid. Maha Suci Allah, Alhamdulillah, aku bersyukur kerana apa yang didengar benar-benar menyedarkan aku. Daripada ceramah itu aku sedar yang diriku telah banyak berdosa dan aku sedar bahawa aku kena berubah. Aku juga sedar, hidupku mesti selari dengan Islam. Aku perlu menjadi orang yang baik kerana itulah fitrah manusia, sentiasa menginginkan kebaikan.

Kini, aku kurangkan masa yang selama ini acapkali ku habiskan bersama-sama Balqis. Balqis pula terkejut dengan perubahanku ini dan mula memikirkan yang bukan-bukan. Ku katakan padanya, “Biarlah kita lestarikan cinta kita kerana Allah Yang Esa dan jangan sampai buat benda yang salah”. Aku tak kepingin untuk bercinta seperti mana rakan-rakan yang lain yang mengamalkan prinsip jiwang dalam bercinta. Malah, ada yang sudah terlanjur daripada itu, yang bersentuhan dan berpelukan. Nau’zubillah... Aku nekad! Aku mahu menjaga kesucian cintaku dan Balqis agar tidak dicemari dengan tipu daya syaitan seperti mana dahulu. Aku mahu menjaga batas-batas syara'. Tidak perlu penggunaan ayat yang berbunga-bunga malah tidak perlu berjumpa kiranya tiada kepentingan. Cukuplah sekadar telefon menjadi penghubung.

Balqis? Ya, gadis manis ini menerima perubahanku. Selalu juga aku menasihatinya dan syukur kerana dia menerima seadanya. Walaupun kadang-kala Balqis merajuk dek ditegur aku, namun aku faham, perubahan memerlukan masa. Akhirnya kurasakan, hubungan kami semakin diredhai. Aku selalu berdoa supaya hubungan kami akan kekal sampai ke gerbang perkahwinan.

Suatu hari, ketika aku sedang membelek helaian demi helaian dalam satu majalah, mataku tertatap pada satu artikel bertajuk, “MENUAI BENIH CINTA : Bahagia Dalam Seksa”.Tergerak hatiku untuk membaca artikel tersebut kerana ia menceritakan tentang percintaan sebelum memasuki gerbang perkahwinan. Dengan segala dalil-dalil yang diberi, maka benarlah bahawa berpasangan itu menjurus ke arah kemaksiatan. Kaku dan terdiam. Hatiku seakan berhenti berdegup apabila mengetahui perkara yang selama ini kufikirkan baik, adalah salah sama sekali. Ingin kukongsi perihal ini bersama Balqis namun kurasakan sekarang bukanlah waktu yang sesuai lalu aku pendamkan sajaha. Hati berbicara dan minda mula bertelegah, “ kami tak buat maksiat, tak berpegangan tangan dan kata-kata kami bukanlah menjurus ke arah perkara yang diharamkan. Cuma saling ambil berat, tanya khabar, borak-borak, dan siap bertazkirah lagi. Apa yang haramnya dengan benda ni?”

Akal yang waras mula menidakkan kesalahan yang telah aku lakukan. Itulah lumrah manusia. Apabila perkara yang saban hari telah dilakukan sehingga ia menjadi rutin harian, walaupun salahnya terang di sisi agama, tetapi dek adanya logik akal, aku membutakan mata dengan artikel ini. Tambahan pula, sekarang bukanlah waktu yang sesuai untuk aku dan Balqis membicarakan akan hal ini memandangkan SPM akan menyusul tidak lama lagi.

Ujian mencemburui hubungan kami. Satu perpisahan antara aku dan Balqis telah tercipta apabila aku telah terpilih untuk mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Jauh di sudut hati, aku gembira kerana ini akan memberi faedah dan manfaat kepadaku untuk melanjutkan pelajaran selepas tamat sekolah menengah. Namun senyuman dan rasa girang di hatiku melayang entah ke mana tatkala Balqis menyuarakan rasa hatinya yang berat untuk melepaskan aku pergi. Oh, inikah kuasanya cinta? Aku terdiam, memikirkan betapa sayangnya gadis ini terhadapku. “Barangkali kasihnya kepadaku melebihi cintaku pada dirinya,” getus hatiku. Melihatkan reaksiku yang hanya berdiam diri, Balqis mula bersuara kembali, namun diam. Matanya mula berkaca lalu, kutahu apa pintanya. Aku memujuk Balqis agar bersabar dan menganggap ini hanyalah satu ujian yang akan menguji, di tahap manakah percintaan ini. Lidahku fasih melafazkan janji setia, hatiku akur pada rasa cinta lalu kupinta pada Balqis agar percaya bahawa aku akan setia padanya. Bak kata pepatah Melayu, “Kalau sudah jodoh takkan lari ke mana”.

Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bakal menyinsing tidak lama lagi. Kurasakan pantasnya waktu berlalu, umpama mimpi walhal aku masih terumbang–ambing di ulit lena. Situasi ini membuatkan aku tertekan lalu aku mula mengabaikan Balqis dengan niat mahu mencegah diriku daripada melepaskan 1001 masalahku di pundaknya. Aku berharap agar Balqis dapat menumpukan perhatian pada peperiksaan tanpa terlalu memikirkan perihal diriku.

Meskipun rambut sama hitam, namun hati lain-lain. Niatku telah disalah tafsirkan oleh Balqis. Dia menyangka aku sudah lupakan dirinya. 1001 penyesalan dan rasa bersalah bersarang dalam diriku pabila seorang daripada temannya memberitahuku bahawa dia sering menangis dek ingatannya terhadapku. Beberapa hari sebelum SPM bermula, aku memberanikan diri menelefon Balqis dengan niat agar dia kembali fokus pada peperiksaan dan memohon seribu kemaafan sambil menyatakan segala yang tersirat di dalam hati. Aku juga mengambil kesempatan tersebut mengucapkan selamat menduduki peperiksaan SPM pada minggu depan. Kini Balqis sudah mampu ketawa apabila bercakap denganku. Alhamdulillah..

Usai kini peperiksaan yang selama ini menjadi sasaran dalam sistem pembelajaran buat diriku. Minda terasa ringan apabila memikirkan sesi persekolahan sebagai pelajar menengah atas sudah berakhir. Seminggu selepas peperiksaan, Balqis menyatakan hasratnya untuk berjumpa denganku tetapi entah mengapa hatiku begitu berat untuk berjumpa dengannya. Setelah didesak, aku akhirnya akur. Sepanjang hari kami menghabiskan masa bersama sebelum aku pergi ke PLKN. Itulah hari terakhir kami berjumpa pada tahun tersebut.

Pada hujung bulan Disember 2007, aku menghadiri latihan PLKN di sebuah kem yang terletak di Batu Pahat, Johor. Di sini aku lebih meminati bidang agama dek rakan-rakan yang rapat denganku kebanyakannya berasal dari sekolah agama. Banyak ilmu yang aku perolehi dari mereka. Lantaran itu, aku menjadi seorang yang minat kepada al-Quran, surau, masjid, dan semuanya yang berkaitan agama. Aku terfikir bahawa inilah masa yang paling sesuai untuk mendekatkan diri kepada Allah sambil mengingati dosa-dosa yang pernah aku lakukan sebelum ini.

Di suatu malam, terbaca aku akan petikan yang membicarakan mengenai zina hati. Semua inilah yang Rasulullah s.a.w. jelaskan dalam hadithnya tentang bagaimana menghampiri zina hati tu. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, mata boleh berzina dengan melihat, lidah boleh berzina dengan bercakap, tangan boleh berzina dengan berpegangan. Kaki boleh berzina dengan berjalan ke arah tempat maksiat. Hati pula boleh berzina dengan merindui, mengingati dan membayangi si dia. “Astagfirullah...” Secara spontan, lidahku beristighfar. “Laila haillallah...”, bisikku dengan hati yang berat. Terasa bagai ada embun panas di tebing kelopak mata. Hati berbisik kepada akal dan minda, mengisyaratkan bahawa aku perlu menukar paradigma. Ya! Aku perlu berubah!

Tamat sahaja latihan, aku mula terfikirkan perihal Balqis. Mampukah jelita ini menerima hasrat ku untuk meninggalkan dunia percintaan yang sia-sia cuma. Sungguhpun aku sudah nekad, namun masih terasa payah untuk ku memulakan langkah. Sehinggalah pada suatu hari muncul keberanian dalam diriku. Aku tidak tahu dari mana datangnya kekuatan itu tetapi aku sangat bersyukur dikurniakan perasaan yang sebegitu. Lalu, di suatu hari dalam Bulan Mac 2008 aku mula mengatur langkah. Di suatu tempat yang sunyi aku bersendirian mencari ketenangan. Setelah aku peroleh kekuatan dan kepercayan, akhirnya aku memberanikan diri menelefon Balqis untuk menyatakan hasrat yang selama ini terbuku di hatiku.

