Santapan Rohani


Random Hadith Widget

Saturday, February 20, 2010

Ya Ukhti! Jalan Ibadah Amat Luas Untukmu!

Wahai saudari-saudari muslimahku,

Cubalah kalian nilaikan berapa banyakkah ibadah-ibadah yang kalian boleh lakukan ketika haidh tetapi kalian masih tidak melakukannya. Bukaklah Hisnul Muslim, lihatlah doa-doa dan zikir-zikir yang Nabi Muhammad s.a.w amalkan, nilailah, cerminlah diri kita sudahkah kita amal semua zikir-zikir yang ada di dalamnya.

Jika masih belum puas, periksalah pula kitab al-Adzkar oleh Imam an-Nawawi. Lihat berapa banyak zikir-zikir dan doa-doa yang kalian belum amalkan. Jadi tiada alasan untuk kalian wahai-wahai srikandi tercinta untuk berkata bahawa apabila haidh maka kami kurang beribadah berbanding lelaki.

Wahai saudari-saudari seaqidahku,

Dalam bab membaca dan menyentuh al-Quran. Ulama-ulama umat masih berbeza pendapat tentang pengharamannya. Seandainya saudari berpegang kepada pendapat mengharamkannya, masih banyak ibadah yang saudari boleh lakukan bahkan tak akan habis untuk saudari lakukan di satu malam.

Wahai srikandiku,

Apabila kalian uzur, bukan alasan untuk kalian menghabiskan masa menonton televisyen tatkala si suami sedang bersolat. Bukanlah ia menjadi alasan untuk saudari menghabiskan hari siang dan malammu dengan tidur dan membiarkan si suami bersolat malam sendirian. Bukan juga ia menjadi alasan untuk kalian membiarkan anak-anak terkapai-kapai mempelajari al-Quran sendirian.

Wahai srikandiku,

Cuba kalian kira, berapa minitkah bagi setiap solat yang kalian lakukan apabila kalian berada di dalam keadaan suci. Andai kata 5 minit. Kenapa tidak kalian gunakan 5 minit itu untuk membaca doa-doa dan zikir-zikir yang Rasulullah s.a.w amalkan. Jika kalian solat malam selama 1 jam di bulan Ramadhan ketika kalian suci. Kenapa tidak kalian gunakan sejam itu dikala kalian uzur untuk kalian membanyakkan istighfar, memohon keampunan daripada Tuhan. Biarkanlah air mata kalian keluar pada malam itu. Biarkan ia menjadi saksi ketundukan kalian kepada Allah yang Maha Pengampun.

Wahai saudariku,

Jika kalian tidak berpuasa, gunakanlah kelebihan kekuatan yang ada pada hari itu untuk membantu kawan-kawan kalian yang berpuasa. Saudari boleh sediakan hidangan berbuka untuk mereka dan membiarkan mereka berehat. Saudari juga boleh membantu mereka melakukan kerja-kerja rumah, dan mengurangkan kerja-kerja mereka. Bukankah ini semua ibadah wahai srikandiku.

Wahai saudariku,

Jika saudari berpegang kepada ulama yang menyatakan haram wanita uzur memasuki masjid, masjid banyak ibadah yang boleh saudari lakukan dirumah. Jika saudari berpegang kepada pendapat membenarkan saudari yang uzur ke masjid, banyak juga yang saudari boleh lakukan di masjid walaupun tidak bersolat.

Saudari boleh membantu menjaga kanak-kanak kecil yang sedang bermain tatkala ibu bapa mereka bersolat. Saudari boleh bacakan kepada mereka kisah-kisah nabi, saudari boleh mengajar mereka membaca Alif, Ba, Ta. Saudari boleh menenangkan mereka tatkala mereka menangis menanti si ibu yang sedang bersolat. Bukankah ini semua ibadah wahai srikandiku.

Ya ukhti,

Sungguh luas jalan ke syurga yang Allah bentangkan untuk saudari. Janganlah saudari sempitkan jalan yang luas itu. Mahukah saudari menempun jalan mudha ke syurga? Bukankah jalan ke syurga dimudahkan untuk mereka yang menuntut ilmu.

