Santapan Rohani


Random Hadith Widget

Wednesday, October 7, 2009

Bagaimana memotivasikan murid untuk rajin bersolat?

Bermula persekolahan tahun ini saya mengajar pelajar darjah 4 (berumur 10 tahun). Pertama sekali yang saya tanyakan kepada mereka, "siapa di sini solat cukup lima waktu". Kebetulan pula pada waktu itu subjek Ibadah yang menyentuh tentang kepentingan solat.

Seperti biasalah, yang mengangkat tangan dua, tiga orang dari kelas yang berjumlah 38 orang...

Memang begitulah, kadang-kadang cikgu di sekolah sudah bertungkus lumus mengajar anak muridnya tatacara solat, cukup dengan rukun qolbi, qauli dan fe'li. Bermula dari darjah satu lagi diperkenalkan perbuatan di dalam solat, niatnya, takbir, rukuk dan sujudnya sehinggalah memberi salam.

Bersabarlah Dalam Mengajar

Dalam mengajar anak murid kena banyak bersabar, jangan putus asa. Maklumlah untuk menjadikan mereka 'manusia' banyak yang perlu dibentuk. Dan antara perkara yang penting adalah hal ehwal solatnya, kerana persoalan pertama yang ditanya ALlah adalah tentang solat jua.

Pesan Rasulullah yang bererti : "Yang mula-mula dicabut daripada manusia ialah amanah dan yang terakhir tinggal daripada agama mereka ialah solat. Ramai orang yang solat, tetapi tidak ada nilai di sisi ALLah.." (Riwayat al Hakim)

Allahu.. Allah... Ada orang Islam tetapi tidak solat, ada yang sengaja, yang jahil, yang terlupa, ada juga yang tahu tetapi amalan solatnya dilemparkan ke muka...

Tiadalah cara lain melainkan saya perlu berbuat sesuatu untuk menimbulkan keinginan dan suka mereka untuk solat. Agar bila sudah dewasa nanti tidak perlu disuruh, diherdik, dimarahi baru bergerak hendak solat.

Kepada anak muridku, ALlah telah mengajar kita bahawa sesungguhnya solat dapat menghalang keburukan dan kemungkaran (surah al Ankabut : 45). Di setiap suara bilal yang memanggil kita untuk menghadapNya, bilal menyeru "Marilah tunaikan Solattt!, Marilah Menuju Kejayaan!".

Murid saya disuruh untuk mengambil satu buku 'kosong' dan buat jadual seperti di bawah :





Penerangan kod : S = Subuh, Z= Zohor, A= Asar, M=Maghrib, I=Isyak

Setiap hari dan masa solat mereka perlu mengisikan jadual ini, tarikh dan waktu solat. Jika solat sudah disempurnakan pada waktu tersebut maka ia hendaklah diisikan dengan = 1 manakala jika tidak dibuat walau dengan apa jua alasan maka ia ditulis= 0.

Dan '0' itu bermakna akan dimasukkan ke neraka Saqar. Ini menurut amaran ALlah dalam surah al Muddathir ayat 42-43 yang bererti : "Apakah yang menjerumuskan kamu ke dalam Neraka Saqar? Mereka berkata : kami tidak menunaikan solat".

Pada setiap hari Jumaat saya meminta mereka menunjukkan Jadual Solat tersebut. Dan sekiranya ada 'telur' = O, maka hukuman rotan akan diberikan sekali di telapak tangan. Di rumah, ibu dan ayah mereka mendidik, tetapi jika di sekolah, sayalah ibu dan ayah mereka.

Hadis riwayat Ahmad dan Abu Daud berkata RasuluLlah yang bererti ;“Perintahkanlah anak-anakmu mengerjakan solat di kala mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka karena mereka tidak mengerjakannya di kala mereka berumur tahun pisahkanlah tempat tidurnya”

Ya, positive punishment saya perlu berikan kepada mereka untuk mendidik, dan apabila mereka berjaya menyempurnakan solat pada hari tersebut dan berikutnya, saya ucapkan tahniah.

Dipetik dari sini.

Syeikh Tantawi Haramkan Purdah ke Universiti al-Azhar

KAHERAH 6 Okt. - Syeikh Al-Azhar, Mohammed Sayyed Tantawi merancang untuk mengharamkan pelajar perempuan yang memakai purdah daripada memasuki institusi-institusi pendidikan di bawah Universiti al-Azhar.

Seorang pegawai keselamatan semalam berkata, polis telah menerima arahan secara lisan supaya menghalang pelajar perempuan yang berkelubung daripada memasuki institusi-institusi al-Azhar termasuk sekolah menengah dan tinggi, serta asrama beberapa universiti di Kaherah.

Pegawai itu berkata, pengharaman tersebut adalah atas sebab keselamatan.

Langkah itu dipercayai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk membendung manifestasi Islam yang dianggap ultrakonservatif di Mesir.

Sungguhpun majoriti wanita Mesir memakai tudung, hanya segelintir yang memakai purdah atau dikenali di sini sebagai niqab yang menutup muka dan lebih kerap ditemui di Arab Saudi yang mengamalkan ajaran Wahhabi.

Kebanyakan ulama berpendapat purdah tidak wajib tetapi hanyalah adat resam yang diamalkan oleh masyarakat Arab Badwi sebelum kedatangan Islam.

Rancangan Tantawi itu diumumkan semasa beliau menyuruh seorang pelajar sekolah menengah di sebuah kelas yang dikunjunginya awal minggu ini, supaya menanggalkan niqabnya.

Syeikh itu melawat sekolah-sekolah al-Azhar pada permulaan tahun akademik untuk memeriksa langkah yang diambil bagi membendung wabak selesema babi, menurut butir-butir lawatan yang disiarkan semalam oleh akhbar bebas, Al-Masry Al-Youm.

Tantawi dengan tegas memberitahu gadis berkenaan bahawa niqab 'tidak ada kena-mengena dengan Islam dan hanya satu adat resam' dan memaksanya menanggalkan niqabnya.

Beliau kemudian mengumumkan akan mengeluarkan arahan tidak lama lagi bagi mengharamkan pelajar perempuan yang memakai niqab daripada memasuki sekolah-sekolah al-Azhar.

"Niqab tidak ada kaitan dengan Islam...saya lebih arif tentang agama daripada kamu dan ibu bapa kamu," kata Tantawi kepada pelajar berkenaan.

Seorang sarjana di sebuah pusat penyelidikan al-Azhar, Abdel Moati Bayoumi berkata, para sarjana al-Azhar akan menyokong Tantawi jika beliau mengeluarkan arahan tersebut.

Bagaimanapun pengkritik langkah itu berkata, pengharaman niqab tidak akan dilaksanakan.

Arahan sebelum ini oleh Kementerian Wakaf untuk mengharamkan penceramah wanita yang memakai niqab daripada memasuki masjid dibantah keras.

Seorang penyelidik yang dihalang daripada memasuki perpustakaan Universiti Amerika di sini pada 2001 kerana memakai niqab membawa kesnya ke Mahkamah Agung Mesir dan akhirnya menang.

Mahkamah memutuskan pengharaman menyeluruh ke atas niqab menyalahi perlembagaan. - AP

Sumber dari Utusan Malaysia

Terkejut bukan dengan tajuk dalam post ana ni? Ana pun terkejut dan keliru bila membaca tajuk ni kerana berbeza dengan hukum yang ana jumpa sebelum ni. Jadi ana poskan dalam iluvislam untuk bertanya pendapat sahabat-sahabat. Jom kita tengok komen dari sahabat-sahabat iluvislam di sini.

Renungan : Adakah Anda Wanita Muslimah Yang Berfikir?

Wanita Muslimah yang memahami dengan jelas tentang hidupnya yang sebenar hanyalah untuk mencari keredhaan Penciptanya dan yakin bahawa Jannah (syurga) atau Jahanamwanita yang cantik”. Keutamaan dalam kehidupannya adalah bagaimana menjadi seorang hamba yang tawaddhu’ kepada Penciptanya dan mengumpulkan sebanyak pahala yang mungkin untuk hari kemudian.

