Santapan Rohani


Random Hadith Widget

Thursday, March 25, 2010

Makanan Halal Tetapi Tidak Selamat

Bagaimanakah kedudukan makanan yang sememangnya halal tetapi tidak selamat untuk dimakan yakni, terdapat bukti menunjukkan makanan itu akan mendatangkan kemudaratan kepada manusia itu sendiri.

Juga apakah makanan yang bersih itu halal dan apakah semua yang halal itu semestinya baik untuk kesihatan?

Sebenarnya tidak semua yang bersih itu halal untuk dimakan sekalipun pemprosesannya dijamin tidak mendatangkan kemudaratan kepada pengguna.

Juga tidak semua yang halal itu mendatangkan kebaikan dan memenuhi keperluan zat yang diperlukan tubuh manusia.

Sebagai contoh, seorang pesakit tekanan darah tinggi-walaupun gula dan garam itu merupakan sesuatu yang halal, namun dua benda itu adalah tidak sihat untuk beliau.

Juga daging lembu yang diproses dengan bersih tetapi tidak disembelih mengikut syarak, maka ia tidak semestinya halal.

Agama Islam menganjurkan dua perkara utama di dalam hal makanan iaitu, kehalalan serta kebersihan makanan yang diambil. Di dalam agama Islam selagi tidak ada nas yang mengharamkan sesuatu benda itu, maka ia adalah halal untuk dimakan.

Namun demikian, soal kebersihan dan keselamatan makanan turut berkait rapat dalam pengambilan sesuatu makanan. Halal tetapi tidak bersih serta tidak selamat, samada dari segi penyediaan mahupun ketika makanan itu diproses, akan mengakibatkan kesihatan seseorang terjejas.

Oleh itu ketiga-tiga faktor tersebut saling berkait di antara satu sama lain.

Makanan yang halal tetapi tidak selamat, mungkin akibat daripada pelbagai teknik yang digunakan bagi mempercepatkan pertumbuhan, dilihat sebagai makanan yang boleh memudaratkan kesihatan.

Jika sesuatu itu sudah pasti akan mendatangkan kemudaratan kepada kehidupan manusia, agama Islam sama sekali tidak akan menyokongnya.

Di dalam agama Islam, sesuatu yang halal itu semestinya tidak mendatangkan kemudaratan kepada si pemakan.

Masyarakat Islam di negara ini lazimnya akan memberi keutamaan kepada logo halal apabila memilih makanan, tetapi kurang mengambil kira kandungan zat di dalam makanan tersebut.

Boleh dikatakan tahap kesedaran masyarakat masih rendah mengenai kandungan makanan yang sihat untuk kesihatan. Mereka tidak mempunyai ilmu tentang kandungan makanan yang diambil; ditambah pula dengan pelbagai istilah yang digunakan contohnya, asid amino atau omega 3, membuatkan ramai yang tidak kisah.

Ini ditambah dengan iklan-iklan yang hanya mengiklankan barangan tanpa menerapkan nilai-nilai ilmu yang boleh dimanfaatkan oleh pengguna.

Atas kesedaran ini, Kementerian Kesihatan dikatakan akan menguatkuasakan peraturan yang mewajibkan restoran makanan segera menyenaraikan maklumat kandungan makanan dan minuman yang dijual kepada orang ramai.

Terdapat juga cadangan untuk menguatkuasakan larangan menyiarkan iklan makanan segera serta penajaan iklan bagi program kanak-kanak di media elektronik.

Dengan adanya maklumat berhubung istilah-istilah kandungan makanan dapat membantu menyedarkan masyarakat mengenai pengambilan makanan yang seimbang. Dengan ilmu mengenai kandungan dalam makanan, mampu mengatasi masalah kesihatan masyarakat.

Sememangnya umat Islam harus mengambil berat apa jua sumber yang menjadi asas pemakanannya. Ini kerana kita tahu setiap makanan yang diambil akan menjadi darah daging manusia itu sendiri.

Jadi mengambil makanan yang halal, bersih dan selamat bukan saja menjamin kesihatan seseorang malah mampu membentuk nilai spiritual yang amat tinggi di dalam diri seseorang itu dengan akhlak dan perilaku yang baik.

Tidak dinafikan terdapat faktor-faktor lain yang turut mempengaruhi tingkah laku seseorang seperti faktor keturunan, persekitaran, pendidikan, namun agama Islam memang menitikberatkan hal pengambilan makanan seseorang.

Ini jelas apabila Rasulullah SAW bersabda seseorang yang di dalam tubuhnya terdiri daripada makanan yang haram, Allah sukar untuk memperkenankan setiap doa-doanya.

Imam Ghazali pula menceritakan, seorang wali Allah, Suhail, pernah berkata, apabila seseorang itu makan makanan yang haram, anggota badannya enggan mengikuti fikirannya. Walaupun di fikirannya hendak melakukan amal soleh dan kebajikan, namun anggota badan yang dibentuk daripada makanan yang haram terlalu berat untuk melaksanakannya.

Dalam hal ini perlu juga diperhatikan tentang pengambilan makanan yang syubhah, kerana ia tetap memberi kesan kepada tingkah laku seseorang. Makanan yang syubhah contohnya, memberi makan anak buah dari pokok orang lain tanpa meminta izin tuan punya pokok terlebih dahulu, akan mempengaruhi tingkah laku anak, ditakuti menjadi anak yang nakal.

Oleh itu menjadi tanggungjawab ibubapa untuk mempastikan setiap makanan yang diberikan kepada anak-anak adalah halal.

Abdul Kadir al-Jailani menjadi seorang ulama tersohor kerana kedua-dua ibubapanya begitu prihatin tentang halal dan haram sesuatu perkara; khasnya yang berkaitan dengan pemakanan yang diberikan kepada anak-anaknya.

Juga perlu diingat, memakan makanan yang halal dan baik merupakan salah satu bentuk ketaatan kepada Allah dalam memenuhi segala perintahNya.


Dipetik dari sini..

No comments:

Post a Comment