Pantas jari jemariku mendail nombornya yang sudah sedia ada di dalam ingatanku. Namun sepi tidak dijawab. Aku mengambil keputusan untuk menyuarakan rasa hati ku melalui sms sahaja.

"Assalamualaikum awak, saya ‘call’ banyak kali tapi awak tak angkat. Mungkin awak dah tidur. Takpelah, saya sebenarnya ada sesuatu yang penting nak cakap dengan awak. Hm.. Terus terang saya rasa hubungan kita cukuplah setakat di sini. Saya harap awak akan memahami. Kadangkala untuk mengejar sesuatu yang berada di hadapan kita, kita harus tinggalkan beban yang berat selama ini kita pikul. Saya harap awak akan memahami niat saya. Selepas ini hubungan kita hanya sekadar kawan biasa dan tiada lagi panggilan ‘abang dan ayang’ antara kita. Saya harap awak akan terima keadaan kita sekarang ini dengan rela."

Kutulis dan kubaca mesejku ini berulang kali sebelum menghantar pada Balqis. Selepas beberapa minit, ibu jariku ini menekan juga butang ‘hantar’. Kemudian tertera di skrin...

MENGHANTAR MESEJ..

MESEJ DIHANTAR

Sepi. Diam. Hening dan kosong. Terasa seperti separuh daripada hatiku gugur bersama bibit-bibit cinta antara aku dan dia. “Benarkah?”, bisik hatiku. Namun, tiada jawapan. Kosong.

Keesokan harinya, jiwaku tidak keruan. Detik demi detik, hatiku acapkali diruntun resah dan gelisah. Beberapa kali Balqis menelefonku namun aku masih tidak punya kekuatan untuk menerima panggilan telefon daripada si dia waima aku sedar bahawa aku patut mengungkaikan 1001 persoalan yang timbul di lubuk hati Balqis.

Di waktu senja pada hari itu, usai aku solat maghrib, aku telah menerima panggilan dari nombor yang tidak aku kenal. Tanpa ragu-ragu aku menerima panggilan tersebut. “Allah”, sambil jantungku berdegup kencang. Itu adalah panggilan daripada Nabilah, kakak kepada Balqis yang sememangnya telah aku kenal. Selepas sahaja dia memberi salam, bagai lagak seorang detektif dia mengajukan pertanyaan demi pertanyaan kepadaku, “ ‘You’ dah ada kekasih lain ke hah?”, soalnya marah. “Tak”, itulah jawapan ringkas yang terbit secara spontan dari bibirku. “So, kenapa you tinggalkan Balqis? Dah bosan dengan dia ke? Ingat dia tu sampah, bila tak guna ‘you’ boleh buang dia! ”, serang Nabilah lagi, penuh bisa.

Aku sedar, Balqis seorang wanita berjiwa lembut. Mudah terasa dan mudah menangis. Namun, tiada guna aku meneruskan hubungan ini hanya atas dasar simpati dan empati. Tiada apa yang aku bingkiskan pada Nabilah, hanya ucapan kemaafan semata-mata. Aku optimiskan minda dan memegang teguh pada paradigmaku kerana aku yakin, apa yang aku lakukan adalah benar!

“Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.”

Ayat inilah yang aku jadikan inspirasi untuk menguatkan semangatku dalam berubah dan cuba meninggalkan cinta aku padanya, Balqis.

Namun, setakat mana bisa aku membiarkan insan yang kusayang menderita. Aku bertekad, untuk memberitahu kondisiku yang sebenar pada Balqis. “Biarlah hubungan ini berakhir dengan cara yang baik,” bisikku pada diri.

“teet teet” “teet teet”,,,

“Assalamualaikum”, dengan suara yang perlahan Balqis menjawab panggilan dariku. Tersentap tangkai hatiku tatkala mendengar suaranya. “Ya Allah, kuatkanlah hati hambaMu ini,” pintaku pada Ya Rabbi kerana aku sebenarnya masih tiada kekuatan untuk memberitahu Balqis.

“Waalaikumsalam”. “Awak ok?”, dengan penuh getar di dada, aku membalas salamnya dan memulakan mauduk.

Sepi. Di hujung talian, aku terdengar tangisan dan sendu yang ditahan Balqis. Sepatah demi sepatah, dia meminta penjelasan mengapa aku meminta hubungan yang terjalin selama dua tahun diputuskan secara tiba-tiba. Maka, kalam mula diutara. Biar terhijab apa yang kurasa.

