Santapan Rohani


Random Hadith Widget

Sunday, July 17, 2011

Luahan Rasa : Anda Sebenarnya Pencuri

Sedarkah kita bahawa kita sebenarnya pencuri..?

Apa yang ana maksudkan di sini ialah masa, kerana seringkali kita dengar "Janji Melayu" dilafazkan apabila berjanji.

Situasi 1:
Nurul dan Siti berjanji untuk berjumpa pada pukul 10.00 pagi. Nurul seorang yang menepati masa dan telah menunggu sebelum jam 10.00 lagi. Namun Siti tiba pada pukul 10.10 pagi.

Situasi 2:
Seorang pensyarah berjanji untuk membuat kelas pada jam 09.00 pagi. Namun oleh kerana segelintir pelajarnya lewat maka pelajar yang telah tiba awal terpaksa menunggu rakan mereka sebelum sesi pembelajaran boleh dimulakan.

Situasi 3:
Ahmad : Ayie, jom jemput Amir, dah nak pukul 3 dah ni. Kan kita janji nak jemput dia pukul 3.
Ayie : Ala, rilekslah.. Amir tu kalau janji pukul 3.00, 3.30 baru siap.



Mungkin situasi yang ana berikan itu nampak tiada apa atau simple. Namun dari situasi yang ana beri, cuba kita renungkan adakah kita sebahagian dari yang menepati masa atau tidak. Alangkah ruginya jika kita termasuk dalam golongan yang tidak menepati masa dan ditambah jika kita mengambil (mencuri) masa orang lain. Mungkin golongan ini akan berkata, "Ala, 2 minit je pun lewat", "Bukan lambat sangat pun" dan berbagai lagi alasan yang kita dengar dari mereka.

Namun cuba kita fikir betapa ruginya orang yang menepati masa menunggu orang yang tidak tepat pada janji ini. Tanpa disedari, golongan ini telah mencuri masa orang lain. 

Tanda orang munafik itu ada tiga: Jika berkata-kata mereka berdusta, jika berjanji mereka memungkiri,  dan jika di beri amanah mereka khianati. 

Oleh itu suka untuk ana ingatkan kepada sahabat dan diri ana terutamanya, jadilah orang yang menepati masa. Tidak salah jika datang lewat kerana keuzuran kerana ana juga pernah berada dalam keadaan seperti itu tetapi sekurang-kurangnya beritahulah orang yang sedang menunggu itu. Jangan biarkan mereka tertunggu-tunggu kerana anda. Adakah masyarakat melayu sudah sinonim dengan perkara ini sehingga timbulnya "Janji Melayu"? Sama-samalah kita renungkan. Wallahualam..

Nikah Awal VS Maksiat


Setiap saat, setiap waktu, setiap hari, setiap detik, para remaja di "bomb" dari segenap penjuru dengan pelbagai bentuk godaan yang boleh merangsang mereka agar tunduk kepada nafsu. Biasalah bila dah baligh, umur pun sudah meningkat, tanpa godaan pun keinginan tersebut akan timbul juga secara automatik. Apatah lagi sekiranya terdapat banyak godaan daripada suasana sekeliling. Maka secara logiknya, pasti keinginan seksual tu boleh teransang berlipat kali ganda malah, kadang kala ia turut berlaku pada belia yang baru menginjak ke usia remaja lagi.
Berita baru-baru ni mendedahkan kes remaja berumur 14 tahun secara senyap-senyap menjadikan hubungan seks sebagai hobi, dan ibu bapa remaja terbabit tidak tahu menahu langsung akan hal tersebut. Perkara ini mungkin mengejutkan masyarakat yang membacanya tetapi sebenarnya perkara sebegini sudah banyak terjadi dalam masyarakat kita. Ini kerana semuanya tidak mustahil apabila terdapat godaan dan rangsangan yang terlalu banyak di media massa dan elektronik. Maka inilah akibatnya apabila segala-galanya tidak dibendung dan segala perkara yang haram dihalalkan. Penyebab utama yang menyebabkan keruntuhan akhlak dan moral para remaja Islam.



