Santapan Rohani


Random Hadith Widget

Sunday, July 17, 2011

Kesalahan Dalam Teguran


Dan terkadang kesalahan kecil kita sebagai murabbi dan qiyadah menjadikan batu api bagi syaitan untuk disemarakkan pada hati mutarabbi dan jundiy kita.Maka, awaslah!
Belajarlah dari kesalahan orang lain (dan tentu belajar dari diri sendiri juga).
And when you reach the above or become leader, please, please Aisyah, go back to what you write today, and remember these...
1) Bila nak menegur seseorang, tegurlah dengan cara paling baik dan pada waktu paling tepat sekali.
Yang penting, bukanlah untuk sampaikan teguran itu, paling penting adalah supaya teguran itu diterima.
Maka sediakan mekanisme terbaik untuk melakukan teguran itu.
Tak kiralah teguran itu dirasakan dalam suasana penuh kasih sayang, tapi jika cara dan waktu tidak tepat, kamu hanya akan menyalakan lava yang tengah meluap-luap amarahnya.
2) Jalinkan kecintaan sebelum meminta ketaatan. Jalinkan kepercayaan sebelum memberikan nasihat.
Adakah adil jika kamu menegur seorang mutarabbi mahupun jundiymu, dalam keadaan kamu tidak merasai ikatan hati, ataupun paling penting, dia TIDAK merasai kasih sayang dari kamu?
Tentu tidakkan?
Kamu tak pernah endahkan dia, tak pernah mendengar masalah dia, tak pernah membantu dia..
Dan kini kamu hadir padanya, meminta ketaatan dan mahu menegur sahaja?
Jadilah seorang murabbi, yang ada ikatan hati dari sudut ayah, abang, syeikh dan guru pada anak muridnya.
Berkenalanlah, bantulah dia, dan cintailah dia, sebelum kamu meminta ketaatan dan juga menegur kesalahan dia.
Memang betul dia wajib mentaati kamu sebagai kepimpinan. Benar, dia ada kesalahan sebagai jundiymu, tapi santunilah keanak-anakan dan kenaifan dia dalam tarbiyah. Hargailah semangatnya dalam beramal, dan didiklah dia dengan penuh cinta, bukan kritikan dan sindiran yang mengundang kebencian.
Sudah namanya jundiy dan mutarabbi, memang dia akan banyak buat kesalahan. memang dia perlukan bimbingan. Memang dia takkan perfect. Maka, santunilah perkara itu dengan baik.
3) Carilah medium terbaik dalam memberikan teguran/didikan.
Barangkali kamu bukanlah orang yang terbaik dalam menegurnya. Carilah orang yang hati mutarabbi dan jundiy kita lebih terbuka untuk menceritakan segalanya. Carilah orang yang pandai berbicara dalam memberikan didikan ini. Jadikan mereka orang tengahmu. Jika orang lain lebih pandai menegur darimu.
Elak gunakan medium:
a) emel
b) sms
c) telefon
Ketika menegur dan memberikan didikan. kerana manusia sangat banyak salah faham jika teguran itu tidak bernada, dan jika teguran berlaku secara sehala tanpa bertanya apakah asal usul punca masalah itu berlaku.
Bertemulah, berjumpalah, dan peluk mutarabbi itu penuh cinta, sebelum duduk mendengar penjelasan darinya.
Insyaallah, dia akan membuka hatinya pada kamu.
4) Cari masa sesuai dan tenang dalam memberikan teguran.
Bukan sepuluh minit sebelum mutarabbi kita nak menyampaikan usrah, di waktu itulah kita menegur dia. Hancurlah perasaan dia, dan menurunlah semangat dia dalam amal.
Bawalah dia pergi ke kedai makan. Berboraklah perihal-perihal santai sebelum membicarakan hal serius.
Bukalah hati dia dahulu menerima kamu sebelum kamu menyampaikan apa2 pada dia.
Duduk bersemuka dengan dia, dalam keadaan dia tenang, bukan ketika dia sedang mengalami tekanan perasaan yang mengancam.
Ambil waktu paling tepat sekali. Jangan gopoh dan tidak bersabar...
5) Anggaplah dia seperti adik sendiri/anak sendiri/diri sendiri.
Fahami dan dengarilah dia sebelum kita menegur.
Dan tegurlah dengan cara seperti mana kita mahu diri kita sendiri ditegur.
Mulakan dengan pujian dan penghargaan, kemudian barulah membuka topik perbincangan.
Jangan memandang rendah akan dirinya. Jangan membuatkan dia rasa begitu hina, lebih hina dari tanah. Jangan bagi dia rasa down selepas teguran. Setiap manusia ini ada ego yang perlu dijaga.
Kerana setiap nasihat, kita mahukan perubahan. Bukan mahu dia lari dari tarbiyah!!!
6) Paling penting, jangan menegur dalam keadaan kita sangat beremosi.
Solatlah dahulu. Biarkan waktu melegakan hati kita. Minta pada ALlah diberikan cara dan petunjuk terbaik dalam menegur.
Niat yang ikhlas sahaja takkan menjamin teguran itu diterima, cara kena amat betul dalam penyampaian...
Inilah dia Aisyah, ingatlah perkara ini betul-betul. Kerana manusia lain akan terluka jika kamu lakukan pada mereka apa yang pernah manusia lakukan padamu. Ingatlah sebaiknya.
Malah, jika kau menjadi qiyadah mahupun murabbi agung sekalipun, engkau tidaklah superior dari mereka, Engkau tidaklah lebih baik dari mereka, Mungkin lebih teruk sekalipun.
kerana itu, teguran itu dibuat atas dasar dirimu bersedia untuk ditegur dan berubah juga. Dirimu mahu juga ditegur dan dinasihati selalu....
Ajaib apabila melihat, kematangan hidup dan pengalaman bergaul dengan ramai manusia, amat memberi kesan kepada perwatakan dan kata-kata pada seseorang.
Dan aku melihatnya pada dua generasi yang berbeza. Dan aku merasakan benar, pengalaman sahaja dapat memberikan kematangan dalam kepimpinan.
Dan kita yang menjadi tentera kecil mahupun mutarabbi hina ini, perlu belajar dari kesilapan ini. Jangan ulangi perkara sama. Jadilah manusia lebih baik.
Seperti mana aku harap kamu juga belajar dari kesilapan aku , membetulkan kesilapan aku, dan sentiasa menjadi lebih baik dari aku.
Aku lebih bahagia begitu walaupun tingginya kedudukan aku di mata jemaah dan dunia, kerana kedudukan kita di sisi Allah itu lebih utama..
Dan betul, teguran pada qiyadah/naqibah juga perlu sama sahaja seperti di atas. kita jemaah manusia, bukannya robot dan tentera. Ada emosi dan masalah. maka belajar cara berkomunikasi dengan baik.
wallahualam


