Santapan Rohani


Random Hadith Widget

Sunday, April 11, 2010

Sajak : Coretan Seorang Sahabat

Di kejauhan yang sepi
Di lubuk hati ini
Di pandangan mata hati
Bayangan kasihmu sering menemaniku
Mengingatkanku pada masa lalu
Saat kita menjalin ukhuwah bersama
Menyulam ikatan persahabatan dengan kasih-Nya
Bersatu dalam kasih sayang dan redha yang Esa

Sungguh
Betapa aku akan merinduimu sahabatku
Rindukan kasih sayangmu
Yang memenuhi segenap ruang hatiku
Senyumanmu
Pasti kusemat diingatan agar kau dapat ku abadi
Teguranmu
Yang menyapa seorang insan yang ketandusan ilmu
Ketenanganmu
Pasti menggamit hadirnya kedamaian dijiwaku

Sahabatku
Ketahuilah
Waktu itu
Air mataku pasti akan mengalir
Membasahi pipiku yang mulus
Hanya senaskah al-quran
Kualunkan pengubat hatiku yang rindu
Pengerat kasih sayang kita
Hanya serangkap doaku
Kepada yang Esa
……………………………………………………..
Terima kasih
Kerana kau rela menjadi seorang sahabat buat diriku
Yang dhaif
Kehausan cinta
Dan kasih sayang tuhan berjihadlah sahabatku
Kerana dunia perlukan insan sepertimu
Berjuanglah di medan ilmu
Kerana di situ letaknya masa depanmu

Moga telah tertulis sebuah pertemuan
Untuk kita di waktu akan datang..
Insyaallah..



“Kenangi daku dalam doamu”
“Istimewa buat sahabat yang kusayangi”
عزين الدين معمد بن زين الدين

-Dari sahabatmu-

Luahan Rasa : Nukilan Rasa Buat Seorang Insan Bernama Sahabat

Layar keinsafan kubentangkan
Pautan kasih sayang tuhan yang Rahman
Menggetarkan hati dalam kemanisan iman
Menenggelamkan aku dengan selaut cinta
Pada Dia yang kuasa

Damba kasihku pada zat yang penyayang
Munajatku dikeheningan malam
Hamparan sejadah yang menyentuh dahi
Mengalirkan rasa taqwa disegenap jiwa
Mengalunkan irama indahnya cinta pada Illahi.

Aku di sini ya Rabbi
Berdiri, bersujud pada-Mu
Mengemis secebis cinta yang hakiki
Meminta secarik sayangku pada khaliq yang abadi
Mengharap sebuah harapan kasih
Mengirimkan haruman setanggi syurga
Yang suci
Sesuci kasih-Mu pada insani

Ya Allah, ya Rabbul Izzati
Bisikan nuraniku menerpa
Membisik kasih yang belum pasti
Menyulam sayang insan di segenap hati
Hingga hadirnya cinta tanpa kusedari
Memenuhi kamar hati yang sepi

Engkau yang menetapkan fitrah manusia
Jalinan fitrah kasih kekasih
Yang belum pasti ke mana arahnya
Belum kutemui ke mana arahnya
Belum kutemui kebenaran landasannya
Akan kubandingi nilaian cinta yang selayaknya
Bukan pada cantiknya rupa yang akan sirna
Bukan pada pautan nafsu yang alpa
Bukan pada mata yang menilai cantiknya dia
Insan yang kudamba

Letaknya kesucian cinta di tempat yang mulia
Keikhlasan hati sudah pasti
Batasan diri, syariat dipatuhi
Akan ku nanti,
Siapakah dia
Yang miliki kunci jendela hati

Ya Allah,
Cahaya kasih-Mu menyentuh kalbuku
Hanya pada-Mu ku mengharap kasih
Moga cintaku terhadap tuhan yang kuasa
Menjangkau segala-galanya di dunia
Kerana aku hanya insan biasa
Pasti ternoda dengan lalainya cinta
Pasti tercemar hati ini dengan kemanisan cinta
Dalam nafsu semata

Ampuni aku
Kerana aku pasti tidak sanggup menghadap
Hebatnya julangan api neraka-Mu

Jka benar dia milikku ya Allah
Dekatkan hatinya dengan hatiku
Jka dia bukan untukku
Damaikanlah hatiku dengan ketentuan-Mu
Kerna kutahu
Pasti ada insan terbaik buat diriku..

NUKILAN RASA, SEKADAR RENUNGAN SEBUAH PERSAHABATAN

Monday, April 5, 2010

Bagaimana Melatih Anak Menjadi Hafiz




Nuramirah hanya perlu dua tahun menjadi hafizah. Kemampuannya menghafaz 30 juzuk al-Quran pada usia tujuh tahun amat membanggakan dan kejayaannya muncul naib johan pertandingan tahfiz peringkat negeri Perak pada sambutan Maulidur Rasul 11 April lalu memberi kepuasan kepada kedua-dua ibu bapanya yang berjaya mengasah bakat luar biasanya.

