Santapan Rohani


Random Hadith Widget

Wednesday, November 4, 2009

Keburukan Coca-Cola

Cuba balik rumah buat experiment dengan coke,betul ke hujah2 dibawah.

Assalamualaikum
"Fakta seperti yang tersenarai dibawah adalah kajian santifik yang dibuat oleh ahli sains kesihatan/sosial di USA dan Britain serta laporan dari seluruh dunia mengenai minuman ringan Coke : Coca Cola.

Di dalam kebanyakan negeri di US, kereta peronda lebuhraya akan dimuatkan 2 gallon Coke untuk menghilangkan kesan darah di jalanraya apabila berlaku kemalangan. Cam pasukan SMART dan bomba kita tu, Harzadous Team. Cuba tanya Plus Ronda atau Polis Lebuhraya, adakah mereka guna?

Anda di rumah diharap dapat mencuba kajian ini :

1. Masukkan tulang dalam satu mangkuk yang diisi Coke, ia akan hancur atau hilang sama sekali dalam masa 2 hari. Elok untuk yang berniaga sup tulang!

2. Untuk mencuci tandas : Masukkan setin air Coke dalam tandas dan biarkan selama 1 jam dan kemudian 'flush'. Kesan kotoran/hampas akan hilang dari tindakan 'citric asid' yang berada dalam Coke. Satu bahan gantian untuk mencuci kalau sabun dah habis! Rasa-rasa buat sabun badan boleh tak?

3. Untuk menghilangkan kesan karat dari bumper kereta jenis chrome : Lap bumper dengan aluminium foil yang dicelup dengan Coke. Kesannya karat hilang!

4. Untuk menghilangkan kesan 'corrosion' atau hakisan pada skru/nat bateri kereta : Tuang saja setin Coke pasti kesan hakisan hilang serta merta.

5. Untuk melonggarkan skru yang berkarat dan ketat : Sekali lagi tuang setin Coke, skru tersebut pasti longgar dan boleh dibuka.

6. Untuk menghilangkan kesan minyak/lekit dari pakaian : Tambahkan setin Coke dalam mesin basuh bersama sabun pencuci dan basuh macam biasa. Kesan minyak tu pasti hilang. Kemudian bolehlah minum air basuhan tadi berperisa coke.

7. Cermin kereta anda berdebu/kotor/melekit ? Celup tuala dengan Coke dan lap.
Pasti bersih. Tak payah guna tin sembur cuci cermin cam jual di Yawata tu kerana ianya amat mahal!


Bahan aktif Coke adalah phosphoric asid. Ia mempunyai pH 2.8. Ia boleh meleburkan sebatang paku dalam masa 4 hari. Kilang Perwaja/besi mesti suka ni!

Asid tersebut juga menghakis kekuatan tulang belakang dan tulang lain dalam badan yang merupakan punca utama kearah penyakit osteoporosis.

Sila lihat lori yang membawa air sirap Coke dalam lori tangki,[ bukan lori yang bawa Coke siap dalam botol/tin] pasti dilengkapi dengan tanda amaran "Bahan Kimia Bahaya" atau"Bahan Penghakis : bahaya". Lori tangki itu juga diselaputi bahan penghakis hakisan untuk mengelak lori tu dihakis. . Tolong jangan letak/parking kereta berhampiran lori tangki yang ada tanda amaran tu, silap-silap tengah bawak kereta, putus 2 sebab hakisan/karat.

Para pengedar minuman Coke telah menggunakannya untuk mencuci bahagian enjin lori/trak mereka sejak 20 tahun. Wahh...mesti buat overhaul ni!

Kandungan gulanya 18 sudu cawan teh satu tin Coke. Cuba try bancuh kopi/teh dengan 18 sudu gula tu kat rumah dan minum mesti termuntah tapi tambahkan citric asid, mesti muka tersenyum. Tambah pula dengan ais!. Wahh! Rasa cam minum Coke berperisa kopi. Asid tersebut akan bertindak terhadap lidah untuk memberi signal kepada otak bahawa air yang diminum tidak berapa manis. Lidah ngan otakpun kena tipu. Semua minuman ringan menggunakan asid yang sama. Tak kiralah Pepsi. 7-up, Drinho, Yeos, Milo, F&N dll. Sama jer! Anak bapak dan Keluarga 69.

Coke membawa maksud dadah Cocaine. Asal minuman Coke adalah dicipta untuk meghilangkan rasa letih dan mengkhayalkan untuk para pekerja buruh. Cam candu masuk China dulu. Antara isi kandungannya adalah ekstrak dari daun coca [cocaine] dan kacang Cola. Tu yang mai perkataan CocaCola tu.

Cuba rendamkan gigi [gigi yang patah ker tapi kalau nak rendam gigi dalam mulut tu pun boleh gak] dalam satu mangkuk Coke, pasti gigi tu hilang/lebur dalamasa 24-49 jam. Yang mana sakit gigi, try cara ni, kot-kot gigi tu bleh hilang!

Kalau anda tak suka minum kopi tapi suka sangat minum Coke, sama jer! Anda minum Caffein, bahan yang sama dalam 2 minuman tersebut.

