Santapan Rohani


Random Hadith Widget

Saturday, March 27, 2010

Laporan PBS Semester 1, Sek Keb Segamat Baru, Segamat Johor.

Laporan Hari Pertama 22 Mac 2010

Pada hari ini saya akan melakukan Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) di sekolah pilihan saya, Sek Keb Segamat Baru. Sekolah ini terletak di kawasan Bandar Segamat, Johor. Saya melakukan PBS bersama rakan saya dari Institut Perguruan Raja Melewar kerana kami berkawan sejak dari sekolah rendah. Saya bangun seawal pukul 6.00 pagi untuk bersiap. Sesi persekolahan bermula pada pukul 7.15 pagi dan saya tidak mahu lambat ke sekolah. Saya dan rakan saya pergi bersama-sama dan tiba di sekolah pada pukul 7.00 pagi. Sebaik tiba di sekolah, kami terus melapor diri di pejabat sekolah. Alhamdulillah, ketibaan kami disambut dengan baik. Di dalam pejabat, terdapat 2 orang yang menunggu. Rupa-rupanya mereka juga akan melakukan PBS bersama kami. Mereka berdua dari Institut Perguruan Kota Bharu dan mereka juga tinggal berdekatan kawasan sekolah.

Di dalam pejabat, bermacam-macam perasaan yang bermain di ruang hati saya. Teruja, gelisah, takut, gembira dan banyak lagi. Ditambah pula apabila kami disuruh berhimpun bersama pelajar pada hari ini. Perasaan saya ketika ini sangat gementar. Namun pada masa yang sama saya gembira kerana dapat merasa kehidupan seorang guru.
Selepas berhimpun, kami di bawa semula ke pejabat untuk berjumpa dengan guru besar, Pn Hajah Asnah bt Meon dan Guru Penolong Kanan 1 (GPK 1), Pn Hajah Halimaton bt Ishak. Di sini kami dapat berkenalan dengan guru besar dan GPK 1. Selepas itu kami dibawa oleh Pn Halimaton ke bilik guru. Di sini kami dapat berkenalan dengan cikgu-cikgu dari sekolah ini yang ramah-ramah belaka.

Selepas itu kami disuruh menggantikan kelas kerana ada guru yang tidak hadir. Saya sebenarnya agak terkejut tetapi saya terima amanah yang diberi. Kami disuruh menggantikan beberapa kelas dan saya mengambil kelas darjah 6.

Sementara menunggu masa menggantikan kelas, saya cuba bertanya kepada guru-guru di sekolah ini tentang tugasan yang diberi kepada saya. Alhamdulillah, saya dapat beberapa maklumat tentang sekolah ini dari tunjuk ajar guru-guru sekolah ini.

Waktu menggantikan kelas pun tiba. Sebelum masuk ke kelas saya agak takut tapi saya gagahi juga langkah saya. Langkah pertama saya masuk ke kelas, semua pelajar memandang saya. Lalu ketua kelas menjalankan tugas memberi salam dan membaca doa.

Dalam kelas ini saya tidak mengajar tetapi lebih kepada sesi perkenalan dan bercerita. Saya pun tak tahu sebenarnya nak cerita apa pada waktu ini jadi saya lebih benyak bercakap dan bercerita tentang pengalaman saya waktu belajar dahulu di samping memberi sedikit tazkirah.

Selepas habis kelas saya dan rakan-rakan PBS saya pergi ke kantin untuk makan. Kami makan bersama dengan guru-guru di sini. Selesai sahaja makan, kami berjalan ke sekeliling sekolah untuk mengambil gambar. Kami mengambil gambar-gambar yang dirasakan perlu untuk menyiapkan tugasan.

Sementara menunggu waktu pulang kami meninjau ke sekeliling sekolah dan duduk di bilik guru sambil menyiapkan tugasan yang perlu disiapkan. Waktu persekolahan tamat pada pukul 1.20 tengah hari dan saya pulang tepat pada pukul 1.30.