Nuramirah Azhari, 10, yang mula mengenal al-Quran pada usia lima tahun berjaya menamatkan hafalannya dua tahun kemudian selepas dilatih sehelai muka surat setiap hari oleh ibunya, Nurzahidah Hashim, 37.

Dia belajar antara tujuh hingga lapan jam sehari.Tanpa menunjukkan sebarang rasa jemu, Nuramirah empat beradik bersama abangnya Muhammad Adam, 12, Nurnabilah, 8, dan Muhammad Amin, 5, berlatih menghafaz al-Quran empat kali sehari iaitu waktu pagi, tengah hari, petang dan malam untuk mengasah daya ingatan mereka.

Lebih membanggakan Nuramirah sudah mempunyai 10 anak murid berusia antara enam hingga 12 tahun sejak setahun lalu dan dia berazam memastikan anak-anak muridnya itu berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran dalam tempoh dua tahun dengan berlatih sehelai muka surat setiap hari.

Ketika ditemui di kediamannya di Kampung Tengku Husin, Gugusan Manjoi, Ipoh, Perak, Nuramira menyatakan rasa gembira kerana tarikh lahirnya mengikut kalendar Islam adalah sama dengan tarikh lahir Rasulullah s.a.w.."Mungkin ini kelebihannya (sama tarikh lahir dengan Rasulullah), tetapi yang penting kalau hendak jadi seorang huffaz atau hafizah yang baik kita mesti berlatih bersungguh-sungguh," katanya yang bercita-cita menjadi seorang doktor atau pensyarah universiti.

Ibunya, Nurzahidah dan bapanya, Azhari Abu Hassan, 39, seorang pelukis pelan mengajar Nuramirah dan anak-anaknya menghafaz al-Quran setiap hari sebaik sahaja mereka berusia lima tahun sementara anak bongsunya, Muhammad Aslam, yang baru berusia dua tahun diberi pendedahan awal melihat abang dan kakaknya mengaji.

Menurut Nurzahidah, beliau dan suami menyediakan jadual waktu khas untuk dipraktikkan oleh anak-anaknya. Bermula pukul 5 pagi mereka disuruh bangun membersihkan diri untuk bersolat tahajud, subuh dan membaca al-Quran sebelum berehat selama sejam setengah bermula pukul 7 pagi.

Selepas dikejutkan semula pada pukul 8.30 pagi untuk membersihkan diri dan bersarapan mereka akan berlatih semula menghafaz al-Quran pada pukul 9.45 hingga 1 tengah hari sebelum berhenti rehat untuk bersembahyang zuhur dan makan tengah hari. Pada pukul 2 petang hingga 2.30 petang anak-anak diajar ilmu dakwah, akhlak, matematik, sains dan bahasa Inggeris.

Mereka akan direhatkan selama sejam untuk tidur pada pukul 3 hingga 4 petang sebelum dikejutkan untuk sembahyang asar dan kembali menghafaz al-Quran sehingga pukul 6.15 petang. Nurzahidah memberitahu, anak-anaknya akan berehat semula selama 45 minit untuk bermain dan pada sebelah malam seawal pukul 7 mereka sudah dihidangkan makan malam sebelum kembali menghafaz sehingga pukul 9.45 malam bersama anak-anak muridnya seramai lebih 30 orang.

"Pada pukul 10.30 malam hingga 11.30 malam mereka akan disuruh berlatih sekali lagi menghafaz dan pada waktu malam juga saya akan turut mengumpulkan anak-anak untuk bermuzakarah bagi memberi ruang kepada mereka meluahkan masalah masing-masing kerana pendekatan kami berdamping sambil mendidik.

"Inilah amalan harian kami dan pada hari-hari tertentu saya akan pastikan anak-anak dibawa menziarahi sanak-saudara atau sahabat handai serta membawa mereka beriadah seperti pergi ke taman permainan atau berenang. Kami tidak mahu mengongkong kehidupan zaman kanak-kanak mereka," jelasnya.

Walaupun memilih untuk tidak menghantar anak-anaknya mengikuti pendidikan formal, Nurzahidah dan Azhari mengajar mereka membaca, menulis dan mengira di rumah dan tetap bertegas untuk mengekalkan cara didikan sedemikian dengan mendaftarkan mereka mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysiaatau Sijil Menengah Agama kelak.