Di India, negeri Andhra Pradesh dan Chattisgarh secara spesifiknya, para peladangnya menggunakan Coke sebagai semburan untuk membunuh serangga perosak dalam ladang kapas dan cili mereka. Jadi racun seranggalah pulak. Saper ada tanam pokok cili kat rumah tu, semburlah Coke untuk bunuh serangga. Cili tu rasa pedas manis berperisa coke kot? Cubalah!

Syarikat Coke dimiliki oleh pelabur berbangsa Yahudi 100%. Kat Mekah ada Mecca Cola. Betul ker? Yang pernah pi Mekah bleh confirm kot?

Jadi, sambil-sambil kita minum Coke tu, bolehlah pada masa yang sama cuci cermin kereta, cuci baju, buka nat skru, cuci tandas , sembur serangga dll. Rupa-rupanya Coke ni boleh dibuat bahan gantian emergency jika bahan cuci/pelincir/penghakis habis kat rumah. Semua fakta diatas anda boleh cuba sendiri dirumah jika tak percaya. Yang mana tak pass sains khasnya kimia dulu masa sekolah bolehlah buat eksperimen sains kimia ni kat rumah.

Sumber dari sini.


Sunday, November 1, 2009

Bingkisan Buatmu Duhai Muslimah

Siapalah diriku ini untuk membuatkan dirimu menangis sebak, dan apakah layak bagiku untuk menasihati dirimu. Namun, inilah yang mampuku lafazkan, yang mampuku laungkan setelah kian lama terbuku di jiwa yang lara. Kuharap segalanya diterima dengan berlapang dada, kerana inilah taklifan buat diriku yang bergelar Adam, untuk meluruskan tulang rusuk yang ditakdirkan bengkok. Bukankah diciptakan wanita untuk dilindungi sepenuh hati?

Melihat senario kaum Hawa dewasa ini, diriku tertanya-tanya penuh kemusykilan. Mengapa dirimu kian jauh daripada-Nya ? Apakah dirimu telah lupa akan hukum-hakam yang disusun-Nya? Ke manakah menghilangnya generasi mujahidah harapan agama? Ingatlah duhai muslimah. Dirimu itu diciptakan sebaik-baik kejadian. Jangan sekali-kali ciptaan Yang Maha Tinggi dipersiakan. Hanyalah redha-Nya yang kita impikan, bukannya undangan kemurkaan-Nya yang kita harapkan.




"Takutlah kamu kepada wanita, kerana fitnah yang paling besar menimpa Bani Israel adalah kaum wanita..." (Mutafaq 'alaih)


Jelas bersuluh di dalam sabda Baginda yang dirindui, sesungguhnya kaum hawa mampu menggoncang dunia. Jauh sekali tafsirannya bahawa wanita diciptakan sebagai perosak, sebaliknya wanita diciptakan untuk dinobatkan sebagai sayap kiri bagi para mujahid. Dalam berjuang demi menegakkan Deen di dalam diri, keluarga juga ummah. Wanita itu bisa menjadi madu, kenikmatan dan kemanisannya menjadi pemangkin pada kebangkitan Islamiah. Inilah yang diharapkan dari insan yang bergelar muslimah solehah. Dan wanita juga mampu untuk menjadi racun, bisanya terus memudaratkan seraya menghancurkan agama yang dicintai. Nauzubillahi min zalik! Jauhkan dirimu dari palitan noda maksiat, membutakan hati dan meruntuhkan peganganmu.

"Dunia adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah..."
(Mutafaq 'alaih)


Jadilah perhiasan dunia, yang dihiasi dengan bunga ketaqwaan. Sirami jiwamu dengan titis haruman iman, maka terpeliharalah dirimu dari fitnah dunia semata. Semaikan akhlaqmu dengan benih mahmudah, menjadikan dirimu disenangi segala makhluq dan juga Al-Khaliq. Perkayakan dirimu dengan coretan ilmu yang bermanfaat, sebagai petunjuk jalan dalam berbahtera melayar kehidupan duniawi, destinasinya menuju ke akhirat sana. Inilah titipan dari hamba-Nya yang tidak mengerti apa-apa. Moga mengalirlah air mata keinsafan. Sesungguhnya apa yang baik itulah ketentuan dari-Nya. Segala kekurangan pula lahir dari diriku sendiri, natijah dari kealpaan dalam menghadap diri-Nya Yang Maha Esa. Semoga bibitan kata ini akan diabadikan buat selamanya.

Dipetik dari: iluvislam.com

Wednesday, October 28, 2009

Jangan sedih Sayang

Betapa sayangnya Allah pada kita sehingga di dalam al-Quran diselitkan dengan motivasi supaya hamba-hamba-Nya ini tabah dalam menghadapi segala dugaan sebelum menuju ke perhentian abadi…

KENAPA AKU DIUJI?

“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan;”Kami telah beriman,” sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang yang dusta.”

-Surah Al-Ankabut ayat 2-3

KENAPA AKU TIDAK DAPAT APA YANG DIIDAM-IDAMKAN?

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.”

-Surah Al-Baqarah ayat 216

KENAPA UJIAN SEBERAT INI?

“Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya.”

-Surah Al-Baqarah ayat 286

RASA KECEWA?

“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati,padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman.”

- Surah Al-Imran ayat 139

BAGAIMANA HARUS AKU MENGHADAPINYA?

“Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan).”