“Awak, saya minta maaf banyak-banyak kat awak. Saya tahu selama ini saya pernah berjanji untuk setia kepada awak. Tapi saya rasa tak salah untuk saya mengingkari janji yang pernah saya lafazkan untuk kebaikan kita. Saya akan tetap sayangkan awak sampai bila-bila tapi sekarang saya hanya mahu hubungan kita berlandaskan syariat Islam. Saya tak mahu guna lagi istilah ‘girlfriend boyfriend’, ‘makwe pakwe’ dalam hidup saya. Cukuplah setakat di sini. Yang penting hubungan kita sebagai sahabat tidak akan putus sampai bila-bila. Awak doakanlah jodoh kita ya! ”. Itulah yang dapat aku lafazkan untuk meluahkan isi hati aku dan itulah juga yang aku inginkan selama ini. Aku takkan bercinta lagi sehinggalah aku berkahwin nanti.

Senyap. Hanya bunyi unggas malam yang kedengaran. Kini, bunyi unggas itu diselang seli dengan tangis Balqis. Ya! aku sedar, ia adalah sesuatu yang maha berat untuk gadis ini. Setelah dua tahun lebih kami bersusah payah mempertahankan hubungan kami, kini dengan satu mesej yang aku hantar telah memutuskan segala-galanya. Aku terus berusaha memujuk Balqis agar menerima segala yang terjadi dan alhamdulillah, setelah beberapa ketika Balqis sudah mampu untuk menerima dan aku bertambah gembira apabila kami sudah mampu untuk berbual seperti biasa.

Selepas beberapa bulan, hubungan kami kembali seperti sediakala. Dengan keputusan SPM yang kami dapat, aku kini melanjutkan pelajaranku di sebuah institut perguruan manakala Balqis kini berada di sebuah kolej swasta. Walaupun hati kami masih menyayangi di antara satu sama lain tapi cukuplah perasaan sayang itu kami bataskan sebagai sahabat kerana perasaan sayang itu hanya pada yang selayaknya. Aku percaya, itulah yang terbaik buat aku dan Balqis. Dengan kekuatan yang ada dalam diriku inilah aku terangkan kepadanya, dan alhamdulillah Balqis faham. Dia amat faham dan mengerti. Walaupun air matanya seakan air sungai yang tidak berhenti mengalir pada malam itu, tetapi aku harap Balqis akan mengerti itulah yang terbaik buat kami berdua. Andai ada jodoh di antara kami, insya-Allah, aku percaya Dia akan temukan kami dalam keadaan yang jauh lebih baik dari sekarang. Itulah harapanku.

Hidupku kini lebih tenang setelah permasalahan gelodak jiwa ini selesai. Hidupku kini lebih selesa kerana aku boleh bercakap kembali tentang agama dengan lebih bebas tanpa dihantui oleh perasaan berdosa. Biarlah hidup aku kosong dari cinta yang sia-sia cuma kerana cinta selepas perkahwinan itu adalah lebih utama disisi-Nya. Bagi aku, inilah saat untuk kami beruzlah dan menilai kembali diri kami di samping membetulkan kembali segala kesilapan yang telah dilakukan. Inilah saat untuk kami mengejar kembali cita-cita dan sediakan diri untuk menjadi seorang insan yang berakhlak mulia dan berperibadi tinggi. Inilah masanya kami insafi kembali kesilapan kami dahulu dan memohon moga-moga Allah akan memaafkan kesalahan dan dosa kami.


Sesungguhnya Ya Allah, aku insan yang sangat lemah. Aku tidak mampu melawan godaan syaitan yang tidak pernah jemu, juga hambatan nafsu yang tidak pernah lesu. Ampunkanlah aku..

______________________________________________________________________________


"Sekiranya kita telah bertemu dengan seorang insan yang amat mulia sebagai teman dalam hidup kita, janganlah lepaskannya kerana kita tidak tahu bilakah pula kita akan bertemu dengan insan yang seumpamanya."

“Ingin ku miliki seluruh cintaNya dan sepenuh hati menghulurkan kasih padaNya. Tetapi ku bimbang pesona yang maya akan menjadi penghalang rindu kepadaNya.”