Laporan Hari Kedua 23 Mac 2010

Pada hari ini saya bangun seperti biasa. Berbeza seperti semalam saya pergi ke sekolah pada hari ini bersendirian. Tepat 7.10 saya tiba di sekolah. Selepas menandatangani kedatangan, saya telah di suruh menggantikan kelas. Pada hari ini saya dapat menggantikan kelas darjah lima. Pada pukul 7.50 saya masuk ke kelas. Seperti biasa saya akan memperkenalkan diri saya seterusnya bertanya nama setiap pelajar.

Untuk kelas hari ini saya telah menyediakan satu aktiviti. Saya telah menyediakan sehelai kertas kosong kepada setiap pelajar dan menyuruh mereka menulis nama, hobi dan cita-cita mereka. Seterusnya di belakang kertas saya menyuruh mereka melukis apa sahaja yang mereka fikir dan mereka minat. Selesai sahaja tugasan yang diberi saya memanggil beberapa pelajar untuk ke hadapan kelas dan menceritakan kepada seluruh kelas kenapa mereka malukis gambar itu. Berbagai-bagai ragam yang dapat saya lihat, ada yang tidak mahu ke hadapan, ada yang tidak berani menunjukkan lukisan mereka, tidak berani bercakap di depan dan banyak lagi ragam-ragam mereka yang tidak mungkin saya akan lupakan.

Habis sahaja kelas saya cuba membuat temujanji dengan guru-guru Bahasa Melayu kerana ini ialah subjek major saya. Tujuan saya untuk melihat cara pengajaran mereka. Namun hampa kerana kebanyakan mereka tidak membenarkan saya melihat mereka mengajar. Lalu saya mengambil keputusan membuat temujanji dengan guru lain pada hari esok.

Pada hari ini juga saya telah menemubual pangawal keselamatan di sekolah ini. Nama beliau Puan Fatimah Saedon dan telah bertugas di sekolah ini hampir 5 tahun. Saya pulang pada pukul 1.30 petang.


Laporan Hari Ketiga 24 Mac 2010

Pada hari ini saya datang sekolah seperti biasa. Datang ke pejabat dan mengambil kedatangan.
Alhamdulillah hari ini saya diberikan tugas untuk menggantikan kelas darjah 3 pada pukul 9.20 pagi. Sementara menunggu kelas, saya duduk di bilik guru menyiapkan beberapa tugasan PBS yang perlu saya siapkan.

Sementara menyiapkan tugasan saya, dengan tidak disangka-sangka, ada seorang guru yang bertanyakan saya sama ada sudah berjumpa dengan guru untuk dipantau. Lalu saya katakan tidak lalu beliau dengan rela hati menawarkan diri. Menurut beliau, guru-guru di sini sebenarnya bagus-bagus belaka tetapi mungkin kerana perasaan rendah diri. Beliau juga masih baru jadi mengingatkan saya tentang kelemahan beliau. Pada saya, beliau juga seorang yang merendah diri namun beliau sangat berdedikasi. Beliau juga pelajar lepasan Institut Perguruan Sultan Abdul Halim dalam bidang Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) dalam opsyen Kajian Sosial.

Pada pukul 9.20 saya pergi ke kelas 3 Cerdik untuk menggantikan kelas. Seperti biasa perkara pertama yang saya akan lakukan ialah berkenalan dengan pelajar. Selepas itu saya memberi mereka masa untuk mengutip segala sampah yang terdapat di di dalam kelas. Untuk kelas hari ini saya telah mengajarkan mereka bagaimana untuk melukis. Ini kerana saya telah bertanya kepada mereka apa yang ingin mereka belajar dan melukis adalah jawapan mereka. Jadi saya mengajar mereka melukis di papan hitam dan menyuruh pelajar mengikut langkah demi langkah. Alhamdulillah, pelajar berminat dengan aktiviti ini. Ramai yang bertanya sama ada lukisan mereka cantik atau tidak. Saya rasakan waktu untuk kelas ini sangat singkat. Sekejap sahaja rasanya sudah habis waktu, lalu saya menyuruh menghantar lukisan mereka kepada saya.