Saudari boleh gunakan masa yang biasa saudari lakukan untuk solat dengan membaca buku-buku agama. Saya nasihatkan saudari untuk memulakan dengan bahan bacaan asas agama. Saudari mulakanlah dengan membaca buku-buku berkaitan akidah. Pilihlah buku yang mudah. Saudari boleh membaca Kitab at-Tauhid karangan Shaikh Muhammad bin Abdul Wahab. Sangat ringkas buku ini dan mudah untuk saudari fahami. Saudari juga boleh membaca buku saudara Hafiz Firdaus Abdullah tentang contoh-contoh hal yang boleh merosakkan akidah. Selepas itu saudari hendaklah membaca buku tentang bersuci.

Buku kecil Sifat Wudhu Rasulullah amatlah berguna buat saudari. Selepas itu bacalah buku Sifat Solat Nabi untuk saudari memperbaiki mutu solat saudari. Saudari juga tidak boleh melupakan hukum-hakam khas untuk gadis atau wanita seperti saudari. Bacalah buku-buku berkaitan hukum hakam haidh, istihadah dan lain-lain. Saudara boleh membaca buku karangan Shaikh Shalih al-Utsaimin berkaitan hal ini.

Wahai saudariku,

Saya kira jika mahu ditulis kesemua di sini akan hal-hal yang boleh dilakukan oleh wanita-wanita yang uzur, nescaya akan habislah dakwat pena, akan menjadi bermuka-muka tulisan ini. Dan saudari juga mungkin tidak akan mampu melaksanakan kesemuanya.

Ya ukhti,

Ingatlah Allah Maha Adil. Keuzuran pada wanita bukan penghalang mereka beribadah. Sematlah rasa cinta pada Tuhan, yakinlah pada keadilanNya, titiskanlah air mata memohon keampunanNya.

Wallahu’alam.


**Abu Usamah Mohd Masri bin Mohd Ramli Tampin, Negeri Sembilan, Malaysia. Pelajar UIA, kuliah Ekonomi. http://lobaitampin.blogspot.com/

Dipetik dari iluvislam.com

Tuesday, January 19, 2010

Mengapa Ibadah Solat Tidak Membangunkan Insan

Peringkat-peringkat sembahyang, nilaikan dimana tahap sembahyang kita. Dalam era membaiki diri ini, kita cuba check sembahyang kita, nanti akan terjawab kenapa kita tidak dibantu, dan ini juga gambaran secara keseluruhannya, mengapa umat islam terbiar dan tiada pembela dan umat islam kini tidak lagi menjadi umat yang agung seperti dulu.

Golongan 1.
Kita boleh lihat hari ini sudah ramai umat islam yang tak sembahyang, bahkan ramai juga yang tak tahu nak sembahyang, mereka telah jatuh kafir. Imam Malik kata jatuh kafir kalau tak sembahyang tanpa sebab. Imam Syafie kata jatuh fasik kalau ia masih yakin sembahyang itu fardu.

Golongan 2.
Orang yang mengerjakan sembahyang secara zahir sahaja, bacaan pun masih tak betul, taklid buta, main ikut-ikut orang sahaja. Tidak mempelajari cara-cara untuk solat secara rasmi atau tidak. Ilmu tentang sembahyang tiada. Golongan ini tertolak bahkan berdosa besar dan hidup dalam keadaaan derhaka kepada Allah Taala.

Golongan 3.
Orang yang mengerjakan sembahyang, bahkan tahu ilmu mengenai sembahyang, tetapi tak boleh lawan nafsu terhadap tarikan dunia yang kuat. Jadi mereka ini sekejap sembahyang, sekejap tidak. Kalau ada masa dan mood baik ia sembahyang, kalau sibuk dan terkocoh kacah, ada program kenduri, pesta ria, berziarah, bermusafir, letih dan penat, maka ia tak sembahyang.Orang ini jatuh fasik.