Bayangkan jika sekarang ini sudah bermacam-macam perkara buruk terjadi terhadap generasi muda ini bagaimana pula nasib generasi muda pada masa akan datang? Berkemungkinan besar moral anak-anak muda akan lebih hancur, masyarakat menjadi punah ranah, dan negara akan jatuh kerana penuh dengan belia yang sudah rosak akhlaknya.
Maka apakah diantara jalan yang terbaik utk selesaikan masalah ini? Adakah jalan utk selamatkan spiritual remaja-remaja ini?
Setelah dirujuk pelbagai risalah dan buku-buku Islamik, yang membahaskan isu-isu semasa, dan cara-cara terbaik utk menyelamatkan masyarakat dan anak-anak muda, kebanyakkannya mencadangkan nikah awal sebagai satu cara untuk menghindarkan remaja daripada berterusan melakukan maksiat. Oleh itu, sebagai masyarakat yang prihatin kita seharusnya menggalakkan anak-anak muda supaya kahwin awal disamping menyediakan jalan untuk mereka agar dapat bernikah dengan sah tanpa syarat-syarat yang membebankan.
Islam amat menggalakkan anak-anak muda berkahwin awal. Kerana Islam melihat jiwa remaja pasti akan terancam lebih2 lagi dengan pelbagai godaan yg datang. Di dalam Al-Quran, Allah S.W.T ada berfirman:
"Dan kahwinkanlah orang-orang yang bujang di antara kamu....Jika mereka miskin, Allah akan memberi kemampuan kepada mereka.." (24:32)
Memang benar Islam mengajar kita untuk berpuasa dan menahan nafsu, menjaga pandangan dan sebagainya, tetapi harus diingat, bukan mudah untuk mengawal keinginan nafsu, lebih-lebih lagi nafsu remaja. Oleh itu, perkahwinan adalah jalan terbaik untuk mereka agar menghindarkan diri mereka daripada nafsu.
Namun perkahwinan bukanlah perkara yang mudah. Ibu bapa sudah tentu menginginkan anak-anak mereka berjaya dalam pendidikan, seterusnya memiliki kerjaya yang stabil dan sebagainya. Sudah tentu ibu bapa berfikir bahawa sekiranya mereka membenarkan anak-anak mereka bernikah awal sudah tentu jumlah wang yang terpaksa dikeluarkan tidak terkira banyaknya. Untuk perkahwinan sahaja mungkin akan mencecah tiga puluh ribu ringgit itu belum termasuk kewangan untuk menyara kehidupan mereka selepas berkahwin. Maka disebabkan hal-hal ini ramai yang beranggapan bahawa kahwin awal itu seolah-olah membebankan dan menyusahkan.
Namun, sebagai ibu bapa relakah anda melihat anak-anak remaja anda menghampiri maksiat dan seterusnya terjerumus dalam perkara-perkara yang tidak diingini? Nauzubillah.. Bukankah lebih baik sekiranya anda mempermudahkan anak-anak anda untuk bernikah seandainya mereka dan pasangan mereka sudah terlalu sayang akan satu sama lain? Mungkin perbuatan tidak semudah kata-kata tetapi kita perlu teliti semua aspek dan kesan-kesan yang bakal anak-anak anda hadapi seandainya dibiarkan berterusan bercinta tanpa sebarang ikatan.
Maka, di sini ada disenaraikan beberapa cara untuk membantu anak-anak muda zaman sekarang kahwin awal , yg pertama:
1."Sokongan kewangan" daripada ibu bapa yang berkemampuan.
Ibu bapa yg berkemampuan digalakkan supaya memberi sokongan kewangan kepada para remaja-remaja ini agar mereka dapat berkahwin awal dan bantu mereka menyelesaikan apa-apa yang patut. Islam menggalakkan kita untuk menolong manusia lain yang berada dalam kesusahan sebagai contohnya membantu orang-orang miskin dan orang sakit, oleh itu, sudah tentu sekiranya kita membantu anak sendiri membina masjid iaitu mendirikan rumah tangga ganjarannya pasti lebih besar bukan? 
2. Sokongan Masyarakat.
