Santapan Rohani


Random Hadith Widget

Thursday, April 21, 2011

Luahan Rasa : Kawal Perasaan Amarahmu


Sifat pemarah itu berasal daripada sifat sombong (ego). Lagi besar ego seseorang lagi besar marahnya. Ini berkaitan pula dengan kedudukan seseorang. Kalau tinggi kedudukan seseorang, besar pangkatnya, banyak hartanya, ramai pengikutnya, maka akan tinggilah ego seseorang dan akan menjadi-jadilah pemarahnya. Sebaliknya jikalau kurang segalanya, maka akan kuranglah egonya dan akan kurang jugalah pemarahnya.


Setiap kelemahan dan kesilapan manusia adalah ujian untuk kita. Allah mahu melihat bagaimana sabarnya kita dan malunya kita kepada Allah dengan mengucapkan " Inna lillahi wainna lillahi raji'un".

Sebagai manusia kita takkan pernah lari dari perasaan marah ini. 


Pernahkah kita marah kepada seseorang? 


Pernahkah kita marah kepada ahli keluarga kita, adik beradik kita, ibu bapa kita, ataupun sahabat kita? 


Pada pendapat anda, apakah yang akan terjadi jika kita tidak pandai mengawal perasaan marah ini..? 


Apabila anda marah kepada seseorang itu, apakah yang anda akan lakukan?


Adakah anda akan menjaga perasaan mereka apabila perasaan anda berada di puncak tertinggi?


Pernah ditanya Ahnaf bin Qais, bagaimana dia boleh mengekalkan sifatnya yang lemah lembut itu. Ahnaf menjawab : " Aku belajar dengan Qais bin Asim iaitu pada satu hari sedang berehat-rehat, masuk hambanya membawa panggang besi yang berisi daging panggang yang masih panas. Belum sempat daging itu diletakkan dihadapan Qias, tanpa sengaja besi pemanggang yang panas itu jatuh terkena anak kecil Qais. Menjerit-jeritlah si anak, kesakitan dan kepanasan sehingga meninggal dunia. Qais yang melihat peristiwa itu dengan tenang berkata kepada hambanya yang sedang pucat dan menunggu hukuman " Aku bukan sahaja tidak marah kepada kamu tetapi muali hari ini aku akan membebaskan kamu." Begitulah sopan santunnya dan pemaafnya Qais bin Asim" Kata Ahnaf mengakhiri ceritanya.

Bukannya Qais tidak menyayangi anaknya tetapi Qais memandang segala kejadian itu adalah dari Allah. Jikalau dia bertindak memarahi hambanya, maka hakikatnya dia memarahi Allah. Dia redha dengan ujian yang ditimpakan kepadanya. Tidak ada di dalam kamus hidupnya perkataan kalau atau barangkali. Hatinya tidak terasa dia " tuan" kerana apa yang ada padanya dirasakan amanah dari Allah. Yang bila sampai ketikanya Allah akan ambil kembali.

Kita mesti ubati hati kita. Kita kita mesti membuangkan rasa rasa "ketuanan"

kita yang menyebabkan kita menjadi pemarah dengan melakukan mujahadatun nafsi. Di antara langkah yang perlu kita hadapi untuk menghilangkan marah ialah :

a) Mula-mula kita perlu malu dengan Allah s. w. t akan segala tindak-tanduk kita. Allah memerhatikan segala perlakuan dan sikap biadab kita.

b) Bila datang rasa hendak marah, ingatlah kita ini hanyalah manusia yang hina.


c) Banyakkan berdiam diri dan berdoa kepada Allah agar Allah selamatkan kita daripada sifat marah.

d) Hendaklah ingat kesan daripada sifat marah itu mungkin akan membawa kepada permusuhan dan pembalasan dendam dari orang yang anda marahi.

e) Cuba bayangkan betapa buruknya rupa kita ketika kita sedang marah. Ianya lebih buruk daripada perlakuan seekor binatang jikalau anda di dalam keadaan yang marah.

f) Apabila datang marah, banyakkan baca Ta'awwuz ( A'uzubillahi minas Syaitanirrajim ) kerana marah itu datangnya daripada syaitan.

g) Apabila marah sedang memuncak, ambil wudhu kerana wudhu dapat menenangkan api kemarahan yang sedang membara.

h) Jikalau tidak boleh hilang marah dengan hal tersebut di atas, hendaklah tidur. Kerana ianya akan meredakan perasaan marah apabila bangkit daripada tidur

i) Tauhid kita perlu tepat. Setiap sesuatu itu datangnya dari Allah dan akan kembali kepada Allah. Kenapa kita perlu marah. Kalau kita bersalah, kita tidak suka orang memarahi kita. Maka begitulah orang lain yang melakukan kesilapan, juga tidak suka dimarahi. Tegurlah dengan lemah lembut dan kasih sayang.