Dengan alasan tersendiri mereka mahu kesemua anaknya dibekalkan dengan ilmu akhirat kerana yakin dengan cara tersendiri anak-anak akan menjadi manusia berguna dan kukuh pegangan agama berbanding anak-anak yang dihantar ke sekolah biasa. "Anak yang dihantar ke sekolah tidak akan berada di rumah untuk tempoh yang panjang, pagi ke sekolah, petang mereka mengikuti aktiviti kokurikulum, pergi mengaji dan malam mengikuti kelas tuisyen, justeruberapa jam yang ada untuk kita bersama-sama mereka," soalnya.

Mengenai petua yang diamalkan, Nurzahidah memberitahu, semasa mengandung beliau akan membaca surah Yasin, membaca al-Quran dan banyak berdoa ketika bersolat. Beliau juga akan memastikan hanya mendapat pemeriksaan dan rawatan daripada doktor wanita ketika mengandung sehingga melahirkan anak.

Dari segi pemakanan pula, beliau tidak menyediakan masakan tertentu sebaliknya percaya air tangan setiap ibu merupakan pengikat kasih yang paling mustajab untuk melembutkan hati anak-anak kerana bermula daripada menumis sehingga menghidangkan makanan beliau akan berselawat dan membaca doa tertentu.

"Saya dan suami akan duduk bersama anak-anak untuk bersarapan, makan tengah hari, petang dan malam bersama-sama kerana pada kesempatan itu kita boleh bermuzakarah dan menjelaskan kepada mereka tentang sesuatu perkara seperti hubungan erat sesama keluarga, sanak saudara dan sahabat," katanya.

Sementara itu, Azhari memberitahu, untuk membolehkan anak-anak memberi tumpuan kepada menghafaz al-Quran, rumahnya tidak mempunyai televisyen. Sebaliknya mereka hanya menyediakan sebuah radio untuk membolehkan keluarga mengikuti perkembangan semasa.

"Alhamdulillah anak-anak tidak pernah bersungut kerana sejak kecil lagi mereka sudah diajar supaya menjadi seorang tahfiz, malah saya bimbang dengan adanya televisyen tumpuan mereka pada al-Quran sedikit terganggu."Saya juga tidak akan memewahkan anak-anak dengan wang ringgit kerana tidak mahu mereka lalai sebaliknya membelikan barangan yang perlu sahaja," katanya.Menurut Azhari, ibu bapa yang berhasrat mendidik anak sebagai tahfiz perlu mengikis tanggapan bahawa mereka juga perlu menjadi tahfiz kerana beliau dan isteri bukannya tahfiz tetapi bersyukur kerana dapat mendidik anak-anak sebagai tahfiz dan mempunyai lebih 30 anak murid.

Dipetik dari sini.

Sunday, April 4, 2010

Lima Perkara Perosak Hati

Hati adalah pengendali. Jika ia baik, baik pula perbuatannya. Jika ia rosak, rosak pula perbuatannya. Maka menjaga hati dari kerosakan adalah perlu dan wajib.
Tentang perosak hati, Imam Ibnul Qayyim rahimahullah menyebutkan ada lima perkara, 'bergaul dengan banyak kalangan teman (baik dan buruk), angan-angan kosong, bergantung kepada selain Allah, kekenyangan dan banyak tidur.'


1. Bergaul dengan banyak kalangan
Pergaulan adalah perlu, tapi tidak asal bergaul dan banyak teman. Pergaulan yang salah akan menimbulkan masalah. Teman-teman yang buruk lambat laun akan menghitamkan hati, melemahkan dan menghilangkan rasa nurani, akan membuat yang bersangkutan larut dalam memenuhi berbagai keinginan mereka yang negatif. Dalam paparan kehidupan, kita sering menyaksikan orang yang hancur hidup dan kehidupannya gara-gara pergaulan. Biasanya output semacam ini, kerana motivasi bergaulnya untuk dunia. Dan memang, kehancuran manusia lebih banyak disebabkan oleh sesama manusia. Oleh sebab itu, kelak di akhirat, banyak yang menyesal berat kerana salah pergaulan. Allah berfirman:

"Dan (ingatlah) hari (ketika itu) orang yang zhalim menggigit dua tangannya seraya berkata, 'Aduhai (dulu) kiranya aku mengambil jalan bersama-sama Rasul. Kecelakaan besarlah bagiku, kiranya aku (dulu) tidak menjadikan si fulan itu teman akrab(ku). Sesungguhnya dia telah menyesatkan aku dari Al-Qur'an ketika Al-Qur'an itu telah datang kepadaku." (Al-Furqan: 27-29).


"Teman-teman akrab pada hari itu sebagiannya menjadi musuh bagi sebagian yang lain, kecuali orang-orang yang bertakwa." (Az-Zukhruf: 67).