Sumber dari sini

Wednesday, July 13, 2011

Apa Erti Menjadi Isteri Solehah

Apa erti menjadi isteri solehah. Pelbagai pandangan dan jawapan mampu kita tafsirkan, samada melalui pembacaan, perbincangan dan perkongsian pengalaman. Kita menyingkap kembali sejarah Nabi Ibrahim sewaktu baginda menziarahi menantunya. Pada waktu itu, puteranya, Nabi Ismail tiada di rumah sedangkan isterinya belum pernah bertemu bapa mertuanya, Nabi Ibrahim.


Apabila sampai di rumah anaknya itu, terjadilah dialog antara Nabi Ibrahim dan menantunya.

Nabi Ibrahim : Siapakah kamu?
Menantu : Aku isteri Ismail.
Nabi Ibrahim : Di manakah suamimu, Ismail?
Menantu : Dia pergi berburu.
Nabi Ibrahim : Bagaimanakah keadaan hidupmu sekeluarga?
Menantu : Oh, kami semua dalam kesempitan dan (mengeluh) tidak
pernah senang dan lapang.
Nabi Ibrahim : Baiklah! Jika suamimu balik, sampaikan salamku padanya.
Katakan padanya, tukar tiang pintu rumahnya (sebagai kiasan
supaya menceraikan isterinya).
Menantu : Ya, baiklah.

Setelah Nabi Ismail pulang daripada berburu, isterinya terus menceritakan tentang orang tua yang telah singgah di rumah mereka.

