Santapan Rohani


Random Hadith Widget

Monday, May 4, 2009

Wahai Puteriku - Ali Thantawi (Untuk Muslimah)

Wahai puteriku…..
Aku seorang bapa yang sedang berjalan memasuki usia 50 tahun. Usia muda telah aku lewati, aku tinggalkan kenangan, impian, lamunan-lamunan dengan segala ujian-ujian dunia. Dengarlah ucapan dan kata-kataku. Ucapan-ucapan Haq(kebenaran) yang aku sampaikan secara jelas dan mudah.

Wahai puteriku….
Banyak aku menulis, sering aku menyeru dan mengajak umat untuk menegakkan akhlak, menjunjung budi pekerti mulia, membanteras segala bentuk kerosakan jiwa dan mengendalikan nafsu syahwat untuk melawan dan membanteras keruntuhan moral.

Semua itu berterusan aku sampaikan, aku tulis dan aku khutbahkan… sehingga pena yang aku gunakan tumpul dan lidahku menjadi kelu. Namun, tetap tiada hasil yang aku perolehi. Kemungkaran tetap berleluasa tanpa kita mampu untuk membanterasnya.

Di setiap pelusuk negara, perbuatan mungkar terus kita temui, semakin banyak dalam pelbagai bentuk. Wanita semakin berani dan tidak malu-malu untuk membuka auratnya. Tubuhnya ditonjol-tonjolkan, pergaulan bebas muda-mudi bertambah menjolok. Semua itu bergerak melanda negara demi negara, tanpa satu pun negara Islam yang mampu mengelak.

Sebagai contoh, Negara Syria yang terkenal dengan keserasian akhlak yang sangat ketat menjaga kehormatan diri dengan menutup auratnya, sekarang Masya-Allah! Para wanitanya berpakaian terbuka mempertontonkan lengan dan paha, punggung dan dada. Kita gagal, dan aku kira kita tak akan berjaya. Tahukah engkau apa penyebabnya?

Sehingga hari ini kita belum menemui pintu ke arah pemulihan dan kita tidak tahu jalannya.

Wahai puteriku,
Pintu pemulihan ada di hadapanmu. Kunci pintu ada di tanganmu. Jika engkau meyakini dan engkau berusaha untuk memasuki pintu itu, maka keadaan akan berubah dan menjadi baik. Engkau benar puteriku, bahawa kaum lelakilah yang mula-mula melangkah menempuh jalan dosa, bukan wanita. Tetapi ingat, bahawa tanpa kerelaanmu dan tanpa kelunakan sikapmu, mereka tidak akan berkeras melangkah maju. Engkaulah yang membuka pintu kepadanya untuk masuk.

Engkau berkata kepada pencuri: “Silakan masuk” Dan setelah engkau kecurian barulah engkau sedar. Ketika itu barulah engkau berteriak…. “Tolong…. Tolong….. aku kecurian”.

Seandainya engkau tahu bahawa lelaki itu serigala dan engkau ialah kambing, pasti engkau akan lari seperti larinya kambing dalam ancaman cengkaman serigala.

Sekiranya engkau sedar, bahawa semua lelaki itu adalah pencuri, pasti engkau akan berhati-hati dan sentiasa menjaga diri seperti waspadanya seorang yang kikir terhadap pencuri.

Jika yang dikehendaki oleh serigala dari kambing adalah dagingnya, maka yang diinginkan lelaki adalah lebih daripada itu. Lelaki menginginkan lebih dari sekadar dari daging kambing, dan bagimu lebih buruk daripada kematian kambing itu.

Lelaki menghendakinya yang paling berharga darimu iaitu harga diri dan kehormatanmu. Nasib seorang gadis yang diragut kehormatannya lebih menyedihkan daripada nasib seekor kambing yang dimakan serigala.

Wahai puteriku….
Demi Allah, apa yang dikhayalkan oleh pemuda ketika dia melihat gadis ialah gadis itu telanjang dihadapannya tanpa pakaian.

Aku bersumpah lagi: “Demi Allah, jangan percaya terhadap kata-kata sebahagian lelaki, bahawa mereka memandangmu kerana akhlak dan adab. Berbicara denganmu seperti sahabat dan apabila mencintaimu hanyalah sebagai teman akrab. Bohong! Bohong! Bohong! Demi Allah dia berbohong. Seandainya engkau mendengar sendiri perbualan di antara mereka, pasti engkau akan takut dan ngeri.

Tidak akan ada seorang pemuda melontarkan senyumannya kepadamu, berbicara lembut dan merayu, memberikan bantuan dan layanan kepadamu, kecuali akan ada maksud-maksud tertentu. Setidak-tidaknya isyarat awal bagi dirinya bahawa itu adalah langkah awal.

Apakah sesudah itu wahai puteriku?

Renungkanlah!!!

Kamu berdua, bersama-sama berasrama, menikmati kelazatan yang hanya sebentar kau rasakan. Sesudah itu, dia lupa dan pergi meninggalkan engkau. Dan engkau, akan merasakan pahitnya daripada pertemuan yang sebentar itu untuk selama-lamanya. Dia pergi dengan diam-diam meninggalkanmu, mencari mangsa baru untuk dirayu dan diterkam lagi kegadisannya sambil dia mencari dan menikmati mangsa baru, engkau perlahan-lahan merasakan sesuatu yang berat menganjal di perutmu.

Engkau sedih dan muram.

Engkau bingung dan gelisah.

Lelaki yang membesarkan perutmu itu tidak dituntut atau dihukum oleh masyarakat yang zalim, bukan diberi keampunan dan dibiarkan bebas dengan alasan: “Dia yang dahulu sesat, tetapi sekarang sudah bertaubat”.

Tapi engkau?

Engkau akan terus kecewa dan terus dihina sepanjang usiamu. Masyarakat tidak akan mengampuni dosamu.

Seandainya ketika dia mula merayumu, engkau tolak dengan sikap yang tegas, engkau alihkan pandanganmu dari pandangannya, seandainya sikapmu itu tidak menghentikan usahanya dan malah bersikap lebih biadap dengan mengucapkan kata-kata yang jelik dan menggunakan tangannya, cepat-cepat engkau tanggalkan kasut dari kakimu dan pukullah kepalanya. Kalau engkau lakukan itu, pasti semua orang yang ada di sekitar itu akan serentak menolongmu.

Sesudah itu, dia akan ngeri menganggangu wanita terhormat di jalan.

Wahai puteriku,
Lelaki yang baik dan soleh, akan datang kepadamu, dengan segala kerendahan hati, memohon kemaafan, menawarkan kepadamu hubungan yang halal dan terhormat. Dia datang untuk meminang dan mengahwinimu.

Seorang gadis betapa tinggi pun kedudukan, betapa pun banyak hartanya, betapapun hebat kebenaran dan pengaruhnya, dia pasti mempunyai cita-cita. Mencapai kebahagian yang tinggi iaitu bersuami, menjadi isteri yang solehah, terhormat dan ibu kepada rumahtangga yang baik.

Cita-cita seperti itu pasti diharapkan oleh semua wanita, tak kira sama ada dia seorang ratu, keluarga raja, bintang filem Hollywood ataupun wanita biasa.

Aku mengenali 2 orang sasterawati dari Mesir dan Syria. Kedua-duanya bergelar tokoh. Ilmunya dikagumi, kekayaannya melimpah ruah, tinggi kedudukan dan kehormatannya. Kedua-duanya telah kehilangan suami. Namun, tiba-tiba hilang keseimbangan akalnya dan menjadi gila. Tak perlu kusebut namanya, pasti semua orang Mesir dan Syria sudah mengenalinya.