Model contoh dalam kehidupannya bukan pelakon filem, pemuzik atau model yang superfisial di Barat atau Timur tetapi lebih kepada Sahabiyaat dan wanita Muslim lampau yang mengabdikan diri hanya kepada Allah dengan memenuhi segala tanggungjawab kepadaNya dengan sepenuh daya tenaga mereka. Mereka ini dikenalpasti dan disanjung oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam ulama-ulama dan didalam sirah Islam bukan kerana kecantikan mereka tetapi kerana keperibadian yang tinggi dan kebijaksaan yang berkualiti, kedermawanan, kerendahan diri, kesetiaan, keberanian, kekuatan, pengorbanan dan menjadi isteri-isteri yang taat dan ibu-ibu yang penyayang. Mereka diiktiraf didalam budaya Islam bukan kerana paras rupa mereka tetapi kerana menjadi pemikir-pemikir yang hebat, cendikiawan yang hebat, pejuang-pejuang yang hebat, pensyair-pensyair yang hebat dan ahli-ali politik yang hebat dan juga para pendakwah yang hebat.

Wanita-wanita seperti Khadijah Radhiallahu anha isteri pertama Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam yang menyokong suaminya didalam berdakwah untuk membentuk Negara Islam yang pertama telah sanggup mengharungi segala kesukaran dan rintangan dengan tabah dan sabar, malah menyaksikan penderitaan anak-anak beliau pada masa yang sama. Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam berkata mengenainya “Aku tidak pernah berjumpa isteri yang lebih baik dari beliau. Dia mempercayai aku ketika orang lain, walaupun ahli dan kaum keluargaku sendiri tidak mempercayai aku, dan menerima bahawa aku adalah Rasul dan Pesuruh Allah yang sebenar. Dia memeluk Islam dan membelanjakan segala harta bendanya untuk membantu aku menyebarkan kepercayaan ini dan juga pada ketika seluruh dunia menentang dan menganiaya aku. Dan melaluinya, Allah mengurniakan aku dengan cahayamata.”

Sedemikianlah keperibadiannya sehingga Allah Subhanahu wa Taala mengirimkan salam kepadanya sepertimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah dalam sebuah hadis yang menyatakan bahawa Malaikat Jibrail datang kepada Rasul Sallallahu Alaihi wa Sallam dan berkata, “Wahai Pesuruh Allah! Khadijah akan datang kepada kamu dengan membawa semangkuk sup daging. Apabila dia sampai kepada kamu, sambutlah dia bagi pihak Tuhan kamu dan diriku, dan berilah dia khabar gembira bahawa sebuah istana yang diperbuat dari Oasab menantinya disyurga yang tidak akan ada sebarang kebisingan dan kesusahan.” [Riwayat Bukhari]


Wanita-wanita seperti Fatimah Radhiallahu anha anak perempuan kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam adalah seorang yang sangat pemurah seperti perumpamaan cahaya api diatas bukit yang memberi panduan kepada kapal-kapal yang lalu. Contohnya, pada suatu ketika dimana Salman Radhiallahu anhu salah seorang dari rakan Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam cuba mencari makanan untuk seorang Muslim yang kelaparan kerana telah tidak makan untuk beberapa lama. Dia membawa orang tersebut kebeberapa buah rumah tetapi tiada sesiapa pun yang dapat memberikan sebarang makanan. Tiba-tiba dia sampai kerumah Fatimah, lalu mengetuk pintu serta memberitahu tujuan kedatangannya. Dengan airmata berlinangan, Fatimah memberitahunya bahawa dia telah tiga hari tidak mempunyai sebarang makanan dirumah. Walaupun begitu, Fatimah enggan menolak tetamu tersebut dan berkata, “Aku tidak boleh menghantar pulang seorang tetamu yang kelaparan tanpa memberi sebarang makanan kepadanya”. Fatimah lalu merayu Salman supaya memberikan sehelai pakaian kepunyaannya kepada Shamoon, seorang Yahudi untuk ditukarkan dengan sedikit jagung. Orang Yahudi tersebut sangat kagum dengan kemurahan hati anak perempuan Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam lalu memeluk Islam. Salman membawa jagung tersebut kepada Fatimah, lalu dikisarnya jagung tersebut untuk dijadikan beberapa buku roti. Apabila Salman mencadangkan supaya Fatimah menyimpan beberapa buku roti untuk diri dan keluarganya, Fatimah menjawab bahawa dia tidak mempunyai hak keatasnya kerana dia telah menyerahkan pakaian tersebut kerana Allah.

Wanita-wanita seperti Aisyah Radhiallahu anha isteri kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam adalah seorang yang bijaksana dan mempunyai daya ingatan yang sangat kuat, telah meriwayatkan lebih 2,000 buah hadis. Beliau mempunyai pengetahuan yang mendalam dibidang tafsir, hadis, fikih dan Shari’ah. Didalam suatu mimpi Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam, Malaikat Jibra’il menunjukkan satu gambar Aisyah yang dibaluti oleh sutera berwarna hijau dan berkata, “Dia adalah isterimu didunia dan akhirat.

Wanita-wanita seperti Khansaa seorang penyair yang mahir dan menggunakan kemahirannya untuk memotivasikan anak-anaknya berjihad untuk menaikkan ayat-ayat Allah yang Maha Tinggi dengan berkata kepada mereka, “ Kamu tahu ganjaran yang Allah janjikan kepada orang -orang yang berjuang untuk menentang orang - orang yang memusuhi jalanNya. Kamu harus ingat bahawa kehidupan akhirat adalah jauh lebih baik dari kehidupan dunia yang sementara ini. Apabila kamu bangun dikeesokan paginya, bersedialah untuk melakukan yang terbaik didalam peperangan. Berjuanglah menentang musuh dan mintalah pertolongan dengan Allah. Apabila kamu melihat api peperangan menyala, pergilah kamu ketengah medan peperangan dan hadapilah ketua-ketua musuhmu. InsyaAllah, kamu akan tinggal disyurga dengan kemuliaan dan kejayaan”. Keesokan harinya, keempat-empat anaknya melangkah kemedan peperangan Qadasiyyah, sambil mengulang-ulangi syair ibu mereka dan berperang sehingga mereka terbunuh. Apabila Khansaa menerima berita kematian anak-anaknya, dia berkata, “Alhamdulillah. Puji-pujian bagi Allah yang telah memuliakan aku dengan kesyahidan mereka. Aku berharap agar Allah mempertemukan aku dengan mereka dibawah lindungan Yang Maha Pengasih”.

Wanita-wanita seperti Ummu Amarah Radhiallahu anha seorang pejuang yang sangat mahir dan telah berjuang didalam banyak peperangan termasuk Perang Uhud, Hunayn dan Yamamah. Seorang yang melindungi Rasullullah dengan badannya serta mengalami banyak kecederaan didalam Peperangan Uhud. Rasullullah Sallallahu Alaihi wa Sallam pernah menceritakan ketika Perang Uhud dimana sahaja dia beralih, kekiri atau kekanan, dia melihat Ummu Amarah berjuang bermati-matian untuk melindunginya. Beliau berdoa untuk Ummu Amarah dan keluarganya yang telah berjuang dengan penuh semangat dan kekuatan pada hari tersebut dan bersabda; “Ya Allah! Jadikanlah keluarga ini teman –temanku disyurga.”

Wanita-wanita seperti Ummu Shareek yang mengabdikan dirinya untuk berdakwah kejalan Islam dikalangan wanita-wanita Quraish sehingga pada satu masa dia dihalau dari masyarakat oleh ketua-ketua orang Quraish dan wanita-wanita seperti Sumayyah yang pertama syahid kerana Islam, yang sentiasa menyeru kepada orang ramai untuk menyembah Allah Subhanahu wa Taala walaupun sedang diseksa oleh Abu Jahal.

Khatimah
Wanita Muslimah adalah individu yang berfikir, seorang yang tidak membuta tuli meniru dan menurut orang-orang disekitarnya walaupun dia menentang kebiasaan masyarakat. Dia bukanlah seorang individu yang merasa rendah diri kerana imejnya tetapi dia adalah seorang wanita yang yakin dengan kehidupan yang telah dipilihnya untuk memwujudkan kebenaran Islam melalui minda dan keyakinanya. Akhirnya, dia bukanlah seorang wanita yang hanya taksub dengan imejnya sendiri; keterampilan atau kehidupan tetapi sebagai seorang individu yang mengetahui urusan dunia, memahami masalah-masalah manusia dan berfikir dengan hati-hati tentang peranannya untuk merealisasikan sistem yang sebenarnya untuk mentadbir manusia; iaitu Daulah Khilafah. Anda bagaimana?? Marilah sama-sama kita renungkan. Wallahu alam bishawab (neraka) merupakan balasan diakhirat, adalah seorang wanita yang berfikir. Dia adalah seorang yang tidak akan terpedaya dengan mitos kecantikan atau berusaha sedaya upaya untuk menerima imej dangkal yang dipropagandakan oleh Negara Kapitalis Barat. Dia tidak akan terpengaruh dengan dakyah dangkal yang membincangkan tentang kecantikan, rambut atau fesyen yang betul, atau membuang masa dan tenaga cuba untuk mencapai harapan yang tidak realistik sepertimana yang didefinasikan oleh masyarakat Barat sebagai “

Dipetik dari sini.