Nabi Ismail : Adakah apa-apa yang ditanya oleh orang tua itu?
Isteri : Dia bertanya tentang keadaan hidup kita.
Nabi Ismail : Apa jawapanmu?
Isteri : Aku ceritakan kita ini orang yang susah. Hidup kita ini selalu dalam
kesempitan, tidak pernah senang.
Nabi Ismail : Adakah dia berpesan apa-apa?
Isteri : Ya ada. Dia berpesan supaya aku menyampaikan salam
kepadamu serta meminta kamu menukarkan tiang pintu rumahmu.

Nabi Ismail : Sebenarnya dia itu ayahku. Dia menyuruh kita berpisah.
Sekarang kembalilah kau kepada keluargamu.


Ismail pun menceraikan isterinya yang suka merungut, tidak bertimbang rasa serta tidak bersyukur kepada takdir Allah SWT. Sanggup pula mendedahkan rahsia rumah tangga kepada orang luar.


Tidak lama selepas itu, Nabi Ismail berkahwin lagi. Setelah sekian lama, Nabi Ibrahim datang lagi ke Makkah dengan tujuan menziarahi anak dan menantunya. Berlakulah lagi pertemuan antara mertua dan menantu yang saling tidak mengenali.

Nabi Ibrahim : Dimana suamimu?
Menantu : Dia tiada dirumah. Dia sedang memburu.
Nabi Ibrahim : Bagaimana keadaan hidupmu sekeluarga?
Mudah-mudahan dalam kesenangan?
Menantu : Syukurlah kepada tuhan, kami semua dalam keadaan sejahtera,
tiada apa yang kurang.
Nabi Ibrahim : Baguslah kalau begitu.
Menantu : Silalah duduk sebentar. Boleh saya hidangkan
sedikit makanan.
Nabi Ibrahim : Apa pula yang ingin kamu hidangkan?
Menantu : Ada sedikit daging, tunggulah saya sediakan minuman dahulu.
Nabi Ibrahim : (Berdoa) Ya Allah! Ya Tuhanku! Berkatilah mereka
dalam makan minum mereka. (Berdasarkan peristiwa ini,
Rasulullah beranggapan keadaan mewah negeri Makkah adalah
berkat doa Nabi Ibrahim).
Nabi Ibrahim : Baiklah, nanti apabila suamimu pulang, sampai- kan salamku
kepadanya. Suruhlah dia menetapkan tiang pintu rumahnya
sebagai kiasan untuk mengekalkan isteri Nabi Ismail).

Apabila Nabi Ismail pulang daripada berburu, seperti biasa dia bertanya sekiranya sesiapa datang datang mencarinya.

Nabi Ismail : Ada sesiapa datang semasa aku tiada di rumah?
Isteri : Ya, ada. Seorang tua yang baik rupanya dan perwatakannya
sepertimu.
Nabi Ismail : Apa katanya?
Isteri : Dia bertanya tentang keadaan hidup kita.
Nabi Ismail : Apa jawapanmu?
Isteri : Aku nyatakan kepadanya hidup kita dalam keadaan baik, tiada
apapun yang kurang. Aku ajak juga dia makan dan minum.
Nabi Ismail : Adakah dia berpesan apa-apa?
Isteri : Ada, dia berkirim salam buatmu dan menyuruh kamu
mengekalkan tiang pintu rumahmu.

Nabi Ismail : Oh, begitu. Sebenarnya dialah ayahku. Tiang pintu yang
dimaksudkannya itu ialah dirimu yang dimintanya untuk aku
kekalkan.

Isteri : Alhamdulillah, syukur.




Sesungguhnya, keredhaan isteri terletak pada keredhaan suaminya. Jadi, sebagai seorang muslimah yang telah bergelar isteri atau bakal bergelar isteri, hendaklah sentiasa menyimpan dan menjaga setiap hal yang berlaku antara kalian.

Sumber dari sini

Wednesday, July 6, 2011

Fitnah Petunjuk Istikharah

“Ustaz, saya dan tunang saya sudah hampir ke tarikh pernikahan kami. Tetapi tunang saya telah secara mendadak memutuskan pertunangan kami. Beliau bermimpi melihat seorang perempuan lain dan setelah beristikharah, beliau yakin perempuan itu adalah pilihan sebenarnya kerana ia muncul dengan petunjuk Allah. Bagaimana pandangan ustaz? Saya dan keluarga saya serta keluarga tunang saya sangat terkilan. Apakah benar saya sudah dikeluarkan daripada petunjuk Allah? Di mana silap saya, ustaz?”