Perkahwinan adalah cita-cita yang paling tinggi bagi wanita. Jawatan wanita yang tinggi sama ada sebagai anggota parlimen, menteri atau bahkan sebagai presiden, tahapnya tetap berada di bawah perkahwinan.

Lelaki pada dasarnya akan mencari wanita terhormat dan bukan wanita jalang atau rosak akhlaknya. Seandainya seorang lelaki bertunang dengan wanita yang baik, tetapi wanita itu tiba-tiba berubah akhlaknya, menyeleweng dan msuk ke dalam perangkap nista, pasti dengan segera lelaki itu pergi meninggalkannya. Dia akan tegap melangkah keluar. Lelaki yang baik, pasti tidak rela melihat anaknya keluar dari rahim ibunya yang keji dan apatah lagi untuk membesarkan dan memelihara anaknya.

Seorang pemuda jalang yang bejat dan menjijikkan, apabila tidak mendapati mangsa gadis yang mahu mengorbankan kehormatan dirinya di bawah tapak kakinya menjadi alat permainannya dan apabila dia juga tidak memperolehi wanita pelacur atau gadis lalai yang rela mengahwini dengan agama syaitan dan iblis serta mengikut syariat binatang. Pasti dia akan mencari jodoh dengan seorang isteri yang perlu dinikahi dengan alasan sunnah dan syariat Islam.

Puteriku, suasana sepi dan lesunya pasar pernikahan dan perkahwinan, penyebabnya adalah kerana kesalahanmu sendiri. Jatuhnya pasaran dan nilai perkahwinan dan semakin pesat bursa pelacuran adalah kerana perbuatanmu!

Lantas, kenapa kamu yang berakhlak mulia tidak mencegahnya???

Kenapa kamu para wanita yang mulia dan terhormat tidak memerangi musibah dan wabak itu???

Kamu para wanita tentu lebih berkebolehan dan berkemampuan bertindak daripada kaum lelaki.

Kamu sebagai wanita terhormat, mulia, memiliki harga diri dan memegang teguh agama, pada akhirnya akan menjadi mangsa dan korbannya.

Hampir di setiap rumah di Negeri Syam terdapat gadis-gadis pada usia yang layak berkahwin belum mempunyai calon dan gadis yang sudah lewat usianya belum juga berkahwin.

Para pemudanya merasa puas dengan hanya berpacar-pacaran dan bergaul bebas daripada beristeri. Mungkin keadaan seperti ini juga terdapat di Negara-negara Islam yang lain.

Wahai puteriku,
Dirikanlah wadah dalam bentuk lembaga da persatuan dari kalangan kamu sendiri yang anggotanya terdiri daripada para cendiakawan, guru dan mahasiswa. Wadah yang berusaha untuk mengembalikan wanita-wanita sesat kepada jalan kebenaran.

Ancam dan takutkan mereka dengan firman-firman Allah. Sekiranya mereka tidak mahu mendengar dan tidak merasa takut lagi, maka berilah gambaran bahaya penyakit yang akan dideritainya.

Kalau mereka tidak peduli, berikan penjelasana dan contoh-contoh kenyataan yang ada, katakan kepada mereka:

“Anda remaja cantik, ramai pemuda yang tertarik dan mengharapkan anda. Kecantikan anda seperti sekarang ini apakah akan terus bertahan?

Bagaimana nasib anda nanti setelah tua? Ketika muka anda sedang kerepot dan badan membongkok? Siapakah nanti yang akan menguruskan anda? Siapakah ketika itu akan memperhatikan nasib anda? Tahukah anda, siapa yang akan menghormati dan memuliakan orang tua yang tidak berdaya lagi? Hanya anak dan cucu-cucunya! Ditengah-tengah mereka, orang tua sepertinya menjadi ratu di antara rakyat, bermahkota, duduk di singgahsana.

Bagaimana nasib anda jika terus begini???

Bagaimana derita anda dikemudian hari? Anda lebih tahu dari kami.

Cuba anda renungkan “Apakah boleh disamakan lazatnya berhubungan yang sebentar sahaja nikmatnya itu dengan penderitaan-penderitaan anda?

Apakah patut, harga diri anda(gadis) dibayar begitu murah dan penderitaan anda setelah itu ditebus dengan harga sebegitu mahal?

Saya rasa, anda cukup mampu mengarahkan dan memberi petunjuk pada kawan-kawan yang tersesat dan perlu dikasihani. Saya tidak perlu berlama-lama memberi kata-kata bimbingan kepada anda. Saya yakin, anda sendiri tentu mempunyai banyak bahan untuk melakukan penyelamatan.

Sekiranya segala usaha penyelamatan yang dilakukan kepada mereka tidak membawa hasil. Ya cukuplah, anda perlu menukar sasaran. Lakukan penyelamatan kepada mereka yang belum terkena. Cegah mereka dari serangan penyakit menular itu. Pada umumnya, penyakit seperti itu mudah menyerang wanita-wanita lalai dan gadis yang menginjak dewasa. Bimbinglah mereka agar tidak tersesat jalan.

Apa yang anda lakukan adalah secara bertahap. Saya tidak mengharapkan anda mengajak para wanita Islam melakukan perubahan yang drastik, sekali nasihat terus berubah menjadi muslimah sejati. Segalanya hendaklah dengan wajar, perlahan dan mencapai sasaran.

Biasanya, adalah mustahil dengan memberi sekali kefahaman kemudian dapat mengubah haluan. Kembalikanlah dia kepada kebaikan selangkah demi selangkah, sebagaimana dia sebelumnya sedikit demi sedikit menuju kepada kejahatan.

Kamu semua sedikit demi sedikit memendekkan pakaian, di kaki dan di tangan. Kamu juga menipiskan kain tudung. Dan prosesnya berjalan perlahan-lahan selama berabad-abad. Sebaliknya, kaum lelaki tidak melihat dan merasakan perubahan itu seperti apabila kita perhatikan jam dinding. Kita dapat lihat jarum pendek seolah-olah tidak bergerak. Tetapi apabila anda datang setelah 2 jam anda akan lihat jarum itu bergerak. Begitu juga peralihan dari masa kanak-kanak menjadi remaja dan usia muda kepada tua, seolah-olah tidak boleh diikuti dengan indera. Demikianlah berubah satu ummat manusia, dari satu keadaan kepada keadaan lain yang berlaku secara berperingkat.

Majalah dan surat khabar perosak akhlak terus beredar dan semakin meluas. Para penganjur kerosakan moral bersorak gembira kerana berjaya meraih kemenangan besar dalam pertandingan. Kini, kita telah sampai pada batas yang tidak lagi diredhai Islam.

Jika anda membaca sejarah, anda tidak akan menemui keadaan seperti ini. Bahkan, kaum Majusi pun tidak mengenali kebebasan yang sedemikian itu. Binatang yang tidak mempunyai akal pun, tidak sehina manusia masa kini.

Dua ayam jantan akan bersabung mempertahankan nyawa untuk berebut ayam betina demi menjaga kehormatannya. Tetapi manusia, dengan dalih kebebasan mengorbankan harga dirinya. Dijual dengan harga yang murah, tubuh dan kehormatannya.