-Surah Al-Imran ayat 200

“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk”

-Surah Al-Baqarah ayat 45

APA YANG AKU DAPAT DARIPADA SEMUA INI?

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang mu’min, diri, harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka…

-Surah At-Taubah ayat 111

KEPADA SIAPA AKU BERHARAP?

“Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain dari-Nya. Hanya kepada-Nya aku bertawakkal.”

-Surah At-Taubah ayat 129

AKU SUDAH TIDAK DAPAT BERTAHAN LAGI!!!!!

“… ..dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir.”

-Surah Yusuf ayat 12

Dipetik dari sini.

Monday, October 26, 2009

Cari Titik Pertemuan (Wahabi)

Oleh Mohd Fadly Samsudin


WAHABI adalah fahaman yang diperkenalkan Muhammad bin Abdul Wahab pada abad ke-18 di Semenanjung Arab. Muhammad dilahirkan pada 1703 di Nejd.

Umum mengetahui Wahabi menolak doa qunut, amalan membaca Yasin, bertahlil di kuburan dan zikir selepas sembahyang yang menjadi amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Malah, ajaran ini dilihat menimbulkan keraguan serta kontroversi sehingga menyebabkan ia dikatakan punca perpecahan umat Islam di negara ini.

Berdasarkan sumber Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jawatankuasa Penyelarasan Penyelidikan Islam Kebangsaan (Jappis), Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan membuat keputusan secara rasmi menolak serta menyekat ajaran itu disebarkan di negara ini.

Kehadiran fahaman itu tidak bersesuaian dengan pendekatan Islam di negara ini dan dikhuatiri akan menggugat perpaduan umat.

Sungguhpun sudah acap kali perkara ini dibincangkan, masih terdapat kesamaran yang perlu dijelaskan terutama bagi golongan yang 'kosong' mengenai fahaman ini.

Memang sukar bagi merungkaikan permasalahan ini kerana masing-masing mempunyai hujah yang tersendiri dan yang tinggal barangkali ia perlu mendapatkan komitmen serta campur tangan golongan bijaksana.

Bagi yang menolak fahaman ini, sudah pasti mereka berhabis-habisan menegakkan hujah penentangan mereka.

Penolong Pengarah Jakim, Zamihan Mat Zin, berkata apa yang jelas, pendekatan cuba digunakan pengikut fahaman ini dilihat agak keras dan sememangnya boleh dipertikaikan.

Beliau berkata, mungkin dalam konteks masyarakat di Malaysia, amalan kita terhadap perkara yang dianggap bidaah itu sebenarnya amalan yang baik, malah dituntut bagi melakukannya. Sudah tentu ada pihak rasa tercabar apabila perkara yang baik diperbahaskan.

"Seringkali juga soal penyatuan diperkatakan. Namun, ia seakan-akan tidak meninggalkan kesan yang mendalam. Sebelum ini juga, sudah banyak ruang dibuka bagi membicarakan perkara berkenaan.

Tujuannya bagi membendung gejala tuduh menuduh dan berkelahi sesama Islam dibiar berlarutan.

Penyeragaman amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah dilihat amat perlu bagi menjamin keharmonian pegangan, amalan dan fahaman umat Islam negara ini," katanya.

Menurutnya, kekeliruan yang berlaku itu bermula apabila kumpulan itu memberikan teguran keras mereka ketika berhujah.

"Cara mereka (Wahabi) yang keras dan lantang menyelar amalan yang dilakukan masyarakat Islam di negara ini ibarat cuba mengelirukan kerana sudah sekian lama berpegang kepada ajaran daripada mazhab muktabar (Imam al-Syafie).

"Amalan yang dimaksudkan itu pula adalah bersifat 'aksesori' dan tidak menjejaskan akidah umat Islam. Jika ia terus dibiarkan dikhuatiri akan mengelirukan fahaman orang ramai yang menyedari amalan yang dilakukan mereka itu seolah-olah berdosa.

"Malah perilaku serta akhlak mereka yang mudah menuduh seseorang itu sesat, syirik dan amalkan khurafat ini menimbulkan perasaan kecewa di kalangan masyarakat," katanya.

Beliau berkata, secara umumnya, mereka perlu menghormati undang-undang negara ini dan tidak terus berdegil menggunakan metodologi keras itu kerana ia tidak sesuai diamalkan di sini.

"Paling ketara, fahaman ini meletakkan ukuran akidahnya berdasarkan 'tasybih la tasybih' iaitu menyamakan Allah dengan makhluk-Nya.

"Selain itu, mereka memilih ayat mutasyabihat sebagai sumber rujukan utama dan membelakangi ayat muhkamat dengan hanya mempercayai makna zahirnya saja," katanya.

Perkara itu katanya, mendedahkan mereka dengan 'gejala tajsim' iaitu amalan menvisualisasi zat Allah dengan sifat manusia.

"Ini akan mencalarkan sistem akidah mereka daripada landasan akidah Islam yang sebenarnya.

"Di antara masalah akidah yang bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah mereka mempercayai Allah duduk di atas arasy dan percaya Allah mempunyai tangan dan kaki," katanya.

Zamihan berkata, dari segi akhlak, golongan ini memperlihatkan emosi yang ternyata bercanggah dengan nilai sebenar seorang Muslim.