"Sesungguhnya berhala-berhala yang kamu sembah selain Allah adalah untuk menciptakan perasaan kasih sayang di antara kamu dalam kehidupan dunia ini, kemudian di hari Kiamat sebagian kamu mengingkari sebagian (yang lain) dan sebagian kamu melaknati sebagian (yang lain), dan tempat kembalimu adalah Neraka, dan sekali-kali tidak ada bagimu para penolong." (Al-Ankabut: 25).

Inilah pergaulan yang didasari oleh kesamaan tujuan duniawi. Mereka saling mencintai dan saling membantu jika ada hasil duniawi yang diingini. Jika telah lenyap kepentingan tersebut, maka pertemanan itu akan melahirkan duka dan penyesalan, cinta berubah menjadi saling membenci dan melaknat. Kerana itu, dalam bergaul, berteman dan berkumpul hendaknya ukuran yang dipakai adalah kebaikan. Lebih tinggi lagi tingkatannya jika motivasi pertemanan itu untuk mendapatkan kecintaan dan redha Allah.

2. Larut dalam angan-angan kosong
Angan-angan kosong adalah lautan tak bertepi. Ia adalah lautan tempat berlayarnya orang-orang tiada tujuan hidup. Bahkan dikatakan, angan-angan adalah modal orang-orang tak bertujuan. Ombak angan-angan terus mengombang-ambingkannya, khayalan-khayalan dusta senantiasa mempermainkannya. Laksana anjing yang sedang mempermainkan bangkai. Angan-angan kosong adalah kebiasaan orang yang berjiwa kerdil dan rendah. Masing-masing sesuai dengan yang diangankannya. Ada yang mengangankan menjadi raja atau ratu, ada yang ingin keliling dunia, ada yang ingin mendapatkan harta kekayaan melimpah, atau isteri yang cantik jelita. Tapi itu hanya angan-angan belaka. Adapun orang yang memiliki cita-cita tinggi dan mulia, maka cita-citanya adalah seputar ilmu, iman dan amal shalih yang mendekatkan dirinya kepada Allah. Dan ini adalah cita-cita terpuji. Adapun angan-angan kosong ia adalah tipu daya belaka. Nabi Sallallahu alaihi wasallam memuji orang yang bercita-cita terhadap kebaikan.

3. Bergantung kepada selain Allah
Ini adalah faktor terbesar perosak hati. Tidak ada sesuatu yang lebih berbahaya dari bertawakkal dan bergantung kepada selain Allah. Jika seseorang bertawakkal kepada selain Allah maka Allah akan menyerahkan urusan orang tersebut kepada sesuatu yang ia bergantung kepadanya. Allah akan menghinakannya dan menjadikan perbuatannya sia-sia. Ia tidak akan mendapatkan sesuatu pun dari Allah, juga tidak dari makhluk yang ia bergantung kepadanya. Allah berfirman, ertinya:

"Dan mereka telah mengambil sembahan-sembahan selain Allah, agar sembahan-sembahan itu menjadi pelindung bagi mereka. Sekali-kali tidak, kelak mereka (sembahan-sembahan) itu akan mengingkari penyembahan (pengikut-pengikutnya) terhadapnya, dan mereka (sembahan-sembahan) itu akan menjadi musuh bagi mereka." (Maryam: 81-82)


"Mereka mengambil sembahan-sembahan selain Allah agar mereka mendapat pertolongan. Berhala-berhala itu tidak dapat menolong mereka, padahal berhala-berhala itu menjadi tentara yang disiapkan untuk menjaga mereka." (Yasin: 74-75)

Maka orang yang paling hina adalah yang bergantung kepada selain Allah. Ia seperti orang yang berteduh dari panas dan hujan di bawah rumah laba-laba. Dan rumah laba-laba adalah rumah yang paling lemah dan rapuh. Lebih dari itu, secara umum, asal dan pangkal syirik adalah dibangun di atas ketergantungan kepada selain Allah. Orang yang melakukannya adalah orang hina dan nista. Allah berfirman, ertinya:

"Janganlah kamu adakan tuhan lain selain Allah, agar kamu tidak menjadi tercela dan tidak ditinggalkan (Allah)." (Al-Isra': 22)

Terkadang keadaan sebahagian manusia tertindas tapi terpuji, seperti mereka yang dipaksa dengan kebatilan. Sebahagian lagi terkadang tercela tapi menang, seperti mereka yang berkuasa secara batil. Sebahagian lagi terpuji dan menang, seperti mereka yang berkuasa dan berada dalam kebenaran. Adapun orang yang bergantung kepada selain Allah (musyrik) maka dia mendapatkan keadaan yang paling buruk dari empat keadaan manusia, yakni tidak terpuji dan tidak ada yang menolong.


4. Makanan
Makanan perosak ada dua macam. Pertama , merosak kerana zat/materinya, dan ia terbahagi menjadi dua macam. Yang diharamkan kerana hak Allah, seperti bangkai, darah, anjing, binatang buas yang bertaring dan burung yang berkuku tajam. Kedua, yang diharamkan kerana hak hamba, seperti barang curian, rampasan dan sesuatu yang diambil tanpa kerelaan pemiliknya, sama ada kerana paksaan, malu atau takut terhina.
Kedua , merosak kerana melampaui ukuran dan takarannya. Seperti berlebihan dalam hal yang halal, kekenyangan melampaui batas. Sebab yang demikian itu membuatnya malas mengerjakan ketaatan, sibuk terus-menerus dengan urusan perut untuk memenuhi hawa nafsunya. Jika telah kekenyangan, maka ia merasa berat dan kerananya ia mudah mengikuti komando syaitan. Syaitan masuk ke dalam diri manusia melalui aliran darah. Puasa mempersempit aliran darah dan menyumbat jalannya syaitan. Sedangkan kekenyangan memperluas aliran darah dan membuat syaitan betah tinggal berlama-lama. Barangsiapa banyak makan dan minum, niscaya akan banyak tidur dan banyak merugi. Dalam sebuah hadits masyhur disebutkan:

"Tidaklah seorang anak Adam memenuhi bejana yang lebih buruk dari memenuhi perutnya (dengan makanan dan minuman). Cukuplah bagi anak Adam beberapa suap (makanan) yang bisa menegakkan tulang rusuknya. Jika harus dilakukan, maka sepertiga untuk makanannya, sepertiga untuk minumannya dan sepertiga lagi untuk nafasnya." (HR. At-Tirmidzi, Ahmad dan Hakim, dishahihkan oleh Al-Albani).


5. Banyak tidur
Banyak tidur mematikan hati, memenatkan badan, menghabiskan waktu dan membuat lupa serta malas. Di antara tidur itu ada yang sangat dibenci, ada yang berbahaya dan sama sekali tidak bermanfaat. Sedangkan tidur yang paling bermanfaat adalah tidur saat sangat dibutuhkan. Segera tidur pada malam hari lebih baik dari tidur ketika sudah larut malam. Tidur pada tengah hari (tidur siang) lebih baik daripada tidur di pagi atau petang hari. Bahkan tidur pada petang dan pagi hari lebih banyak mudharatnya daripada manfaatnya. Di antara tidur yang dibenci adalah tidur antara solat Subuh dengan terbitnya matahari. Sebab ia adalah waktu yang sangat strategik. Kerana itu, meskipun para ahli ibadah telah melewatkan sepanjang malamnya untuk ibadah, mereka tidak mahu tidur pada waktu tersebut hingga matahari terbit. Sebab waktu itu adalah awal dan pintu siang, saat diturunkan dan dibagi-bagikannya rezeki, saat diberikannya barakah. Maka masa itu adalah masa yang strategik dan sangat menentukan masa-masa setelahnya. Oleh itu, tidur pada waktu itu hendaknya kerana benar-benar sangat terpaksa. Secara umum, saat tidur yang paling tepat dan bermanfaat adalah pada pertengahan pertama dari malam, serta pada seperenam bagian akhir malam, atau sekitar lapan jam. Dan itulah tidur yang baik menurut pada doktor. Jika lebih atau kurang daripadanya maka akan berpengaruh pada kebiasaan baiknya. Termasuk tidur yang tidak bermanfaat adalah tidur pada awal malam hari, setelah tenggelamnya matahari. Dan ia termasuk tidur yang dibenci Rasul Sallallahu 'alaihi wa sallam .

Dipetik dari iluvislam.com

Boleh Diam Tak?



Diam orang mukmin itu ibadah,
Ibadah tanpa perbuatan,

Ibadah rasa,
Ibadah ini tidak meletihkan,
Kadang-kadang ibadah ini lebih baik daripada ibadah sunat,
Yang hatinya didalam kelalaian,
Macamana orang mukmin itu diamnya menjadi ibadah?