Kita ambil contoh yang dekat saja, tak perlu melangkah jauh ke Negara-negara Barat. Kita pergi ke pantai dan lihat betapa wanita–wanita muslimah mempertontonkan tubuhnya. Hampir seluruh tubuhnya diperlihatkan. Kecuali dua bahagian yang tertutup. Malah ada yang lebih berani membuka bahagian atasnya. Tontonan seperti itu ada di mana-mana. Di Negara Muslim atau di Negara yang majoritinya Muslim.

Di tempat pesta atau kelab malam di mana keluarga “moden” datang, menari berganti pasangan, saling bertukar isteri untuk bergoyangan dna berpelukan, berhimpitan dada, perut, dan mengenggam tangan. Tidak ada perasaan malu dan memberi harga kepada diri mereka sendiri. Di sekolah atau di universiti, terdapat juga pergaulan bebas. Para puteri membuka sebahagian aurat tanpa pencegahan ibubapanya. Contoh-contoh seperti yang aku sebutkan itu hanyalah sebahagian dari fenomena yang berlaku. Banyak lagi peristiwa-peristiwa yang beraneka ragam yang pasti anda juga melihatnya. Semua itu tak mungkin diubah sekelip mata. Maka kita memerlukan cara khusus dan proses waktu untuk menghilangkannya. Jalan yang tepat yang perlu ditempuhi adalah kembali kepada hak dan kebenaran dengan melalui jalan yang boleh membawa kepada kebaikan. Jalan tersebut memang memakan masa yang lama dan lambat. Tetapi itulah satu-satunya jalan yang mesti dilalui.

Usaha awal kita membanteras pergaulan bebas dan pembukaan aurat. Bagi wanita yang bergaul bebas tetapi masih memakai tudung dan menutup aurat, penggarapannya lebih mudah. Mereka yang bertudung diusahakan agar tudung dan pakaian muslimah yang dipakainya tidak diniatkan untuk meningkatkan kecantikan dan menggoda lelaki.

Perbuatan yang boleh dikategorikan sebagai pergaulan bebas adalah: Seorang wanita menerima tetamu lelaki di rumahnya. Manakala di tempat umum, berjabat tangan dengan lelaki yang bukan muhrimnya. Bersama-sama pergi atau pulang dari sekolah(kuliah, berbual secara bebas, berkumpulan dengan dalih belajar bersama). Semua itu tergolong dalam pergaulan bebas. Dan merupakan sumber malapetaka kehancuran akhlak.

Cara pergaulan seperti itu dianggapnya biasa. Dia lupa bahawa Allah menciptakannya sebagai wanita dan yang lain ialah lelaki. Masing-masing mempunyai kecenderungan dan daya tarikan. Tidak ada satu makhluk di muka bumi ini yang dapat mengubah ciptaan Allah atau membuat persamaan di antara keduanya ataupun menghilangkan kecenderungan(hasrat) dari pihak masing-masing.

Wanita-wanita menganjurkan persamaan hak dan pergaulan bebas, menuntut persamaan di atas dasar kemajuan dan tuntutan persamaan di atas dasar kemajuan dan tuntutan zaman adalah pembohongan besar. Mereka sebenarnya hanya mencari kepuasan nafsu sahaja. Mereka beranggapan, bahawa kaum lelaki lebih mendapat kenikmatan daripada wanita. Kerana itu mereka berusaha untuk merasakan kenikmatan itu.

Mereka tidak berani untuk menyatakan secara terang-terangan. Mereka sembunyi hasrat itu dan yang ditonjolkan ialah isu “tuntutan zaman”, “seni budaya”, “kehidupan kampus”, “alam mahasiswa atau pelajar”. Mereka gembar-gemburkan perkara ini seperti suara beduk kosong yang tidak membawa sebarang pengertian.

Hak yang mereka tuntut adalah batil. Mereka menjadikan Amerika dan Eropah sebagai kiblat dan pemimpin kemajuan. Apa-apa pun yang datang dari sana maka itu adalah lebih baik dan tepat. Eropah mengirimkan tarian, diterima! Mengirimkan model pakaian telanjang, ditiru! Percampuran bebas di kampus, mempertontonkan paha, dan dada di kolam renang dan di tepi pantai dipandang wajar. Sebaliknya, yang datang dari timur dipandang jelik dan batil, walaupun itu adalah pancaran dari suara masjid, bimbingan dan tuntutan agama, kehormatan dan harga diri, kebersihan dan kemuliaan jiwa, hati dan jasmani serta penutupan aurat sebagai pelindungan dan harga muslimah.

Kita sebagai orang Timur menerima mentah-mentah apa yang datang dari Barat. Tapi sebahagian orang Barat menolak “produknya” sendiri. Masyarakat Eropah dan Amerika, sebahagiannya menolak pergaulan bebas. Mereka sangat menjaga pergaulan anak-anaknya. Di Paris, kebanyakkan orang tua melarang puterinya keluar bersama pemuda untuk ke pawagam misalnya. Ada juga yang muak jika menonton filem lucah. Di Amerika, ramai orang tua yang memilih sekolah khusus untuk menyekolahkan anak mereka di sekolah yang bercampur dengan pemuda. Mereka juga mengawal jika puteri-puterinya pergi berenang.

Wahai puteriku,
Itulah nasihatku yang hak dan benar,
Mudah-mudahan engkau mahu mendengar,
Jangan engkau dengar ungkapan yang lain,
Yang mengajak kepada kelalaian,
Hanya di tanganmu wahai puteriku,
Bukan di tangan kami kaum lelaki,
Hanya di tanganmu kunci pintu kebaikan,
Sekiranya engkau mahu memperbaiki dirimu,
Maka pasti seluruh ummat akan menjadi baik.

Luahan Rasa : Kelebihan Berdiam

Kenapa kita perlu banyak diam dari banyak berkata-kata..?

Ada pendapat memberitahu,
banyak diam tidak semestinya bodoh, banyak bercakap tidak semestinya pandai. Sebenarnya, orang cerdik yang pendiam lebih baik dari orang bodoh yang banyak bercakap. Kadangkala orang yang pendiam juga lebih baik dari orang bodoh yang banyak bercakap.

Pepatah inggeris ada menyebut,
‘we actually have nothing to talk, but we talk many about nothing’.

Hadis Rasullullah pernah menyebut kelebihan berdiam yang bermaksud:

“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, hendaklah ia berkata baik atau diam”.

“Barangsiapa yang banyak percakapannya, nescaya banyaklah silapnya. Barangsiapa yang banyak silapnya, nescaya banyaklah dosanya dan barangsiapa yang banyak dosanya, nerakalah tempat yang utama baginya”

“Tidak lurus keimanan seseorang itu sehingga lurus hatinya, dan tidak akan lurus hati seseorang itu sehingga lurus lidahnya”

Dari hadis di atas, jelaslah bahawa lidah atau percakapan yang kita pertuturkan setiap hari merupakan lambang keimanan kita. Tetapi orang yang kurang mantap imannya hanya akan berkata-kata dengan sesuka hati dan mengikut nafsu tanpa memikirkan akibatnya. Mereka ini hanya berkata yang sia-sia dan membuang masa serta jauh daripada hidayah.

Daripada Muaz, Rasullullah bersabda: ‘Mahukah kamu jika aku katakan kepadamu tentang sendi daripada semua kebaikan?’ Jawab Muaz, “Ya, kami nak tahu.”

Maka Rasullullah s.a.w. menunjukkan sendi kebaikan itu pada lidahnya dan berkata, “Jagalah ini.”

Muaz berkata, “Wahai Rasullullah, adakah kami akan mendapat seksaan akhirat daripada ucapan kami?”