Masyarakat sewajarnya mewujudkan sebuah organisasi yang menyediakan dana untuk menolong anak-anak remaja ini berkahwin awal. Mengikut sejarah, pernah sekali, seorang lelaki ditangkap dan dibawa menghadap Sayyidina Ali atas perlakuan yg tidak sopan. Selepas Ali menjalankan hukuman yg sepatutnya, beliau mengahwinkan pemuda ini dengan menggunakan kewangan negara.
3. Nikah Gantung.
Iaitu si teruna dan dara tersebut bernikah untuk menghalalkan hubungan antara lelaki dan wanita. Majlis perkahwinan tersebut ditangguh selepas satu ketika dimana pasangan tersebut telah mempunyai sumber kewangan yang kukuh. Kebiasaannya mereka akan tinggal berasingan untuk memfokuskan diri terhadap pelajaran dan sebagainya. Tetapi mereka ini dihalalkan untuk berjumpa dan berpegangan tangan, berdating dan sebagainya ini kerana hubungan antara mereka telahpun halal jika mengikut syarak. Oleh itu andainya mereka bercinta sakan umpama sepasang kekasih yang selalu kita lihat berpeleseran di shopping-shopping complex sekalipun mereka tidak akan mendapat dosa kerana mereka tidak melakukan maksiat.  Malah, seandainya mereka mengambil keputusan untuk tinggal bersama dan melakukan hubungan suami isteri juga tidak salah malah di galakkan didalam Islam. 
4.  Bernikah seperti biasa tetapi..
Cara yang terakhir adalah pasangan remaja ini bernikah dan mengadakan majlis perkahwinan seperti biasa namun, bijak merancang kekeluargaan agar tidak menimang cahaya mata sehingga mempunyai pekerjaan yang tetap dan mempunyai sumber kewangan yang kukuh. 
Ya,begitulah antara kaedah-kaedah yang boleh anda lakukan untuk menggalakkan perkahwinan antara remaja agar dapat mengelak fitnah dan maksiat. Namun, perlu diingatkan ibu bapa perlulah bersikap terbuka sekiranya anak mereka menyatakan hasrat untuk berkahwin walaupun dikala usia masih muda. Selaku ibu bapa anda juga perlu menasihatkan anak bahawa mereka perlu serius dan komited sekiranya benar-benar ingin berkahwin. Ini kerana perkahwinan bukanlah sesuatu yang mudah. Onak duri kehidupan itu pasti akan lebih terasa selepas berada di dalam alam perkahwinan. Sabar, tabah dan keimanan yang tinggi perlu di terapkan dalam jiwa agar perkahwinan yang dibina itu tidak berakhir dengan perkara-perkara yang tidak diingini. Selepas berkahwin, pasangan perlulah membimbing antara satu sama lain agar dapat mendekatkan diri mereka kepada Allah S.W.T.
Apabila kita memahami perspektif Islam yang menggalakkan perkahwinan awal, maka insya-Allah kita akan bersikap lebih terbuka untuk membenarkan remaja-remaja ini berkahwin awal. Andainya ada antara mereka yang belum sempurna pendidikan agamanya, adalah baik seandainya ibu bapa mendidik mereka dengan ilmu agama samada sebelum dan selepas berkahwin. Usahlah anda menghalang para remaja yang ingin mendirikan rumah tangga seandainya mereka masih belajar di Universiti atau Kolej. Yakinlah, dengan bantuan Allah sudah tentu mereka masih boleh menamatkan pengajian masing-masing walaupun bernikah ketika masih belajar.
Bukanlah, niat saya hendak memaksa para ibu bapa mengahwinkan anak-anak anda diwaktu usia muda. Namun, ini adalah antara jalan terbaik yang diajarkan oleh Islam itu sendiri. Terpulang pada anda untuk menentukan yang mana yang lebih baik untuk anak-anak anda kerana sudah tentu anda lebih mengenali mereka. Cuma, seandainya anda mendapati anak remaja anda sudah terlalu sayang dan cintakan kekasihnya bukankah lebih baik untuk menghalalkan hubungan tersebut?

