Santapan Rohani


Random Hadith Widget

Saturday, December 7, 2013

Luahan Rasa : Kisah Sebuah Pernikahan

Alhamdulillah, selepas sekian lama bergelar sebagai pelajar tahun akhir di IPG dan sebagai seorang suami, berkesempatan juga untuk mengemaskini blog ana ni. Sibuk juga dengan praktikal dan tesis yang perlu disiapkan.

Tanggal 8 Jun 2013 merupakan tarikh bersejarah buat diri apabila pada tarikh ini ana telah bergelar sebagai seorang suami. Tarikh pernikahan dipilih setelah perbincangan antara dua keluarga  diputuskan. Amat mudah untuk melafazkan lafaz ijab dan kabul namun jantung mula berlari pantas tatkala kedua saksi mengesahkan lafaz. Ana faham, di saat ini, ana menerima satu amanah dan tanggungjawab yang ayah mertua ana pindahkan. Pernikahan merupakan sebuah ikatan yang suci. Bukan hanya sekadar menyatukan dua insan yang berbeza tetapi juga menyatukan dua keluarga. Dengan adanya sebuah pernikahan, ini menjadikan kami yang memiliki cara pandang dan berfikir yang berbeza bersatu kerana inilah ketentuan dan ketetapan Allah SWT. 

"Ya Allah, Kau permudahkanlah urusan pernikahan kami. Seandainya Engkau mentakdirkan aku untuk menjadi seorang suami, jadikanlah aku seorang suami yang soleh dan mampu untuk bertanggungjawab terhadap keluargaku." Inilah antara lafaz doa yang ana doakan seusai saja solat. Alhamdulillah, doa yang dilafaz sekian lama dimakbulkan jua. Namun kisah sebuah pernikahan ini bukanlah mudah. Tempoh pertunangan yang mencecah hampir 2 tahun setengah juga kadangkala menguji iman dan perasaan kami. 

Detik perkenalan bermula sewaktu kami di awal pengajian. Hanya beberapa bulan berkenalan, ana  memberanikan diri seorang diri pergi ke rumah si dia untuk bertemu keluarga. Waktu ini tiada keputusan tetap untuk diputuskan. Kami hanya berkawan seperti biasa dan seterusnya mengikat tali pertunangan setelah setahun lebih perkenalan kami sebelum zaujah ke luar negara bagi meneruskan pangajian di New Zealand. Ana tetap merahsiakan pertunangan ini daripada rakan-rakan walaupun mungkin ada segelintir daripada mereka yang dapat menghidu tentang pertunangan ini. Sehinggakan sewaktu ana mengumumkan tentang pernikahan ana di hadapan rakan-rakan, mereka masih belum tahu siapa calon isteri ana yang sebenarnya pada waktu itu. "Saya akan bernikah dengan calon pilihan mak saya pada cuti ni", itu yang ana umumkan di hadapan rakan-rakan. 

Sepanjang si dia berada di luar negara, amat jarang sekali untuk kami berhubung. Kadangkala bukan tidak mahu berhubung tetapi hati ini terasa berat dan risau sekali. Risau perbualan yang kami bualkan melencong dan sia-sia. Diri ana pun bukanlah sebaik-baik makhluk, sentiasa saja melakukan kesilapan dan kekhilafan. Sentiasa berusaha mencari ilmu tentang kekeluargaan, pernikahan, dan bagaimana menjadi seorang suami yang baik. Namun si dia tidak pernah jemu untuk menasihati diri. Setiap manusia pasti memiliki masalah dan kelemahan diri, dan untuk menyelesaikan setiap permasalahan dan memperbaiki kelemahan diri kita di tuntun oleh Allah SWT untuk selalu berfikir dengan menggunakan akal kita. 

Dugaan, cabaran, dan masalah sering saja menghimpit sepanjang tempoh ini namun tatkala tali pertunangan telah diikat, bermakna sudah selangkah kami ke gerbang perkahwinan. Oleh itu, ana berasakan sangat penting untuk menyelesaikan setiap masalah bersama-sama. Jika masalah yang kecil sewaktu pertunangan ini tidak mampu ana selesaikan, bagaimana bisa untuk kami menghadapi masalah yang lebih mencabar selepas bergelar seorang suami dan isteri nanti.

Masih ada segelintir yang tidak faham, memarahi dan melenting apabila ana tidak berhubung dengan si dia. Namun ana tetap percaya jika dia diciptakan buat diri, pasti kami akan bersatu juga tidak kira walau apapun ujian dan dugaan. Ana biarkan sahaja andai ada yang mengata, yang menulis menyatakan perasaannya. Pada ana, tetap saja yakin pada ketentuan yang Allah tentukan. Tidak perlu lagi merasa gundah dan gelisah jika kita telah berusaha kerana Allah lebih kenal hati budi ciptaan-Nya dan apa yang terbaik buat hambaNya. Bukan tidak pernah langsung untuk berhubung, cukuplah jika ana bataskan untuk urusan dan hal penting saja. 

Kadangkala agak lucu apabila terdengar tindakan ana membonceng zaujah menaiki motosikal di kawasan kampus merupakan satu tindakan yang kurang manis. Oleh itu wujud status di 'FB' ana yang berbunyi 'menunggang motosikal bersama isteri adalah lebih manis daripada menaiki kereta berdua-duaan bersama kekasih hati'. Ana faham saja, ana antara pelajar yang awal bernikah di dalam kampus dan suasana pelajar lelaki membonceng pelajar wanita masih janggal pada ketika ini. Namun setelah beberapa bulan, suasana 'tidak manis; mula diterima kerana ada beberapa sahabat yang mula bernikah untuk mengejar sunnah.

Apapun ana bukanlah lelaki yang turun dari syurga dan bukan juga  makhluk yang sempurna, bahkan selepas pernikahan juga masih banyak yang perlu ana baiki untuk menjadi seorang suami. Walaupun terkadang terasa ilmu sudah banyak dicari, rupanya itu masih belum cukup untuk menjadikan benteng diri sebagai seorang suami yang terbaik bertambah utuh. Yang diperlukan bukan ilmu yang dicari namun apa yang diperlukan ialah bagaimana untuk mengamalkan ilmu yang dipelajari. Ana hanya Azinuddin Muhammad yang berusaha untuk menjadi suami yang terbaik buat zaujah. Jangan dipandang kelemahan dan kesilapan diri kerana kita semua sama sahaja melakukan kesilapan. 'Try to be the best for my Zaujah, Nurul Huda Binti Mohamad Bashaabidin.'

4 comments:

  1. abg Azim ,, thumb up utk story kali ni ,, heeee

    ReplyDelete
    Replies
    1. terima kasih banyak lia. doakan ye...
      belajar elok-elok kat sana...

      Delete
  2. Barakallah hu lakuma wa baraka 'alaikuma. Wa jamaah baina kuma fii khair.

    :) Moga berbahagia hingga ke syurga, sahabat.

    ReplyDelete
    Replies
    1. terima kasih banyak sanah. ada masa nanti nak beraya ngan member2 kita...

      owh, apapun doakan ye..

      Delete