Rasullullah menjawab, “Betapa azabnya Muaz orang yang tersungkur di dalam neraka itu melainkan hasil daripada menabur fitnah melalui lidah mereka.”
Akhirnya mereka menerima seksaan daripada Allah.”

Neraka Seburuk-buruk Tempat Kediaman

DARI segi bahasa Arab, neraka disebut an-nar manakala dalam istilah ilmu teologi disebut empat menerima azab sengsara daripada Allah yang diberikan kepada orang yang ingkar perintah-Nya.

Azab yang akan diterima sangat dahsyat. Kepanasan apinya lebih 70 kali ganda kepanasan api terpanas di dunia.
Setiap orang yang dimasukkan ke dalamnya akan menerima azab yang sangat pedih. Mereka tidaklah diringankan daripada seksaan melainkan terhadap Abu Talib.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesungguhnya seringan-ringan azab penduduk neraka ialah Abu Talib, dia dibakar menerusi sepasang seliparnya yang menyebabkan otaknya bergelegak." (Hadis riwayat Muslim)

Sebagaimana syurga mempunyai aneka kelebihan dan keindahan, neraka pula mempunyai beraneka keseksaan.

Dalam satu riwayat yang diceritakan Saidina Umar al-Khattab: "Telah datang Jibril kepada Nabi Muhammad s.a.w bukan pada waktu biasa ia datang, Rasulullah lalu berdiri mendapatkan dan berkata: "Hai Jibril, kenapa saya lihat warnamu berubah?

Jibril menjawab: Aku diperintahkan Allah untuk menerangkan semburan api neraka. Berkata Rasulullah: Terangkanlah kepadaku keadaan neraka dan perihal Jahanam?

Berkata Jibril: "Sesungguhnya Allah memerintah agar api Jahanam dinyalakan selama 1,000 tahun, sehingga warna apinya berubah menjadi merah, lalu diperintahkan menyalakan apinya selama 1,000 tahun lagi, sehingga warna apinya berubah menjadi hitam, hitam yang gelap sehingga tidak bersinar lagi gejolakannya dan tidak padam bakarannya.

"Demi Tuhan yang mengutusmu dengan kebenaran, kalau dibukakan Jahanam itu sebesar lubang jarum, akan terbakarlah bumi ini serta segala isinya kerana panasnya.

"Dan, demi Tuhan yang mengutusmu dengan kebenaran, jika seorang daripada penjaga neraka itu didatangkan ke bumi oleh Allah, akan matilah seluruh manusia di bumi ini kerana keburukan rupa dan kebusukannya.

"Demi Tuhan yang mengutusmu dengan kebenaran jika satu lingkaran dari rantai neraka diletakkan di atas sebuah gunung di dunia ini, akan tembuslah gunung itu sampai ke dasar bumi yang paling bawah.

Maka, berkata Rasulullah s.a.w: Untunglah ya Jibril...jantungku tidak sampai pecah sehingga aku mati mendengar keteranganmu."

Begitulah dahsyatnya tempat yang akan diduduki orang yang derhaka dan kafir. Dalam keadaan mereka dibakar sebagai kayu api neraka, mereka dihidangkan pula air tembaga yang mendidih, air nanah menjijikkan, air besi, air timah yang menggelegak serta pohon zaqum berduri sebagai minuman serta makanan mereka.

Terdapat banyak ayat al-Quran dan hadis nabi yang menceritakan kengerian neraka. Antara ayat al-Quran yang boleh kita rujuk ialah ayat 29 surah al-Kahfi, maksudnya:

"Katakanlah: Kebenaran itu datang daripada Tuhanmu, sesiapa yang beriman, hendaklah ia beriman dan sesiapa yang kufur, biarlah dia mengingkarinya. Kerana Kami sediakan bagi orang zalim itu api neraka yang meliputi mereka dan jika meminta minuman, mereka diberi minum air seperti tembaga cair yang membakar muka, amatlah buruknya minuman itu dan amatlah buruknya neraka sebagai tempat bersenang-senang."

Dalam surah al-Waqiah, ayat 51-55, menceritakan: "Kemudian sesungguhnya kamu wahai orang yang sesat yang mendustakan (kedatangan hari kiamat).

" Tetap akan memakan (pada hari itu) dari sebatang pokok, iaitu pokok zaqqum. Maka kamu akan memenuhi perut kamu daripada pokok (yang pahit buahnya) itu. Selepas itu kamu akan minum pula daripada air panas yang menggelegak. Iaitu kamu akan minum seperti unta yang berpenyakit sentiasa dahaga dan tidak puas-puas."

Neraka juga mempunyai pelbagai gelaran dan jenisnya, malah ada ahlinya yang tersendiri akan menghuninya.

Menurut al-Quran, neraka itu ada disebut dengan pelbagai nama, seperti Jahanam, Hutamah, Sa'ir, Saqar, Jahim dan Hawiyah.

Contohnya dengan nama al-Hutamah, yang dapat dilihat pada surah al-Humazah, maksudnya: "Kecelakaan besar bagi setiap pencaci, pengeji. Yang mengumpulkan harta dan berulang-ulang menghitung kekayaannya; Ia menyangka bahawa hartanya itu dapat mengekalkannya (dalam dunia ini)! Tidak! Sesungguhnya dia akan dicampakkan ke dalam Al-Hutamah.

Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui, apa dia Al-Hutamah itu? (Al-Hutamah) ialah api Allah yang dinyalakan (dengan perintah-Nya). Yang naik menjulang ke hati. Sesungguhnya api neraka itu ditutup rapat atas mereka. (Mereka terikat di situ) pada batang palang yang melintang panjang."

Antara ahli neraka ialah orang yang mendustai hari kiamat, orang mensia-siakan solat dan menurut hawa nafsu semata-mata, penyembah berhala, orang musyrik (orang mempersekutukan sesuatu selain Allah), orang zalim (suka membuat aniaya kepada orang lain) dan orang derhaka kepada perintah Allah (golongan yang ingkar).

Begitu juga dengan orang makan harta orang lain secara batil seperti mencuri, merampas dan merompak harta orang atau menggunakan taktik tertentu seperti menipu dan sebagainya untuk mendapatkan hak orang. Mereka ini akan diseksa di neraka.

