Santapan Rohani


Random Hadith Widget

Tuesday, January 19, 2010

Hakikat Sebuah Cinta

Cinta?
Apa itu cinta sebenarnya?
Ramai yang menilai cinta hanya pada mata..
Yang menilai sejauh mana kecantikan seorang insan..
Padahal sebuahkecantikan bukan hanya pada rupa
Tetapi pada hati yang selalu rindu, kasih, dan cinta
kepada penciptanya..

Tanpa sedar, kesaljuan cinta dicemari,
Kesucian cinta dikotori..

Mengapa?
Kerana manusia alpa dan leka dengan nafsu yang menggoda.
Nilaian cinta bukan pada pautan nafsu di dada,
Tetapi pada hati yang merasai keindahan cinta pada yang Esa.

Cinta tidak selalunya indah,
Tetapi ketahuilah bahawa kemanisan cinta tak menyakitkan,
malah membawa kebahagiaan.
Sesungguhnya, cinta yang sejati hanya cintakan Illahi yang abadi.
Cinta sejati hanya cinta ayah bonda,

Cintailah Dia yang mencipta cinta,
kerana Dia pasti akan menghadiahkan seorang insan buat kita.
Menumpahkan kasih dan mengalirkan sayang di dunia dan di syurga..

Sunday, December 27, 2009

Menjaga Etika Bertudung

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh….

Izinkan diri ini untuk meluahkan kata-kata, Bukan kata-kata kesat, Bukan kata sindirian, Bukan kata kosong.

Perkara ini nampak seperti hal yang remeh, tetapi bagi ana ini merupakan sesuatu yang amat mendalam dan agak menikam kalbu.. Apabila diutarakan mengenai tudung labuh, walaupun bukan tudung bulat pun, apabila tudung itu sudah lebih besar daripada orang lain, pastinya persepsi masyarakat akan turut berubah seiring dengan perubahan tudung tersebut.



Mengapa persoalan ini diutarakan? Apa selalunya yang terlintas dalam diri masing-masing apabila melihat seorang perempuan memakai baju kurung berserta dengan tudung yang lebih labuh daripada perempuan-perempuan yang lain? Pastinya tanggapan pertama ialah; perempuan ini perempuan yang baik, perempuan yang sopan, perempuan yang tahu menjaga adab dirinya.

Namun adakah kita sedar, dalam majoriti kaum wanita yang dikatakan bertudung labuh yang nampaknya sopan itu, terdapat sebilangan kecil daripada mereka ini yang sebenarnya sedang menconteng arang ke muka wanita-wanita yang lain.

Mengapa ana berkata begini? Tentu saja anda semua pernah dengar perkataan ini, “Alah tak payahlah nak poyo-poyo pakai tudung labuh. Ingat semua orang yang tudung labuh ni baik sangat ke? Kadang-kadang yang tudung labuh ni lagi teruk daripada tudung kecil!” pasti pernahkan? Bagi yang baru pertama kali mendengarnya, pasti hati berasa panas sahaja mendengar perkataan sebegitu yang diluahkan. Namun, itulah hakikat.

Kebanyakkan wanita sekarang ini, maaf untuk menegur, tidak berakhlak seperti yang tertera pada pakaiannya yang labuh. Berdating sana sini, bermesejan lelaki itu ini, berhuha-huha dengan lelaki ajnabi, berkoling-koling, berkapelan islamik kononnya, cakap buang masa, menggedik sana sini(maaf kalau ada yang terasa) dan banyak lagi yang mana akhlak tersebut langsung tidak kena pada imej wanita muslimah yang ditonjolkan.

Apabila orang kata tudung labuh pun sama teruk juga, cepat saja naik darah. Sedangkan siapa yang menyebabkan orang lain berfikiran seperti itu? Apabila timbul masalah seperti ini, pastinya orang lain yang mahu bertudung labuh terbantut niatnya melihatkan akhlak wanita bertudung labuh yang lain ini. Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.

Akhirnya timbullah perkataan seperti, “ Aku tak pakai tudung labuh pun, free hair je kot, tapi aku tak adalah macam si polan tudung labuh tu. Harap tudung tu je yang besar, akhlak tak besar pun,”

Ya, memang diakui,yang bertudung labuh juga adalah manusia biasa yang punya keinginan. Tapi bukankah elok jika cara pemakaian kita seiring dengan tudung yang dipakai? Tutup aurat itu merupakan satu kewajipan,menjaga akhlak juga satu kewajipan bagi kita. Mengapa hanya diambil satu perkara sahaja, dan ditinggalkan satu perkara lagi?

Dipetik dari : iluvislam.com

Wanita : Agar Dikau Bahagia

Kepada setiap muslimah yang rela Allah swt sebagai Rabbnya, Islam sebagai agamanya dan Muhammad sebagai Rasulnya.