Golongan 4.
Orang yang sembahyang, kalaupun ilmunya tepat, fasih bacaannya, tetapi tak khusyuk kalau diperiksa satu persatu bacaannya, lafaznya banyak yang dia tak faham, fikirannya tak terpusat atau tak tertumpu sepenuhnya pada sembahyang yang dilaksanakannya itu disebabkan tak faham apa yang dia baca.Cuma main hafal saja. Jadi fikirannya terus tertumpu pada dunia dan alam sekelilingnya. Fikirannya mengembara dalam sembahyang,orang ini lalai dalam sembahyang. Neraka wail bagi orang ini.

Golongan 5.
Golongan yang mengerjakan sembahyang cukup lima waktu, tepat ilmunya, faham setiap bacaan sembahyang, fatihahnya, doa iftitahnya, tahiyyatnya, tapi tak dihayati dalam sembahyang itu. Fikirannya masih melayang mengingatkan perkara dunia, dek kerana faham saja tetapi tidak dihayati. Golongan ini dikategorikan sebagai sembahyang awamul muslimin.


Golongan 6
Golongan ini baik sedikit dari golongan yang ke lima tadi, tetapi main tarik tali didalam sembahyangnya, sekali sekala khusyuk, sekali sekala lalai pula. Bila teringat sesuatu didalam sembahyangnya, teruslah terbawa bawa, berkhayal dan seterusnya. Bila teringat Allah secara tiba tiba maka insaf dan sedarlah semula, cuba dibawa hatinya serta fikirannya untuk menghayati setiap kalimat dan bacaan didalam sembahyangnya. Begitulah sehingga selesai sembahyangnya. Ia merintih dan tak mahu jadi begitu, tapi terjadi jua. Golongan ini adalah golongan yang lemah jiwa. Nafsunya bertahap mulhamah (ertinya menyesal akan kelalaiannya dan cuba baiki semula, tapi masih tak terdaya kerana tiada kekuatan jiwa). Golongan ini terserah kepada Allah.Yang sedar dan khusyuk itu mudah mudahan diterima oleh Allah, mana yang lalai itu moga moga Allah ampunkan dosanya, namun tiada pahala nilai sembahyang itu. Ertinya sembahyangnya tiada memberi kesan apa apa.

Golongan 7.
Golongan yang mengerjakan sembahyangyang tepat ilmunya, faham secara langsung bacaan dan setiap lafaz didalam sembahyangnya. Hati dan fikirannya tidak terbawa-bawa dengan keadaan sekelilingnya sehingga pekerjaan atau apa pun yang dilakukan atau yang difikirkan diluar sembahyang itu tidak mempengaruhi sembahyangnya. Walaupun ia memiliki harta dunia, menjalankan kewajiban dan tugas keduniaan seperti perniagaan dan sebagainya namun tidak mempengaruhi sembahyangnya. Hatinya masih dapat memuja Allah didalam sembahyangnya. Golongan ini disebut orang-orang soleh / golongan abrar / ashabul yamin.

Golongan 8.
Golongan ini seperti juga golongan tujuh tetapi ia mempunyai kelebihan sedikit iaitu bukan saja faham, dan tak mengingati dunia didalam sembahyangnya, malahan dia dapt menghayati setiap makna bacaan sembahyangnya itu, pada setiap kalimah bacaan fatihahnya, doa iftitahnya, tahiyyatnya, tasbihnya pada setiap sujudnya dan setiap gerak gerinya dirasai dan dihayati sepenuhnya. Tak teringat langsung dengan dunia walaupun sedikit . Tapi namun ia masih tersedar dengan alam sekelilingnya. Pemujaan terhadap Allah dapat dirasai pada gerak dalam sembahyangnya. Inilah golongan yang dinamakan golongan Mukkarrabin (Yang hampir dengan Allah )