50 Tanda Orang Munafik

1 Malas beribadah kepada Allah SWT

2 Lupa kepada Allah SWT

3 Melalaikan solat fardu

4 Mempercepat mengerjakan solat

5 Gemar meninggalkan solat berjemaah

6 Meninggalkan solat Jumaat

7 Menyuruh yang mungkar dan melarang yang makruf

8 Melakukan dosa dan kemungkaran secara sembunyi

9 Menyembunyikan ilmu pengetahuan

10 Riak

11 Hasad dengki

12 Dusta

13 Mungkir janji

14 Bakhil

15 Fitnah

16 Mencaci maki

17 Mengumpat

18 Mengungkit kembali pemberian kepada seseorang dan menyakiti hatinya

19 Mengingkari takdir allah

20 Mempersenda kesucian agama

21 Enggan berjihad di jalan Allah SWT

22 Menghina sahabat Rasullullah SAW

23 Menyembunyikan persaksian pada jalan yang benar

24 Menangguh pembayaran hutang

25 Menipu dalam jual beli

26 Ghasab

27 Bergaul dengan orang yang memperolok Al-Quran

28 Memakan harta anak yatim

29 Membuka rahsia orang lain

30 Berasa aman daripada murka Allah apabila melakukan dosa

31 Memanggil orang dengan gelaran buruk yang tidak disukai

32 Menghalang orang daripada mengamalkan ajaran islam

33 Suka kepada kesesatan dan suka menyesatkan orang

34 Bermuka-muka

35 Menyanjung dan memuji orang tanpa diketahui keadaan sebenarnya

36 Sombong diantara sesama manusia

37 Melampaui batas yang telah digariskan oleh Allah

38 Suka berbantah dan bertengkar sesama Muslim

39 Berputus asa dalam menghadapi cabaran hidup

40 Membazir dalam memanfaatkan nikmat Allah

41 Keluh kesah apabila ditimpa musibah

42 Mengkhianati sesuatu amanah

43 Memutuskan silaturrahim

44 Memecahbelahkan perpaduan kaum muslimin

45 Menghalalkan perkara yang haram

46 Membuat kerosakan dimuka bumi

47 Menuduh orang beriman bodoh

48 Mengubah dan menyalahguna ayat-ayat Allah

49 Bersumpah dengan selain nama Allah SWT

50 Berasa gembira apabila musibah menimpa orang beriman.


Mohamad, D. H. (2008). 50 Tanda Orang Munafik. Kuala Lumpur: Al-Hidayah Publication.

Luahan Rasa : Cerpen Balqis

Cinta mana yang perlu dipilih?
Cinta yang sementara atau cinta yang kekal selamanya....

Inilah kisah hidup seorang syabab....

Pernah seketika dahulu aku diminati beberapa orang wanita di sekolahku. Bukan ingin berbangga akan diri tetapi sekadar untuk muhasabah diri. Walaupun begitu, aku belum pernah punya teman wanita. Mungkin kerana aku masih belum berani dan takut untuk menjalinkan hubungan percintaan. Mungkin juga aku terlalu memilih. Aku pun bukanlah seorang lelaki yang boleh dikatakan baik. Aku pernah menghisap rokok, ponteng kelas bahkan solat juga. Aku tidak tahu mengapa diriku boleh menjadi sedemikian rupa padahal bapaku seorang yang sangat mementingkan agama lebih-lebih lagi dalam menjaga bab solat.

Di kala aku sendiri, acapkali aku terfikir, apa sangatlah yang ada pada rupa? Bukankah keimanan itu tunjang segala-galanya? Bila aku bertemu dengan pelajar perempuan atas urusan tertentu, ada sahaja pelajar lelaki yang cemburu. Cemburunya mengalahkan perempuan padahal buka
n aku jumpa berdua pun. Ada yang kata aku ni ‘playboy’ hinggakan aku diberi amaran dek rasa tak puas hati mereka. Sampai sekarang pun, semua masalah ini tak pernah terlepas dari hidupku. Tapi aku tak kisah. Mungkin aku dah mangli dengan semua ini. Pada aku, aku adalah aku.

Aku insan yang tak boleh lari daripada rasa kekosongan, kekosongan pada hati. Rasa ingin disayangi dan menyayangi mula berputik kerana itulah lumrah manusia, benar bukan? Perasaan itu kian meronta apabila melihat ramai kawan-kawanku yang dah mula bercinta. Dalam kelas cerita pasal ‘girlfriend’ saja. Ada yang telefon sampai satu malam boleh sampai berjam-jam lamanya. Walaupun nampak macam membazir, tapi hati yang sepi tetap rasa cemburu pada mereka.

Mindaku mula terfikir, "Adakah aku perlu bercinta?" Dengan menggunakan akal seorang pelajar yang masih belum matang di tingkatan 3 pada masa itu, aku pun mula menanam hasrat untuk menyayangi dan disayangi. Tatkala itulah aku mengenali Balqis, kawan satu sekolahku. “Dialah calon yang sesuai untukku,” getusku di dalam hati. “Inilah satu-satunya peluang aku untuk membuang gelaran ‘playboy’ yang diberi oleh mereka yang hanya tahu mengejek tanpa bisa mengenali diriku terlebih dahulu,” hatiku menyambung lagi.

Pada masa yang sama, aku juga telah berkenalan dengan seorang gadis. Aku tertarik dengan peribadinya yang tampak solehah, dipelihara oleh jilbabnya malah bersekolah di sekolah agama. Kini, di hatiku bertakhta dua jelita yang masing-masing punya keistimewaan. Aku keliru. Dalam kekeliruan itu, telah aku putuskan untuk cuba memikat Balqis kerana dialah yang mula aku kenal dan yang pertama sekali bertapak di hati ku.

Balqis, sukar sungguh untuk aku mengalahkan egonya. Dia bersikap endah tidak endah apabila aku ingin berkenalan dengannya. “Nantilah saya fikirkan dulu,” jawabnya bila aku berterus terang untuk menjalinkan hubungan yang lebih dari sahabat. Sikapnya membuatkan hatiku berbolak-balik. Akhirnya, aku putuskan untuk cuba menyulam bibit cinta bersama Aqilah, gadis berjilbab dari sekolah agama itu. 28 Julai 2005, tarikh keramat buatku kerana pada hari itulah aku meluahkan rasa hatiku pada Aqilah. Itulah juga cinta pertamaku. Debaranku kian memuncak disulami dengan senyuman syukur tatkala Aqilah menggangguk malu, menerima rasa hatiku. Terasa bagai dunia ini, aku yang punya!

Di kala bercinta, semangatku memuncak. Cinta pertama orang kata. Acapkali kami meluangkan waktu bersama-sama. Belajar bersama, balik berdua, makan bertentang mata dan banyak lagi aktiviti yang kami lakukan bersama-sama. Dialah yang telah menunjukkan aku jalan untuk mendekatkan diri dengan Islam dan kerana dia jugalah aku berhenti daripada tabiat burukku. Sejak dari saat aku mengenali Aqilah, aku mula rapatkan diri dengan masjid, lidahku bertartil melafazkan kalamullah, bersolat jemaah pada awal waktu malah juga telingaku dihidangkan dengan juadah tazkirah penuh ilmiah. Walaupun pada awalnya niatku bukan untuk mencari mardatillah, namun Dialah Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Setelah sekian lama aku mengamalkan amalan-amalan itu, niatku telah berubah. Daripada hanya mahu menunjuk-nunjuk, timbul pula rasa seronok dalam melaksanakan ibadah-ibadah ini. Mungkinkah itu yang dikatakan kelazatan dalam beribadah? Mungkinkah itu hikmahnya aku bercinta dengan pelajar dari sekolah agama, yang punya ilmu agama? Tidak putus-putus aku merafakkan syukur di atas perubahan positifku ini. Terima kasih Aqilah. Syukur Ya Rabbi.

Pada sebelah malamnya, aku akan menelefon teman hatiku ini. Begitulah juga sebaliknya. Dengan menggunakan telefon awam sahaja, aku sabar berbual dengannya. Biarpun nyamuk menggila mencari peluang untuk menghisap darahku, tidakku endahkan dengungan serangga ini. Kukira, itulah ertinya pengorbanan. Sangat indah waktu itu, bagai hidup dalam kayangan lagaknya. Tanpa sedar segumpal daging di dalam diri kami telah dihuni oleh syaitan yang tak pernah jemu untuk mengheret cucu cicit Nabi Adam ke arah zina. Ya, zina hati! Namun mata hati kami tertutup seketika untuk bermuhasabah pada qalbi gara-gara bercinta. Aduhai hati...