"Kita ditegah kafir mengkafir, menggelar orang Islam lain syirik dan sesat. Ini berlaku dalam masyarakat kita yang perlu disekat agar tidak menjadi doktrin bahaya.

"Metodologi 'terjah' yang cuba diamalkan ini akan menyebabkan orang awam yang tidak memahami gagal menilai erti sebenar apa yang mereka amalkan," katanya.

Zamihan berkata, orang awam juga diminta tidak berhujah kerana dibimbangi akan menambah buruk keadaan.

"Sebagai umat Islam, mereka perlu mengikut serta mengamalkan apa yang ditetapkan serta diguna pakai majoriti umat Islam di sini.

"Itu adalah tanda penghormatan mereka kepada negara kerana perkembangan Ahli Sunnah Wal Jamaah (mazhab Syafie) sudah sekian lama bertapak di negara ini.

Seperkara lagi yang cukup penting adalah perkara yang terjadi sekarang tidak hanya terhad kepada kebimbangan terhadap kemunculan Wahhabi, malah amalan melabelkan orang lain sebagai Wahhabi secara berleluasa juga perlu dihindarkan.

Sementara itu, pendakwah bebas, Muhamad Shamil Shahrin, berkata secara umumnya, tujuan mereka murni kerana berusaha menghidupkan semula manhaj ulama terdahulu iaitu generasi salafus soleh yang hidup pada kurun awal hijrah selepas zaman sahabat (yang diiktiraf Nabi Muhamad sebagai generasi terbaik selepas sahabat).

"Pendekatan mereka dalam amalan juga bertepatan dengan anjuran agama iaitu menjadikan setiap amalan berteraskan ilmu dan ilmu pula perlu berteraskan dalil yang diterima pakai sebagai hujah dalam agama.

"Selain itu, mereka juga antara golongan paling aktif dalam menyuburkan kuliah berbentuk ilmiah terutama di pusat pengajian tinggi yang kita ketahui ia medan kita menuntut ilmu pengetahuan. Ini sebahagian contoh baik untuk kita sama-sama teladani terutama mewujudkan minat dan menyuburkan kecintaan terhadap pencarian ilmu," katanya.

Beliau juga menyarankan supaya situasi pertelagahan yang berlaku perlu dipulihkan segera iaitu dengan mengambil pendekatan secara paling adil.

"Bagi mereka yang tidak sealiran ini, mereka perlulah mengurangkan jarak perselisihan dengan mencari titik pertemuan seperti cuba berbaik sangka dalam mencapai satu kefahaman terhadap perkara yang bercanggah dengan Islam.

"Menjadikan dakwah, penerangan dan kefahaman sebagai keutamaan dan bukannya tergopoh-gapah menghukum dan mencari kesilapan orang lain. Memperluaskan bacaan agar ilmu kita tidak terhad kepada sebelah pihak saja dalam membantu kita bersikap adil dalam menilai hujah semua pihak," katanya.

Muhamad Shamil berkata, setiap umat Islam perlu terbabit mengikuti perbincangan secara ilmiah dan berhenti daripada terbabit dengan perdebatan.

"Umat Islam sepatutnya perlu mendalami ilmu agama (usul fiqh dan fiqh) agar dapat memahami sebab perselisihan ulama dalam masalah fiqah dan tidak hanya 'berbangga' dengan kefahaman yang mereka miliki bersandarkan pada zahir ayat atau hadis saja.

"Mungkin ada di kalangan masyarakat mendakwa sesuatu amalan sebagai Wahabi atau melanggar mazhab Syafie, padahal jika diteliti dalam kitab fiqh sendiri, sebahagian amalan itu anjuran mazhab Syafie. Kita perlu rajin menimba ilmu kerana disebabkan kecetekan ilmu, kita hanya menempah dosa terhadap agama," katanya.

Sumber: Metro

Sunday, October 25, 2009

Cara Jawab Salam Orang Bukan Islam

Seperti yang dijelaskan oleh para ulama di antaranya Sheikh Muhammad bin Shalih Al-Uthaimin menjawab: Mendahului ucapan salam kepada orang bukan Islam adalah haram hukumnya.

Sebab Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

Janganlah kamu memulai salam kepada orang Yahudi dan Nasrani. Apabila kamu bertemu mereka di suatu jalan, maka paksalah mereka kepada jalannya yang paling sempit. (riwayat Muslim)

Tetapi apabila mereka mengucapkan salam kepada kita, maka kita wajib menjawabnya, berdasarkan kepada umumnya firman Allah yang bermaksud:

Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu. (An-Nisa': 86).

Soalnya, salam yang diucapkan oleh orang bukan Islam adalah lafaznya bermaksud baik, bukan cercaan dan bukan pula doa kehancuran seperti yang ucapkan oleh segelintir yahudi terhadap Rasulullah SAW.

Orang Yahudi mengucapkan salam kepada nabi SAW dengan ucapan: As-Samu 'alaika ya Muhammad! As-samu maksudnya kematian. Bererti mereka mendoakan mati kepada baginda. Lalu baginda menjawab: wa alaikum yang maksudnya, "dan ke atas kamu jugalah kematian".

Hari ini hampir kebanyakan orang bukan Islam fasih memberi salam. Sehingga kadang-kadang orang Islam yang mendengar menjawab secara spontan tanpa berfikir panjang akan hukumnya.