“Ya Allah, jika dia benar untukku dekatkanlah hatinya dengan hatiku. Jika dia bukan milikku, damaikanlah hatiku dengan ketentuan-Mu” -Dehearty-

“Cinta yang ku lafaz bukanlah cinta gurauan, kasih yang ku damba bukanlah kasih igauan.
Seikhlas hati ku semaikan benih kasih sayang moga kekal menyinar dalam keredhaan” –Dehearty-

Seandainya tercatat dia milikku
Seandainya tercatat dia untukku
Dekatkanlah daku bermesra padu
Bahagia sentiasa setiap waktu –Dehearty-

Namun ku tahu ada hikmahnya, setiap segala yang menimpa diri
Kuserahkan segala padaMu Tuhan, yang berkuasa jua mencipta
Kerana engkau Maha Mengetahui segala apa yang terbuku di hati –Dehearty-



Nukilan Azinuddin Muhammad bin Zainudin
Tempat Ke-3 Pertandingan Menulis Cerpen
Anjuran Badan Dakwah Dan Surau
PPISMP Pengajian Melayu Semester 1/2008
IPGM Kampus Sultan Abdul Halim

27 comments:

  1. wow..hbt gak ko tlis cte..
    ak tau ni kish idup ko kn..
    pape pn..all the best..

    ReplyDelete
  2. artikel yg benar2 membuat ana terase hebatnye cinta ilahi..Allah men=mberi akhi hidayah melalui percintaan sblm memberi cinta-Nya..bkn sume org bertuah spt akhi.. Subhanallah.. seandainya ana adlh Aqilah.. ana bangga n gembira kerana akhi berubah krn Allah..walaupun niat asl hanya untuk bercinta n berpura-pura menjd bek..bsr sungguh kuasa ALLAh.. sekiranya ana dpt berbicara dgn Balqis.. " ukhti adalah insan yg bertuah n pasti sume muslimah berasa cemburu krn ade insan yg ingin menjaga ukhti dr tipu daya syaitan..kelpalsuan duniawi.. n menginginkan ukhti menjd muslimah yg suci.. jauh dr fitnah.. bersih dr dose2 yg x nyata...." akhi.. pesan ana.. cri la cinta hakiki terlebih dahulu..krn bila da temui cinta ilahi.. insyallah.. akn diberikan insan yg terbaik untuk kita yg diredhai ALLAh.. bg ana.. cinta mainan nafsu nie terlampau byk lagha drpd kebaikan.. byk wat kita khilaf sbgi khalifah n hamba ALLAH.. menaburkan janji2 yg dusta.. bkn kah mendustai janji dikire sbgi munafik?? adakah kita slh satu darinya?? ana rase lgu mahar cinta by devotees sesuai dgn perjalanan cinta akhi.. smuge kita sme2 mendapat cinta dr Ilahi.. Insyallah.. :D

    ReplyDelete
  3. balqis.... kalau org 2 btol2 syg kat kte...dia takkan membawa kte ke jalan yang salah dan dimurkai allah taala..jagalah hati kte...serahkan pada yg hak...krn hanya dia yang berhak kpd kita.. usah pertaruhkan cinta mu hanya utk perkara yang membawa kpd kemungkaran kpd allah...hilang cinta manusia boleh dicari...hilang cinta allah....tiada ganti lagi..

    ReplyDelete
  4. Ya Allah..bestnye cerpen ni!!! 5star!!
    terharunyer..:)
    azi, smg mmperoleh jodoh yg solehah..
    xsangka bnyk btol ujian Allah pd kmu..
    hmm..terbukti la ayt Allah ni..
    "Allah x membebani seseorg itu mlainkan dgn ksggupannya" (2:286)
    Tahniah krn bjaye lwn nafsu..

    Manusia itu kuat..tp nafsu mampu mngalahkannya..
    Nafsu itu kuat..tp IMAN mampu mnundukkanny..
    So, hargai nikmat IMAN yg Allah da anugrahkn pd kamu..:)

    ReplyDelete
  5. erm da xtau nk kte ap..
    cz bez sgt2...
    byk sgt pgjrn yg bley diambl sbg pnduan...

    ReplyDelete
  6. best cite ni...bsar gler pgorbnan yg trpksa di buat..huk8

    ReplyDelete
  7. mek budu: syukran.. kita harus memilih antara yang buruk dengan yang baik dan jka kita memilih yang baik, kita harus memilih antara yang baik dengan yang terbaik..
    syukran..