Sepucuk emel dihantar kepada saya.

Beristighfar dan mengurut dada.

Percaya atau tidak, gejala ini semakin menjadi-jadi.

Malah di kalangan pelajar universiti, Istikharah semakin popular di dalam trend yang tersendiri. Ia diamalkan bagi ‘memaksa’ Allah membuat pilihan untuk mereka. Berbekalkan kejadian persekitaran atau mimpi yang disangka petunjuk, kadang-kadang ‘pilihan Allah’ itu adalah tunang orang, suami orang, malah ada juga isteri orang. Bertindak atas nama ‘petunjuk Allah’, tercetus permusuhan sesama anak Adam.
Apakah Allah, atau Syaitan yang memberikan ‘petunjuk’ penuh mudarat dan zalim itu?



MEMBELAKANGKAN ILMU

Penyakit besar yang melanda anak-anak muda terbabit ialah beribadah tanpa ilmu. Mereka melaksanakan Solat Istikharah berdasarkan saranan rakan-rakan yang juga melakukannya atas saranan kawan-kawan yang lain. Berapa ramaikah yang membuka kitab Fiqh atau belajar mengenai Solat itu dan ibadah yang lain melalui para ustaz dan alim ulama’?

Keadaan ini menjadi lebih bermasalah apabila ada pula agamawan yang mengesyorkan panduan-panduan yang tidak berdasarkan keterangan al-Quran dan al-Sunnah malah diajar pula kaifiyat yang sangat membuka ruang manipulasi Syaitan dalam mengaburi pertimbangan anak Adam.

Mengira huruf tertentu di dalam Surah, menyelak secara rawak mushaf dan mencari petunjuk di muka surat yang terbuka, juga paling banyak meniti di minda ialah menanti mimpi yang menjawab permintaan.

Ia mengingatkan saya kepada pandangan Sheikh Saleem bin Eid al-Hilali di dalam kitab Bahjah al-Nadzireen syarah kepada Riyadh al-Sholiheen:

“Ada sesetengah orang berpendapat, “sesudah mengerjakan solat serta Doa Istikharah, akan muncullah nanti petunjuk dalam mimpinya, maka dia akan memilih sebagaimana yang ditunjukkan oleh mimpinya itu” Justeru ada sesetengah orang berwudhu’ dan kemudian melakukan Solat serta Doa Istikharah dan terus tidur (dengan meletakkan harapan  petunjuk datang melalui mimpi), malah ada juga mereka yang sengaja memakai pakaian berwarna putih kerana mengharapkan mimpi yang baik. Semua ini hakikatnya adalah prasangka manusia yang tidak berasas”

Menjadi satu keperluan yang sangat penting untuk kita kembali kepada maksud asal Solat Istikharah.

Istikharah itu bermaksud meminta bantuan daripada Allah untuk seseorang itu memilih di antara beberapa kemungkinan yang diharuskan oleh Syara’. Ada pun pilihan yang berada antara manfaat dan mudarat, apatah lagi Halal dan Haram hatta Makruh, maka tidak harus untuk Istikharah dilakukan kerana tindakan yang sepatutnya diambil sangat jelas iaitu pada meninggal dan menghindarkan pilihan yang tidak baik itu.

Sabda Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam:

“Hadith yang dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Sahihnya dengan sanadnya daripada Jabir radhiyallaahu ‘anhuma, beliau berkata:

Daripada Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam Baginda bersabda:
Apabila sesiapa daripada kalangan kamu diberatkan oleh sesuatu maka hendaklah dia Rukuk dengan dua Rukuk (mengerjakan Solat dua rakaat) yang selain daripada Solat yang Fardhu (yakni mengerjakan Solat dua Rakaat dengan niat Istikharah).