Kadang-kadang dah jawab baru perasaan yang bagi salam itu kawannya yang bukan beragama Islam.

Apabila bukan Muslim mengucapkan salam: Assalamualaikum, maka kita harus membalasnya dengan ucapan: Wa'alaikum. Perkataan beliau: Wa'alaikum, merupakan dalil bahwa apabila mereka mengucapkan: Assalamualaikum, yang bererti pada diri mereka ada keselamatan, maka kita juga membalas dengan ucapan yang sama.

Maka sebahagian ulama berpendapat apabila orang-orang Yahudi dan Nasrani mengucapkan secara jelas: As-salaamu 'alikum, maka kita juga boleh membalas dengan ucapan: Alaikum salam.

Kesimpulan jawapan ini dapat saya katakan: "Orang muslim tidak boleh memulai ucapan salam kepada bukan Muslim. Sebab Nabi SAW melarang hal itu, di samping hal itu merendahkan martabat orang muslim bila harus mengagungkan orang bukan Islam".

Orang muslim lebih tinggi kedudukannya di sisi Allah. Maka tidak selayaknya dia merendahkan diri dalam hal ini. Tetapi apabila mereka yang lebih dahulu mengucapkan salam kepada kita, maka kita boleh membalasnya seperti salam yang mereka ucapkan.

Namun di sini saya mempunyai cadangan salam diharus diucapkan kepada kawan-kawan kita yang bukan beragama Islam. Ucapan salamnya adalah: Assalamulaikum man ittaba' al-Huda' yang bermaksud: salam sejahtera ke atas mereka yang menurut (mengikut) petunjuk (Islam).

Maksudnya salam sejahtera yang diucapkan itu tertangguh sehingga dia mendapat hidayah dalam masa yang sama kita memohon hidayah daripada Allah SWT.

Salam inilah yang menjadi pembuka bicara dalam surat-surat yang dihantar oleh Rasulullah SAW kepada pembesar-pembesar negara dalam misi menyebarkan empayar Islam. Cuma di negara kita dan mana-mana negara Islam yang lain juga tidak digunakan ucapan ini.

Saya pernah mengucapkan demikian kepada seorang kawan yang bukan beragama Islam, lalu dia tanya. Apa maksudnya, dan kenapa lain?

Saya jelaskan bahawa kesejahteraan sebenarnya bagi seseorang itu ialah apabila dia menjadikan agama Islam sebagai cara hidup, dan itu satu-satunya jalan selamat bagi kesejahteraan.

Saya dapati dia berfikir panjang dan meneruskan soalan berkaitan Islam dengan penuh minat. Hari ini dia bergelar seorang muslim.

Manakala ucapan good morning dan selamat sejahtera tidaklah haram hukumnya. Kita juga tiada ucapan lain dalam uruf (suasana atau kebiasaan) hari ucapan selain itu.

Ada segelintir ulama mengharamkan ucapan salam sejahtera dan hampir sama maknanya dengan alasan orang Islam lebih mulia dan tinggi dari orang bukan Islam maka kita tidak seharusnya merendahkan diri dengan memberi ucapan kepada orang bukan Islam.

Mungkin ada benarnya dari konteks hukum tapi tidak dari konteks dakwah. Maka tidak salah dan harus kita mengucapkan salam sejahtera, very good morning dan seumpamanya, mudah-mudahan kerahmatan Islam lebih menyerlah.

Orang bukan Islam juga berhak menerima ucapan-ucapan yang baik dari orang Islam sebagai jambatan keharmonian dan kesejahteraan.

Wednesday, October 21, 2009

Teknik Bertengkar Secara Positif

Rasulullah bersabda, "Sesiapa meninggalkan perdebatan, sedang dia berada di pihak yang benar, dibina untuknya sebuah rumah di tengah-tengah syurga."
(Riwayat Anas Bin Malik)

Tidak indahkah dijanjikan dengan sebuah rumah di tengah-tengah syurga? Sekalipun kita di pihak yang benar, namun untuk mengelakkan perbalahan berpanjangan, mengalah sahajalah.

Rugikah kalau beralah? Bagi sesetengah orang yang mementingkan diri sendiri mungkin tidak munasabah jika mahu beralah tetapi apa kata kalau saya katakan ‘orang yang beralah akan menang besar kemudiannya?’

Pergaduhan suami isteri akan sentiasa berlaku. Bak lagu P.Ramlee ‘Sedang lidah lagi tergigit’. Anda tidak akan sentiasa boleh berkata ‘ok’ kepada isteri anda begitu juga dia. Setiap kali pergaduhan berlaku, pasti akan ada hati yang akan terluka terutamanya hati orang perempuan yang memang diketahui tidak dapat diramalkan.

Jika pergaduhan itu berpunca daripada sesuatu yang sangat kecil, maka jika kita perbesarkan, maka akan terlihatlah peribadi sebenar seseorang itu. Sungguh akan terlihat betapa hodoh sekali seseorang itu tambahan pula, mulutnya mudah sekali melancangkan kata-kata yang tidak sedap didengar.

Sabda Rasulullah s.a.w:
"Orang mukmin bukan seorang pencela, bukan seorang pengutuk, bukan seorang yang keji dan bukan seorang yang berkata kotor."
(Riwayat Ibnu Mas’ud RA)

Dalam sabda ini, dapatlah kita fahami bahawa orang yang berkata keji bukanlah orang mukmin sebenar. Betapa iman kita dapat disukat dengan perlakuan yang sangat keji ini.