    ReplyDelete
  8. Alamdulillah..ana sangat kagum dengan cerita anta.mudah-mudahan sesiapa yang membaca cerita ini dapat mengambil iktibar.secara jujurnya,ana sangat tersentuh dengan cerita anta ini.kerana ana juga inginkan perubahan sedemikian rupa.tp ana sendri belom mampu untuk mencapai kemanisan iman itu,,apa yang ana boleh katakan disini,anta adalah antara khalifah di muka bumi ini yang sangat bertuah kerana mendapat keinsafan itu.ana berharap mudah-mudahan ana dikurniakan keinsafan sedemikian....terima kasih kerana membenarkan ana untuk membaca cerita ini...:)

    ReplyDelete
  9. salam azi..
    x sngka pula macam tu alkisahnya..
    ingt mnx ptus dlu sbb awk dh ad lain..
    pnt sy pjuk 'balqis' msa tu..
    smoga shbt sy tu blh mnrima ap yg awk buat ni..

    ReplyDelete
  10. tahniah bt anakanda...terharunye... smga dirimu sntiasa dilindungi Allah SWT hdknya...

    ReplyDelete
  11. haaaahahhah...sedih ade,lucu pon ade...pape pon sabar je la ye...:))

    ReplyDelete
  12. sy bgitu truja mbace ksah awk n ingin bertanyakan ssuatu..em,awk pnh bkate dgn balqis bhw awk akn sygkn balqis smpai ble2 n awk meminta die spy mendoakan jdh awk bdua..adkh awk msh lg menyayanginya n mnghrapkan jdh bersamanya sehingga kini?

    ReplyDelete
  13. wah.. terlalu susah untuk dijawab soalan tersebut.
    pada saya cukuplah pengalaman tersebut mendewasakan kita.

    ye, siapa yang boleh melupakan seseorang yang pernah hadir dalam hidup kita tetapi cukuplah, biarlah ia tinggal pengalaman dan kenangan.

    tentang jodoh, saya tidak berfikir tentangnya (jodoh). andai dia jodoh saya perlukah saya menolak? mudah-mudahan saya akan mendapat jodoh yang sama-sama dapat membimbing saya. insyaallah..

    ReplyDelete
  14. Salam.Selepas membaca nota hati seorang lelaki ini memang membuatkan hati sayu.Setiap orang ada kisah silam masing-masing, hanya, terpulang kepada kita bagaimana melihatnya...Namun, syukurlah anda dapat mujahadah melawan cinta yang banyak membuatkan orang lemas di dalamnya. Semoga Allah terus memberi kekuatan untuk mendapatkan cintaNya...Saya mencadangkan buku tulisan Hasrizal "Aku terima nikahnya" dan "bercinta hingga ke syurga"..InsyaAllah, semoga bermanfaat.

    ReplyDelete
  15. syukran ya ukhti...

    ya, memang berat keputusan yang terpaksa dibuat tetapi itulah yang terbaik sekali ana mampu lakukan..

    buku tersebut sudah ana baca dan ana rasa masih banyak yang perlu dibaiki tentang diri ini..

    ReplyDelete
  16. InsyaAllah, yang berharga itu mahal harganya. Sebelum kita mendapatkannya,kita akan diuji dengan sehabis-habisnya agar kita tidak mensia-siakannya apabila mendapatnya..yang penting, sentiasalah ikhlas dan istiqamah dalam melaksanakan ketaatan dan meninggalkan kemungkaran, pasti Allah akan beri kekuatan untuk menerima ketentuanNya...Wallahualam

    ReplyDelete
  17. hbt gk r cter ni....
    tp x ngis pown...
    hehehhe...
    rse sbak 2 ade gk r.....
    anyway....
    Allah lbih mngtahui atas sglanya....
    mgkin ad hkmah dsblik smua ni....
    sbar spruh dr iman...
    cinta hnya pd Allah, Rasulullah n parents kita adlh cinta sjati...
    dgaan n cbran yg kita lalui adlah tnda Allah cntakan hmbanya...
    smkin perit dgaan yg kte dpt...
    smkin kuat cinta kite pd Allah...
    insyaallah.....

    ReplyDelete
  18. best n sedey gak cite ni..patutla dpt no.3..
    sesuai jd ckg bm..tahniah dpt lawan nafsu..nnt pilih la psngan yg solehah ye!

    ReplyDelete
  19. sebenarnya bile trasa diri ni memerlukan pengisian, ana lbh suka baca blog ni, terutama skali cerpen ni..
    lebih2 lagi, ada yang ana tau pasal kamu dan balqis.
    syukran.

    az

    ReplyDelete
  20. syukran.. hmm, sekadar berkongsi apa yang terbuku di hati. siapa ni ye? az. azreen ke?

    ReplyDelete
  21. You got me there, Very well written, You seem to know a lot more than I do I’d love to know your sources. Really liked it though.

    ReplyDelete