Golongan 9.
Golongan ini adalah golongan yang tertinggi dari seluruh golongan tadi. Iaitu bukan saja ibadah sembahyang itu dijiwai didalam sembahyang malahan ia dapat mempengaruhi di luar sembahyang. Kalau ia bermasalah langsung ia sembahyang, kerana ia yakin sembahyang punca penyelesai segala masalah. Ia telah fana dengan sembahyang. Sembahyang telah menjadi penyejuk hatinya. Ini dapat dibuktikan didalam sejarah, seperti sembahyang Saidina Ali ketika panah terpacak dibetisnya. Untuk mencabutnya, ia lakukan sembahyang dulu, maka didalam sembahyang itulah panah itu dicabut. Mereka telah mabuk dengan sembahyang. Makin banyak sembahyang makin lazat, sembahyanglah cara ia nak lepaskan kerinduan dengan tuhannya. Dalam sembahyanglah cara ia nak mengadu-ngadu dengan Tuhannya. Alam sekelilingnya langsuk ia tidak hiraukan. Apa yang nak jadi disekelilingnya langsung tak diambil peduli. Hatinya hanya pada Tuhannya. Golongan inilah yang disebut golongan Siddiqin. Golongan yang benar dan haq.


Setelah kita nilai keseluruhan 9 peringkat sembahyang itu tadi, maka dapatlah kita nilai sembahyang kita di tahap yang mana. Maka ibadah sembahyang yang boleh membangunkan jiwa, membangunkan iman, menjauhkan dari yang buruk boleh mengungkai mazmumah, menanamkan mahmudah, melahirkan disiplin hidup, melahirkan akhlak yang agung ialah golongan 7, 8 dan 9 sahaja. Sembahyangnya ada kualiti, manakala golongan yang lain jatuh pada kufur fasik dan zalim.


Jadi dimanakah tahap sembahyang kita ? Perbaikilah diri kita mulai dari sekarang. Jangan tangguh lagi. Pertama-tama soalan yang akan ditujukan kepada kita di akhirat nanti ialah solat / sembahyang kita. Marilah bersama membaiki solat kita agar segara dapat bantuan dari Allah, agar terhapuslah kezaliman, semoga tertegak kembali daulah Islam.Insya Allah...

Marilah kita berMUHASABAH
Dimanakah solat kita?
Adakah solat yang kita lakukan itu telah menunjukkan kesannya dalam gerakan kita/penglibatan kita/tanggungjawab kita sebagai seorang ahli jemaah?
Moga kita bersama harapkan solat kita itu benar-benar menjadi tiang agama.
Adakah segalanya yang kita lakukan kelmarin...hari ini dan esok hasil kesan solat kita?
Oleh itu bersama-samalah kita saling mengingati antara satu sama lain...

Sumber: iluvislam.com

Hakikat Sebuah Cinta

Cinta?
Apa itu cinta sebenarnya?
Ramai yang menilai cinta hanya pada mata..
Yang menilai sejauh mana kecantikan seorang insan..
Padahal sebuahkecantikan bukan hanya pada rupa
Tetapi pada hati yang selalu rindu, kasih, dan cinta
kepada penciptanya..

Tanpa sedar, kesaljuan cinta dicemari,
Kesucian cinta dikotori..

Mengapa?
Kerana manusia alpa dan leka dengan nafsu yang menggoda.
Nilaian cinta bukan pada pautan nafsu di dada,
Tetapi pada hati yang merasai keindahan cinta pada yang Esa.

Cinta tidak selalunya indah,
Tetapi ketahuilah bahawa kemanisan cinta tak menyakitkan,
malah membawa kebahagiaan.
Sesungguhnya, cinta yang sejati hanya cintakan Illahi yang abadi.
Cinta sejati hanya cinta ayah bonda,

Cintailah Dia yang mencipta cinta,
kerana Dia pasti akan menghadiahkan seorang insan buat kita.
Menumpahkan kasih dan mengalirkan sayang di dunia dan di syurga..

Sunday, December 27, 2009

Menjaga Etika Bertudung

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh….

Izinkan diri ini untuk meluahkan kata-kata, Bukan kata-kata kesat, Bukan kata sindirian, Bukan kata kosong.

Perkara ini nampak seperti hal yang remeh, tetapi bagi ana ini merupakan sesuatu yang amat mendalam dan agak menikam kalbu.. Apabila diutarakan mengenai tudung labuh, walaupun bukan tudung bulat pun, apabila tudung itu sudah lebih besar daripada orang lain, pastinya persepsi masyarakat akan turut berubah seiring dengan perubahan tudung tersebut.



Mengapa persoalan ini diutarakan? Apa selalunya yang terlintas dalam diri masing-masing apabila melihat seorang perempuan memakai baju kurung berserta dengan tudung yang lebih labuh daripada perempuan-perempuan yang lain? Pastinya tanggapan pertama ialah; perempuan ini perempuan yang baik, perempuan yang sopan, perempuan yang tahu menjaga adab dirinya.

Namun adakah kita sedar, dalam majoriti kaum wanita yang dikatakan bertudung labuh yang nampaknya sopan itu, terdapat sebilangan kecil daripada mereka ini yang sebenarnya sedang menconteng arang ke muka wanita-wanita yang lain.

Mengapa ana berkata begini? Tentu saja anda semua pernah dengar perkataan ini, “Alah tak payahlah nak poyo-poyo pakai tudung labuh. Ingat semua orang yang tudung labuh ni baik sangat ke? Kadang-kadang yang tudung labuh ni lagi teruk daripada tudung kecil!” pasti pernahkan? Bagi yang baru pertama kali mendengarnya, pasti hati berasa panas sahaja mendengar perkataan sebegitu yang diluahkan. Namun, itulah hakikat.

Kebanyakkan wanita sekarang ini, maaf untuk menegur, tidak berakhlak seperti yang tertera pada pakaiannya yang labuh. Berdating sana sini, bermesejan lelaki itu ini, berhuha-huha dengan lelaki ajnabi, berkoling-koling, berkapelan islamik kononnya, cakap buang masa, menggedik sana sini(maaf kalau ada yang terasa) dan banyak lagi yang mana akhlak tersebut langsung tidak kena pada imej wanita muslimah yang ditonjolkan.

Apabila orang kata tudung labuh pun sama teruk juga, cepat saja naik darah. Sedangkan siapa yang menyebabkan orang lain berfikiran seperti itu? Apabila timbul masalah seperti ini, pastinya orang lain yang mahu bertudung labuh terbantut niatnya melihatkan akhlak wanita bertudung labuh yang lain ini. Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.

Akhirnya timbullah perkataan seperti, “ Aku tak pakai tudung labuh pun, free hair je kot, tapi aku tak adalah macam si polan tudung labuh tu. Harap tudung tu je yang besar, akhlak tak besar pun,”

Ya, memang diakui,yang bertudung labuh juga adalah manusia biasa yang punya keinginan. Tapi bukankah elok jika cara pemakaian kita seiring dengan tudung yang dipakai? Tutup aurat itu merupakan satu kewajipan,menjaga akhlak juga satu kewajipan bagi kita. Mengapa hanya diambil satu perkara sahaja, dan ditinggalkan satu perkara lagi?

Dipetik dari : iluvislam.com

Wanita : Agar Dikau Bahagia

Kepada setiap muslimah yang rela Allah swt sebagai Rabbnya, Islam sebagai agamanya dan Muhammad sebagai Rasulnya.

Kepada setiap pendidik yang berjihad di jalan Allah dengan untaian kalimahnya, menjaga norma-norma nya dan menyucikan jiwanya.

Kepada wanita yang bimbang dan bersedih, berbahagialah dengan dekatnya kemudahan, datangnya pertolongan Allah swt serta janji pahala yang besar dan terhapus segala dosa.



***


Tidak ada kecantikan bagi seorang wanita, tiada pula keindahan, harga diri dan kedudukan kecuali beriman kepada Allah swt. Apabila dirinya tegak di atas jalan ini, maka dia lah wanita yang mendapat petunjuk, diterima amalnya dan menjadi wanita pilihan disisi RabbNya.

Namun, jika dia melepaskan jalan kebenaran tersebut,kafir terhadap Tuhannya, mengingkari agamanya dan melepaskan tuntutanNya, maka dia lah cermin kepada wanita yang murahan, hina dan terbuang.

Pada saat itulah sinar kecantikan seorang wanita mula menghilang, walau berkalung gugusan bintang di langit, meskipun bermahkota bintang gemini dan matahari terbit di keningnya.

Wahai wanita muslimah yang jujur, wahai wanita mu'minah yang selalu kembali kepada Allah.

Jadikanlah dirimu itu seperti sepohon kurma. Jauh dari keburukan, menjulang tinggi menghindar dari sifat mengangau. Dilempar dengan batu dia menjatuhkan buahnya, tetap hijau pada musim panas mahupun dingin dan memberikan manfaat kepada sekalian manusia.

Jadilah engkau orang yang menjauhi perkara-perkara yang rendah, keperibadianmu terjaga dari segala pola hidup yang menipu rasa malu. Ucapanmu adalah zikir, pandanganmu melahirkan ibrah, diammu adalah berfikir.

Saat itulah engkau mendapatkan ketenangan dan akan diterima oleh penduduk bumi. Tercurah segala pujian yang baik-baik, doa yang jujur dari semua makhluk, dan Allah swt akan menjauhkanmu dari awan kesempitan, bayang-bayang ketakutan, dan gumpalan kekeruhan.

Tidurlah berbantalkan curahan doa orang-orang mu'min, lalu bangunlah untuk meraih pujian yang ditujukan kepadamu. Saat itulah engkau mula menyedari bahawa kebahagiaan bukan terdapat pada simpanan harta, kad kredit dan kereta, rumah yang bagaikan istana, mahupun pada kasih nya seorang manusia, namun pada ketaatan terhadap Zat Yang Maha Terpuji. Kedamaian hidup bukan pada hiasan keduniaan, bukan pula mengabdi kepada hamba, namun kepada kepatuhan terhadap Zat Yang Maha Mulia.

Pesanku, jadilah seorang wanita yang bermaruah, yang punya kedudukan tinggi di sisi Tuhannya. Di mana namanya sentiasa disebut-sebut dalam kalangan para malaikat, dan yang berjaya memperoleh cinta yang Teragung, iaitu cintanya Ya Rabb lantas menjadi wanita yang paling bahagia di dunia.

Dipetik dari: iluvislam.com

Friday, December 11, 2009

Jadilah Seorang Lelaki Yang Beriman




Jadilah seorang lelaki yang beriman,
Yang hatinya disalut rasa taqwa kepada Allah,
Yang jiwanya penuh penghayatan terhadap Islam,

Yang sentiasa haus dengan ilmu,
Yang sentiasa dahaga akan pahala,
Yang solatnya adalah maruah dirinya,
Yang tidak pernah takut untuk berkata benar,
Yang tidak pernah gentar untuk melawan nafsu,
Yang sentiasa bersama kumpulan orang-orang yang berjuang di jalan Allah.

Jadilah seorang lelaki,
Yang menjaga tutur katanya,
Yang tidak bermegah dengan ilmu yang dimilikinya,
Yang tidak bermegah dengan harta dunia yang dicarinya,
Yang sentiasa berbuat kebajikan kerana sifatnya yang penyayang,
Yang mempunyai ramai kawan dan tidak mempunyai musuh yang bersifat jembalang.

Jadilah seorang lelaki,
Yang menghormati ibu bapanya,
Yang sentiasa berbakti kepada orang tua dan keluarga,
Yang bakal menjaga kerukunan rumahtangga,
Yang akan mendidik isteri dan anak-anak mendalami Islam,
Yang mengamalkan hidup penuh kesederhanaan,
Kerana dunia baginya adalah rumah sementara menuju akhirat.

Jadilah seorang lelaki,
Yang sentiasa bersedia untuk menjadi imam,
Yang hidup di bawah naungan al-Quran dan mencontohi sifat-sifat Rasulullah,
Yang boleh diajak berbincang dan berbicara,
Yang menjaga matanya dari berbelanja,
Yang sujudnya penuh kesyukuran dengan rahmat Allah ke atasnya.