Kepada setiap pendidik yang berjihad di jalan Allah dengan untaian kalimahnya, menjaga norma-norma nya dan menyucikan jiwanya.

Kepada wanita yang bimbang dan bersedih, berbahagialah dengan dekatnya kemudahan, datangnya pertolongan Allah swt serta janji pahala yang besar dan terhapus segala dosa.



***


Tidak ada kecantikan bagi seorang wanita, tiada pula keindahan, harga diri dan kedudukan kecuali beriman kepada Allah swt. Apabila dirinya tegak di atas jalan ini, maka dia lah wanita yang mendapat petunjuk, diterima amalnya dan menjadi wanita pilihan disisi RabbNya.

Namun, jika dia melepaskan jalan kebenaran tersebut,kafir terhadap Tuhannya, mengingkari agamanya dan melepaskan tuntutanNya, maka dia lah cermin kepada wanita yang murahan, hina dan terbuang.

Pada saat itulah sinar kecantikan seorang wanita mula menghilang, walau berkalung gugusan bintang di langit, meskipun bermahkota bintang gemini dan matahari terbit di keningnya.

Wahai wanita muslimah yang jujur, wahai wanita mu'minah yang selalu kembali kepada Allah.

Jadikanlah dirimu itu seperti sepohon kurma. Jauh dari keburukan, menjulang tinggi menghindar dari sifat mengangau. Dilempar dengan batu dia menjatuhkan buahnya, tetap hijau pada musim panas mahupun dingin dan memberikan manfaat kepada sekalian manusia.

Jadilah engkau orang yang menjauhi perkara-perkara yang rendah, keperibadianmu terjaga dari segala pola hidup yang menipu rasa malu. Ucapanmu adalah zikir, pandanganmu melahirkan ibrah, diammu adalah berfikir.

Saat itulah engkau mendapatkan ketenangan dan akan diterima oleh penduduk bumi. Tercurah segala pujian yang baik-baik, doa yang jujur dari semua makhluk, dan Allah swt akan menjauhkanmu dari awan kesempitan, bayang-bayang ketakutan, dan gumpalan kekeruhan.

Tidurlah berbantalkan curahan doa orang-orang mu'min, lalu bangunlah untuk meraih pujian yang ditujukan kepadamu. Saat itulah engkau mula menyedari bahawa kebahagiaan bukan terdapat pada simpanan harta, kad kredit dan kereta, rumah yang bagaikan istana, mahupun pada kasih nya seorang manusia, namun pada ketaatan terhadap Zat Yang Maha Terpuji. Kedamaian hidup bukan pada hiasan keduniaan, bukan pula mengabdi kepada hamba, namun kepada kepatuhan terhadap Zat Yang Maha Mulia.

Pesanku, jadilah seorang wanita yang bermaruah, yang punya kedudukan tinggi di sisi Tuhannya. Di mana namanya sentiasa disebut-sebut dalam kalangan para malaikat, dan yang berjaya memperoleh cinta yang Teragung, iaitu cintanya Ya Rabb lantas menjadi wanita yang paling bahagia di dunia.

Dipetik dari: iluvislam.com

Friday, December 11, 2009

Jadilah Seorang Lelaki Yang Beriman




Jadilah seorang lelaki yang beriman,
Yang hatinya disalut rasa taqwa kepada Allah,
Yang jiwanya penuh penghayatan terhadap Islam,

Yang sentiasa haus dengan ilmu,
Yang sentiasa dahaga akan pahala,
Yang solatnya adalah maruah dirinya,
Yang tidak pernah takut untuk berkata benar,
Yang tidak pernah gentar untuk melawan nafsu,
Yang sentiasa bersama kumpulan orang-orang yang berjuang di jalan Allah.

Jadilah seorang lelaki,
Yang menjaga tutur katanya,
Yang tidak bermegah dengan ilmu yang dimilikinya,
Yang tidak bermegah dengan harta dunia yang dicarinya,
Yang sentiasa berbuat kebajikan kerana sifatnya yang penyayang,
Yang mempunyai ramai kawan dan tidak mempunyai musuh yang bersifat jembalang.

Jadilah seorang lelaki,
Yang menghormati ibu bapanya,
Yang sentiasa berbakti kepada orang tua dan keluarga,
Yang bakal menjaga kerukunan rumahtangga,
Yang akan mendidik isteri dan anak-anak mendalami Islam,
Yang mengamalkan hidup penuh kesederhanaan,
Kerana dunia baginya adalah rumah sementara menuju akhirat.