Setiap yang bermula, pasti ada akhirnya। Ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Tautan hati antara aku dan Aqilah yang diharapkan berkekalan kini mula berantakan gara-gara latar belakang keluarganya. Dia sebenarnya dipelihara oleh ibu tirinya kerana ibu kandungnya telah meninggal dunia kerana penyakit kanser. Ibu tirinya tidak senang hati melihat Aqilah terlalu asyik dengan cinta, mungkin risau pada pelajarannya. Lalu, hubungan kami usai begitu sahaja. Tiada kata sepakat dan tiada nilai muafakat. Nokhtah. Sukar untuk kugambarkan bagaimana perasaanku ketika itu. Menangis? Meraung? Tidaklah sebegitu kerana aku adalah lelaki. Sedih? Ya, sangat sedih. Hanya itu yang mampu untuk aku simpulkan. Namun, akal yang waras memujuk hati agar redha dan bangkit terus maju mengejar cinta yang lain. “Mungkin tuhan menghadirkan Aqilah dalam hidupku kerana tuhan masih lagi menyayangi diriku. Kerana dia aku berubah. Lagipun kita hanya merancang dan Allah yang menentukan,” monolog ku pada diri.

Hati kembali kosong tidak terisi. Hati ini juga pinta diisi. Lalu, aku teringat pada senyuman manis Balqis. Ya, kali ini aku nekad untuk melamar hatinya. Daripada seorang rakan, aku telah berjaya mendapatkan nombor telefon Balqis. Pantas jari-jemari menaip pesanan ringkas buat menyatakan rasa hatiku terhadapnya. Tanggal 13 Disember 2005, cinta ku berbalas jua. “Tahniah wahai aku,” kataku pada diri sambil bibirku memberi senyuman yang memberi seribu erti. Terlalu sukar untuk aku gambarkan. Kini, aku kembali bersemangat. Mana tidaknya, hatiku kini sudah punya permaisuri yang umpama pelita tatkala aku kegelapan. Tatkala itu, tidak ku terfikirkan wajah-wajah tua yang sering bergantung harap padaku, yang saban hari mendoakan kejayaan aku. Aduhai hati...

Hatiku kian parah. Percintaan kali ini ternyata satu dugaan yang maha hebat buatku ku. Sekiranya dahulu hanya bersaya dan awak kini telah bertukar ganti kepada ‘abang’ dan ‘ayang’. Kiranya dahulu sekadar lima belas minit berbual di telefon kini bertambah ke minit yang ke enam puluh. Hubungan kami diserikan lagi dengan lagu tema aku dan Balqis, Insan Bernama Kekasih dendangan kumpulan nasyid UNIC. Setiap bait liriknya mengkhabarkan kiasan hati aku dan hati Balqis. Jalinan kali ini, lebih asyik daripada dahulu, lebih manis malah lebih indah.

Kadang kala, aku terdengar satu suara berbisik lemah. Jauh di sanubariku, sangat perlahan ia berbisik. Berbisik memberikan aku peringatan untuk mengawal nafsuku dan memelihara hatiku. Namun, bisikan itu terlalu lemah untuk melawan hangatnya rasa cintaku. Aku endahkan suara itu dan terus-menerus membiarkan hatiku dibuai asyik. Keasyikan cinta yang di sebaliknya terpalit kekalahan dalam memelihara hati dan iman. Ya Allah, Kau ampunilah segala dosaku...

Masa kian berlalu tanpa kami sedari. Genaplah kini dua tahun usia percintaan kami. Kini kami di tingkatan lima, satu tahun yang penuh dengan latih tubi, bergelumanglah kami dengan kertas-kertas nota dan naskah-naskah soalan percubaan dari pelbagai negeri. Dalam tahun inilah masing-masing menyemai janji untuk menghadiahkan kejayaan pada ibu dan ayah yang sekian lama menanti. Itulah azam aku dan intan payungku, Balqis.

Sudah lama aku tidak menghidangkan telingaku dengan ilmu-ilmu agama di masjid yang berhampiran. Suatu hari, Allah menggerakkan kakiku untuk bersolat di masjid. Maha Suci Allah, Alhamdulillah, aku bersyukur kerana apa yang didengar benar-benar menyedarkan aku. Daripada ceramah itu aku sedar yang diriku telah banyak berdosa dan aku sedar bahawa aku kena berubah. Aku juga sedar, hidupku mesti selari dengan Islam. Aku perlu menjadi orang yang baik kerana itulah fitrah manusia, sentiasa menginginkan kebaikan.

Kini, aku kurangkan masa yang selama ini acapkali ku habiskan bersama-sama Balqis. Balqis pula terkejut dengan perubahanku ini dan mula memikirkan yang bukan-bukan. Ku katakan padanya, “Biarlah kita lestarikan cinta kita kerana Allah Yang Esa dan jangan sampai buat benda yang salah”. Aku tak kepingin untuk bercinta seperti mana rakan-rakan yang lain yang mengamalkan prinsip jiwang dalam bercinta. Malah, ada yang sudah terlanjur daripada itu, yang bersentuhan dan berpelukan. Nau’zubillah... Aku nekad! Aku mahu menjaga kesucian cintaku dan Balqis agar tidak dicemari dengan tipu daya syaitan seperti mana dahulu. Aku mahu menjaga batas-batas syara'. Tidak perlu penggunaan ayat yang berbunga-bunga malah tidak perlu berjumpa kiranya tiada kepentingan. Cukuplah sekadar telefon menjadi penghubung.

Balqis? Ya, gadis manis ini menerima perubahanku. Selalu juga aku menasihatinya dan syukur kerana dia menerima seadanya. Walaupun kadang-kala Balqis merajuk dek ditegur aku, namun aku faham, perubahan memerlukan masa. Akhirnya kurasakan, hubungan kami semakin diredhai. Aku selalu berdoa supaya hubungan kami akan kekal sampai ke gerbang perkahwinan.

Suatu hari, ketika aku sedang membelek helaian demi helaian dalam satu majalah, mataku tertatap pada satu artikel bertajuk, “MENUAI BENIH CINTA : Bahagia Dalam Seksa”.Tergerak hatiku untuk membaca artikel tersebut kerana ia menceritakan tentang percintaan sebelum memasuki gerbang perkahwinan. Dengan segala dalil-dalil yang diberi, maka benarlah bahawa berpasangan itu menjurus ke arah kemaksiatan. Kaku dan terdiam. Hatiku seakan berhenti berdegup apabila mengetahui perkara yang selama ini kufikirkan baik, adalah salah sama sekali. Ingin kukongsi perihal ini bersama Balqis namun kurasakan sekarang bukanlah waktu yang sesuai lalu aku pendamkan sajaha. Hati berbicara dan minda mula bertelegah, “ kami tak buat maksiat, tak berpegangan tangan dan kata-kata kami bukanlah menjurus ke arah perkara yang diharamkan. Cuma saling ambil berat, tanya khabar, borak-borak, dan siap bertazkirah lagi. Apa yang haramnya dengan benda ni?”

Akal yang waras mula menidakkan kesalahan yang telah aku lakukan. Itulah lumrah manusia. Apabila perkara yang saban hari telah dilakukan sehingga ia menjadi rutin harian, walaupun salahnya terang di sisi agama, tetapi dek adanya logik akal, aku membutakan mata dengan artikel ini. Tambahan pula, sekarang bukanlah waktu yang sesuai untuk aku dan Balqis membicarakan akan hal ini memandangkan SPM akan menyusul tidak lama lagi.