Pernahkah anda melihat pergaduhan suami isteri ini daripada sudut yang positif? Sebenarnya, pergaduhan akan menyebabkan terbentuknya satu penyatuan pelbagai perkara termasuklah cita rasa dan impian pasangan itu. Bagi mencapai tujuan inilah kita sering bertelingkah dengan pasangan untuk mencapai sesuatu yang terbaik. Tidaklah saya maksudkan pergaduhan adalah baik, namun hal ini adalah lebih baik daripada kita berdiam dan tidak berbincang sehingga akhirnya tidak ada penyatuan antara suami dan isteri.

Justeru, pergaduhan menjadi medium kepada pasangan dalam menyatukan kasih sayang. Setiap individu akan melahirkan perasaan tidak puas hati dan sebagainya. Maka, di sini adalah tempat untuk mencurahkan perasaan. Jadi, janganlah memendam perasaan sehingga jiwa kita menjadi tertekan ibarat belon yang akan pecah akibat ditiup dengan angin yang kuat. Jika tidak diluahkan, pasangan anda tidak mungkin akan tahu perkara yang ada dalam hati anda.

Di sini, saya akan kongsikan beberapa tip untuk bertengkar secara positif:

1. Jangan terlampau banyak bercakap – Ketika bertengkar, hati masing-masing pasti dalam keadaan marah. Ketika marah, pasti perkara yang logik sekalipun tidak diterima melainkan masing-masing mahu menegakkan pendapat masing-masing. Jika anda sebagai suami mempunyai hak untuk bercakap sekalipun, kurangkan daripada terlalu menegakkan pendapat anda sendiri. Hal ini akan mencetuskan perasaan tidak puas hati kepada pasangan anda sehingga perlahan-lahan dia akan menjadi bosan dengan anda. Yang perlu anda lakukan adalah dengan memikirkan secara mendalam cara untuk mem-betulkan keadaan.

2. Jangan menyebut kelemahan pasangan – Bukan hanya isteri anda yang mempunyai kelemahan, anda juga ada ke-lemahan sendiri. Jadi, dengan mengungkit kelemahan dia, anda akan turut merangsang pasangan mengungkit kelemahan anda. Lagi pula, anda tidak akan menang dengan hanya mengungkit sebegini tetapi menyebabkan keadaan lebih parah. Jika mahu menegur pasangan, minta dia meluahkan ketidak-puasan hatinya tentang anda dahulu supaya apabila giliran anda nanti, dia tidak akan meninggikan suara.

3. Jangan membalas perbuatannya – Sebagai contoh, pasangan anda bermesra-mesra dengan lelaki sebelah rumah. Anda mahu membuatkan dia sedar bahawa perbuatannya salah. Jangan anda pula bermesra-mesra dengan perempuan lain di hadapan dia. Keadaan ini hanya memberi peluang yang lebih kepada isteri anda untuk menjauhi anda. Akhirnya, anda turut terlibat dalam menjarakkan perhubungan anda sendiri.

4. Jangan cuba mengubah pasangan – Anda dibesarkan dalam keluarga ‘begini’, isteri anda dibesarkan dalam keluarga ‘begitu’. Pastilah terdapat perbezaan antara kedua-duanya. Anda harus memahami bahawa cara dia melihat sesuatu pasti tidak sama dengan pandangan anda.

5. Fokus pada masalah – Jangan meleret-leret sehingga perkara yang bukan masalah akhirnya akan turut menjadi masalah.

6. Jangan tinggikan suara – Semakin tinggi suara kita ketika bergaduh, semakin tinggilah suara pasangan kita nanti. Pergaduhan seperti ini tidak akan menjadikan keadaan semakin baik malah semakin kusut. Cubalah bercakap dengan tenang sehingga isteri anda yang sedang marah akan turut tenang dan seterusnya dapat menyelesaikan masalah dengan lebih cepat.

7. Gunakan panggilan manja – Ada pasangan yang pada masa biasa menggunakan panggilan ‘sayang’ atau ‘manja’ tetapi ketika bergaduh, keadaan akan beralih sebaliknya. Panggilan kasar mengambil alih menyebabkan pasangan anda merasakan dirinya rendah sekali. Jangan emosi sehingga tergamak menggunakan panggilan kasar termasuklah ‘aku’ dan ‘kau’.

8. Elakkan terlalu emosional – Ketika sesi bergaduh ini, pasti pasangan anda akan selalu terlepas mulut. Jadi, jangan ambil perkara yang dikatakannya terlalu serius memandangkan ketika sedang bergaduh, seseorang itu cenderung berkata yang tidak-tidak terhadap lawannya.

9. Gunakan perkataan yang baik-baik – Selain menggunakan panggilan manja, gunakanlah juga perkataan yang tidak menyalahkan. Perkara ini akan menyebabkan masalah akan cepat selesai. Antara contoh perkataan yang boleh anda gunakan ialah, "Abang rasa sayang tak patut buat macam ni," berbanding "Ni semua salah engkaulah!"