Sumber dari sini

Air Tangan Orang Tak Solat

Semua orang tahu bahawa kalau meninggalkan solat adalah dosa besar, malahan orang yang tidak solat lebih hina daripada khinzir. Betapa hinanya kita kalau meninggalkan solat seperti yang dikisahkan pada zaman Nabi Musa a.s.

Kisahnya, pada zaman Nabi Musa, ada seorang lelaki yang sudah berumahtangga, dia tiada zuriat, lalu terdetik dalam hati dia (nazar), "Kalau aku dapat anak, aku akan minum air kencing anjing hitam." Nak dijadikan cerita, Allah pun kurniakan isteri si lelaki tadi pun hamil dan melahirkan anak. Apabila dah dapat anak, lelaki ni pun runsinglah. Dia dah nazar nak kena minum air kencing anjing hitam.

Syariat pada zaman Nabi Musa berbeza dengan syariat yang turun untuk umat Nabi Muhammad. Kalau umat Nabi Muhammad, nazar benda yang haram, maka tak payah buat tapi kena denda (dam) atau sedekah. Tapi kalau zaman Nabi Musa, barang siapa bernazar, walaupun haram tetap kena laksanakan nazar tu. Lalu, si lelaki yang baru mendapat anak, dengan susah hatinya pergilah bertemu dengan Nabi Allah Musa dan menceritakan segala yang terjadi ke atas dirinya.

Lalu, Nabi Musa menjawab bahawa lelaki tu tak perlu minum air kencing anjing hitam tetapi akan minum air yang lebih hina dari air kencing anjing hitam. Nabi Musa perintahkan lelaki tersebut untuk pergi menadah air yang jatuh dari bumbung rumah orang yang meninggalkan solat dan minum air tu. Lelaki itu pun senang hati, menjalankan apa yang diperintahkan oleh Nabi Musa tadi.

Lihatlah, betapa hinanya orang yang meninggalkan solat, sampai dikatakan air yang jatuh dari bumbung rumahnya, lebih hina dari air kencing anjing hitam. Itu baru air bumbung rumah, belum air tangan lagi. Menyentuh bab air tangan, selalu kita suka makan masakan ibu atau isteri kita. Jadi, kepada muslimat sekalian, peliharalah solat kerana kalau meninggalkan solat (kalau tak uzur), air tangan akan menitik ke dalam basuhan makanan; nasi, dan sebagainya. Anak-anak, suami pula yang akan makan makanan yang dimasak. Takkan nak biarkan suami dan anak-anak gelap hati minum air tangan orang tinggalkan solat. Tak tergamak kan?

Tapi lain pula halnya dengan kita hari ni. Pagi petang, mamak. Teh tarik satu, roti canai satu. Ada pulak segelintir tukang masak yang tak solat. Kita pun makan bekas air tangan dia. Gelaplah hati kita, sebab tu liat nak buat kerja-kerja yang baik. Hati- hati dengan apa yang kita makan. Betapa beratnya amalan solat ni hatta Allah syariatkan solat kepada Nabi Muhammad melalui Isra' Mikraj sedangkan kewajipan-kewajipan lain memadai diutus melalui Jibril a.s.

Ketika saat Rasulullah nazak, sempat baginda berpesan kepada Saidina Ali (dan untuk umat Islam), "As-solah as Solah wa amalakat aimanukum". Maksudnya, "Solat, solat jangan sekali kamu abaikan dan peliharalah orang-orang yang lemah di bawah tanggunganmu.."

Wa'allahualam


Dipetik dari sini

Luahan Rasa : Jangan Hanya Belajar Untuk Menegur


Adakah antum semua tahu perbuatan tegur menegur antara satu sama lain tidak berlaku di kalangan kaum yang bersih dengan yang melakukan maksiat atau dosa tetapi tegur menegur antara satu sama lain boleh berlaku antara ahli maksiat.

Misalnya, ada di kalangan penzina atau perompak merasakan perbuatan mereka itu perlu ditinggalkan kerana ia tidak mendatangkan faedah melainkan menyusahkan orang lain. Lalu mereka nasihat menasihati antara satu sama lain sekali gus meninggalkan perbuatan berkenaan. Ini bermakna bukan ahli maksiat itu tidak mengerti bahawa perbuatan yang mereka lakukan itu tidak baik tetapi nafsu bermaharajalela dalam diri mereka menyebabkan perbuatan itu masih menjadi amalan mereka. Akhirnya dengan hidayah Allah mereka meninggalkan perbuatan jahat itu.

Menurut hukum, sah menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran itu berlaku di kalangan orang yang melakukan maksiat.

Ini kerana sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud, "Sesungguhnya kadang kala Allah menolong agama ini dengan perbuatan baik yang dilakukan oleh orang jahat."

Ini kerana apabila orang baik tidak berani, Allah jadikan orang jahat mencegah kemungkaran supaya penduduk sesuatu tempat itu tidak diturunkan bala. Menjadi sebab turunnya bala ke atas umat zaman dahulu kerana tidak ada di kalangan mereka orang yang mencegah kemungkaran.

Di kalangan umat Muhammad pula, pernah berlaku Islam ditolong oleh orang fasik. Menyuruh perkara baik dan mencegah kemungkaran berlaku di kalangan mereka dan perbuatan itu dikira sah di sisi ulama.

Tidak menjadi syarat orang yang menyuruh melakukan perkara baik dan mencegah kemungkaran itu orang yang bersih daripada sebarang kejahatan dan maksiat.

Tidak dinafikan pentingnya sesiapa yang menyuruh berbuat baik dan mencegah kemungkaran itu orang yang bersih daripada maksiat tetapi tidak menjadi halangan kepada sesiapa sahaja yang ingin mencegah kemungkaran walaupun mereka sendiri melakukan maksiat.


Belajar Juga "Cara Untuk Menegur"

Namun apa yang ingin ana tekankan hari ini ialah kebanyakan orang hanya belajar untuk menegur tetapi terlupa belajar bagaimana cara untuk menegur seseorang. Mungkin di sekolah dahulu ustaz dan ustazah hanya mengajar kita untuk menegur bagi sesiapa yang melakukan kemungkaran dan maksiat. Ye, itu betul. Setiap kemungkaran dan maksiat yang berlaku di hadapan kita perlulah ditegur tetapi bagaimana caranya? Adakah dengan terus menegur orang itu dan menyatakan kesalahannya?

Apapun ana berpendapat dan ana rasa cara tersebut bukanlah cara yang terbaik. Sesungguhnya teguran itu adalah pahit, oleh itu kita sebagai penegur jangan ditambah kepahitan yang ada dalam teguran itu.

Kenalpasti dahulu kenapa dia melakukan kesalahan tersebut. Contohnya orang yang membuka aurat. Seharusnya kita mengenali dahulu dirinya (boleh atau tidak menerima teguran, degil, keras kepala, mendengar kata dan lain-lain) serta latar belakang hidupnya. Ada orang yang membuka aurat kerana didikan keluarga, ada juga kerana pengaruh kawan, yang tidak tahu dan tidak belajar ilmu agama dan banyak lagi faktor-faktornya.


Jangan kita memandang rendah akan dirinya. Dan yang penting jangan kita membuatkan mereka lemah semangat dan terasa hina. Itu hanya akan membuatkan mereka bertambah marah. Mungkin kita jenis orang yang street to the point. Tetapi kita harus ingat bukan semua orang macam tu. Oleh itu jangan samakan diri kita dengan orang lain.

Cuba kita bayangkan jika kita terus menegur orang itu dengan cara kita tanpa kita mengenal dahulu orang yang ingin kita tegur itu. Bukan semua boleh terima teguran dengan cara kita. Kerana itulah ingin ana ingatkan pentingnya kita belajar "cara untuk menegur" dan bukan hanya belajar untuk menegur orang semata-mata.

Ana faham, niat anda adalah baik untuk menegur orang di sekeliling anda dan dalam masa yang sama ia juga termasuk dalam suruhan agama, tetapi dalam masa yang sama anda juga perlu menjaga hati dan perasaan orang yang anda tegur. Percayalah, jika kena caranya, pasti mereka akan terima teguran dari anda.


Jom kita tengok antara Kesalahan Dalam Teguran

Wahai manusia, sesungguhnya saya berpesan kepada kamu agar bertakwa kepada Allah Yang Maha Agung dalam semua urusan dan keadaan. Sentiasalah bersama kebenaran dalam perkara yang kamu sukai atau benci. Sesungguhnya tiada kebaikan pada percakapan yang tiada kebenaran. Sesiapa yang berdusta, maka dia melakukan maksiat. Sesiapa bermaksiat, dia binasa. Berwaspadalah dengan kesombongan. Apa ertinya kesombongan pada hamba yang diciptakan daripada tanah, sedangkan kepada tanah dia kembali? -Saidina Abu Bakar

Sekadar pandangan. Wallahualam..