Ujian mencemburui hubungan kami. Satu perpisahan antara aku dan Balqis telah tercipta apabila aku telah terpilih untuk mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Jauh di sudut hati, aku gembira kerana ini akan memberi faedah dan manfaat kepadaku untuk melanjutkan pelajaran selepas tamat sekolah menengah. Namun senyuman dan rasa girang di hatiku melayang entah ke mana tatkala Balqis menyuarakan rasa hatinya yang berat untuk melepaskan aku pergi. Oh, inikah kuasanya cinta? Aku terdiam, memikirkan betapa sayangnya gadis ini terhadapku. “Barangkali kasihnya kepadaku melebihi cintaku pada dirinya,” getus hatiku. Melihatkan reaksiku yang hanya berdiam diri, Balqis mula bersuara kembali, namun diam. Matanya mula berkaca lalu, kutahu apa pintanya. Aku memujuk Balqis agar bersabar dan menganggap ini hanyalah satu ujian yang akan menguji, di tahap manakah percintaan ini. Lidahku fasih melafazkan janji setia, hatiku akur pada rasa cinta lalu kupinta pada Balqis agar percaya bahawa aku akan setia padanya. Bak kata pepatah Melayu, “Kalau sudah jodoh takkan lari ke mana”.

Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bakal menyinsing tidak lama lagi. Kurasakan pantasnya waktu berlalu, umpama mimpi walhal aku masih terumbang–ambing di ulit lena. Situasi ini membuatkan aku tertekan lalu aku mula mengabaikan Balqis dengan niat mahu mencegah diriku daripada melepaskan 1001 masalahku di pundaknya. Aku berharap agar Balqis dapat menumpukan perhatian pada peperiksaan tanpa terlalu memikirkan perihal diriku.

Meskipun rambut sama hitam, namun hati lain-lain. Niatku telah disalah tafsirkan oleh Balqis. Dia menyangka aku sudah lupakan dirinya. 1001 penyesalan dan rasa bersalah bersarang dalam diriku pabila seorang daripada temannya memberitahuku bahawa dia sering menangis dek ingatannya terhadapku. Beberapa hari sebelum SPM bermula, aku memberanikan diri menelefon Balqis dengan niat agar dia kembali fokus pada peperiksaan dan memohon seribu kemaafan sambil menyatakan segala yang tersirat di dalam hati. Aku juga mengambil kesempatan tersebut mengucapkan selamat menduduki peperiksaan SPM pada minggu depan. Kini Balqis sudah mampu ketawa apabila bercakap denganku. Alhamdulillah..

Usai kini peperiksaan yang selama ini menjadi sasaran dalam sistem pembelajaran buat diriku. Minda terasa ringan apabila memikirkan sesi persekolahan sebagai pelajar menengah atas sudah berakhir. Seminggu selepas peperiksaan, Balqis menyatakan hasratnya untuk berjumpa denganku tetapi entah mengapa hatiku begitu berat untuk berjumpa dengannya. Setelah didesak, aku akhirnya akur. Sepanjang hari kami menghabiskan masa bersama sebelum aku pergi ke PLKN. Itulah hari terakhir kami berjumpa pada tahun tersebut.

Pada hujung bulan Disember 2007, aku menghadiri latihan PLKN di sebuah kem yang terletak di Batu Pahat, Johor. Di sini aku lebih meminati bidang agama dek rakan-rakan yang rapat denganku kebanyakannya berasal dari sekolah agama. Banyak ilmu yang aku perolehi dari mereka. Lantaran itu, aku menjadi seorang yang minat kepada al-Quran, surau, masjid, dan semuanya yang berkaitan agama. Aku terfikir bahawa inilah masa yang paling sesuai untuk mendekatkan diri kepada Allah sambil mengingati dosa-dosa yang pernah aku lakukan sebelum ini.

Di suatu malam, terbaca aku akan petikan yang membicarakan mengenai zina hati. Semua inilah yang Rasulullah s.a.w. jelaskan dalam hadithnya tentang bagaimana menghampiri zina hati tu. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, mata boleh berzina dengan melihat, lidah boleh berzina dengan bercakap, tangan boleh berzina dengan berpegangan. Kaki boleh berzina dengan berjalan ke arah tempat maksiat. Hati pula boleh berzina dengan merindui, mengingati dan membayangi si dia. “Astagfirullah...” Secara spontan, lidahku beristighfar. “Laila haillallah...”, bisikku dengan hati yang berat. Terasa bagai ada embun panas di tebing kelopak mata. Hati berbisik kepada akal dan minda, mengisyaratkan bahawa aku perlu menukar paradigma. Ya! Aku perlu berubah!

Tamat sahaja latihan, aku mula terfikirkan perihal Balqis. Mampukah jelita ini menerima hasrat ku untuk meninggalkan dunia percintaan yang sia-sia cuma. Sungguhpun aku sudah nekad, namun masih terasa payah untuk ku memulakan langkah. Sehinggalah pada suatu hari muncul keberanian dalam diriku. Aku tidak tahu dari mana datangnya kekuatan itu tetapi aku sangat bersyukur dikurniakan perasaan yang sebegitu. Lalu, di suatu hari dalam Bulan Mac 2008 aku mula mengatur langkah. Di suatu tempat yang sunyi aku bersendirian mencari ketenangan. Setelah aku peroleh kekuatan dan kepercayan, akhirnya aku memberanikan diri menelefon Balqis untuk menyatakan hasrat yang selama ini terbuku di hatiku.

Pantas jari jemariku mendail nombornya yang sudah sedia ada di dalam ingatanku. Namun sepi tidak dijawab. Aku mengambil keputusan untuk menyuarakan rasa hati ku melalui sms sahaja.

"Assalamualaikum awak, saya ‘call’ banyak kali tapi awak tak angkat. Mungkin awak dah tidur. Takpelah, saya sebenarnya ada sesuatu yang penting nak cakap dengan awak. Hm.. Terus terang saya rasa hubungan kita cukuplah setakat di sini. Saya harap awak akan memahami. Kadangkala untuk mengejar sesuatu yang berada di hadapan kita, kita harus tinggalkan beban yang berat selama ini kita pikul. Saya harap awak akan memahami niat saya. Selepas ini hubungan kita hanya sekadar kawan biasa dan tiada lagi panggilan ‘abang dan ayang’ antara kita. Saya harap awak akan terima keadaan kita sekarang ini dengan rela."

Kutulis dan kubaca mesejku ini berulang kali sebelum menghantar pada Balqis. Selepas beberapa minit, ibu jariku ini menekan juga butang ‘hantar’. Kemudian tertera di skrin...

MENGHANTAR MESEJ..

MESEJ DIHANTAR

Sepi. Diam. Hening dan kosong. Terasa seperti separuh daripada hatiku gugur bersama bibit-bibit cinta antara aku dan dia. “Benarkah?”, bisik hatiku. Namun, tiada jawapan. Kosong.

Keesokan harinya, jiwaku tidak keruan. Detik demi detik, hatiku acapkali diruntun resah dan gelisah. Beberapa kali Balqis menelefonku namun aku masih tidak punya kekuatan untuk menerima panggilan telefon daripada si dia waima aku sedar bahawa aku patut mengungkaikan 1001 persoalan yang timbul di lubuk hati Balqis.