Jadilah seorang lelaki,
Yang sentiasa bersedia untuk menjadi imam,
Yang hidup di bawah naungan al-Quran dan mencontohi sifat-sifat Rasulullah,
Yang boleh diajak berbincang dan berbicara,
Yang menjaga matanya dari berbelanja,
Yang sujudnya penuh kesyukuran dengan rahmat Allah ke atasnya.

Jadilah seorang lelaki,
Yang tidak pernah membazirkan masa,
Matanya kepenatan kerana membaca al- Quran,
Suaranya lesu kerana penat berzikir,
Tidurnya lena dengan cahaya keimanan,
Bangunnya Subuh penuh kecergasan,
Kerana sehari lagi usianya bertambah kematangan.

Jadilah seorang lelaki,
Yang sentiasa mengingati mati,
Yang baginya hidup di dunia adalah ladang akhirat,
Yang mana buah kehidupan itu perlu dibaja dan dijaga,
Agar berputik tunas yang bakal menjaga baka yang baik,
Meneruskan perjuangan Islam sebelum hari kemudian.

Jadilah seorang lelaki,
Yang tidak terpesona dengan buaian dunia,
Kerana dia mengimpikan syurga Allah.

Sumber: iluvislam.com

Friday, December 4, 2009

Empat Golongan Lelaki Masuk Neraka Kerana Perempuan


Perempuan merupakan penyumbang yang paling besar menyebabkan lelaki masuk ke dalam Neraka Allah, Banyak lelaki yang terjebak ke dalam maksiat kerana perhiasan wanita, terutama pada zaman sekarang terlalu ramai perempuan yang mendedahkan aurat mereka sehingga menyebabkan berlakunya maksiat dan sebagainya. Perempuan yang tidak mempunyai kesedaran agama adalah diibaratkan sepertimana anak panah syaitan yang sentiasa memanah lelaki-lelaki sehingga berlakunya perkara maksiat. Contohnya di sebuah kedai kereta itu mempunyai gadis seksi, mesti ramai lelaki yang akan mengunjungi kedai keretanya bukan kerana mahu membeli kereta, tetapi nak tengok perempuan seksi. Firman Allah yang bermaksud “Jangan hampiri zina”. Frman Allah yang bermaksud lagi : "Hai anak adam peliharalah diri kamu serta ahlimu dari api neraka, dimana bahan pembakaranya ialah manusia dan batu-batu ... "

Terdapat empat golongan lelaki yang ditarik ke Neraka disebabkan wanita, sepertimana di bawah ini :

1.
Ayah, Apabila seseorang yang bergelar ayah tidak memperdulikan anak-anak perempuannya di dunia. Dia tidak memberikan segala keperluan agama seperti mengajar solat, mengaji dan sebagainya. Dia membiarkan anak-anak perempuannya tidak menutup aurat.....tidak cukup kalau dengan hanya memberi kemewahan dunia sahaja maka dia akan ditarik oleh anaknya.

2.
Suami, Apabila seorang suami tidak memperdulikan tindak tanduk isterinya. Bergaul bebas di pejabat, memperhiaskan diri bukan untuk suami tapi untuk pandangan kaum lelaki yang bukan mahram, apabila suami mendiam diri...walaupun dia seorang alim (solat tidak tangguh, puasa tidak tinggal) maka dia akan ditarik oleh isterinya.

3.
Abang, Apabila ayahnya sudah tiada, tanggungjawab menjaga maruah wanita jatuh ke pula abang-abangnya jikalau mereka hanya mementing keluarganya sahaja dan adik perempuannya dibiar melencong dari ajaran Islam.... tunggulah tarikan adiknya di akhirat.

4.
Anak Lelaki, Apabila seorang anak tidak menasihati seorang ibu perihal kelakuan yang haram dari Islam, maka anak itu akan disoal dan dipertangungjawabkan di akhirat kelak nantikan tarikan ibunya.

Empat golongan inilah yang akan masuk ke neraka Allah disebabkan oleh wanita, mari bermuhasabah diri masing-masing, adakah kita tergolong dalam golongan ini, kalau tergolong marilah bertaubat, beristiqfar dan cepat-cepat memohon ampun kepada Allah akan kesalahan-kesalahan yang telah dilakukan. Kepada kawan-kawan semua lepas baca artikel ini kalau ada pandangan dan komen boleh kemukakan di ruangan komen dibawah ini, sesungguhnya komen anda sangat bermakna buat saya.

Dipetik dari sini.

Thursday, November 26, 2009

Perbezaan Wanita Dunia dan Wanita Akhirat


Hanya sejak akhir-akhir ini sahaja dunia baru menyedari bahawa terdapat dua golongan wanita. Golongan pertama ialah wanita 'bebas' (emancipated women) yang kita temui setiap hari di Barat. Golongan yang satu lagi dapat dilihat dalam siaran Televisyen atau halaman-halaman majalah terbitan baru yang berkaitan dengan peristiwa-peristiwa semasa di Iran, Afghanistan, Syria dan lain-lain negara Muslim.