Kesalahan Dalam Teguran


Dan terkadang kesalahan kecil kita sebagai murabbi dan qiyadah menjadikan batu api bagi syaitan untuk disemarakkan pada hati mutarabbi dan jundiy kita.Maka, awaslah!
Belajarlah dari kesalahan orang lain (dan tentu belajar dari diri sendiri juga).
And when you reach the above or become leader, please, please Aisyah, go back to what you write today, and remember these...
1) Bila nak menegur seseorang, tegurlah dengan cara paling baik dan pada waktu paling tepat sekali.
Yang penting, bukanlah untuk sampaikan teguran itu, paling penting adalah supaya teguran itu diterima.
Maka sediakan mekanisme terbaik untuk melakukan teguran itu.
Tak kiralah teguran itu dirasakan dalam suasana penuh kasih sayang, tapi jika cara dan waktu tidak tepat, kamu hanya akan menyalakan lava yang tengah meluap-luap amarahnya.
2) Jalinkan kecintaan sebelum meminta ketaatan. Jalinkan kepercayaan sebelum memberikan nasihat.
Adakah adil jika kamu menegur seorang mutarabbi mahupun jundiymu, dalam keadaan kamu tidak merasai ikatan hati, ataupun paling penting, dia TIDAK merasai kasih sayang dari kamu?
Tentu tidakkan?
Kamu tak pernah endahkan dia, tak pernah mendengar masalah dia, tak pernah membantu dia..
Dan kini kamu hadir padanya, meminta ketaatan dan mahu menegur sahaja?
Jadilah seorang murabbi, yang ada ikatan hati dari sudut ayah, abang, syeikh dan guru pada anak muridnya.
Berkenalanlah, bantulah dia, dan cintailah dia, sebelum kamu meminta ketaatan dan juga menegur kesalahan dia.
Memang betul dia wajib mentaati kamu sebagai kepimpinan. Benar, dia ada kesalahan sebagai jundiymu, tapi santunilah keanak-anakan dan kenaifan dia dalam tarbiyah. Hargailah semangatnya dalam beramal, dan didiklah dia dengan penuh cinta, bukan kritikan dan sindiran yang mengundang kebencian.
Sudah namanya jundiy dan mutarabbi, memang dia akan banyak buat kesalahan. memang dia perlukan bimbingan. Memang dia takkan perfect. Maka, santunilah perkara itu dengan baik.
3) Carilah medium terbaik dalam memberikan teguran/didikan.
Barangkali kamu bukanlah orang yang terbaik dalam menegurnya. Carilah orang yang hati mutarabbi dan jundiy kita lebih terbuka untuk menceritakan segalanya. Carilah orang yang pandai berbicara dalam memberikan didikan ini. Jadikan mereka orang tengahmu. Jika orang lain lebih pandai menegur darimu.
Elak gunakan medium:
a) emel
b) sms
c) telefon
Ketika menegur dan memberikan didikan. kerana manusia sangat banyak salah faham jika teguran itu tidak bernada, dan jika teguran berlaku secara sehala tanpa bertanya apakah asal usul punca masalah itu berlaku.
Bertemulah, berjumpalah, dan peluk mutarabbi itu penuh cinta, sebelum duduk mendengar penjelasan darinya.
Insyaallah, dia akan membuka hatinya pada kamu.
4) Cari masa sesuai dan tenang dalam memberikan teguran.
Bukan sepuluh minit sebelum mutarabbi kita nak menyampaikan usrah, di waktu itulah kita menegur dia. Hancurlah perasaan dia, dan menurunlah semangat dia dalam amal.
Bawalah dia pergi ke kedai makan. Berboraklah perihal-perihal santai sebelum membicarakan hal serius.
Bukalah hati dia dahulu menerima kamu sebelum kamu menyampaikan apa2 pada dia.
Duduk bersemuka dengan dia, dalam keadaan dia tenang, bukan ketika dia sedang mengalami tekanan perasaan yang mengancam.
Ambil waktu paling tepat sekali. Jangan gopoh dan tidak bersabar...
5) Anggaplah dia seperti adik sendiri/anak sendiri/diri sendiri.
Fahami dan dengarilah dia sebelum kita menegur.
Dan tegurlah dengan cara seperti mana kita mahu diri kita sendiri ditegur.
Mulakan dengan pujian dan penghargaan, kemudian barulah membuka topik perbincangan.
Jangan memandang rendah akan dirinya. Jangan membuatkan dia rasa begitu hina, lebih hina dari tanah. Jangan bagi dia rasa down selepas teguran. Setiap manusia ini ada ego yang perlu dijaga.
Kerana setiap nasihat, kita mahukan perubahan. Bukan mahu dia lari dari tarbiyah!!!
6) Paling penting, jangan menegur dalam keadaan kita sangat beremosi.
Solatlah dahulu. Biarkan waktu melegakan hati kita. Minta pada ALlah diberikan cara dan petunjuk terbaik dalam menegur.
Niat yang ikhlas sahaja takkan menjamin teguran itu diterima, cara kena amat betul dalam penyampaian...
Inilah dia Aisyah, ingatlah perkara ini betul-betul. Kerana manusia lain akan terluka jika kamu lakukan pada mereka apa yang pernah manusia lakukan padamu. Ingatlah sebaiknya.
Malah, jika kau menjadi qiyadah mahupun murabbi agung sekalipun, engkau tidaklah superior dari mereka, Engkau tidaklah lebih baik dari mereka, Mungkin lebih teruk sekalipun.
kerana itu, teguran itu dibuat atas dasar dirimu bersedia untuk ditegur dan berubah juga. Dirimu mahu juga ditegur dan dinasihati selalu....
Ajaib apabila melihat, kematangan hidup dan pengalaman bergaul dengan ramai manusia, amat memberi kesan kepada perwatakan dan kata-kata pada seseorang.
Dan aku melihatnya pada dua generasi yang berbeza. Dan aku merasakan benar, pengalaman sahaja dapat memberikan kematangan dalam kepimpinan.
Dan kita yang menjadi tentera kecil mahupun mutarabbi hina ini, perlu belajar dari kesilapan ini. Jangan ulangi perkara sama. Jadilah manusia lebih baik.
Seperti mana aku harap kamu juga belajar dari kesilapan aku , membetulkan kesilapan aku, dan sentiasa menjadi lebih baik dari aku.
Aku lebih bahagia begitu walaupun tingginya kedudukan aku di mata jemaah dan dunia, kerana kedudukan kita di sisi Allah itu lebih utama..
Dan betul, teguran pada qiyadah/naqibah juga perlu sama sahaja seperti di atas. kita jemaah manusia, bukannya robot dan tentera. Ada emosi dan masalah. maka belajar cara berkomunikasi dengan baik.
wallahualam


