Santapan Rohani


Random Hadith Widget

Saturday, May 18, 2013

Manisnya Kahwin Muda : Hilal Ashraf dan Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani



Alhamdulillah, berkesempatan ke Universiti Sains Malaysia (USM) untuk mendengar ceramah bertajuk “Manisnya Kahwin Muda” yang disampaikan oleh saudara Hilal Ashraf dan Ustaz Ahmad Dusuki, seorang penceramah bebas di Malaysia.
Banyak info dan maklumat yang menarik dapat ana ambil. Di ruangan ini, ingin ana berkongsi secebis ilmu yang telah ana dapat di sini.

Pertamanya tentang pengalaman dan ilmu orang muda yang dikatakan sedikit berbanding orang yang lebih tua. Sebenarnya tidak timbul isu itu. Pengalaman dan ilmu bukan diukur pada usia. Analogi yang telah diberikan, seorang kanak-kanak yang berusia 12 tahun telah diajar untuk memandu kereta manual, sudah tentanu ilmu dan pengalaman kanak-kanak ini lebih banyak berbanding orang tua yang berusia 50 tahun yang tidak pernah memandu. 

Begitu juga orang tua yang hanya tinggal di kampung dan tidak pernah merantau ke luar berbanding orang muda yang sudah mula merantau ke tempat orang, ke luar negara dan sebagainya. Sudah tentu pengalaman orang muda ini lebih banyak daripada orang tua tadi yang hanya tinggal di kampung dan tidak pernah keluar dari masyarakatnya.

Selain itu definisi cinta yang diberi dan diperbetulkan oleh saudara Hilal Ashraf, cinta itu adalah sesuatu yang membawa ke Syurga. Apa-apa sahaja cinta yang membawa ke neraka, itu bukanlah cinta namanya. Contoh apabila kita berkata kita sayangkan seseorang tu bahawa kita menyayanginya. Andai sejuta kali kita berkata begitu dan kemudian kita menolak dia ke dalam api, apalah maknanya ungkapan cinta yang telah kita ungkapkan tadi.

Oleh itu tak perlulah ber’couple’ kerana dengan ‘couple’ itu hanya menambahkan dosa tetapi mulakan hubungan itu dengan ikatan pertunangan. Hal ini kerana, dengan ikatan pertunangan sahaja sudah mampu membuahkan pahala kerana pertunangan itu merupakan salah satu cara dalam agama Islam. Bila kita ber’couple’ ini bermakna kita telah menyentap buah yang masih belum masak. Namun hubungan sepanjang tempoh itu juga perlulah dijaga.




Antara masalah anak muda sekarang ialah tiada sokongan ibu bapa apabila menyuarakan hasrat untuk bernikah. Antara punca kepada masalah ini adalah daripada diri kita sendiri kerana kurangnya komunikasi dengan ibubapa sejak daripada awal. Apabila ingin bernikah, baru mencari ibu bapa. Sudah tentu ibu bapa itu terkejut apabila kita yang tidak banyak berkomunikasi, tiba-tiba menyuarakan hasrat untuk bernikah. Ada juga ibu bapa yang tidak menyokong, namun kita tidak harus berputus asa kerana dalam masa yang sama kita juga perlu memahami situasi ibu bapa kita. Oleh itu kita harus berusaha untuk menunjukkan kesungguhan kita dan membuat satu 'performance' terhadap diri untuk meyakinkan ibu bapa kita.

Berkenaan hantaran dan mas kahwin, kita diminta meletakkan dengan kadar yang tidak terlalu hina dan jangan terlalu mulia. Oleh itu bersederhana dan ikutlah kemampuan sewaktu menetapkan hantaran. 

Ada juga orang yang merungut dengan hantaran yang terlalu mahal tetapi beli bermacam-macam untuk dirinya. Contoh, 'gadget', melancong dan sebagainya. Oleh itu pengurusan material sangat penting sebelum mula bernikah lagi.

Ada seorang pelajar wanita di sini yang bertanya bagaimana untuk bercakap kepada ibu bapa supaya hantaran itu dikurangkan sekaligus tidak membebankan bakal suaminya sedangkan jumlah hantaran itu dia sendiri tidak bersetuju. Hal ini seperti yang telah disebutkan tadi, pentingnya komunikasi dengan ibu bapa sebelum kita ingin menikah lagi. Namun sebenarnya hantaran adalah hadiah untuk si isteri dan ibu bapa tidak ada hak untuk menggunakan hantaran yang diterima dengan sewenag-wenangnya. Apabila menjadi hak isteri, sebenarnya nilai hantaran ditentukan oleh perempuan itu sendiri.

Pengantin lelaki pula harus tahu apa tujuannya bernikah. Bukan sekadar seks semata-mata tetapi bagaimana untuk membawa keluarga kita ke Sana. Sewaktu akad nikah pula, sebenarnya dalam agama Islam tiada  Upacara Batal Wuduk. Itu hanyalah budaya masyarakat kita semata-mata. Begitu juga budaya mencium isteri selepas akad, tiada sama sekali dalam agama Islam.

Berkenaan dengan urusan rezeki selepas nikah, memang dikatakan rezeki selepas bernikah akan bertambah tetapi rezeki itu datang dengan sebab. Usaha selepas pernikahan juga sangat penting. Budaya tegur menegur antara suami isteri juga sangat penting selepas nikah. Jangan dibiarkan keluarga kita terlumrah dengan dosa dan khilaf.

Itu sahaja secebis ilmu yang dapat ana kongsikan. Semoga bermanfaat. 

Wahai pemuda berkahwinlah, 
wahai pemudi terimalah, 
wahai ibu bapa redhailah. : Kata-kata Ustaz Ahmad Dusuki ^-^ 

ps: gambar diambil daripada fb Hilal Ashraf (Official)

No comments:

Post a Comment