Kadang-kadang memikirkan dosanya,
Kadang-kadang memikirkan apa kebaikan yang nak dibuat,
Kadang-kadang memikirkan nak menolong kawan,
Kadang-kadang dia terasa kebesaran Tuhan,
Atau dia meniatkan, dia diam itu,
Tidak mahu bercakap yang bukan-bukan,
Kadang-kadang dia diam itu, kalau dia bercakap,
Takut dia melakukan kesalahan,
Seperti dia mengumpat atau,

Kalau dia bercakap, takut-takut menyakiti hati orang,
Atau dia diam itu, menghormati percakapan orang,
Mungkin orang itu bercakap baik dapat pengajaran,
Atau dia hendak mengenal orang yang bercakap itu,
Baik atau jahat,
Dia biarkan saja orang itu bercakap,
Dan mendengar sahaja,
Kerana nak mengenal orang itu,

Kadang-kadang dia diam itu memikirkan dosa-dosa yang lalu,
Ataupun kecuaian dan kelalaian,
Yang telah dibuat, supaya dia bertaubat,
Ataupun mengingatkan ilmu pengetahuan,
Ataupun pengetahuan yang dilupakan datang semula ingatan,

Itulah yang dikatakan oleh pepatah Melayu,

"Diam-diam ubi berisi"
"Diam-diam tong kosong"
Atau "diam-diam tong penuh berisi kekotoran" .

Abou Hurayrah relates that Allah's Messenger (peace be upon him) said: "Whoever believes in Allah and the Last Day should speak a good word or remain silent. And whoever believes in Allah and the Last Day should show hospitality to his neighbor. And whoever believes in Allah and the Last Day should show hospitality to his guest."� [Sahih Al-Bukhari and Sahih Al Muslim]

The Prophet (peace be upon him) said: "Indeed a servant will speak a word pleasing to Allah that he thinks to be insignificant, but because of it Allah raises him by many degrees. And indeed a servant will speak a word displeasing to Allah that he thinks to be insignificant, but because of it, He will consign him to the Hellfire."� [Sahih al-Bukhari]

Dipetik dari iluvislam.com

Saturday, April 3, 2010

Luahan Rasa : Imam Muda Astro


Alhamdulillah pagi tadi ana pergi ke Masjid Zahir, Alor Setar untuk sesi ujibakat. Ana bergerak dari Sungai Petani dan tiba di masjid dalam pukul 0900. Sebaik sahaja tiba di masjid ini ana terus mengisi borang pendaftaran. Ramai juga peserta yang ingin di ujibakat.

Dengan nombor ana 0737, giliran ana tiba pada pukul 1200 dan sesi ujibakat dilakukan secara terbuka. Lama juga tunggu tapi berbaloi kerana ana dapat lihat sendiri peserta yang hebat-hebat melepasi setiap peringkat. Untuk sesi ujibakat telah dibuat beberapa peringkat. Tapi yang ana baca hanya syarat untuk peringkat pertama dan kedua sahaja. Untuk peringkat pertama, yang diadili ialah bacaan fatihah dan surah-surah lazim.

Di sini ana dapat belajar dan lihat sendiri bacaan-bacaan yang baik dari beberapa orang peserta. Antara yang dinilai untuk peringkat pertama ialah suara, tajwid dan banyak lagi.
Walaupun ana tidak lepas untuk peringkat pertama tetapi ana tetap bersyukur kerana dapat pelajari sesuatu di sini. Kepada sahabat-sahabat yang berjaya dalam ujibakat Imam Muda, semoga berjaya ana ucapkan. Teruskan usaha kalian..

Antara peserta yang menunggu giliran.


Waktu ana ujibakat. Kerdilnya rasa masa ni..

Friday, April 2, 2010

Cinta Atau Nafsu

Utusan 2 Mac melaporkan: Sebanyak 75,299 kes perceraian direkodkan di seluruh negara pada 2007 dan 2008 termasuk kes-kes tertunggak bagi tahun-tahun sebelumnya. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 64,631 kes dicatatkan pada 2007 yang turut melibatkan tunggakan kes tahun-tahun sebelumnya, manakala sebanyak 10,668 kes dilaporkan tahun lalu.

Harian Metro pula melaporkan: Mengaibkan apabila semakin ramai remaja perempuan beragama Islam di negara ini kehilangan dara pada usia muda. Lebih membimbangkan, segelintir mereka berbangga dengan status itu dan beranggapan remaja yang masih dara sebagai kelompok ketinggalan zaman.

Dan Harakah Daily 16 Feb juga turut melaporkan: Jumlah anak tanpa bapa di Malaysia mencecah 257,411 orang sekarang, sama hebat dengan ancaman penyakit selsema burung atau aedes, kata Senator Muntaz Mohd Nawi. Beliau ketika merasmikan program Hi-Tea anjuran Dewan Muslimat PAS Bayan Baru di Dewan Orang Ramai Sungai Ara semalam juga membidas dasar kerajaan yang tidak serius menangani permasalah tersebut berbanding ancaman penyakit lain termasuk chikunya.


Bismillahirrahmanirrahim.. Maaf, mungkin topik kali ini tidak disenangi oleh semua orang. Anda berhak untuk berhenti membacanya. Walaupun ini adalah perkongsian yang pahit untuk di telan tapi inilah hakikat.