Bagi wanita 'bebas' perkara yang paling utama bagi mereka ialah untuk memperkenalkan diri kepada umum. Untuk tujuan ini mereka mengenakan pakaian yang cantik, memakai alat-alat solek yang menimbulkan ghairah, bekerja sebagai seorang profesional yang mempastikannya mendapat pendapatan yang lumayan dan berusaha sedaya upaya mendapatkan seorang leman lelaki (boy friend) atau suami yang segak, tampan dan berada.


Masa lapang bagi wanita 'bebas' ini ialah bertemu di 'cocktail parties', menari, mendengar muzik, ke pawagam, menonton wayang gambar dan siaran TV, bersukan dan membaca buku-buku seks. Adalah menjadi kebiasaan baginya untuk menyerahkan tubuhnya bila peluang memberangsangkan.

Wanita 'bebas' menyetujui badan-badan kebajikan mengambil tugas menjaga orang-orang yang menderita dan miskin kerana masa dan wang yang ada padanya diperuntukkan supaya berseronok-seronok dan menikmati kemudahan-kemudahan yang ditawarkan oleh hidup ini.


Bagi wanita bebas katalog industri pelancongan amat menarik perhatiannya dan menjadi impian hidupnya jika dapat melancong ke Bahamas, Las Vegas atau Acapulco.


Tetapi bagi wanita yang satu lagi, Muslimah - keredhaan Allah S.W.T yang diutamakan. Kecantikan lahiriahnya ketika ia keluar tidak penting malah ia menutup auratnya untuk menyembunyikan kecantikan yang Allah anugerahkan kepadanya dari pandangan umum. Jika ia bekerja, tujuannya ialah untuk berkhidmat kepada masyarakatnya dan bukan sangat untuk mengisi dompetnya. Menyentuh tentang bakal suaminya, ia lebih mengambil berat tentang akhlak yang luhur lebih daripada kejayaan duniawinya.


Bagi Muslimah sudah menjadi kebiasaan baginya berada dalam kekusyukan Solat fardhu dan hiburan baginya ialah membaca Kitab suci Al­Quran, merenung tentang kebijaksanaan ciptaan Allah dan berkongsi pandangan rohaniahnya dengan orang yang dikasihinya.


Bagi Muslimah mendisplinkan diri dengan menahan dari lapar dan dahaga dan kemewahan-kemewahan lain semasa bulan Ramadhan adalah 5 punca kepuasan hatinya dan sebagai galakau untuk menambahkan lagi amal soleh.


Tidak terlintas dalam fikiran Muslimah untuk menikmati apa yang dimilikinya itu hanya untuk kepentingannya semata-mata melainkan ia memberikan sebahagian daripadanya kepada orang-orang miskin dan yang lebih memerlukan.


Bagi Muslimah setelah bertahun-tahun lamanya barulah ia berjaya mengumpulkan wang yang secukupnya untuk perjalanan yang jauh dalam hidupnya iaitu perjalanan yang mengarahkan kepada mencapai cita-cita rohaniah, pergi menunaikan Fardhu Haji di kota yang panas lagi berdebu dan sesak dengan manusia iaitu di Makkahtul Mukarramah.

Kesimpulan cerita di atas

Dari kedua kisah di atas dapat disimpulkan bahawa, wanita dunia ini lebih bebas dan mementingkan keduniaan semata-mata, suka berfoya-foya dan menghabiskan masa kepada rupa paras dan keinginan nafsunya. Sanggup keluar berdua-dua dengan teman lelakinya yang bukan muhrim dengan alasan kawan biasa atau pakwe sehingga lewat malam. Berpegang-pegangan tangan dianggap perkara biasa dan sanggup menggadaikan maruah dan tubuh badannya kerana cinta dan sayangkan teman lelakinya. Apabila mengandung menjadi gelisah, ada yang sanggup menggugurkan anak kandungannya yang sah diharamkan oleh Islam akan perbuatan gugur itu. Bagi yang melahirkan anak dari darah dagingnya sendiri dengan tidak mempunyai sifat keibuan dan berperikan kemanusiaan sanggup buang bayi itu kedalam tong sampah, kedalam sungai, tandas dan sebagainya. Itulah kehebatan wanita sekarang ini yang diagungkan oleh semua golongan masyarakat dan ada sebahagian dari wanita yang tidak berpendidikan agama memperjuangkan kebebasan wanita sehingga berbagai gejala tidak baik berlaku.