Kemudian hendaklah dia berdoa: Ya Allah, aku beristikharahkan Engkau dengan ilmu-Mu dan aku juga memohon ketetapan dengan ketetapan yang bersandarkan kurniaan-Mu yang Maha Agung. Engkaulah yang Maha Menetapkan sedangkan aku tidak mampu untuk menetapkan. Engkau Maha Mengetahui dan aku pula tidak mengetahui. Engkaulah yang Maha Mengetahui akan perkara-perkara yang tersembunyi. Ya Allah, jika pada ilmu-Mu sesungguhnya urusan ini – harus disebut hajat tersebut atau cukup sekadar meniatkannya kerana Allah Maha Mengetahui akan hajat itu – adalah baik untukku pada agama, kehidupan dan kesudahan urusanku (kini dan datang), maka tetapkanlah ia untukku dan mudahkanlah ia bagiku. Kemudian berkatilah bagiku di dalam pilihan ini. Dan andaikata pada ilmu-Mu sesungguhnya hal ini adalah buruk bagiku pada agama, kehidupan dan kesudahan urusanku (kini dan akan datang), maka hindarkanlah ia daripadaku dan hindarkanlah aku daripadanya. Tetapkanlah bagiku kebaikan dan jadikanlah aku redha dengannya.

ANTARA ISTIKHARAH DAN ISTISYARAH

Istikharah itu mempunyai gandingan yang memberi tambahan kemudahan. Ia dikenali sebagai Istisyarah.
Istisyarah ini bermaksud meminta pendapat mereka yang boleh dipercayai untuk membantu seseorang itu membuat keputusan.

Sheikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah pernah berkata:

“Tidak akan menyesal seorang yang beristikharah kepada al-Khaliq (Allah) serta bermesyuarat dengan para Makhluq, serta tetap pendirian dalam keputusannya”

Biar pun para Ulama berselisih pendapat tentang mana yang patut didahulukan antara Istisyarah dan Istikharah, ia tidak menjejaskan bahagian yang perlu dimainkan oleh seorang manusia dalam proses dirinya membuat keputusan. Sebelum sampai kepada pertimbangan memilih antara dua kebaikan, seseorang yang berhajat itu mestilah mempunyai asas dalam penilaiannya agar pilihan yang ada di depan matanya adalah antara dua perkara yang harus serta sama baik. Sudah tentu, hal ini juga memerlukan dirinya untuk mengambil bahagian dengan berusaha.

Setelah beristikharah, namun hati masih berada di dalam ketidak pastian, harus baginya untuk mengulangi Solat dan Doa Istikharah itu hingga beroleh ketetapan hati dalam membuat keputusan. Di samping itu juga, dia dianjurkan beristisyarah, yakni meminta pendapat individu-individu yang dipercayai integriti dan kemahirannya dalam urusan tersebut, agar keputusan boleh dibuat.

Titik pentingnya ialah, keputusan hendaklah kita yang berhajat itu melakukannya dan bukan menyerahkan kepada Allah untuk membuat keputusan itu dan menampakkanya melalui petanda-petanda yang dicari. Di sinilah ruang untuk fitnah berlaku apabila dalam suasana hidup kita yang dibelenggu oleh pelbagai maksiat serta Iman yang teruji, kita membuka suatu ruang kosong untuk dicelah oleh tipu helah Syaitan.

Tambahan pula dalam keadaan jiwa anak muda yang selalu lemah untuk menolak kehendak diri dan sering terdorong mengikut kemahuan. Jiwanya tidak bulat meminta kepada Allah, sebaliknya bermain helah untuk mengharapkan Allah menyokong kecenderungan dirinya sendiri.

Berhentilah mencari mimpi.

Berhentilah menunggu petanda.

Beristikharah memanggil kebersamaan Allah dalam keputusan yang kita buat. Kita yang membuat keputusan itu, dengan keyakinan hasil Istikharah, bahawa keputusan yang kita buat itu adalah dengan kebersamaan Allah. Jika di kemudian hari, pada pilihan yang dibuat itu, datang mehnah yang menguji kehidupan, kita tidak akan berfikiran negatif malah berusaha untuk mencari sisi-sisi positif pada apa yang berlaku kerana keputusan yang dibuat dahulu itu adalah dengan kelengkapan Syariatullah (Istikharah) serta Sunnatullah (Istisyarah – Ikhtiar Usaha).

Pertimbangkanlah… seandainya pilihan yang disangkakan petunjuk daripada Allah itu mencetuskan mudarat, permusuhan, meninggalkan yang afdhal dan mengambil yang mafdhul… berhati-hatilah.
Ia mungkin mainan Syaitan.

“Sebahagian (daripada umat manusia) diberi hidayah petunjuk oleh Allah (dengan diberi taufiq untuk beriman dan beramal soleh); dan sebahagian lagi (yang ingkar) berhaklah mereka ditimpa kesesatan (dengan pilihan mereka sendiri), kerana sesungguhnya mereka telah menjadikan syaitan-syaitan itu pemimpin-pemimpin (yang ditaati) selain Allah. serta mereka pula menyangka, bahawa mereka berada di dalam petunjuk hidayah” [Al-Aa'raaf 7: 30]

KESIMPULAN
  1. Hindarkan diri daripada kesukaran menetapkan pendirian dalam kehidupan. Was-was adalah permainan Syaitan dan penyakit jiwa yang mengundang bahaya.
  2. Dalam hal-hal yang tiada keraguan dalam membuat pilihan keputusan, ia tidak berhajatkan kepada Istikharah.
  3. Ketika berdepan dengan pilihan yang sukar ditentukan, gunakan pertimbangan diri untuk melihat buruk baiknya.
  4. Jika jelas mudarat atau sudah ditentukan Haram hukumnya, maka tidak harus beristikharah.
  5. Pada perkara yang sukar untuk dibuat keputusan, beristikharahlah kepada Allah mengikut kaifiyat Solat Istikharah dan Doa yang Ma’thur daripada Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.
  6. Istikharah boleh diulang beberapa kali hingga beroleh ketetapan hati untuk membuat keputusan.
  7. Di samping itu juga beristisyarahlah dengan meminta pandangan pihak yang boleh dipercayai kewibawaannya.
  8. Petunjuk daripada Allah ialah kemampuan hati untuk tetap pendirian membuat keputusan.
  9. Hindarilah perbuatan menunggu mimpi atau petanda berbentuk isyarat kerana ia sangat terbuka kepada belitan Iblis.
  10. Jauhi Bid’ah dan Syirik.
  11. Setelah keputusan dibuat, bertawakkallah kepada Allah dan tenang dengan keputusan itu.
  12. Seandainya timbul cabaran atau muncul sisi kekurangan pada pilihan yang dipilih, tiada fikiran negatif muncul kerana yakin adanya hikmah dan kebaikan daripada Allah.
  13. Istikharah terbuka kepada apa sahaja urusan kehidupan yang berada di dalam ruang lingkup keharusan Syara’ dan salah jika hanya dilihat sebagai mekanisme jodoh.
  14. Rujuklah kitab-kitab Fiqh serta panduan Sunnah dalam urusan Istikharah serta ibadah-ibadah yang lain.
  15. Melakukan ibadah dengan hanya berpandukan hearsay adalah pintu kebinasaan dalam beragama.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com

Friday, July 1, 2011

Kebijaksanaan Suami Menjaga Hati Isteri



Pada suatu hari seorang lelaki datang ke rumah Umar bin Khattab ra. hendak mengadu keburukan isterinya. Namun setiba di samping rumahnya, ia mendengar isteri Umar bin Khattab mengeluarkan kata-kata yang keras dan kasar kepada suaminya, sementara Umar tidak menjawab sepatah kata pun. Akhirnya orang itu berfikir, sebaiknya ia membatalkan saja niatnya.


Ketika orang itu hendak berbalik pulang, Umar baru saja keluar dari pintu rumahnya. Umar segera berteriak memanggil orang itu. Umar langsung berkata kepadanya, "Engkau datang kepadaku tentu hendak membawa satu berita penting!"


Orang itu lalu berkata terus terang , "Ya sahabat Umar bin Khattab, aku datang kepadamu hendak mengadu keburukkan isteriku terhadapku. Akan tetapi setelah aku mendengar kelancangan isterimu tadi terhadapmu, dan sikap diammu terhadap perbuatannya, aku jadi mengurungkan niatku untk melaporkan hal itu."


Mendengar perkataan yang jujur itu, Umar tersenyum kecil seraya berkata, "Wahai saudaraku, isteriku telah memasakkan makanan untukku. Dia juga telah mencuci pakaianku, mengurus urusan rumahku, dan mengasuh anak-anakku sehingga tiada hentinya. Maka apabila ia berbuat satu dua kesalahan, tidaklah layak kita mengenangnya, sedang kebaikan-kebaikannya kita lupakan. Ketahuilah, wahai saudaraku, antara kami dan dia hanya ada dua hari. Kalau kami tidak meninggalkannya dan terbebas dari perangainya, maka dia akan meninggalkan kami dan terbebas dari perangai kami pula."


Setelah mendengar penuturan yang amat bijak dan penuh hikmah itu, orang itu pergi meninggalkan Umar bin Khattab dengan hati gembira dan puas.


Pengajaran dari cerita di atas


Setiap lelaki di bekali dengan sikap kesabaran dan kematangan dalam menghadapi setiap situasi yang sukar. Lelaki lebih berjaya dalam membuat keputusan-keputusan untuk keluar dari masalah yang dihadapi. Lelaki yang bijak adalah lelaki yang faham akan situasi isterinya dan tahu cara mengurus isterinya. Sebab itulah lelaki merupakan ketua keluarga. Suami perlu bersikap sabar apabila dimarahi dan dileter oleh isterinya, kerana suami yang sabar akan tingkah laku isterinya yang suka bercakap atau beleter, akan dihapuskan segala dosa-dosa masa lalunya. Hal ini berlaku kepada Nabi Allah Ilyas yang berdoa supaya dianugerahkan kepadanya isteri yang kuat beleter, kerana ia mengetahui inilah cara beliau menghapuskan dosa dan cara mudah untuk masuk kedalam syurga Allah.


Setiap suami kena bijak menghadapi isterinya, kadang-kadang isteri buat perangai atau marah tak tentu pasal mesti ada sebabnya, ada pepatah mengatakan bahawa wanita ini makhluk emosi dan angin tak tentu pasal. Jadi suami kena bijak menghadapinya, tindakan yang lebih baik adalah diam apabila mendengar isteri beleter atau sedang marah-marah, kerana isteri ini akan diam dan terasa perbuatannya itu salah dan dia akan segera memohon maaf kepada suaminya, waktu itulah kita kaunselingkan dia dengan nasihat-nasihat yang lembut dan kata-kata hati ke hati. Selalunya isteri lebih terbuka ketika mana ia minta maaf kepada suaminya atas perbuatannya.


Sering-seringlah menghargai diri isteri kita yang telah banyak mengorbankan masa dan tenaganya untuk suaminya, seperti memasak, membasuh pakaian, menjaga anak, mengemas rumah, mengurus rumah dan sebagainya. Cara penghargaannya ialah setiap kali gaji, bawa isteri pergi makan di mana-mana restoran yang berkongsepkan romentik, kalau cara ini tidak mampu, maka keluarkan kata-kata penghargaan kepada isteri disebabkan tugas-tugas yang telah dilaksanakan. Selalunya suami payah untuk mengeluarkan kata-kata pujian dan penghargaan, kerana suami bersifat ego atau menganggap kata-kata tersebut sebagai buang masa. Hadiahkan isteri apa-apa barang yang berpatutan pada setiap saat-saat hari bahagianya seperti hari lahirnya, ulang tahun perkahwinan dan sebagainya.


Sebenarnya dari sudut psikologi isteri akan rasa lebih dihargai dan lebih disayangi ketika mana suami tahu menghargai dirinya. Malah setiap perkara yang kita suruh mesti akan dibuat oleh isteri kita dengan hati yang penuh taat dan tidak membantah.


Ada pepatah yang mengatakan bahawa wanita ini diibaratkan seperti kulit bawang yang sangat halus, kalau nak menanggalkan kulit bawang tersebut perlu berhati-hati dan lembut kerana kulitnya mudah terkoyak. Kesimpulan dari falsafah ini, wanita itu sangat lembut dan mudah terasa dan berfikiran sensetif setiap kali ia diabaikan.