Seterusnya, seperti yang telah dijanjikan saya telah masuk ke kelas Cikgu Fakah untuk melihat bagaimana beliau mengajar. Saya juga telah menemubual kerani kewangan dan guru matapelajaran matematik sebelum pulang ke rumah.


Laporan Hari Keempat 25 Mac 2010

Hari yang keempat dimulakan seperti biasa. Hari ini saya tidak perlu menggantikan kelas, jadi masa yang ada banyak digunakan untuk mencari maklumat dan menyiapkan tugasan. Hari ini juga banyak masa saya yang terluang. Di samping mencari maklumat dan menyiapkan tugasan, saya juga berbual-bual dengan guru-guru di sini. Mereka semua sangat peramah dan saya seronok berbual dengan mereka.

Selepas rehat saya menyambung kerja saya dan selepas itu saya berjalan di sekitar sekolah. Ketika berjalan, kebetulan saya melihat pelajar prasekolah baru pulang. Jadi saya meminta kebenaran dari Cikgu Wan untuk melihat sendiri kelas prasekolah di sekolah ini. Saya mengambil beberapa gambar di dalam kelas ini ntuk tugasan saya dan berbual dengan Cikgu Wan di samping bertanya serba sedikit tentang kelas prasekolah. Agak lama juga saya berada di sini.


Laporan Hari Kelima 26 Mac 2010

Hari ini merupakan hari terakhir saya berada di sekolah ini. Pada hari ini, aktiviti di sekolah dimulakan dengan program membudayakan al-quran disamping berzikir dan tazkirah yang disampaikan oleh Ustaz Syed Halim yang mengajar matapelajaran agama di sekolah ini.

Habis sahaja program membudayakan al-quran, saya pergi ke pejabat untuk berjumpa guru besar bagi mendapatkan tandatangan beliau. Saya juga sempat berbual-bual dengan beliau. Selepas itu menyambung tugasan saya. Sekolah pada hari ini agak sibuk dengan persiapan untuk mesyuarat PIBG pada hari esok, jadi saya menolong beberapa orang guru untuk persiapan pada hari esok. Tapi sayang, saya tidak dapat hadir untuk melihat bagaimana menyuarat PIBG dilakukan di sekolah.

Sebelum pulang saya sempat bergambar bersama guru-guru, pelajar dan rakan-rakan PBS saya. Saya sebenarnya sangat terharu melihat pelajar-pelajar di sini yang menghormati guru mereka. Ditambah saya telah menerima sedikit buah tangan dari seorang pelajar di sini walaupun saya masih baru di sekolah ini.

Alhamdulillah saya berasa sangat seronok sepanjang lima hari berada di sekolah ini. Saya juga dapat melihat sendiri ragam dan karenah murid di sekolah ini. Ada yang terbuang air besar dalam seluar, ada yang lari dan menangis bila gigi mereka ingin dicabut, yang bergaduh dan banyak lagi. Semuanya pengalaman ini akan saya jadikan pedoman di masa akan datang, insyaallah
.

Suasana di dalam kelas



Waktu menggantikan kelas.

Bergambar dengan guru

Rakan PBS dari IPRM dan IPKB

Bersama pelajar.

8 comments:

  1. wahh.. cgu ensem lahh.. ngeh3.. =D

    ReplyDelete
  2. ala cgu niehh..bgurauu pOng xbOley..
    hikhikhik.. =D

    ReplyDelete
  3. mana boleh gurau2..
    tak lulus periksa nanti baru tahu..

    ReplyDelete
  4. waaaaaa~ den da nk exam niehh.. de plak kate gtuu... waaaaa~ tarik balek kata2 anda.. huhu..

    ReplyDelete
  5. yg IPKB tu akak opsyen pemulihan kan?
    hehehe~

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Waktu Solat