Hukum wanita Muslimah menampakkan auratnya di hadapan wanita kafir

Pada dasarnya para ulama berbeza pendapat mengenai kebolehan wanita Muslimah menampakkan auratnya di hadapan wanita-wanita kafir. Jumhur ulama berpendapat, seorang wanita Muslimah dilarang terlihat auratnya di hadapan wanita-wanita kafir. Sedangkan ulama lain berpendapat sebaliknya, iaitu bolehnya seorang wanita Muslimah terlihat auratnya di depan wanita kafir.[1]

Perbezaan pendapat di antara mereka disebabkan kerana perbezaan pendapat dalam mentafsirkan frasa ”nisaa`i hinna” dalam Surah An Nuur (24):31. Sebahagian ulama mengkhususkan wanita pada konteks ayat tersebut pada wanita-wanita Mukminat saja, atau wanita-wanita yang memiliki hubungan syubhah (persahabatan yang akrab) dan wanita-wanita yang menjadi hamba atau pembantunya. Sedangkan ulama lain mengertikan frasa ”nisaa`i hinna” pada ayat itu secara mutlak, terkena untuk semua wanita, sama ada Mukminat mahupun kaafirah (wanita kafir), tanpa ada pengkhususan.

Imam Ar Raziy di dalam Tafsirnya menyatakan; juz 11, 307

قوله تعالى : { أَوْ نِسَائِهِنَّ } وفيه قولان : أحدهما : المراد والنساء اللاتي هن على دينهن ، وهذا قول أكثر السلف . قال ابن عباس رضي الله عنهما : ليس للمسلمة أن تتجرد بين نساء أهل الذمة ولا تبدي للكافرة إلا ما تبدي للأجانب إلا أن تكون أمة لها لقوله تعالى : { أَوْ مَا مَلَكَتْ أيمانهن } وكتب عمر إلى أبي عبيدة أن يمنع نساء أهل الكتاب من دخول الحمام مع المؤمنات وثانيهما : المراد بنسائهن جميع النساء ، وهذا هو المذهب وقول السلف محمول على الاستحباب والأولى

“Adapun firman Allah Subhanahu wa Taala ”au nisaa`i hinna”, ada dua pentafsiran terhadap frasa ini;
Pertama: yang dimaksudkan “wanita-wanita” di sini adalah yang seagama. Ini adalah pendapat majoriti ulama salaf. Ibnu ‘Abbas radhiallahu anhu berkata, “Seorang wanita Muslimah tidak boleh menyendiri di antara ahlu zimmah, dan ia tidak boleh menampakkan auratnya di hadapan wanita kafir, sebagaimana ia tidak boleh menampakkannya di hadapan laki-laki asing, kecuali wanita kafir itu adalah hamba miliknya; berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Taala, ”au maa malakat aimaanihinna” [kecuali kepada hamba-hamba yang mereka miliki]. Dan Umar pernah mengirim surat kepada Abu ’Ubaidah radhiallahu anhu untuk melarang wanita-wanita ahlul Kitab masuk ke permandian umum bersama dengan wanita-wanita Mukminat.

Kedua: yang dimaksudkan dengan wanita-wanita di sini adalah semua wanita. Ini adalah pendapat yang terpilih dan pendapat ulama salaf perlu dibawa kepada ”sesuatu yang dipandang baik”. [Imam Abu Abdullah Mohammad bin ’Umar bin al-Hasan bin Husain al-Taimiy al-Raaziy (Imam Fakhrud Diin Ar Raaziy, Mafaatiih al-Ghaib, juz 11, hal. 307]

Imam An Nasafiy dalam Tafsir An Nasafiy menyatakan:

أَوْ نِسَائِهِنَّ } أي الحرائر لأن مطلق هذا اللفظ يتناول الحرائر}

“[Au Nisaa`i hinna], yakni al-haraa’ir (wanita-wanita merdeka), disebabkan kemutlakan lafaz ini mencakup wanita-wanita merdeka”. [Imam An Nasaafiy, Tafsir An Nasafiy, juz 2, hal. 411]

Imam Asy Syaukaniy di dalam Kitab Fath al-Qadir menyatakan:
“Makna dari frasa (au nisaa`i hinna): adalah khusus bagi wanita-wanita yang memiliki pergaulan erat dengan wanita tersebut kerana hubungan al-khidmah (pertolongan: menjadi pembantu wanita itu) atau syubhah (persahabatan); termasuk ke dalam pengertian frasa ini adalah al-imaa’ (hamba wanita-wanita). Dan di luar dari makna frasa ini, wanita-wanita kafir dari golongan ahlu zimmah, dan wanita-wanita kafir lainnya. Tidak halal bagi wanita Muslimah menampakkan perhiasannya kepada mereka (wanita-wanita kafir), supaya wanita-wanita kafir itu tidak menceritakan aurat wanita Muslimah kepada kaum laki-laki. Dalam masalah ini terdapat perbezaan pendapat di kalangan ahli ilmu. Namun, menisbahkan (meng-idhafahkan) kepada ‘ilaihinna’ menunjukkan bahawa hal itu khusus untuk wanita-wanita Mukminat”.[Imam Asy Syaukaniy, Fath al-Qadiir, juz 5, hal. 209]

Imam Al Baghawiy di dalam Tafsir al-Baghawiy menyatakan:
“Firman Allah Subhanahu wa Taala [au nisaa`i hinna], maksudnya, sesungguhnya Allah membolehkan seorang wanita melihat badan wanita lain, selain antara pusat dan lutut, sebagaimana laki-laki yang menjadi mahram. Ketentuan ini dapat dikenakan jika wanita tersebut Muslimah. Namun jika wanita itu adalah wanita kafir, bolehkah seorang wanita Muslimah menampakkan auratnya di hadapan mereka (wanita kafir)? Ahli ilmu berselisih pendapat dalam masalah ini. Sebahagian mereka berpendapat, boleh sebagaimana bolehnya wanita Muslimah menampakkan auratnya di hadapan wanita Muslimah lainnya. Kerana, wanita kafir termasuk wanita (nisaa`i hinna). Sebahagian yang lain berpendapat tidak boleh. Sebab, Allah Subhanahu wa berfirman, ”Nisaa`i hinna” (wanita-wanita kami), sedangkan wanita kafir bukan termasuk wanita-wanita kami; dan selain itu mereka berbeza agama. Oleh kerana itu, wanita kafir justeru lebih jauh dibandingkan laki-laki asing. Umar bin Khaththab ra pernah mengirim surat kepada Abu ’Ubaidah bin Jarah untuk melarang wanita-wanita Ahlul Kitab masuk ke dalam permandian umum bersama wanita-wanita Muslimah”.[Imam Al Baghawi, Tafsir al-Baghawi, juz 6, hal. 35]

Imam Ibnu Katsir di dalam Tafsir Ibnu Katsir menyatakan:
“Firman Allah Subhanahu wa Taala [au nisaa`ihinna], maksudnya adalah, seorang wanita Muslimah juga dibolehkan menampakkan perhiasannya (auratnya) kepada wanita-wanita Muslimah, namun tidak boleh kepada ahlu zimmah (wanita-wanita kafir ahlu zimmah); agar wanita-wanita kafir itu tidak menceritakan aurat wanita-wanita Muslimah kepada suami-suami mereka. Walaupun hal ini mesti dihindari (mahdzuuran) pada semua wanita, akan tetapi kepada wanita ahlu zimmah lebih ditekankan lagi. Sesungguhnya tidak ada larangan mengenai masalah ini (menceritakan aurat wanita lain) bagi wanita ahlu zimmah. Adapun untuk wanita Muslimah, sesungguhnya, dia memahami bahawa hal ini (menceritakan aurat wanita lain kepada suaminya) adalah haram. Oleh kerana itu, hendaknya dia menjaga diri dari hal tersebut. Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam bersabda, ”Janganlah seorang wanita menampakkan auratnya di hadapan wanita lain, yang kemudian dia menceritakannya kepada suaminya, sehingga seakan-akan suaminya melihat aurat wanita itu”.[HR. Bukhari dan Muslim dari Ibnu Mas’uud]. [Imam Ibnu Katsir, Tafsir Ibnu Katsir, juz 6, hal. 48].

Selanjutnya Imam Ibnu Katsir mengetengahkan beberapa riwayat yang menyatakan bahawa Umar bin Khaththab radhiallahu anhu pernah berkirim surat kepada Abu ’Ubaidah radhiallahu anhu melarang wanita-wanita kafir masuk ke permandian-permandian umum bersama wanita Muslimah. Mujahid, dan Ibnu ’Abbas juga melarang wanita Muslimah menampakkan auratnya di hadapan wanita-wanita kafir. [Ibidem, juz 6, hal. 48]

Prof. Mohammad Ali As Saayis di dalam Kitab Tafsiir Ayaat al-Ahkaam menyatakan,

“Wanita Muslimah dibolehkan menampakkan sebahagian perhiasannya kepada wanita kafir, sebagaimana dia dibolehkan menampakkannya di hadapan wanita Muslimah. Ini adalah salah satu pendapat dari dua pendapat dari kalangan Hanafiyyah dan Syafi’iyyah. Imam Ghazali membenarkan pendapat ini dari ulama Syafi’iyyah dan Imam Abu Bakar Ibnu al-’Arabiy. Sedangkan ulama-ulama lain berpendapat bahawa yang dimaksudkan dengan ”nisaa`i hinna”, adalah khusus untuk wanita-wanita Mukminat. Oleh kerana ”idhafah” ditujukan untuk mengkhususkan; maksudnya khusus untuk wanita-wanita yang memiliki hubungan syubhah (persahabatan) dan ikhwah (persaudaraan) dalam agama. Dengan demikian, wanita Muslimah tidak boleh menampakkan sebahagian perhiasannya yang tertutup kepada wanita kafir. Pendapat ini disandarkan kepada majoriti ulama Syafi’iyyah. Abu Sa’ud berkata dari ulama Hanafiyyah, bahawa dia mensahihkan (membenarkan) dua pendapat ini di dalam mazhabnya”[Prof Mohammad Ali al-Saayis, Tafsiir Ayaat al-Ahkaam, hal. 164]

Demikianlah, para ulama telah berbeza pendapat mengenai hukum seorang wanita Muslimah menampakkan auratnya di hadapan wanita kafir. Lalu, pendapat mana yang rajih (kuat)?

Pendapat Yang Rajih
Pendapat yang rajih dalam masalah ini adalah pendapat yang dinyatakan oleh Imam Ibnu al-’Arabi, Imam Al-Ghazali, menyatakan bahawa seorang wanita Muslimah diperkenankan memperlihatkan atau terlihat auratnya di hadapan wanita kafir.

Ini adalah kerana dhamir (kata ganti) pada ayat ini berfungsi sebagai al ittibaa’ (untuk mengikuti) dan menggantikan kedudukan al-niswah atau al-nisaa’ (wanita). Syaikhul Mufassiriin, Imam Ibnu Al ’Arabiy menyatakan bahawa pada ayat di atas (surat An Nur:31) memiliki lebih dari 25 dhamir (kata ganti) yang di dalam al-Quran tidak diketahui apakah ia punya kesamaan. Oleh kerana itu, dhamir ini disebut kembali untuk tujuan “ittibaa”.

Selain itu, idhaafah pada frasa ”nisaa`i hinna” bukan ditujukan kepada penyeru maknawi (daa’ ma’nawi), akan tetapi ditujukan untuk penyeru lafdziy (daa’ lafdziy) untuk menjamin kefasihannya. Kes ini sama dengan dua dhamir (dua kata ganti) yang di-idhafah-kan kepada dua dhamirnya; seperti firman Allah Subhanahu wa Taala”

فَأَلْهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقْوَاهَا

”Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya”. [TMQ Asy Syams (91): 8].

Maksud ayat ini adalah; “alhamahaa al-fujuur wa al-taqway” (Allah mengilhamkan kefasikan dan ketakwaan”). Atas dasar itu peng-idhafah-an keduanya kepada dua dhamir untuk mengikuti (ittibaa’) dhamir-dhamir yang terdapat di awal surat tersebut, iaitu ”wasy syamsi wa dhuhahaa”. [TMQ Asy Syams (91):1]. Kes lain yang sama, terdapat dalam firman Allah SWT;
“(Kaum) Tsamud telah mendustakan (rasulnya) kerana mereka melampaui batas”. [TMQ Asy Syams (91): 11].

Maksud frasa “bithaghwaahaa” pada ayat ini adalah, ”bi al-thughway” atau ”al-thughyaani”. Oleh kerana itu, penyebutan dhamir Tsamud tidaklah perlu, akan tetapi, ia tetap disebutkan ”li muhsin al-muzaawijah” (memperelokkan pasangannya).

Adapun riwayat-riwayat yang diketengahkan para fuqaha seperti riwayat-riwayat berikut ini;

“Dari Ibnu ‘Abbas radhiallahu anhu : [au nisaa`ihinna], dia berkata, “Dia adalah wanita-wanita Muslimat yang tidak boleh menampakkan auratnya kepada wanita-wanita Yahudi dan Nasrani, yakni leher, anting-anting, dan, selempang, dan bahagian-bahagian yang tidak boleh dilihat kecuali mahramnya sahaja”.[HR Sa’id bin Manshuur, Ibnu Mundzir, dan Imam Baihaqi di dalam Sunannya]

“Sa’id meriwayatkan, “Jarir telah meriwayatkan kepada kami, dari Laits, dari Mujahid, bahawasanya dia berkata, “Janganlah seorang wanita Muslimah melepaskan tudung kepalanya di hadapan wanita musyrik. Sebab, Allah Subhanahu wa Taala berfirman, “au nisaa`ihinna”, dan wanita musyrik bukanlah termasuk “nisaa`ihinna”.

“Dari Makhuul dan ‘Ubadah bin Nusayyi dituturkan bahawasanya keduanya membenci jika seorang wanita Nasrani, Yahudi, atau Majusi mencium wanita Muslimah”.

“Dari Umar bin Khaththab radhiallahu anhu dituturkan bahawasanya dia pernah mengirim surat kepada Abu ’Ubaidah radhiallahu anhu, ”Amma ba’du. Sesungguhnya, telah sampai khabar kepadaku, bahawasanya ada sebahagian wanita Muslim masuk ke dalam permandian-permandian umum bersama dengan wanita Musyrik, laranglah orang-orang yang ada di bawah tanggungjawab mu dari hal itu. Sesungguhnya, tidak halal bagi seorang wanita yang beriman kepada Allah dan hari Akhir untuk dilihat auratnya, kecuali oleh wanita yang seagama”.[HR Ibnu Abi Syaibah, dan Ibnu Mundzir];

Sesungguhnya riwayat-riwayat seperti ini tidak absah digunakan sebagai hujah. Ini adalah kerana semua riwayat di atas mauquf tidak marfu’. [Mauquf adalah hadis yang sanadnya tidak sampai kepada Nabi manakala marfu’ adalah hadis yang sanadnya sampai kepada Nabi]. Sedangkan berhujah dengan hadis mauquf adalah tertolak sama-sekali. Ini bukan bermaksud bahawa hadis itu tertolak, tetapi berhujah dengannya (menjadikannya sebagai sumber hukum) adalah tertolak.

Dengan demikian, pendapat rajih dalam masalah ini adalah pendapat yang dinyatakan oleh Imam Ibnu al-’Arabi, dan ulama-ulama lain yang sejalan dengan pendapatnya.

Batasan Aurat Yang Boleh Dilihat
Pada dasarnya, Surah An Nur (24):31 tidak memberikan batasan yang tegas mana aurat wanita yang boleh terlihat di hadapan wanita-wanita kafir. Hanya saja, seorang wanita Muslimah mesti menjaga kehormatan dirinya dengan tidak membuka aurat yang tabu (seperti payudara, kemaluan, paha, dan lain sebagainya) di hadapan wanita-wanita kafir. Hendaklah dia mengenakan pakaian yang sopan dan tidak merendahkan maruah dirinya.

Jika seorang wanita berada dalam kehidupan umum, maka dia wajib menutup auratnya, dan mengenakan jilbab dan memakai tudung (khimar). Ini adalah kerana syariat telah mewajibkan wanita Muslim menutup aurat dan mengenakan pakaian Islami (jilbab dan khimar) di kehidupan umum; tanpa memandang lagi dengan siapa dia berinteraksi. Ketentuan ini adalah berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Taala:

“Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dada mereka.” [TMQ an-Nur (24):31]

Ayat ini mengandungi perintah dari Allah Subhanahu wa Taala agar wanita mengenakan khimar (tudung), yang dapat menutup kepala, leher, dan dada.

Imam Ibnu Mandzur di dalam kitab Lisaanal-’Arab menuturkan; al-khimaar li al-mar`ah: al-nashiif (khimar bagi perempuan adalah al-nashiif (penutup kepala). Ada pula yang menyatakan; khimar adalah kain penutup yang digunakan wanita untuk menutup kepalanya. Bentuk plural (jamak)nya adalah akhmirah, khumr atau khumur. [2]

Sedangkan perintah mengenakan jilbab disebutkan dengan sarih melalui firman Allah Subhanahu wa Taala;

“Hai Nabi katakanlah kepada isteri-isteri mu, anak-anak perempuan mu dan isteri-isteri orang mukmin: “Hendaklah mereka menghulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka”. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenali, kerana itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha pengampun lagi Maha penyayang”. [TMQ al-Ahzab (33):59]

Ayat ini merupakan perintah yang sangat jelas kepada wanita-wanita Mukminat untuk memakai jilbab. Adapun yang dimaksudkan dengan jilbab adalah milhafah (baju terus dari atas ke bawah seakan jubah) dan mula’ah (kain panjang yang tidak berjahit seakan selimut). Di dalam kamus al-Muhith dinyatakan, bahawa ‘jilbab’ itu seperti sirdaab (terowongan) atau sinmaar (lorong), yakni baju atau pakaian longgar bagi wanita selain baju kurung atau kain apa saja yang dapat menutup pakaian sehariannya seperti jubah.[Kamus al-Muhith].

Sedangkan dalam kamus al-Shahhah, al-Jauhari mengatakan, “jilbab adalah kain panjang dan longgar (milhafah) yang sering disebut dengan mula’ah (jubah).”[Kamus al-Shahhah, al-Jauhariy]

Selain wajib memakai tudung (khimar) dan jilbab, wanita Muslimah juga dilarang bertabarruj ketika berada di kehidupan umum. Tabarruj adalah bersolek yang berlebihan untuk memperlihatkan kecantikan dirinya. Allah Subhanahu wa Taala telah melarang tabarruj. Allah berfirman;

“Perempuan-perempuan tua yang telah berhenti haid dan kehamilan yang tidak ingin menikah lagi, tidaklah dosa atas mereka menanggalkan pakaian (luar) mereka tanpa bermaksud menampakkan perhiasannya (tabarruj).” [TMQ an-Nur (24):60]

Jika wanita tua dilarang untuk tabarruj, lebih-lebih lagi wanita yang belum tua dan masih mempunyai keinginan untuk menikah.

Imam Ibnu Mandzur, dalam Lisaan al-’Arab menyatakan, “Wa al-tabarruj : idzhaar al-mar`ah ziinatahaa wa mahaasinahaa li al-rijaal (tabarruj adalah menampakkan perhiasan dan anggota tubuh untuk menaruh perhiasan kepada lelaki-lelaki bukan mahram).”[3]

Inilah batasan-batasan yang mesti difahami oleh wanita Muslimah ketika dia berada dalam kehidupan umum.

Wallahu a’lam bi sawab.

________________________________________
[1] Imam Ibnu ‘Asyuur, al-Tahriir wa al-Tanwiir, juz 9, hal. 471; Imam Asy Syaukaniy, Fath al-Qadiir, juz 5, hal. 209; Imam al-Baghawiy, Tafsir al-Baghawiy, juz 6, hal. 35; Imam al-Mawardiy, al-Naktu wa al-‘Uyuun, juz 3, hal. 169; Imam al-Khazin, Lubaab al-Ta’wiil fi Ma’aaniy al-Tanziil, juz 4, hal. 500; dan sebagainya.
[2] Imam Ibnu Mandzur, Lisaan al-’Arab, juz 4/257
[3] Imam Ibnu Mandzur, Lisaan al-’Arab, juz 2/212; Tafsir Qurthubiy, juz 10/9; Imam al-Raaziy, Mukhtaar al-Shihaah, hal.46; Imam Syaukaniy, Fath al-Qadiir, juz 3/125; Imam Suyuthiy, Tafsir Jalalain, juz 1/554; al-Jashshash, Ahkaam al-Quran 2, juz 5/230; Imam al-Nasafiy, Tafsir al-Nasafiy, juz 3/305; Ruuh al-Ma’aaniy, juz 22/7-8; dan sebagainya.

Bilakah Mengumpat (Ghibah) dibenarkan?

Soalan :
Seringkali kita diperdengarkan tentang haramnya mengumpat atau bercerita tentang hal orang lain (ghibah). Namun begitu, apakah benar ghibah adalah haram untuk semua keadaan?

Jawapan :
Berdasarkan dalil-dalil berkenaan Ghibah, para ulama dan sebahagian besar mereka bersepakat bahawa secara umumnya mengumpat(Ghibah) adalah haram . Ghibah dibolehkan untuk tujuan yang sah mengikut syari’at, di mana ada permasalahan yang tidak dapat diselesaikan kecuali hanya dengan melakukan ghibah tersebut.

Ini adalah berdasarkan kepada perbuatan Rasulullah yang membenarkan dan tidak melarang Ghibah pada keadaan tertentu seperti yang disebutkan dalam dalil-dalil di bawah. Terdapat enam situasi yang membolehkan Ghibah dilakukan:

Pertama, mengadukan kezhaliman (at-tazhallum). Boleh bagi orang yang dizalimi untuk mengadukan kezaliman yang menimpa dirinya kepada penguasa, qadhi, atau yang memiliki kekuasaan hukuman ataupun pihak yang berwajib lainnya. Ia dapat menuntut keadilan ditegakkan, misalnya dengan mengatakan Si Fulan telah melakukan kezaliman terhadapku dengan cara seperti ini dan itu

Kedua, permintaan bagi membantu mencegah kemungkaran dan mengembalikan pelaku maksiat ke jalan yang benar (al isti’ânah ‘ala taghyîril munkar wa raddal ‘âshi ila ash shawâb). Seseorang itu boleh menceritakan kepada orang yang boleh diharapkan untuk mencegah kemungkaran dengan cara menerangkan si Fulan telah melakukan itu atau ini dan sekaligus menyelamatkan fulan tersebut dari kemaksiatan dan kemungkaran. Dengan kata lain, maksud penceritaan itu mesti menuju kepada terhapusnya suatu kemungkaran. Jika pengaduan itu tidak bertujuan untuk mencegah kemungkaran, maka hukumnya adalah haram.

Ketiga, permintaan fatwa (al istiftâ`). Misalnya, seseorang mengatakan kepada seorang mufti (pemberi fatwa), ayahku (atau saudaraku atau suamiku atau fulan) telah menzalimi aku dengan cara begini. Lalu apa yang harus aku lakukan padanya?; Bagaimana cara agar aku terlepas darinya, mendapatkan hakku, dan terlindung dari kezaliman itu? Atau apa sahaja pertanyaan yang seperti itu. Maka hukumnya boleh jika diperlukan. Tetapi lebih tepat dan lebih afdal jika ia mengatakan, bagaimana pendapat anda tentang orang atau seseorang, atau seorang suami yang telah melakukan hal seperti ini? Oleh itu, ia akan dapat memperoleh jawapan tanpa perlu menceritakan perinciannya iaitu tanpa perlu menyebut siapa orangnya dan sebagainya. Meskipun demikian, tetap dibolehkan untuk melakukan perincian (at ta’yîn), sebagaimana yang akan diceritakan di dalam hadits dari Hindun seperti di bawah nanti.

Keempat, mengingatkan kaum muslimin agar sentiasa berwaspada terhadap suatu keburukan dan menasihati mereka (tahdzîrul muslimîn min asy syarr wa nashîhatuhum). Terdapat beberapa situasi antaranya adalah ; menceritakan keburukan sifat orang yang memang perlu disebutkan keburukannya (jarhul majrûhîn) iaitu dari kalangan para perawi hadis dan saksi-saksi (di pengadilan, dsbnya). Hal ini dibolehkan menurut ijma’ kaum muslimin. Bahkan boleh menjadi wajib untuk suatu keperluan tertentu. Contoh lainnya adalah meminta pandangan atau pendapat (musyawarah) tentang seseorang calon suami/isteri yang bakal di nikahi (mushâharah), kerjasama, memutuskan kerjasama, mua’amalat dan lain sebagainya, atau tentang hubungan kejiranan. Maka wajib bagi orang yang dimintai pendapat itu untuk tidak menyembunyikan maklumat berkenaan orang yang ingin diketahui. Bahkan ia mesti menyebutkan sikap-sikap buruknya yang memang diniatkan untuk melakukan nasihat. Contoh lainnya lagi adalah jika seseorang melihat orang lain yang belajar agama pada orang yang berbuat bidaah atau orang fasik dengan niat untuk mendapatkan ilmu dari pelaku bidaah dan orang fasik tersebut, lalu dengan itu dikhuatiri ia akan mendapat kemudaratan, maka ia mesti menasihatinya dan memberikan penjelasan mengenai keadaan sebenarnya. Dengan syarat, dia benar-benar bermaksud untuk memberi nasihat. Hal ini berkemungkinan untuk terjadinya kekeliruan kerana kadangkala si pemberi nasihat memiliki rasa cemburu dan iri hati sehinggakan syaitan mencampuradukkan antara nasihat dan rasa cemburu dan iri hati. Syaitan menghadirkan bayangan padanya bahawa hal itu adalah nasihat dan akhirnya ia terjerumus dalam fitnah.

Hal ini merangkumi situasi di mana seseorang itu memiliki kekuasaan dan dia tidak melaksanakan tanggungjawab yang sepatutnya. Terdapat kemungkinan yang berlaku iaitu dia memang tidak layak atau fasiq mahupun lalai, atau yang sejenis dengannya. Maka, adalah wajib hal itu dilaporkan kepada orang atasan yang memiliki kekuasaan yang lebih tinggi daripadanya agar kelalaian itu dapat diatasi atau digantikan dengan orang yang lebih berkebolehan. Orang atasan tersebut mestilah mengambil pendekatan yang sesuai dengan keadaan orang yang lalai tersebut tanpa berlengah dan sepatutnya berusaha menasihati si pelaku kesalahan itu agar istiqamah ataupun menggantikannya dengan orang lain yang lebih amanah.

Kelima, seseorang yang memperlihatkan secara terang-terangan (al- mujâhir) kefasiqan atau perilaku bidaahnya seperti memperlihatkan perbuatan minum arak, merampas barangan, mengambil ufti( memberi wang, emas dan sebagainya kepada yang berkuasa), pengumpulan harta secara zalim, memimpin dengan sistem yang batil iaitu selain dari sistem Islam dan sebagainya. Maka ini boleh untuk disebutkan kerana perbuatan itu dilakukan secara terang-terangan (mujâharah). Namun bergitu, hal-hal lain yang merupakan aib yang disembunyikan tidak boleh untuk diceritakan melainkan tujuannya adalah seperti yang telah disebutkan sebelum ini.

Keenam, panggilan nama atau gelaran(at-ta’rîf). Jika seseorang itu telah dikenali dengan nama laqab (panggilan atau gelaran) seperti al-A’masy (Si Mata Rabun) atau al-A’raj (Si Tempang), atau al- Ashamm (Si Pekak), al-A’maa (Si Buta), al-Ahwal (Si Juling), dan sebagainya maka mereka boleh digelar dengan panggilan tersebut namun diharamkan untuk menyebut kekurangannya yang lain. Akan tetapi adalah lebih baik sekiranya gelaran-gelaran ini tidak di gunakan untuk memanggil seseorang dan dihindari dari di gunakan.

Inilah enam sebab yang disebutkan oleh para ulama dan disepakati oleh sebahagian besar mereka. Berikut adalah di antara dalil-dalil yang menunjukkan bahawa perbuatan mengumpat/ghibah di dalam keadaan seperti di nyatakan di atas adalah di bolehkan:

عن عائشة رضي الله عنها أن رجلا استأذن على النبي صلى الله عليه وسلم فقال‏:‏ “ائذنوا له، بئس أخو العشيرة‏؟‏ ‏”‏ ‏(‏‏(‏متفق عليه‏)‏‏)‏‏.‏

Dari Aisyah radhiallahu anha bahwa seseorang meminta izin pada Nabi Sallallahu Alaihi wa Sallam, lalu beliau berkata: izinkanlah ia, seburuk-buruk saudara suatu kabilah. [Muttafaq Alaih]
Al Bukhari berhujjah dengan hadis ini mengenai kebolehan berghibah terhadap ahlul fasad (pembuat kerosakan) dan ahlu ar rayb (menciptakan keraguan).

وعنها قالت‏:‏ قال رسول الله صلى الله عليه وسلم‏:‏ ‏”‏ما أظن فلانًا وفلانًا يعرفان من ديننا شيئًا‏”‏ ‏(‏‏(‏رواه البخاري‏)‏‏)‏‏.‏ قال الليث بن سعد أحد رواة هذا الحديث‏:‏ هذان الرجلان كانا من المنافقين

Dan masih dari Aisyah, ia berkata: Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda, aku melihat si fulan dan si fulan tidaklah mengetahui sedikitpun dari perkara agama kami. [HR al Bukhari]. Al Layts ibn Sa’ad—salah seorang perawi hadits ini—berkata: kedua orang yang disebut di sini adalah orang munafiq.

وعن فاطمة بنت قيس رضي الله عنها قالت‏:‏ أتيت النبي صلى الله عليه وسلم، فقلت‏:‏ إن أبا الجهم ومعاوية خطباني‏؟‏ فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم‏:‏‏”‏أما معاوية،
فصعلوك لا مال له ، وأما أبوالجهم، فلا يضع العصا عن عاتقه‏”‏ ‏(‏‏(‏متفق عليه‏)‏‏)‏

Dari Fathimah binti Qays radhiallahu anha, ia berkata: aku mendatangi Nabi Sallallahu Alaihi wa sallam lalu aku berkata, sesungguhnya Abul Jahm dan Mu’awiyah telah mengkhitbahku. Lalu Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam berkata, adapun Mu’awiyah adalah orang fakir, ia tidak mempunyai harta. Adapun Abul Jahm, ia tidak pernah meletakkan tongkat dari bahunya. [Muttafaq alaih]

Dan dalam riwayat Muslim, haditsnya berbunyi:


‏”‏وأما أبو الجهم فضراب للنساء‏”‏
Adapun Abul Jahm ia suka memukul wanita.

Ini merupakan penjelasan dari riwayat sebelumnya yang mengatakan ia tidak pernah meletakkan tongkat dari bahunya. Juga dikatakan bahwa makna ia tidak pernah meletakkan tongkat dari bahunya adalah katsiirul asfaar, yakni banyak bepergian atau merantau.

وعن زيد بن أرقم رضي الله عنه قال‏:‏ خرجنا مع رسول الله صلى الله عليه وسلم في سفر أصاب الناس فيه شدة، فقال عبد الله بن أبي‏:‏ لا تنفقوا على من عند رسول الله حتى ينفضوا وقال‏:‏ لئن رجعنا إلى المدينة ليخرجن الأعز منها الأذل فأتيت رسول الله صلى الله عليه وسلم، فأخبرته بذلك، فأرسل إلى عبد الله بن أبي ، فاجتهد يمينه‏:‏ ما فعل، فقالوا‏:‏ كذب زيد رسول الله صلى الله عليه وسلم فوقع في نفسي مما قالوا شدة حتى أنزل الله تعالى تصديقي ‏{‏إذا جاءك المنافقون‏}‏ ثم دعاهم النبي صلى الله عليه وسلم، ليستغفر لهم فلووا رءوسهم‏.‏ ‏(‏‏(‏متفق عليه‏)‏‏)

Dari Zaid bin Arqam radhiallahu anhu, ia berkata: "kami pernah keluar bersama Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam dalam sebuah perjalanan di mana orang-orang ditimpa kesusahan. Lalu Abdullah bin Ubay berkata, jangan engkau memberi infaq kepada orang-orang yang bersama Rasulullah supaya mereka bersurai meninggalkan Rasulullah.. Lalu ia berkata lagi, “sesungguhnya jika kita telah kembali ke Madinah, pastilah orang yang kuat akan mengusir orang-orang yang lemah dari sana”. Kemudian aku mendatangi Rasulullah Sallallahu Alaihi wa sallam, lalu aku menceritakan hal tadi, maka beliau mengutus kepada Abdullah bin Ubay, namun ia bersumpah bahwa ia tidak melakukannya. Lalu orang-orang mengatakan¸ “Zaid telah membohongi Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam”. Lalu beliau(Sallallahu alaihi wa Sallam) mencelaku dengan keras atas apa yang orang-orang katakan hingga Allah Subhanahu wa Taala menurunkan apa yang dapat membenarkanku “apa bila datang orang-orang munafiq” (TMQ Al Munaafiquun:1). Kemudian Nabi SAW memanggil mereka untuk memintakan ampun bagi mereka, tapi mereka memalingkan wajah mereka." [Muttafaq alaih]

وعن عائشة رضي الله عنها قالت‏:‏ قالت هند امرأة أبي سفيان للنبي صلى الله عليه وسلم ‏:‏ إن أبا سفيان رجل شحيح وليس يعطيني ما يكفيني وولدي إلا ما أخذت منه، وهو لا يعلم‏؟‏ قال‏:‏ ‏”‏خذي ما يكفيك وولدك بالمعروف‏”‏ ‏(‏‏(‏متفق عليه‏)‏‏)‏

Dari Aisyah radhiallahu anha, ia berkata: Hindun isteri Abu Sufyan berkata kepada Nabi Sallallahu Alaihi wa Sallam, “Sesungguhnya Abu Sufyan adalah seorang laki-laki yang pelik, ia tidak memberikan kepadaku apa yang mencukupi aku dan anakku kecuali apa yang aku ambil secara diam-diam tanpa pengetahuannya”. Lalu Nabi Sallahu Alaihi wa Sallam berkata “Ambillah apa yang mencukupimu dan anak-anakmu dengan cara yang baik (bil ma’ruf)” [Muttafaq Alaih]

Dipetik dari sini.

Hukum Wanita Belajar Memandu Tanpa Mahram

Soalan:
Adakah seorang wanita dibolehkan belajar memandu bersama dengan guru memandunya jika dia bersendirian tanpa seorang Mahram atau suaminya, memandangkan kereta latihan memandu itu adalah sebuah kenderaan umum dan bukan kenderaan persendirian yang memerlukan seorang Mahram? Adakah guru memandu itu melakukan dosa jika dia mengajar seorang wanita yang datang kepadanya tanpa seorang Mahram ataupun suami?

Jawapan:
Memang benar bahawa kereta yang digunakan untuk latihan memandu itu adalah sebuah kenderaan umum dan bukan kereta persendirian, tetapi, tanggungjawab disini adalah kehadiran suami atau seorang Mahram bersama wanita tersebut kerana jika dia tidak berbuat demikian, maka dia telah melakukan dosa, malah guru memandu itu juga turut melakukan dosa jika dia mengajar wanita tersebut tanpa berserta Mahramnya.

Penerangannya adalah seperti berikut:
1. Allah Subhanahu wa ta’ala membenarkan wanita melakukan beberapa urusan didalam kehidupan umum: Wajib (الوجوب), lebih baik dilakukan (الندب) dan yang dibenarkan (الإباحة) supaya wanita boleh melakukan urusan-urusannya didalam kehidupan umumnya seperti yang dikehendaki.

Urusan-urusan ini terbahagi kepada dua bahagian:

Pertama adalah urusan yang tidak memerlukan pergaulan (Ijtima’) diantara laki-laki dan perempuan bersama-sama atau hubungan sosial (khultah) diantara mereka. (Khultah atau hubungan sosial bermaksud bergaul dan bercakap-cakap bersama).
Contohnya adalah seperti berjalan dijalan-jalan, pergi ke masjid, pergi ke taman awam…dan perkara-perkara yang seumpamanya. Wanita tidak dibolehkan untuk bercampur dengan lelaki ketika melakukan urusan – urusan tersebut, kerana hukum asalnya didalam Islam adalah terpisah / berasingan seperti yang dinyatakan didalam hukum yang berkaitan lelaki dan perempuan, dan dengan syarat mengikut apa yang telah Syari’ah benarkan keatas wanita yang tidak memerlukan hubungan sosial (khultah) dan pergaulan (Ijtima’), hukumnya tetap seperti itu. Ini bererti bahawa wanita boleh berjalan dijalan – jalan, pergi ke masjid, atau melawat keluarganya atau pergi ke taman sama ada berjalan atau menaiki kenderaan (dengan syarat tidak melebih jarak yang memerlukan seorang Mahram). Dia boleh melakukan kesemuanya itu tanpa hubungan sosial (Khultah) dengan lelaki asing, iaitu tidak bergaul dan bercakap-cakap bersama-sama. Dia boleh menaiki bas tanpa bercakap – cakap dengan lelaki asing yang duduk disebelahnya, dia boleh memasuki taman dan berjalan-jalan didalamnya tanpa Khultah,didalam perkara-perkara umum seperti ini seorang wanita tidak memerlukan seorang Mahram bersamanya, juga tidak diperlukan laluan berasingan untuk lelaki dan wanita didalam taman, atau jalan – jalan khas yang berasingan didalam bandar untuk lelaki dan wanita. Disana, laluan dan jalan-jalan yang sama digunakan tetapi tanpa Khultah, seperti yang diterangkan diatas.
Oleh yang demikian, didalam mengerjakan segala urusan yang dibenarkan oleh Syari’ah keatas wanita, tidak diperlukan pergaulan (Ijtima’) diantara laki-laki dan perempuan.

Kedua adalah melakukan urusan yang memerlukan pergaulan (Ijtima’) diantara laki-laki dan wanita. Contohnya adalah seperti berjual – beli, menyewa, rawatan perubatan, merawat orang sakit, pembelajaran dan pengajaran, memberi kuliah sains am, mencari modal untuk pertanian atau perindustrian. Hukum – hukum yang khusus telah ditetapkan didalam batas-batas Syari’ah untuk mengatur pergaulan diantara laki-laki dan wanita ketika berurusan didalam hal- hal tersebut dalam kehidupan. Bersembahyang didalam masjid memerlukan pergaulan (Ijtima’) diantara laki-laki dan wanita. Oleh itu, ada hukum yang khusus dimana baris lelaki terpisah dari wanita, iaitu lelaki dibaris hadapan dan wanita di baris yang belakang, tanpa memerlukan seorang Mahram diantara yang bersembahyang.

Melakukan ibadah haji juga memerlukan Ijtima’ diantara lelaki dan wanita tanpa barisan yang terpisah. Oleh itu, maka ada hukum yang khusus hanya untuk ibadah haji bagi kedua-dua lelaki dan wanita. Ketika melakukan rawatan perubatan atau merawat orang sakit, ada sesetengah perkara memerlukan Ijtima’ diantara lelaki dan perempuan. Oleh itu ada hukum yang khusus dimana dibenarkan melihat bahagian yang sakit, walaupun bahagian yang sulit, dan sebagainya.

2. Mengajar memandu memerlukan kehadiran laki-laki dan perempuan untuk pembelajaran, kerana tidak mungkin ada guru wanita untuk wanita dan guru lelaki untuk lelaki. Oleh itu, perkara ini ada hukumnya yang khusus.

Apabila meneliti realiti belajar memandu ini, jelas didapati bahawa:
Pada hakikatnya, mengajar memandu didalam kereta adalah terhad kepada guru dan pelajar yang bertujuan untuk mengajar individu tertentu bukan satu kumpulan. Tujuan khusus untuk lelaki dan perempuan itu bertemu adalah terhad kepada mereka berdua sahaja, dan tidak seperti dimasjid atau kuliah umum, dimana tujuan mereka bertemu melibatkan bilangan yang ramai,maka tidak terdapat perbuatan khalwat disitu, masalahnya hanyalah baris untuk laki- laki dan wanita. Oleh yang demikian, keterangan datang untuk memisahkan barisan tanpa mengambil kira khalwat dan Mahram. Manakala, didalam hal belajar memandu, didalam kereta menghimpunkan dua orang, lelaki dan perempuan, iaitu guru memandu dan pelajar yang ingin belajar memandu. Oleh itu, kemungkinan terdapat perbuatan khalwat disitu kerana peraturannya memerlukan mengajar memandu dipelbagai jalan yang berlainan. Selain dari itu, terdapat juga hubungan sosial (Khultah) kerana berjumpa dan bercakap-cakap ketika belajar memandu. Oleh yang demikian, khalwat hendaklah dielakkan dan bersosial hendaklah dihadkan kepada tujuan untuk mengajar memandu. Ini boleh dilakukan dengan disertai oleh seorang Mahram kerana Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda:
لا يخلون رجل بامرأة إلا ومعها ذو محرم
“Seorang laki-laki tidak dibolehkan duduk berkahlwat dengan seorang perempuan tanpa Mahramnya” seperti yang diriwayatkan oleh Muslim.