Sumber dari sini

Wednesday, July 13, 2011

Apa Erti Menjadi Isteri Solehah

Apa erti menjadi isteri solehah. Pelbagai pandangan dan jawapan mampu kita tafsirkan, samada melalui pembacaan, perbincangan dan perkongsian pengalaman. Kita menyingkap kembali sejarah Nabi Ibrahim sewaktu baginda menziarahi menantunya. Pada waktu itu, puteranya, Nabi Ismail tiada di rumah sedangkan isterinya belum pernah bertemu bapa mertuanya, Nabi Ibrahim.


Apabila sampai di rumah anaknya itu, terjadilah dialog antara Nabi Ibrahim dan menantunya.

Nabi Ibrahim : Siapakah kamu?
Menantu : Aku isteri Ismail.
Nabi Ibrahim : Di manakah suamimu, Ismail?
Menantu : Dia pergi berburu.
Nabi Ibrahim : Bagaimanakah keadaan hidupmu sekeluarga?
Menantu : Oh, kami semua dalam kesempitan dan (mengeluh) tidak
pernah senang dan lapang.
Nabi Ibrahim : Baiklah! Jika suamimu balik, sampaikan salamku padanya.
Katakan padanya, tukar tiang pintu rumahnya (sebagai kiasan
supaya menceraikan isterinya).
Menantu : Ya, baiklah.