10. Jangan bertengkar di depan makanan atau di tempat tidur – Hal ini kerana tempat tersebut sepatutnya tempat kita menjamu selera dan bermesra-mesra sesama sendiri.

11. Dengar luahan isteri – Mungkin sahaja perkara yang disampaikan oleh isteri anda itu dapat menyelesaikan masalah. Jika anda hilang tumpuan ketika ini, bukan sahaja anda akan kehilangan idea yang baik malah anda menggunakan cara sendiri yang belum tentu dapat menyelesaikan masalah anda berdua.

12. Jangan bergaduh di depan anak – Dengan bergaduh di hadapan anak, anda hanya akan membuatkan anak keliru dan mengadili sama ada ibu atau bapa mereka yang berada di pihak benar atau salah. Perkara yang lebih menakutkan akan berlaku jika anak anda menceritakan keadaan anda berdua kepada orang luar. Hal ini akan menjejaskan imej anda sekeluarga.

13. Bersabar – Sekalipun anda lelaki dan anda lebih kuat secara fizikal berbanding dengan isteri anda, jangan sekali-kali anda cuba untuk mengasari isteri anda. Dibimbangi dia juga akan belajar untuk melawan dan membaling segala jenis pinggan mangkuk ketika bergaduh pada masa lain.

14. Say NO to third party – Selagi terdaya menyelesaikan masalah anda sendiri, jangan libatkan orang lain. Campur tangan pihak ketiga kebanyakannya hanya menyulitkan keadaan. Sekiranya perlu, pilihlah orang yang adil untuk menyelesaikan masalah anda.

15. Mengalah tidak bererti kalah – Mengalah ketika saat genting ini tidak menunjukkan anda kalah. Anda hanya perlukan masa untuk membuktikan bahawa tindakan anda sebenarnya betul.

16. Jangan keluar dari rumah sebelum selesai – Selalu menonton drama di TV? Kebanyakannya menunjukkan suami akan segera meninggalkan rumah semasa bergaduh untuk memudahkan cerita. Tindakan ini sebenarnya akan menyebabkan isteri anda ditinggalkan dalam keadaan keliru. Hal ini menyebabkan dia akan berasa tertekan dan anda perlu ingat bahawa anak-anak akan ditinggalkan bersamanya di rumah. Perempuan yang hilang kewarasan akibat tekanan yang dahsyat akan menyebabkan mereka akan bertindak yang bukan-bukan. Mungkin sahaja dia akan memudaratkan dirinya atau anak-anak anda boleh menjadi mangsa keadaan. Sekiranya anda rasa tidak dapat menahan marah, beritahu isteri anda bahawa anda perlukan sedikit ketenangan dan hal ini lebih menampakkan rasa tanggungjawab anda terhadap permasalahan anda berdua.

17. Luahkan – Selain menjadi pendengar kepada permasalahan isteri, anda turut perlu meluahkan perasaan anda. Tunggu sehingga dia habis berbicara sebelum anda menyambung pendapat anda. Sekiranya anda tidak memberitahu keadaan sebenar anda, belum tentu dia dapat memahami keadaan anda.

18. Pelukan dan kemaafan – Hal inilah detik paling indah dalam pergaduhan. Setelah dirasakan masalah telah selesai, jangan melewatkan detik untuk memeluk pasangan anda seeratnya. Ucapkan perkataan maaf dan berharap agar perkara seperti itu tidak akan berlaku lagi. Keadaan ini akan menyebabkan perhubungan anda selepas itu lebih erat dan mantap dengan satu kesatuan hati yang lebih hebat.

Disalin dari iluvislam.com

Wednesday, October 14, 2009

Perbahasan Berkenaan Niqab (Purdah)

Saya diminta untuk membahaskan tentang niqab oleh salah seorang sahabat kita. Terima kasih diucapkan kepada beliau. Kalau saya menerangkan ketika sedang mengajar memang agak mudah kerana saya cuma memberikan pendapat ulama tanpa perlu memberitahu mukasurat dan sebagainya. Tetapi bila menulis , kita perlu terangkan semua perkara termasuk mukasurat dan cetakan kitab . Ini merupakan amanah ilmu. Zaman sekarang bukanlah seperti zaman Syeikh al-Imam Anwar al-Kashmiri rahimahullah yang tidak perlu lagi melihat kepada rujukan . Pada zaman tersebut , jika para ulama seperti al-Imam menyampaikan fatwa maka itu sudah mencukupi dan tidak perlu lagi kepada penuntut ilmu melihat kepada kitab-kitab.

Sebelum kita membahaskan tentang niqab dan hukum pemakaiannya, elok kiranya kita membahaskan apakah yang dimaksudkan dengan niqab.

Niqab ialah sesuatu yang digunakan oleh wanita bagi menutup bahagian wajah mereka.Cuma yang dipamerkan hanya bahagian mata sahaja.Terdapat lagi istilah-istilah yang ada kaitan dengan niqab.Antaranya ialah khimar, burqa’ , hijab, dan litham. Saya akan terangkan secara ringkas satu persatu kaitan antara istilah-istilah tersebut dengan niqab.

1. الخمار : ini ialah nama bagi kain yang digunakan untuk menutup bahagian kepala bagi wanita.Ini berdasarkan firman Allah taala di dalam al-Quran surah al-Nur ayat 31:
وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ

Maksudnya: dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka.
Kaitan di antara niqab dan khimar ialah niqab digunakan untuk menutup wajah,manakala khimar digunakan untuk menutup kepala.Kedua-duanya merupakan pakaian muslimah.

2. الحجاب: Ini merupakan nama bagi kain yang digunakan untuk menutup keseluruhan wanita tersebut.

3. البُرقَع : Ini merupakan nama bagi kain yang digunakan untuk menutup keseluruhan wajah wanita.Menurut Ibn Manzhur ,pengarang kitab Lisan al-Arab: Terdapat sedikit ruang untuk memperlihatkan mata bagi burqa’. Jika kita mengambil dengan takrif yang diberikan oleh Ibn Manzhur maka ianya sama maksud dengan niqab.

4. اللِثام : Ini merupakan nama bagi kain yang digunakan untuk menutup bahagian mulut.Kaitan di antara niqab dan al-Litham ialah , niqab digunakan untuk menutup keseluruhan wajah kecuali kedua mata. Manakala al-Litham pula digunakan untuk menutup bahagian mulut dan ke bawah. Bilamana niqab digunakan untuk menutup bahagian wajah wanita maka ianya mempunyai kaitan rapat dengan aurat. Ini kerana, aurat adalah merupakan anggota yang wajib ditutup. Maka para ulama berbeza pendapat, adakah wajah termasuk di dalam aurat bagi wanita?

Jumhur para ulama iaitu Hanafiyah, Malikiyah, Syafieyah dan Hanabilah berpendapat mengatakan bahawa wajah wanita bukanlah aurat. Ini bermakna, diharuskan bagi wanita untuk menutup wajahnya dan dibenarkan juga baginya untuk membuka wajahnya.

Menurut para ulama bermazhab Hanafi: Wanita muda dilarang mempamerkan wajahnya di hadapan lelaki yang ajnabi . Larangan di sini bukanlah disebabkan wajah mereka aurat. Tetapi adalah untuk mengelakkan fitnah.Ini juga merupakan pendapat al-Imam Ibn Abidin rahimahullah, salah seorang ulama Hanafi.

Manakala para ulama bermazhab Maliki pula berpendapat: Makruh bagi wanita untuk memakai niqab( yang dimaksudkan dengan niqab oleh para ulama Maliki ialah yang menutup keseluruhan wajah termasuk mata)sama ada semasa solat atau selainnya.Ini kerana ianya terlalu berlebih-lebihan. Maka berdasarkan pendapat ini, golongan lelaki adalah lebih utama tidak memakai niqab, kecuali jika ianya menjadi adat bagi tempat tersebut.

Para ulama Maliki juga menyebutkan bahawa: Jika wanita tersebut muda dan cantik serta dibimbangi ianya akan menimbulkan fitnah, maka wajib baginya memakai niqab(purdah), serta menutup kedua tapak tangannya(dengan memakai sarung tangan).

Para ulama bermazhab Syafie pula berbeza pendapat didalam masalah niqab ini.Sebahagian ulama bermazhab Syafie berpendapat wajib bagi wanita memakai niqab,sebahagian lagi mengatakan ianya sunnah manakala sebahagian lagi mengatakan ianya merupakan Khilaf al-Aula.

Didalam hadis baginda sallallahu alaihi wasallam disebutkan:

عن سيدنا ابن عمر رضى الله عنهما أن النبي صلى الله عليه و سلم قال: لا تنتقب المرأة المحرمة و لا تلبس القفازين

Maksudnya: Diriwayatkan daripada Saidina Abdullah bin Umar radhiyallahu anhuma, Sesungguhnya Baginda Nabi sallallahu alaihi wasallam bersabda: Janganlah seorang wanita tersebut memakai niqab dan memakai sarung tangan ketika dalam keadaan ihram.

Disebutkan oleh Ibn Taimiyah rahimahullah : Hadis ini menjadi dalil bahawa wanita pada zaman Baginda sallallahu alaihi wasallam memakai niqab dan sarung tangan. Oleh sebab itulah baginda sallallahu alaihi wasallam melarang pemakaian tersebut pada ketika waktu menunaikan ibadah haji.

KESIMPULAN

Jika kita menilai dengan baik pendapat para ulama tersebut, maka jelas menunjukkan bahawa niqab adalah sesuatu yang dituntut di dalam Islam. Cuma perlu difahami, bukanlah saya bertujuan untuk menyuruh semua wanita memakai niqab secara total. Amalkan berdasarkan kemampuan kita. Jika wanita tersebut merasakan bahawa jika dia tidak memakai niqab maka ianya akan menjadi lebih bahaya dan fitnah(manusia akan memandang kepadanya dengan syahwat),maka wajib baginya memakai niqab. Tetapi jika dia merasakan bahawa tiada masalah jika dia tidak memakai niqab, maka tidaklah menjadi dosa jika dia tidak memakai niqab sekalipun. Mereka boleh mengunakan sebahagian pendapat yang dipegang oleh ulama bermazhab Syafie yang mengatakan bahawa ianya merupakan Sunnah.

Wallahu a’lam

Rujukan:

Mausu’ah Kuwaitiyah jilid 41 mukasurat 134

Mausu’ah Yusufiyah oleh Syiekh Doktor Yussuf Khattar hafizahullah mukasurat 605-610

Sumber utama dari sini.