Suami atau Mahram pelajar tersebut perlu berada didalam kenderaan ketika beliau belajar memandu. Jika tidak, dia akan melakukan dosa, malah, guru memandu yang mengajarnya turut melakukan dosa kerana ketidakhadiran seorang Mahram atau suaminya.

Perlu juga diberi perhatian bahawa wanita perlu menutup auratnya sepanjang masa ditempat-tempat umum mengikut pakaian yang telah ditetapkan oleh Syariah iaitu jilbab dan khimar mengikut batas-batas Syariah.


Sheikh Ata ibn Khaleel al –Rashta
Sumber: Islamic Revival

Dipetik dari sini

Monday, October 5, 2009

Adab Tidur Rasulullah Amalan Menyihatkan

Soalan:
SAYA pernah mendengar bahawa tidur di dalam keadaan meniarap adalah amalan syaitan. Selain itu, dari segi saintifik juga, saya juga membaca bahawa tidur di dalam keadaan ini tidak baik untuk kesihatan. Namun, apa yang menjadi persoalan ialah ibu saya berkata yang tidur seperti ini baik untuk seorang bayi. Apa pandangan ustaz?


Insan Cetek Pengetahuan,
Klang, Selangor.


Jawapan:
Tidur dianggap sebagai ibadat seorang hamba kepada Penciptanya, sekiranya seseorang itu tidur mengikut sunnah Rasulullah SAW.


Bagi memperjelaskan soalan anda, eloklah jika kita dapat melihat gambaran sunnah Nabi SAW dan adab-adab tidur seperti yang dikemukakan dalam kitab Syamail Muhammad SAW.




Antara hadis yang menerangkan adab tidur Nabi SAW adalah sebuah hadis riwayat Bukhari dan Muslim bermaksud: "Jika kamu akan tidur maka berwuduklah bagaikan kamu akan sembahyang, kemudian berbaring atas pinggang kanan dan bacalah doa ini (seperti doa yang dijelaskan selepas ini) dan jadikanlah bacaan doa itu yang terakhir daripada bacaanmu (perkataanmu)."


Dalam sebuah hadis diterangkan: Al-Barra' bin Azib berkata: "Adalah Rasulullah SAW jika akan tidur, mengiring ke sebelah kanan kemudian Baginda membaca: Maksudnya: "Ya Allah aku serahkan diriku kepada-Mu dan menghadapkan mukaku kepada-Mu dan menyerahkan semua urusanku kepada-Mu dan menyandarkan belakangku kepada-Mu kerana mengharap dan takut kepada-Mu, tiada perlindungan dan tiada tempat selamat daripada seksa-Mu kecuali kembali kepada-Mu. Aku beriman kepada kitab yang Engkau turunkan dan Nabi yang telah Engkau utus."  (Hadis riwayat Bukhari).


Dalam riwayat yang berasingan yang turut diriwayatkan oleh Al-Bara' bin 'Azib, beliau berkata: "Se sungguhnya Nabi SAW apabila berbaring di tempat tidurnya, Baginda akan meletakkan telapak tangannya yang kanan di bawah pipinya yang kanan, lalu berdoa: "Rabbi qinii 'adzaabaka yawma tab'atsu 'ibaadaka (Ya Tu hanku, peliharalah aku dari azab-Mu pada hari Kau bangkitkan seluruh hamba-Mu)."  (HR. At-Tirmidzi).


Hudzaifah pula meriwayatkan: "Apabila Rasulullah SAW berbaring di tempat tidurnya, maka Baginda berdoa: "Allahumma bismika amuutu wa ahyaa (Ya Allah, dengan Asma-Mu aku mati dan aku hidup)." Dan jika bangun dari tidurnya beliau berdoa: "Alhamdu lillaahill adzii ahyaanaa ba'da maa amaatanaa wa ilayhin-nu syuur (Segala puji bagi Allah, yang telah menghidup kan aku kembali setelah mematikan aku, dan kepada- Nya tempat kembali)." (HR. At-Tirmidzi).


Menurut Ummul Mukminin Aisya, yang berkata: "Apabila Rasulullah SAW berbaring di tempat tidurnya, Baginda akan menghimpunkan kedua-dua telapak tangannya, lalu meniup kedua-duanya dan dibaca pada kedua-duanya surat Al-Ikhlash, Al-Falaq, dan An-Naas. Kemudian disapunya seluruh badan yang dapat disapunya dengan kedua-dua tangannya. Baginda memulakan dari kepalanya, mukanya dan bahagian depan badannya. Beliau melakukannya sebanyak tiga kali."  (HR. At- Tirmidzi , lihat Kitab Sya mail Muhammad cetakan Telaga Biru, halaman 167-168).


Walaupun kita digalakkan mendahulukan posisi tidur di atas sisi sebelah kanan (rusuk kanan) dan berbantal dengan tangan kanan, namun tidaklah menjadi masalah apabila berubah posisinya ke sebelah sisi kiri. Perkara ini berdasarkan sabda Rasulullah: "Berbaringlah di atas rusuk sebelah kananmu."  (HR. Al-Bukhari dan Muslim).


Arahan Nabi dalam hadis ini bukanlah merujuk kepada suatu yang wajib kerana dalam kesempatan yang lain Rasulullah SAW juga pernah mengubah kedudukan tidur Baginda. Dalam hadis yang sahih ini, Rasulullah sudah melakukan tidur secara terlentang dengan cara meletakkan satu kaki di atas yang lain sebagai mana maksud hadis: "Daripada 'Abbad bin Tamim, daripada bapa saudaranya, bahawasanya Rasulullah SAW tidur terlentang di masjid sambil meletakkan satu kaki di atas yang lain."  (Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim).


Berkaitan dengan tidur telungkup pula ada sebuah hadis yang merujuk kepada tegahan Nabi SAW. Hadis ini bermaksud : "Tidak dibenarkan telungkup dengan posisi perut sebagai tumpuannya sama ada ketika tidur malam atau pun tidur siang. "Sesungguhnya (posisi tidur telungkup) seperti itu adalah posisi tidur yang dimurkai Allah Azza Wa Jalla." (HR. Abu Daud dengan sanad yang sahih).


Sebagai tambahan, satu huraian lanjut yang bermanfaat untuk diketahui oleh setiap Muslim, ada beberapa lagi adab yang dituntut amalannya sebelum tidur agar tidur itu menjadi ibadat di sisi Allah SWT.


Ini disebabkan tidur adalah aktiviti harian yang tidak khusus kepada anak-anak. Menurut Ab Aziz bin Fathi as-Sayyid Nada dalam Kitab Ensiklopedia Adab Islam, antara adab tidur yang menjadi amalan Nabi SAW dan salafussoleh ialah:


# Mengikhlaskan niat supaya tidur itu untuk memberi kekuatan untuk beramal selepas bangkit kelak.


# Tidak tidur di tempat terbuka yang mudah dilihat manusia.


# Elakkan tidur sewaktu kekenyangan.


# Tidur dalam keadaan suci.


# Tidur dalam keadaan berwuduk.


# Membaca surah dan ayat yang menjadi amalan Nabi SAW sebelum tidur.


# Bercelak dengan celak. Ini berdasarkan hadis yang yang bermaksud: Hendaklah kamu tidur dengan bercelak kerana ia dapat mencerahkan pandangan dan melebatkan bulu mata.  (Riwayat al-Tirmizi, Ibn Majah dan al- Hakim).


# Mengerjakan solat sunat seperti witir sebelum tidur. Ini adalah berpandukan ke pada hadis riwayat Ahmad yang bermaksud: "Orang yang tidak tidur sehingga dia mengerjakan solat witir adalah orang yang bertekad kuat.


# Mengibas tempat pembaringan dengan hujung kain dan mengucapkan Bismillah seperti riwayat al-Tir mizi.


# Bersiwak atau bersugi ketika bangun pada malam hari seperti yang diriwayatkan dari Ibn Adiy.


Sebagai kesimpulannya ada beberapa amalan yang wajar dilakukan bagi menjadikan tidur kita sebagai sumber kerehatan dan sebab mendapat reda-Nya. Manakala posisi tidur yang digalakkan berpandukan kepada hadis adalah di atas dada bahagian kanan. Kemudian perubahan yang berlaku dalam posisi selepas itu tidaklah menjadi masalah selagi tidak berkeadaan telungkup. Wallahu a'lam.

Dipetik dari Berita Harian 10/2009