Satu cara lagi, apabila datangnya marah, sedangkan anda berdiri, maka duduklah, sekiranya duduk, maka bersandarlah, Insha Allah kemarahan akan mulai reda.

Apapun perasaan marah itu adalah fitrah yang ada pada setiap manusia. Ana sendiri tidak pernah lari dari perasaan ini. Tetapi perasaan ini juga harus dikawal dengan baik. Ana sendiri pernah memarahi dan pernah dimarahi. Pernah kita lihat orang yang sedang marah akan menuduh seseorang, mengata, mamaki hamun dan lain-lain. Pada ketika itu apakah perasaan mereka yang dikata oleh kita yang sedang marah? 



Apabila marah, janganlah kita memalukan dia dengan memarahi dan memaki hamun si dia di hadapan orang lain. Kita juga harus berfikir, orang lain juga pernah marahkan kita. Adakah kita sanggup jika orang yang memarahi kita itu memaki kita di hadapan orang lain? 


Teringat ana akan ayah ana yang marah dengan ana kerana kesalahan yang ana lakukan. Waktu itu ramai orang, ayah ana diam sahaja tanpa berkata apa-apa. Apabila orang ramai pulang, barulah ana dimarahi ayah ana tadi.

Jika dia melakukan kesalahan, bertanyalah dahulu sebab dia melakukan perbuatan tersebut? Jangan terus bertindak terburu-buru. Contohnya jika sahabat yang kita kenal bertahun-tahun, tiba-tiba mencuri duit kita. Jika diikutkan nafsu, pasti persahabatan yang terbina bertahun-tahun musnah begitu sahaja. Pernahkah kita terfikir, setelah bertahun-tahun kita bersahabat, mengapa baru waktu itu dia mencuri? Sebaiknya tanyalah dahulu sebab dia melakukan perbuatan tersebut. Bila alasan yang diberi munasabah, berbincanglah dengan sebaiknya. 

Apabila kita marah dengan orang yang rapat dengan kita pula, fikirkanlah semua kebaikan yang pernah dia lakukan pada kita. Yang selalu ana lihat ialah apabila kita marah seseorang, kita akan lupa semua kebaikan yang pernah dia lakukan pada kita. Begitu juga dengan orang yang baik, bila sekali kesilapan dilakukan dia terus dipandang rendah. Cubalah fikirkan, adakah berbaloi perasaan marah yang tidak dikawal sebegitu?

Bila kemarahan membuak-buak dan tidak ditahan dengan fikiran dan akal, ketika itu perasaannya sama dengan api yang membakar, darah naik laksana wap, memenuhi otak, sehingga gelap menyelubungi hati sehingga kita tidak sanggup berfikir. Ketika itu akan hilanglah pertimbangan, akal tertutup, fikiran terganggu dan banyak lagi kesan akibat kemarahan.



Buat Orang Yang Dimarahi


Seharusnya anda juga perlu mengetahui, orang yang memarahi itu juga manusia. sama seperti kita yang pastinya pernah juga memarahi. Sebaiknya apabila anda dimarahi, berdiamlah dahulu sehingga orang yang memarahi itu reda. Tidak kira anda di pihak yang benar atau salah. Beri peluang kepada mereka untuk meluahkan perasaan mereka kepada anda. Setelah mereka reda perasaan mereka, cubalah bercakap kepada mereka dengan baik.


Sabar juga perlu apabila berhadapan dengan orang yang sedang marah. Bukankah sabar itu separuh daripada iman?

Ketika berhadapan dengan orang yang sedang marah, jangan menyampuk dan merendahkannya.


Kaji punca kemarahannya dan cuba atasi. Sekiranya berpunca daripada kesilapan kita, mintalah maaf daripadanya.


Cubalah bertanya beberapa soalan bagi membantu menyelesaikan masalahnya. Terima kemarahannya dengan tenang.




Perbanyakkanlah.. doa dan beristighfar, itulah senjata orang2 mukmin.
Wassalam

2 comments: