Santapan Rohani


Random Hadith Widget

Saturday, June 18, 2011

Apa Barang Cium Bini Depan Orang





Agak meriah jugalah bulan Jun tahun ini. Macam tahun-tahun sudah agaknya. Sana sini orang berkenduri sakan menyambut pasangan pengantin. Cukup meriah.

Muda mudi di perantauan pun ramai balik. Ada yang balik sebab nak makan kenduri, ada juga yang balik sebab nak anjurkan kenduri. Boleh tahan juga ramainya yang balik mahu jadi tuan punya kenduri. Mudah-mudahan bahagialah anda semua dengan pasangan masing-masing.

Kali ini saya bukan nak bercerita tentang fenomena orang di perantauan yang balik kahwin. Bukan juga tentang orang yang tak merantau dan bakal berkahwin.Saya cuma ingin menulis tentang beberapa fenomena dalam bab majlis kahwin yang tak seronok dipandang mata.

Bab bersanding sudah banyak dibahas orang. Bersanding bukan daripada ajaran Islam. Kalau dikatakan adat pun, adat yang rosak. Ini jelas kerana dalam amalan tersebut wujud unsur maksiat, di mana si perempuan menayangkan rupa dan kecantikannya untuk dilihat oleh sekian ramai orang. Sengaja tayang.Walhal, tayangan tersebut tiketnya hanya untuk suami. Apa barang bagi tiket percuma biar semua orang tengok? Tak ada ‘umph’ lah hantaran dan mahar yang kita bagi.

Itu satu bab.

Sebelum bab bersanding, ada satu bab yang selalu kita terlepas pandang, iaitu dalam majlis akad nikah. Waktu sebelum akad nikah, si pengantin perempuan duduk bersimpuh elok, dengan gaya malu-malu, dikelilingi keluarga dan sanak saudara.

Si pengantin lelaki bersila gagah depan pak imam. Dengan sekali lafaz, mereka sah bergelar suami isteri.
Alhamdulillah.

Setakat itu biasanya tak ada masalah.

Apa yang menjadi masalah adalah selepas acara tersebut. Ok, sarung cincin. Si pengantin perempuan pun datanglah bersalam dengan si pengantin lelaki. Dengan gaya malu-malu, si pengantin lelaki begitu macho kelihatan menyarung cincin ke jari isterinya. Sekeliling mereka orang galak melihat dan memerhati, termasuk jurukamera yang sememangnya tidak akan melepaskan scene-scene menarik untuk dirakam.Kemudian? Dah sarung cincin dan bersalam, kenalah cium-cium. Semua yang ada di sekeliling galak mengusik. Ada juga yang beriya-iya supaya si suami mencium si isteri. Jurukamera pula sudah bersiap sedia untuk scene yang paling istimewa.

Lalu si suami pun ciumlah isterinya. Cium dahi. Ada juga yang cium pipi. Lama sikit, sebab ramai yang nak tangkap gambar. Syahdulah agaknya suasana tersebut. Masakan tidak, pengantin baru tampak begitu romantik di hadapan semua orang.

Kemudian acara meja makan. Suap menyuap pula. Detik-detik tersebut wajib dirakam kata mereka. Iyalah, kahwin kan sekali seumur hidup. Lalu bersuap-suapan lah mereka dengan disaksikan oleh semua mata yang memandang.

Apa Barang?

Saya dari dulu tidak pernah bersetuju dengan adegan-adegan tersebut. Mungkin ada yang panas telinga bila isu begini ditimbulkan. Mungkin ada yang beranggapan saya terlalu keras dan tak sporting.Harus diingat, saya di sini tidak menghukum halal atau haram. Tetapi saya katakan ; apa barang cium-cium bini depan orang? Apa barang suap menyuap depan orang?

Tak kiralah hari akad nikah ke, hari berkahwin ke, yang penting adegan tersebut tidak patut sama sekali dibuat di hadapan orang.

Alah, cium dahi je pun!

Bukan soal tempat mana yang dicium. Soalnya, sifat malu kena jaga. Adab depan orang kena jaga. Macam mana nak ada keberkatan, kalau begitu rupanya permulaan?

Suami dengan isteri di hadapan orang sama sahaja dengan lelaki dan perempuan lain. Depan masyarakat, adab pergaulan kena jaga. Kalau anda pergi ke kedai makan, tiba-tiba ada satu pasangan suami isteri di meja sebelah. Berpegangan tangan , kemudian si suami tanpa segan silu mencium isterinya padahal orang sekeliling melihat.

Agak-agak, apa anda akan cakap?

Ish, mana ada orang buat macam tu. Pengantin baru yelah.

Pelik kan? Pengantin baru buat tak ada masalah, sebab baru. Tapi pengantin lama, janggal jadinya. Sebabnya mudah. Mindset kita menetapkan demikian. Kita yang menganggap perkara itu sebagai perkara biasa, lalu kita membolehkan.

Tetapi saya tidak. Dan saya tahu, pendapat saya dikongsi oleh begitu ramai orang bujang yang tidak seronok melihat adegan tersebut dalam majlis perkahwinan, terutama melibatkan orang agama.Setakat sarung cincin, bersalaman cium tangan sudahlah. Potong kek sama-sama pun tak ada masalah. Salam cium tangan, ok lagi.

Tapi bab cium-cium, suap menyuap , simpan sajalah dalam rumah. Romantik ke tidak, untuk apa ditonjolkan kepada orang?

Bimbangnya, orang yang melihat bukan seronok, sebaliknya meluat. Jadi sebaiknya, jauhilah adegan-adegan sedemikian. Kadang-kadang, yang menyuruh lebih sudu dari kuah. Saya masih ingat waktu akad nikah saya dahulu, ada juga suara-suara yang suruh cium dahi isteri. Tetapi saya tak endahkan.

Saya punya isteri, hari ini jadi tanggungjawab saya. Kalau timbul dosa, saya yang kena, bukan yang galak menyuruh. Meraikan tidak salah, tetapi biarlah berpada-pada. Apa yang penting, kita nak cari keberkatan dalam berumahtangga.

Cium bini depan orang? Apa barang!

Sekian.

Dipetik dari sini.

No comments:

Post a Comment