Setelah Nabi Ismail pulang daripada berburu, isterinya terus menceritakan tentang orang tua yang telah singgah di rumah mereka.

Nabi Ismail : Adakah apa-apa yang ditanya oleh orang tua itu?
Isteri : Dia bertanya tentang keadaan hidup kita.
Nabi Ismail : Apa jawapanmu?
Isteri : Aku ceritakan kita ini orang yang susah. Hidup kita ini selalu dalam
kesempitan, tidak pernah senang.
Nabi Ismail : Adakah dia berpesan apa-apa?
Isteri : Ya ada. Dia berpesan supaya aku menyampaikan salam
kepadamu serta meminta kamu menukarkan tiang pintu rumahmu.

Nabi Ismail : Sebenarnya dia itu ayahku. Dia menyuruh kita berpisah.
Sekarang kembalilah kau kepada keluargamu.


Ismail pun menceraikan isterinya yang suka merungut, tidak bertimbang rasa serta tidak bersyukur kepada takdir Allah SWT. Sanggup pula mendedahkan rahsia rumah tangga kepada orang luar.


Tidak lama selepas itu, Nabi Ismail berkahwin lagi. Setelah sekian lama, Nabi Ibrahim datang lagi ke Makkah dengan tujuan menziarahi anak dan menantunya. Berlakulah lagi pertemuan antara mertua dan menantu yang saling tidak mengenali.

Nabi Ibrahim : Dimana suamimu?
Menantu : Dia tiada dirumah. Dia sedang memburu.
Nabi Ibrahim : Bagaimana keadaan hidupmu sekeluarga?
Mudah-mudahan dalam kesenangan?
Menantu : Syukurlah kepada tuhan, kami semua dalam keadaan sejahtera,
tiada apa yang kurang.
Nabi Ibrahim : Baguslah kalau begitu.
Menantu : Silalah duduk sebentar. Boleh saya hidangkan
sedikit makanan.
Nabi Ibrahim : Apa pula yang ingin kamu hidangkan?
Menantu : Ada sedikit daging, tunggulah saya sediakan minuman dahulu.
Nabi Ibrahim : (Berdoa) Ya Allah! Ya Tuhanku! Berkatilah mereka
dalam makan minum mereka. (Berdasarkan peristiwa ini,
Rasulullah beranggapan keadaan mewah negeri Makkah adalah
berkat doa Nabi Ibrahim).
Nabi Ibrahim : Baiklah, nanti apabila suamimu pulang, sampai- kan salamku
kepadanya. Suruhlah dia menetapkan tiang pintu rumahnya
sebagai kiasan untuk mengekalkan isteri Nabi Ismail).

Apabila Nabi Ismail pulang daripada berburu, seperti biasa dia bertanya sekiranya sesiapa datang datang mencarinya.

Nabi Ismail : Ada sesiapa datang semasa aku tiada di rumah?
Isteri : Ya, ada. Seorang tua yang baik rupanya dan perwatakannya
sepertimu.
Nabi Ismail : Apa katanya?
Isteri : Dia bertanya tentang keadaan hidup kita.
Nabi Ismail : Apa jawapanmu?
Isteri : Aku nyatakan kepadanya hidup kita dalam keadaan baik, tiada
apapun yang kurang. Aku ajak juga dia makan dan minum.
Nabi Ismail : Adakah dia berpesan apa-apa?
Isteri : Ada, dia berkirim salam buatmu dan menyuruh kamu
mengekalkan tiang pintu rumahmu.

Nabi Ismail : Oh, begitu. Sebenarnya dialah ayahku. Tiang pintu yang
dimaksudkannya itu ialah dirimu yang dimintanya untuk aku
kekalkan.

Isteri : Alhamdulillah, syukur.




Sesungguhnya, keredhaan isteri terletak pada keredhaan suaminya. Jadi, sebagai seorang muslimah yang telah bergelar isteri atau bakal bergelar isteri, hendaklah sentiasa menyimpan dan menjaga setiap hal yang berlaku antara kalian.

Sumber dari sini