Jadilah seorang lelaki,
Yang tidak pernah membazirkan masa,
Matanya kepenatan kerana membaca al- Quran,
Suaranya lesu kerana penat berzikir,
Tidurnya lena dengan cahaya keimanan,
Bangunnya Subuh penuh kecergasan,
Kerana sehari lagi usianya bertambah kematangan.

Jadilah seorang lelaki,
Yang sentiasa mengingati mati,
Yang baginya hidup di dunia adalah ladang akhirat,
Yang mana buah kehidupan itu perlu dibaja dan dijaga,
Agar berputik tunas yang bakal menjaga baka yang baik,
Meneruskan perjuangan Islam sebelum hari kemudian.

Jadilah seorang lelaki,
Yang tidak terpesona dengan buaian dunia,
Kerana dia mengimpikan syurga Allah.

Sumber: iluvislam.com

Friday, December 4, 2009

Empat Golongan Lelaki Masuk Neraka Kerana Perempuan


Perempuan merupakan penyumbang yang paling besar menyebabkan lelaki masuk ke dalam Neraka Allah, Banyak lelaki yang terjebak ke dalam maksiat kerana perhiasan wanita, terutama pada zaman sekarang terlalu ramai perempuan yang mendedahkan aurat mereka sehingga menyebabkan berlakunya maksiat dan sebagainya. Perempuan yang tidak mempunyai kesedaran agama adalah diibaratkan sepertimana anak panah syaitan yang sentiasa memanah lelaki-lelaki sehingga berlakunya perkara maksiat. Contohnya di sebuah kedai kereta itu mempunyai gadis seksi, mesti ramai lelaki yang akan mengunjungi kedai keretanya bukan kerana mahu membeli kereta, tetapi nak tengok perempuan seksi. Firman Allah yang bermaksud “Jangan hampiri zina”. Frman Allah yang bermaksud lagi : "Hai anak adam peliharalah diri kamu serta ahlimu dari api neraka, dimana bahan pembakaranya ialah manusia dan batu-batu ... "

Terdapat empat golongan lelaki yang ditarik ke Neraka disebabkan wanita, sepertimana di bawah ini :

1.
Ayah, Apabila seseorang yang bergelar ayah tidak memperdulikan anak-anak perempuannya di dunia. Dia tidak memberikan segala keperluan agama seperti mengajar solat, mengaji dan sebagainya. Dia membiarkan anak-anak perempuannya tidak menutup aurat.....tidak cukup kalau dengan hanya memberi kemewahan dunia sahaja maka dia akan ditarik oleh anaknya.

2.
Suami, Apabila seorang suami tidak memperdulikan tindak tanduk isterinya. Bergaul bebas di pejabat, memperhiaskan diri bukan untuk suami tapi untuk pandangan kaum lelaki yang bukan mahram, apabila suami mendiam diri...walaupun dia seorang alim (solat tidak tangguh, puasa tidak tinggal) maka dia akan ditarik oleh isterinya.

3.
Abang, Apabila ayahnya sudah tiada, tanggungjawab menjaga maruah wanita jatuh ke pula abang-abangnya jikalau mereka hanya mementing keluarganya sahaja dan adik perempuannya dibiar melencong dari ajaran Islam.... tunggulah tarikan adiknya di akhirat.

4.
Anak Lelaki, Apabila seorang anak tidak menasihati seorang ibu perihal kelakuan yang haram dari Islam, maka anak itu akan disoal dan dipertangungjawabkan di akhirat kelak nantikan tarikan ibunya.

Empat golongan inilah yang akan masuk ke neraka Allah disebabkan oleh wanita, mari bermuhasabah diri masing-masing, adakah kita tergolong dalam golongan ini, kalau tergolong marilah bertaubat, beristiqfar dan cepat-cepat memohon ampun kepada Allah akan kesalahan-kesalahan yang telah dilakukan. Kepada kawan-kawan semua lepas baca artikel ini kalau ada pandangan dan komen boleh kemukakan di ruangan komen dibawah ini, sesungguhnya komen anda sangat bermakna buat saya.

Dipetik dari sini.