Adam dan Hawa

Manusia pertama yang diciptakan iaitu sang Adam menikmati segala yang indah di syurga. Namun Baginda tetap berasa sunyi dan 'kehilangan'. Akhirnya Hawa diciptakan untuk menemani Adam. Barulah Adam berasa lengkap dan sempurna. Mereka bahagia di syurga dan kemudiannya kerana cintanya kepada Hawa, akhirnya mereka dihukum turun ke bumi. Manusia pertama dan kedua adalah lelaki dan wanita. Saling memerlukan dan saling melengkapi. Masa terus berlalu dan sehingga kini, lelaki dan wanita masih saling memerlukan antara satu sama lain. Masing-masing ada tarikan yang tersendiri. Wallahua'alam.

Kenapa Nikah

Masing-masing pasti ada jawapan yang tersendiri. Kadang-kadang bila niat menyeleweng, bukan bernikah kerana mencari keredhaan Allah, tapi bernikah kerana ingin bermegah-megah, bernikah kerana ingin memuaskan nafsu, bernikah kerana seronok melihat orang lain bernikah, bernikah kerana terpaksa, bernikah kerana ingin memiliki si dia semata-mata, maka masjid yang terbina mudah benar runtuh, terjadilah penceraian. Ramai yang bernikah tanpa berfikir panjang, bernikah dalam keadaan mental dan fizikal yang tidak bersedia, kewangan yang tidak stabil, bernikah tanpa ilmu dan pengetahuan yang cukup menjadi antara sebab punca terjadinya sesebuah penceraian. Wallahua'alam.

Kisah Cinta

Semalam saya mendapat panggilan telefon dari seorang teman lama. Alhamdulillah. 14 Mac ini dia akan mendirikan rumahtangga. Saya gembira untuknya. Panggilan itu juga berjaya mengimbas kembali 'cerita lama'. Bukan untuk mengaibkan si dia, namun saya rasa elok dikongsikan di sini agar dapat menjadi pengajaran dan iktibar buat kita semua. Dia saya namakan A dan bakal suaminya adalah B. A adalah bekas teman serumah saya. Mula-mula bekerja, saya mencari bilik untuk di sewa dan akhirnya melalui iklan yang di tampal di 7E, saya ditakdirkan berkenalan dengan A. Mula-mula berkenalan, A seorang yang bebas bersosial, ramai kawan lelaki dan bebas keluar dengan sesiapa sahaja. Saya juga tak pernah melihat dia solat. dan malangnya waktu itu saya juga kurang kesedaran dalam perkara 'amar makruf nahi munkar'. Sekadar melarang berbasa basi sahaja. A pernah putus cinta. Melalui ceritanya, bekas kekasih dia C ada perempuan lain, dan sebelum ini mereka tinggal bersama/bersekedudukan serta pernah di tangkap basah. Barulah A berpindah ke rumah kami sekarang. Awal-awal saya menetap dengan A, dia sudah bercinta dengan D, tapi turut keluar dengan lelaki lain X, Y, Z (infiniti). Pernah sekali dia lambat datang haid, dia kelam kabut mencari bekas kekasihnya C, buat pregnancy test dan sebagainya. (timbul sedikit syak wasangka..kata ex, tapi masih berhubung ke?) wallahua'alam. Di pendekkan cerita, A bertemu dengan B dan mula serius. B seorang yang baik akhlak. Kerja stabil dan senang mata melihat. Dan beransur2 A mula berubah-positif. Saya mula melihat dia membeli selendang, dan ada masanya dia solat. Alhamdulillah. Lega saya melihat perubahan dia. Dan bila ingin keluar dengan B, A suka menayangkan telekung yangg akan di bawa bersama. Menunjukkan mereka keluar bersama dan solat bila tiba waktunya. ALhamdulillah. sejuk hati saya melihat perubahan positif itu.

Pecah Tembelang

Namun, suatu hari kedua-duanya cemas dan meminta pandangan dari saya. "Kak as, camne nih, A buat pregnancy test td, positif"..Astagfirullahalazim....bagai batu menghempap kepala saya. Rupanya dalam 'baik' mereka.. Ada 'rahsia' yang tersembunyi. dan petangnya si B yang innocent itu juga turut bertemu saya. "Apa nak buat ni Kak As, dah cakap dah dengan A taknak, dia cakap ni last," Si B dengan muka kusutnya meluahkan perasaan, dan saya sedar. Si B telah diperangkap oleh si A secara halus untuk memilikinya.

Seks dan Cinta

Wanita sanggup berbuat apa sahaja untuk mendapatkan cinta, tapi si lelaki pula sanggup berbuat apa sahaja untuk seks. (tak semua). Si A yang lebih 'berpengalaman' telah merenggut teruna si B. Dan akhirnya berjaya 'mengikat' si B. Atas rasa cinta dan lain-lain sebab, mereka akhirnya merancang untuk berumah tangga. Happy ending tapi ini cuma kes terpencil.