Waktu yang paling bahaya ialah waktu ia dalam keadaan haid atau tidak suci, selalunya wanita ini seringkali berkeadaan tidak menentu emosinya, kadang-kadang tak pasal-pasal dimarahi oleh isteri. Jadi waktu sebegini suami kena faham dan kena bersikap berdiamkan diri, berdiamkan diri ini adalah lebih baik, atau keluar dari rumah. Waktu seperti ini kebiasaan wanita ia akan reda sendiri kemarahannya, dan dia sendiri tidak sedar akan kelakuannya.


Bagi suami janganlah terlalu garang dengan isteri dan terlalu kasar atau keras suara dengan isteri. Perbuatan ini akan menyebabkan isteri merasa dirinya tidak dihargai dan tidak berguna untuk suami dan paling bahaya apabila isteri mengatakan suaminya hanya baik ketika ingin bersama dengannya sahaja. Semua perbuatan ini akan menyebabkan kerenganggan dan keberantakan rumahtangga. Isteri takut menegur suami kerana takut dimarahi, suami pula anggap isteri tidak memberikan layanan yang sepatutnya. Kalau masakan isteri tawar atau terlebih garam, jangan terus melenting dan memarahi isteri. Gunakan cara yang hikmah untuk menegur isteri. Pernah ketika isteri Rasulullah menghidangkan kepadanya air yang tawar tanpa gula disebabkan isterinya terlupa masukkan gula dalam minuman Rasulullah. Apabila Baginda minum minuman tersebut sehingga berkedut kening Baginda, isterinya perasan disebabkan ternampak kening Rasulullah. Lantas isterinya bertanya, bagaimana rasa air tersebut, Baginda mengatakan ok sahaja, dan isterinya merasa sedikit air yang dibancuhnya dan tersenyum kerana airnya sangat tawar. Baginda tidak berkata apa-apa dan mendiamkan diri sahaja.


Setiap kali ada pertelingkahan, pergaduhan dan selisih faham, lebih baik suami yang dahulu memohon maaf atas kejadian tersebut dan menceritakan perkara yang sebenarnya tercetus pergaduhan tersebut. Kalau boleh cuba fahamkan isteri tentang situasi yang dihadapi oleh suami. Contoh situasi tersebut seperti dimarahi bos, banyak kerja yang belum siap, kesesakkan lalu lintas, bebanan hutang dan sebagainya. Kalau boleh peluk manja kepada isteri ada setiap sesi penjelasan dan memohon maaf, ini membantu untuk menurunkan kemarahan isteri dan membantu untuk memberikan kefahaman kepada isteri atas sebab-sebab berlakunya pertengkaran.


Yang penting di sini, setiap perkara yang dihadapi oleh suami, jadikanlah isteri itu sebagai teman bercerita dan meluahkan segala kepayahan yang dialami. Situasi seperti ini akan memberikan motivasi dan dorongan kepada suami untuk keluar dari masalah tersebut dengan disokong oleh isteri.


Jangan sesekali ada konsep seperti “isteri perlu diajar dengan secukupnya, pukul isteri, pulau isteri” ini semua akan mendatangkan masalah lagi dalam rumahtangga, ingatlah kepada anak-anak ketika timbul masalah rumahtangga, ia juga dapat menenangkan diri kita dan sekaligus menurunkan kemarahan kita. Islam sangat melarang suami memukul isteri dan menengking isteri, kecuali nasihat suami atas perkara-perkara yang wajib tidak dilakukan oleh isteri barulah boleh dimarahi dan seterusnya dipukul isteri tanpa mencederakan isteri. Sebab pukulan itu adalah untuk mengajar isteri bahawa perbuatannya itu adalah salah.


Penutup


Jadikan isteri sebagai teman yang paling rapat dan disayangi, jadilah isteri kita sebagai tempat penyejuk hati dan penunjuk jalan jika kita menghadapi kesukaran. Suami juga perlu bijak mengurus rumahtangganya, kerana suami yang bijak dapat mengurus rumahtangganya dengan baik. Suami yang bijak juga adalah suami yang mempunyai akhlak yang baik dan tidak melakukan perkara yang diharamkan oleh Allah dan sentiasa melakukan perkara yang disuruh oleh Allah. Keluarga yang baik adalah keluarga mawardah warahmat dan menganggap rumahnya seperti rumahku syurgaku.

Dipetik dari sini.