Bagi wanita yang budiman dan solehah dianggap kolot dan tidak bertamadun, kerana pakaiannya yang menutup aurat. Ada diantara golongan ustazah yang mempelajari agama dan disanjungi ramai memberikan imej pakaian yang tidak sepatutnya dipakai dan ramai masyarakat yang kurang pengetahuan agama menirunya dengan alasan “ustazah itu pakai tidak mengapa, kenapa saya pakai tidak boleh”. Adakah ini semua Islam secular, Libral, Islam moden atau sebagainya. Saya tertanya-tanya kenapa berlaku sebegini, adakah disebabkan malu memakai tudung labuh takut dihina dan dicaci atau tidak cantik, atau sebagainya. Padahal Islam membenarkan wanita Islam berfashion dengan garis panduan yang ditetapkan. Ada wanita yang menutup kepala tetapi pakaiannya ketat sehingga menampakkan bodynya, ada yang pakai tudung tapi tangan bajunya pendek, ada juga yang bertudung tetapi dadanya nampak, adakah ini fashion Islam?

Mari kita kaji kembali perkara ini, jika ada kesalahan mari kita perbetulkan. Jangan terlalu mengejarkan fashion sehingga kita lupa kepada batasan agama Islam kita, Kehidupan kita memerlukan redho Allah dari redho manusia sebagai jaminan kita menerima balasan yang setimpal apabila dihari perhitungan nanti.

Dipetik dari sini.

Wednesday, November 18, 2009

Luahan Rasa : Kenapa Blog Ni Banyak Pasal Muslimah, Wanita, Puteri, Perempuan ek...?

Blog ni sebenarnya ana pos pada 18/9/09. Tetapi kerana masalah teknikal ana terpaksa alihkan di sini..

Nantikan kemunculannya....... Tunggu.....


@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

Ok.. selepas seminggu baru ana berkesempatan menulis tentang tajuk blog ana ni. Sebenarnya tajuk blog ni merupakan pertanyaan dari seorang sahabat ana. Sebenarnya ramai yang tanya tapi sahabat ana yang sorang ni beriya-iya nak tahu. Kenapa buat blog yang banyak pasal muslimah sedangkan ana ni lelaki? Ada yang kata ana ni seolah-olah nak menarik para muslimah ke blog ni untuk ana berkenalan dan macam-macam lagilah. Tapi tu semua tak penting, lagipun ana ada calon dah pun. Ada ana letak tepi blog ni. Tak kisah langsung.. Tetapi kalau betul anda ikhlas dengan diri anda tak perlulah anda lihat kepada jantina ana yang lelaki ni... Lagipun mungkin ana akan selitkan pula artikel lain di lain masa.

Jadi untuk pertanyaan tadi jawapannya mudah sahaja, kerana kebimbangan ana melihat kaum wanita pada hari ini. Cuba kita lihat kebanyakan wanita pada hari ini? Berapa banyak yang melakukan zina, berapa banyak yang mengandung anak luar nikah, yang menggugurkan anak luar nikah dan banyak lagi. Bukanlah ana hendak salahkan kaum wanita ni 100% tetapi ambillah apa yang ana tulis ni sebagai renungan.

Sebenarnya tidak akan ada seorang lelaki yang akan melontarkan senyumannya kepada anda, berbicara lembut dan merayu, memberikan bantuan dan layanan, kecuali akan ada maksud-maksud tertentu. Setidak-tidaknya isyarat awal bagi dirinya bahawa itu adalah langkah awal. Sesudah itu anda berdua bersama-sama berasrama, menikmati kelazatan yang hanya sebentar dan akhirnya berzina tanpa ada hubungan yang sah.

Tetapi sesudah itu apa yang kita lihat pada hari ini. Lelaki ini akan lupakan anda dan pergi meninggalkan anda. Dan anda, akan merasakan pahitnya daripada pertemuan yang sebentar itu untuk selama-lamanya. Lelaki ini akan pergi dengan diam-diam dan dengan keras untuk meninggalkan anda, mencari mangsa baru untuk dirayu dan diterkam lagi kegadisannya. Sambil dia mencari dan menikmati mangsa baru, anda perlahan-lahan merasakan sesuatu yang berat menganjal dan semakin membesar di perut anda. Anda sedih dan muram, bingung dan gelisah.

Anda harus ingat, lelaki yang membesarkan perut anda takkan dihukum oleh masyarakat tetapi anda akan terus dihukum dan dipandang serong oleh masyarakat selama-lamanya. Percayalah wahai para wanita sekalian, beranikanlah diri anda untuk menolak cinta dari lelaki kerana lelaki yang baik dan soleh akan datang kepada anda dengan tujuan yang baik.

Ana lihat pada hari ini ramai wanita yang tewas dengan pujuk rayu, rupa paras dan harta lelaki ini tadi. Jika ini yang dijadikan ukuran anda takkan bahagia selama-lamanya. Percayalah cakap ana. .

Memetik kata-kata Ali Thantawi..

Demi Allah, apa yang dikhayalkan oleh pemuda ketika dia melihat gadis ialah gadis itu telanjang dihadapannya tanpa pakaian.

Aku bersumpah lagi: “Demi Allah, jangan percaya terhadap kata-kata sebahagian lelaki, bahawa mereka memandangmu kerana akhlak dan adab. Berbicara denganmu seperti sahabat dan apabila mencintaimu hanyalah sebagai teman akrab. Bohong! Bohong! Bohong! Demi Allah dia berbohong. Seandainya engkau mendengar sendiri perbualan di antara mereka, pasti engkau akan takut dan ngeri.

Sebagai lelaki ana mengaku, apa yang dikatakan itu memang benar. Andai anda mendengar perbualan diantara lelaki-lelaki yang fasik ini barulah anda akan tahu. Mereka hanya bercerita tentang kecantikan anda, luaran dan dalaman. Bahaya betul pengakuan ana ni tapi inilah hakikat dalam kehidupan lelaki yang fasik ini tadi.

Ana juga ingin mengingatkan, lelaki yang fasik menginginkan sesuatu yang amat berharga iaitu maruah dan harga diri anda. Lelaki takkan berani untuk melakukan dan memulakan terus tetapi mereka akan memberi isyarat awal dengan pujuk rayu dan sebagainya.

Sebagai contoh, lelaki ini berkata ingin mencium anda. Mereka mungkin akan berkata dengan nada yang bergurau tetapi dalam hatinya penuh dengan pengharapan agar anda merelakan lelaki ini mencium anda. Sekiranya anda muslimah yang berakhlak dan terhormat, tolaklah pujuk rayu mereka ini dengan sekeras-kerasnya. Jika anda tewas sekali, anda akan terus tewas selama-lamanya sehinggalah anda menyesal yang teramat sangat suatu hari nanti.

Jika dosa lelaki itu kerana zina, tetapi anda mungkin akan lebih lagi. Dosa anda berganda dari berzina, hamil seterusnya membunuh pula anak yang anda kandungkan itu. Cuba kita lihat pembunuh dari kalangan penzina pada hari ini. Bermacam-macam cara dan bermacam-macam jenis. Bila keluar sahaja dari perut, ada yang tinggalkan di surau dan masjid-masjid. Ada yang bunuh lalu diberi makan kepada anjing, ada yang dibuang ketika bayi itu masih bernyawa, ada yang lahir sahaja disumbat dalam mangkuk tandas dan ada yang kejam diblendernya jadi hancur dan berkecai. Semuanya ini bagi menutup kesalahan mereka di dunia. Berkali-kali ganda dosa yang anda dapat berbanding lelaki. Kerana itulah Allah swt menyebut wanita lebih senang untuk masuk ke syurga dan senang juga untuk masuk neraka.

Begitu juga dengan aurat anda, jagalah sebaiknya. Dosa wanita yang mendedahkan aurat juga lebih banyak dari lelaki yang mendedahkan aurat. Betul tak..? hmm, tak perlulah ana terangkan dengan mendalam kerana ana pernah banyak kali menulis tentang aurat sebelum ini. Hanya untuk mengingatkan anda semua.

Pintu pemulihan ada di hadapan anda. Kunci pintu ada di tangan anda. Jika anda meyakini dan anda berusaha untuk memasuki pintu itu, maka keadaan akan berubah dan menjadi baik. Anda benar, bahawa kaum lelakilah yang mula-mula melangkah dan memulakan bicara, bukan wanita. Tetapi ingat, bahawa tanpa kerelaan anda dan tanpa kelunakan sikap anda, mereka tidak akan berkeras melangkah maju. Andalah yang membuka pintu kepadanya untuk masuk.

Anda berkata kepada pencuri: “Silakan masuk” Dan setelah anda dicuri dan dirompak barulah anda sedar. Ketika itu barulah anda berteriak…. “Tolong…. Tolong….. aku dicuri, aku dirompak”.

Seandainya anda tahu bahawa lelaki itu serigala dan anda ialah kambing, pasti anda akan lari seperti larinya kambing dalam ancaman cengkaman serigala.

Sekiranya anda sedar, bahawa semua lelaki itu adalah pencuri, pasti anda akan berhati-hati dan sentiasa menjaga diri seperti waspadanya seorang yang kaya dan kedekut terhadap pencuri.

Jika yang dikehendaki oleh serigala dari kambing adalah dagingnya, maka yang diinginkan lelaki adalah lebih daripada itu. Lelaki menginginkan lebih dari sekadar dari daging kambing, dan bagi anda lebih buruk daripada kematian kambing itu dan nasib seorang gadis yang diragut kehormatannya lebih menyedihkan daripada nasib seekor kambing yang dimakan serigala.

Cuba kita baca artikel yang ana ambil dari sebuah akhbar ni.......

KUALA LUMPUR - Hidup seorang gadis, Anis, 23, (bukan nama sebenar) pada mulanya cukup sempurna dengan mendapat pendidikan yang tinggi sehingga ke peringkat sarjana serta mempunyai ibu bapa yang amat menyayangi.

Segala kehendak gadis itu dituruti oleh ibu bapanya termasuk dibelikan komputer riba sehingga kasih sayang kepada Anis melebihi daripada sembilan adik-beradiknya yang lain.

Namun, kebahagiaan yang dikecapi Anis tidak berpanjangan apabila berlakunya peristiwa hitam dirinya dinodai teman lelaki pada Oktober tahun lalu sehingga menyebabkan dia melahirkan anak luar nikah bulan lalu.

"Sejak itu saya seperti dibuang oleh keluarga, mereka masih tidak dapat terima kenyataan saya buat perkara terkutuk ini (melahirkan anak luar nikah)," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Ketika mengimbas kembali masa lalu, selain melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah, Anis berkata, dia menerima pendidikan agama Islam yang cukup.

Bagaimanapun, kerana cinta terhadap teman lelaki yang dihalang oleh keluarganya, Anis akhirnya termakan pujuk teman lelaki yang secara sengaja mahu menodainya bagi membolehkan Anis menjadi miliknya.

"Selepas usia kandungan tujuh bulan baru saya beritahu ibu. Dia terus terdiam kaku tidak percaya anak yang paling disayangi sanggup memalukan keluarga," katanya.

Cuba kita lihat kisah Anis ini..
Anis yang menerima pendidikan agama yang cukup akhirnya termakan juga dengan pujuk rayu lelaki ini tadi dengan alasan lelaki ini supaya Anis menjadi miliknya setelah cinta mereka dihalang. Akhirnya dia mengandungkan anak yang haram dan memberitahu ibunya. Seterusnya dia dipinggirkan oleh keluarga dia sendiri kerana keluarga Anis tidak percaya anak yang sangat disayangi dan dipercayai akhirnya memalukan keluarga sendiri. Jadi betullah apa yang ana cerita sebelum ini bahawa lelaki takkan dihukum masyarakat tetapi wanita, akan terus dipandang hina oleh masyarakat termasuklah keluarga sendiri. Lelaki yang fasik ini pula terus meninggalkan Anis tanpa sebarang kata. Betul bukan apa yang ana tulis dan beritahu tadi? Seterusnya kita lihat pula kisah seorang gadis bernama Aleeya yang tewas dengan pujuk rayu lelaki walaupun telah diberi didikan agama oleh keluarganya.

Saya bukan jenis liar sebab ayah dan ibu menjaga saya dengan sempurna. Saya diberi didikan agama manakala batas pergaulan saya sentiasa dipantau keluarga.
“Entah bagaimana, perkenalan dengan seorang lelaki berusia 30-an membuatkan saya hanyut. Saya lupa keluarga... lupa dosa dan pahala,” kata Aleeya ketika ditemui baru-baru ini.
Baginya, lelaki itu membuatkan hidupnya bahagia sehingga dalam tempoh singkat dia dengan rela hati menyerahkan tubuhnya.

“Bukan saya tidak tahu perbuatan itu (seks sebelum berkahwin) berdosa. Saya juga tahu apa dibuat itu boleh membuatkan mengandung.

“Bagaimanapun, apabila nafsu menguasai diri, saya lupa segala-galanya. Saya merelakan diri diperlakukan seperti isteri,” katanya.

Menurutnya, lelaki ditemuinya disifatkan sangat baik dan bijak berkata-kata, membuatkan dia pasang impian untuk hidup bahagia.

“Saya berkenalan dengan lelaki itu di kedai makan ketika melanjutkan pelajaran di sebuah kolej di ibu kota dua tahun lalu. Perkenalan singkat itu membuahkan cinta sehingga kami kerap keluar bersama.

Dia terlalu baik dan budiman. Selepas beberapa kali bertemu, secara terus terang dia beritahu dia sudah berkahwin dan ada anak, namun kerana perasaan sayang yang mendalam, saya rela menerimanya,” katanya.

Keyakinan Aleeya terhadap lelaki itu semakin kukuh apabila turut diperkenalkan dengan isteri lelaki terbabit.

“Isteri lelaki itu menerima saya seadanya. Itu membuatkan saya rela menjadi isteri lelaki itu, sekali gus hidup bermadu. Namun hasrat bergelar isteri tidak kesampaian kerana keluarga tidak membenarkan saya berkahwin, sebaliknya mahu saya menumpukan kepada pelajaran,” katanya yang mengakui hubungannya dengan lelaki itu diketahui keluarganya.