Di waktu senja pada hari itu, usai aku solat maghrib, aku telah menerima panggilan dari nombor yang tidak aku kenal. Tanpa ragu-ragu aku menerima panggilan tersebut. “Allah”, sambil jantungku berdegup kencang. Itu adalah panggilan daripada Nabilah, kakak kepada Balqis yang sememangnya telah aku kenal. Selepas sahaja dia memberi salam, bagai lagak seorang detektif dia mengajukan pertanyaan demi pertanyaan kepadaku, “ ‘You’ dah ada kekasih lain ke hah?”, soalnya marah. “Tak”, itulah jawapan ringkas yang terbit secara spontan dari bibirku. “So, kenapa you tinggalkan Balqis? Dah bosan dengan dia ke? Ingat dia tu sampah, bila tak guna ‘you’ boleh buang dia! ”, serang Nabilah lagi, penuh bisa.

Aku sedar, Balqis seorang wanita berjiwa lembut. Mudah terasa dan mudah menangis. Namun, tiada guna aku meneruskan hubungan ini hanya atas dasar simpati dan empati. Tiada apa yang aku bingkiskan pada Nabilah, hanya ucapan kemaafan semata-mata. Aku optimiskan minda dan memegang teguh pada paradigmaku kerana aku yakin, apa yang aku lakukan adalah benar!

“Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.”

Ayat inilah yang aku jadikan inspirasi untuk menguatkan semangatku dalam berubah dan cuba meninggalkan cinta aku padanya, Balqis.

Namun, setakat mana bisa aku membiarkan insan yang kusayang menderita. Aku bertekad, untuk memberitahu kondisiku yang sebenar pada Balqis. “Biarlah hubungan ini berakhir dengan cara yang baik,” bisikku pada diri.

“teet teet” “teet teet”,,,

“Assalamualaikum”, dengan suara yang perlahan Balqis menjawab panggilan dariku. Tersentap tangkai hatiku tatkala mendengar suaranya. “Ya Allah, kuatkanlah hati hambaMu ini,” pintaku pada Ya Rabbi kerana aku sebenarnya masih tiada kekuatan untuk memberitahu Balqis.

“Waalaikumsalam”. “Awak ok?”, dengan penuh getar di dada, aku membalas salamnya dan memulakan mauduk.

Sepi. Di hujung talian, aku terdengar tangisan dan sendu yang ditahan Balqis. Sepatah demi sepatah, dia meminta penjelasan mengapa aku meminta hubungan yang terjalin selama dua tahun diputuskan secara tiba-tiba. Maka, kalam mula diutara. Biar terhijab apa yang kurasa.

“Awak, saya minta maaf banyak-banyak kat awak. Saya tahu selama ini saya pernah berjanji untuk setia kepada awak. Tapi saya rasa tak salah untuk saya mengingkari janji yang pernah saya lafazkan untuk kebaikan kita. Saya akan tetap sayangkan awak sampai bila-bila tapi sekarang saya hanya mahu hubungan kita berlandaskan syariat Islam. Saya tak mahu guna lagi istilah ‘girlfriend boyfriend’, ‘makwe pakwe’ dalam hidup saya. Cukuplah setakat di sini. Yang penting hubungan kita sebagai sahabat tidak akan putus sampai bila-bila. Awak doakanlah jodoh kita ya! ”. Itulah yang dapat aku lafazkan untuk meluahkan isi hati aku dan itulah juga yang aku inginkan selama ini. Aku takkan bercinta lagi sehinggalah aku berkahwin nanti.

Senyap. Hanya bunyi unggas malam yang kedengaran. Kini, bunyi unggas itu diselang seli dengan tangis Balqis. Ya! aku sedar, ia adalah sesuatu yang maha berat untuk gadis ini. Setelah dua tahun lebih kami bersusah payah mempertahankan hubungan kami, kini dengan satu mesej yang aku hantar telah memutuskan segala-galanya. Aku terus berusaha memujuk Balqis agar menerima segala yang terjadi dan alhamdulillah, setelah beberapa ketika Balqis sudah mampu untuk menerima dan aku bertambah gembira apabila kami sudah mampu untuk berbual seperti biasa.

Selepas beberapa bulan, hubungan kami kembali seperti sediakala. Dengan keputusan SPM yang kami dapat, aku kini melanjutkan pelajaranku di sebuah institut perguruan manakala Balqis kini berada di sebuah kolej swasta. Walaupun hati kami masih menyayangi di antara satu sama lain tapi cukuplah perasaan sayang itu kami bataskan sebagai sahabat kerana perasaan sayang itu hanya pada yang selayaknya. Aku percaya, itulah yang terbaik buat aku dan Balqis. Dengan kekuatan yang ada dalam diriku inilah aku terangkan kepadanya, dan alhamdulillah Balqis faham. Dia amat faham dan mengerti. Walaupun air matanya seakan air sungai yang tidak berhenti mengalir pada malam itu, tetapi aku harap Balqis akan mengerti itulah yang terbaik buat kami berdua. Andai ada jodoh di antara kami, insya-Allah, aku percaya Dia akan temukan kami dalam keadaan yang jauh lebih baik dari sekarang. Itulah harapanku.

Hidupku kini lebih tenang setelah permasalahan gelodak jiwa ini selesai. Hidupku kini lebih selesa kerana aku boleh bercakap kembali tentang agama dengan lebih bebas tanpa dihantui oleh perasaan berdosa. Biarlah hidup aku kosong dari cinta yang sia-sia cuma kerana cinta selepas perkahwinan itu adalah lebih utama disisi-Nya. Bagi aku, inilah saat untuk kami beruzlah dan menilai kembali diri kami di samping membetulkan kembali segala kesilapan yang telah dilakukan. Inilah saat untuk kami mengejar kembali cita-cita dan sediakan diri untuk menjadi seorang insan yang berakhlak mulia dan berperibadi tinggi. Inilah masanya kami insafi kembali kesilapan kami dahulu dan memohon moga-moga Allah akan memaafkan kesalahan dan dosa kami.


Sesungguhnya Ya Allah, aku insan yang sangat lemah. Aku tidak mampu melawan godaan syaitan yang tidak pernah jemu, juga hambatan nafsu yang tidak pernah lesu. Ampunkanlah aku..

______________________________________________________________________________


"Sekiranya kita telah bertemu dengan seorang insan yang amat mulia sebagai teman dalam hidup kita, janganlah lepaskannya kerana kita tidak tahu bilakah pula kita akan bertemu dengan insan yang seumpamanya."

“Ingin ku miliki seluruh cintaNya dan sepenuh hati menghulurkan kasih padaNya. Tetapi ku bimbang pesona yang maya akan menjadi penghalang rindu kepadaNya.”

“Ya Allah, jika dia benar untukku dekatkanlah hatinya dengan hatiku. Jika dia bukan milikku, damaikanlah hatiku dengan ketentuan-Mu” -Dehearty-

“Cinta yang ku lafaz bukanlah cinta gurauan, kasih yang ku damba bukanlah kasih igauan.
Seikhlas hati ku semaikan benih kasih sayang moga kekal menyinar dalam keredhaan” –Dehearty-

Seandainya tercatat dia milikku
Seandainya tercatat dia untukku
Dekatkanlah daku bermesra padu
Bahagia sentiasa setiap waktu –Dehearty-

Namun ku tahu ada hikmahnya, setiap segala yang menimpa diri
Kuserahkan segala padaMu Tuhan, yang berkuasa jua mencipta
Kerana engkau Maha Mengetahui segala apa yang terbuku di hati –Dehearty-



Nukilan Azinuddin Muhammad bin Zainudin
Tempat Ke-3 Pertandingan Menulis Cerpen
Anjuran Badan Dakwah Dan Surau
PPISMP Pengajian Melayu Semester 1/2008
IPGM Kampus Sultan Abdul Halim