Selepas tembelang mereka pecah, A berpindah keluar dari rumah, diam tanpa berita hinggalah semalam dia kembali menghubungi saya untuk memaklumkan berita gembira tentang pernikahannya. Saya benar-benar gembira untuknya. Setidak-tidaknya dia tidak lagi bergelumang dengan maksiat. Naauzubillah.

Pengalaman kenal dengan ramai orang mendedahkan saya dengan pelbagai 'cerita'. Ada satu lagi kisah. Si wanita, T, yang sudah 'tiada dara' berjaya mendapat cinta si S dengan cara yang serupa. Tiga hari berkenalan, sudah rela hati mengikut si S balik ke rumah dan bila lelaki dan wanita berduaan di sebuah bilik, pastinya ada yang ketiga lalu terjadilah maksiat yang hina. Astaghfirullahalazim..

Bukan itu sahaja, saya pernah kenal dengan seorang gadis, waktu itu dia di tingkatan lima. Saya mengenalinya semasa bekerja part time sewaktu cuti semester. "Kak as, kalau saya ajak dia tidur camne yer?dia nak tak?" Astaghfirullahalazim....ke situ pulak dia fikir. Buaya mana tolak bangkai dik oii..Betapa 'dara' di pandang remeh oleh si gadis. Betapa zina di anggap 'benda biasa' di zaman milennium ini. Naauzubillah..

Teringat zaman pengajian saya di universiti. Pelajar lelaki dan wanita tinggal serumah, pelajar lelaki keluar masuk rumah pelajar wanita, dan ada juga yang 'kantoi' di bilik asrama dan dewan kolej. Astagfirullahalazim..satu kes yang paling gempar semasa saya di universiti adalah seorang naqibah bertudung labuh di tangkap berkhalwat dengan pasangannya di bilik komputer kolej..Aduh~!!Apa lagi yang kurang?

Malang bagi si Juliet yang gagal dalam mengejar cinta. Bukan saja kehilangan 'harta yang paling berharga', lebih dari itu, mereka melakukan dosa besar, kedua-duanya di kenakan tindakan disiplin oleh pihak kolej/universiti, menanggung malu yang tidak terhingga, dan bertambah malang pula apabila si Romeo tidak mahu bertanggungjawab dan menolak untuk bernikah. Hasilnya, si Juliet terpaksa berhenti belajar dan si Romeo pula kembali ke unviversiti semula selepas di gantung tanpa riak rasa bersalah..

Wahai hawa, kenapa harus kita yang menjadi mangsa? "Wanita umpama sebuah rumah yang penuh dengan harta yang bernilai. Jika kita ingin melindungi harta itu, kita sepatutnya mengunci rumah itu dengan sebaik mungkin dan sebaliknya terjadi jika kita membiarkan pintu rumah sentiasa terbuka, pasti sesiapa saja akan dapat menceroboh dan merampas harta yang bernilai itu...pilihan terletak di tangan kita..Wallahua'alam."


Kesimpulan

Seks dan zina bukanlah perkara remeh dan tidak boleh di pandang enteng. Seharusnya gejala tidak sihat ini di bendung dan di banteras. Jika terus dibiarkan ia ibarat barah yang merosakkan sesuatu bangsa dan agama. Jika ia terus di biarkan, sesebuah institusi pernikahan tidak lagi dipandang tinggi. Susur galur keturunan dan nasab juga menjadi celaru. Anak luar nikah kian bertambah. Kes pengguguran dan buang bayi pula meningkat. Dosa dan pahala dipandang ringan. Syurga dan neraka bagaikan tiada beza. Kita sayang keturunan kita. Kita sayang agama kita. Kita sayang bangsa dan negara kita. Tapi bagaimana kita ingin mengatasi permasalahan ini? Adakah memadai dengan memeluk tubuh dan menggelengkan kepala?

"Janganlah kamu mendekati zina bahawa sesungguhnya ia (zina) adalah kejahatan dan keji perjalanannya"

"Bahawa sesungguhnya solah (sembahyang) itu (berupaya) mencegah (yang mendirikannya) dari melakukan perkara yang keji dan mungkar"

Sedetik dua detik, saya berfikir sendirian..harus bagaimanakah percaturan ini ingin diteruskan?Semoga Tuhan terus memberikan kekuatan dan petunjuk, kepada saya dan seluruh umat manusia.

"Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya"

(Mereka berdoa dengan berkata):

"Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami.

Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir".
[Al-Baqarah: Ayat286]

Sekian, Wallahua'alam. Dipetik dari iluvislam.com