Aleeya berkata, keluarganya meminta dia memberi tumpuan kepada pelajaran dan melupakan cintanya, tetapi dia tetap meneruskan hubungan terlarang itu.

“Setahun melakukan hubungan seks terlarang, saya dapati berlaku perubahan pada diri saya. Saya tidak datang haid selama dua bulan. Apabila melakukan pemeriksaan menggunakan alat ujian kehamilan, rupa-rupanya saya mengandung,” katanya.

Perasaan panik menyelubungi Aleeya, namun dia tidak merujuk masalahnya kepada sesiapa melainkan kepada kekasihnya.

“Lelaki itu mahu bertanggungjawab dan segera mengahwini saya. Dia ajak pulang ke kampung saya dan memberitahu perkara sebenar kepada keluarga saya, namun saya tidak berani.

“Ketika itu saya berasa selamat kerana lelaki itu menunjukkan kesungguhannya mahu bertanggung jawab,” katanya.

Ketika mabuk bercinta, dia mendapat tahu bahawa lelaki itu sebenarnya mempunyai bukan seorang tetapi tiga isteri.

Aleeya turut difahamkan, lelaki itu berkahwin lebih daripada satu menggunakan sindiket.

“Maklumat itu diperoleh daripada pihak tertentu. Saya berterus terang dengan lelaki itu dan dia menafikannya,” katanya.

Dia terus menaruh keyakinan dengan kejujuran lelaki itu sehingga sanggup menipu keluarga tidak pulang ke kampung ketika cuti semester kononnya mahu bekerja.

“Lama kelamaan saya tertekan dengan keadaan sedemikian. Saya akur dengan permintaan lelaki itu yang mahu membawa saya pulang ke kampung. Lelaki itu menjadi jurucakap saya kerana saya tidak berani berterus terang,” katanya.

Selepas rahsia terbongkar, lelaki itu menyatakan hasrat mahu memperisterikan Aleeya, namun tidak dipersetujui keluarga.

“Mereka (keluarga) tidak mahu melihat saya menderita, apatah lagi selepas mengetahui sisi gelap lelaki itu, termasuk dakwaan kononnya dia beristeri empat,” katanya.

Menurut Aleeya, itu kali terakhir dia bertemu lelaki itu, namun cinta yang mendalam membuatkan mereka tetap berhubung.

“Isteri lelaki itu turut sentiasa bertanya khabar saya. Apa pun saya sedar, saya masih perlukan keluarga. Saya bersyukur keluarga masih menerima saya dan mahu memelihara anak yang dikandungkan.

Saya sedar pengorbanan keluarga terlalu besar... mereka sanggup menanggung malu dan memberi semangat untuk terus kuat membina hidup baru,” katanya.
Aleeya berkata, keluarganya mahu dia meneruskan pelajaran dan berjaya dalam hidup.

“Apabila di samping keluarga, perasaan menyesal menerpa tak sudah-sudah. Saya hanya mampu menangis dan menyesali apa dibuat,” katanya.

Jadi sudah terbukti apa yang ana cakapkan tadi. Banyak lagi artikel yang ana jumpa lebih kurang sama dengan cerita dan artikel yang ana ambil ni. Jadi fikir-fikirkanlah. Adakah anda mahu menjadi wanita biasa yang mudah ditawan kegadisannya atau muslimah yang berani untuk mencegah kemungkaran dan menegakkan hukum tuhan. Jadi para wanita dan muslimah sekalian, itulah nasihat yang hak dan benar. Mudah-mudahan anda mahu mendengar. Bukan di tangan kami kaum lelaki, hanya di tangan anda kunci pintu kebaikan. Sekiranya anda mahu memperbaiki diri, maka pasti seluruh ummat akan menjadi baik. Dan ingat juga, apa yang ana nukilkan di sini adalah berdasarkan pengalaman ana sendiri, juga peringatan untuk anda. Oleh itu, percaya dan cegahlah kemungkaran yang ada. Insyaallah anda akan selamat dunia dan akhirat.. akhir kalam, maaf dipinta jika tulisan ini ada yang mengguris perasaan anda. Bukan niat ana mengaibkan kaum wanita tetapi sebagai peringatan kita bersama. Bukan semua wanita itu seperti yang ana tuliskan tadi. Tanggungjawab sebagai lelaki juga harus ana tunaikan. Buat muslimah di luar sana mudah-mudahan anda akan membimbing mereka yang lemah dan tersilap ini.


Kepada para wanita, puteri dan muslimah yang membaca artikel ini, sebar-sebarkanlah kepada kawan dan sahabat anda. Mudah-mudahan menjadi pengajaran. Insyaallah..