Santapan Rohani


Random Hadith Widget

Monday, April 22, 2013

Cerpen : Lorong Gelap





Lorong gelap itu tidak pernah sunyi, sampah sarap dan longkang sentiasa ditemani sang tikus dan sang lipas. Dalam kegelapan kelihatan seorang pemuda sedang menyusuri lorong gelap itu, Dilihatnya wanita dan lelaki yang berada di situ. Semuanya hanyut dibuai gelora nafsu yang bertakhta di jiwa. Namun, demi untuk melengkapkan tugasan akhir, Aiman gagahi juga langkah kakinya meyusuri lorong itu. Mencari maklumat dan informasi yang mungkin dapat membantu menyiapkan tugasannya. Tiba-tiba Aiman disapa oleh seorang lelaki, dengan wajah yang disolek cantik, berambut panjang, dihiasi pengikat rambut yang berkilau dan berpakaian wanita. Langsung tiada menunjukkan ciri-ciri kelelakian melainkan selepas mendengar suaranya yang garau itu.

“Bang, nak cari teman ke?” sapa lelaki itu. Aiman masih terkedu melihat lelaki yang menyerupai wanita itu.

“Err, ye ye. Saya nak cari seorang yang ok.” Aiman yang takut dan terkejut menjawab dengan terketar-ketar.

“Mungkin lelaki ni seorang bapa ayam, inilah peluang untukku menemu ramah wanita-wanita di sini,” hati Aiman berkata.

Lelaki itu membawa Aiman ke sebuah tempat yang dipenuhi lelaki-lelaki yang ingin memuaskan nafsu semata-mata. Ditempat itu Aiman dibawa ke sebuah bilik yang sudah tersedia seorang wanita agak berumur tetapi sangat cantik hiasan ditubuhnya. Rambut panjang yang dilepaskan dan kulit putih bak mutiara. Aiman terkesima memandang wanita itu.
“Sekali RM 100”, Aiman masih terkesima dan tidak mendengar apa yang diperkatakan disekelilingnya.

“Woi, dengar tak ni. Sekali RM 100, boleh tak? Lelaki itu meninggikan suara di hadapan Aiman.

“Hah, baik baik, boleh je.” Jawab Aiman tergagap-gagap sambil matanya memandang wanita itu.

Sebaik mendengar jawapan Aiman, lelaki itu keluar meninggalkan Aiman bersama wanita yang sudah sedia menjalankan tugasnya. Wanita itu bersedia untuk menjalankan tanggungjawabnya melayan Aiman. Dibelainya tangan Aiman perlahan-lahan lantas Aiman menghalang perbuatan wanita itu sambil menerangkan tujuannya datang ke tempat itu. Dibuka beg sandang yang membawa bahan untuk kajiannya. Wanita itu melihat kamera dan pita perakam di dalam beg itu. Wanita itu memandang sinis.

“Saya nak temuramah akak dan buat kajian tentang kajian kerja kursus yang perlu saya siapkan,” sebaik mendengar ucapan itu, wanita itu menolak Aiman sekuat hati dan meluru keluar dari bilik. Beberapa detik selepas itu lelaki yang membawanya masuk ke bilik tadi tiba ke bilik itu dan disebelahnya pula  ditemani dua orang lelaki yang bertubuh sasa. Aiman ketakutan melihat raut wajah dan gelagat ketiga-tiga lelaki itu.

“Kau jangan main-main kat sini. Nak temu ramah ke, nak ambil gambar ke, kat sini bukan tempatnya. Kalau kau nak, cari tempat lain la.” Lelaki itu meninggikan suara. Aiman masih terketar-ketar ketakutan melihat gelagat mereka bertiga.

‘’Saya cuma………” belum sempat Aiman menghabiskan bicaranya dua orang lelaki yang bertubuh sasa tadi mengangkatnya keluar dari bangunan. Aiman ditumbuk dan disepak bertubi-tubi. Aiman cedera parah dan pengsan lalu dibiarkan Aiman menemani sang tikus di lorong yang penuh sampah itu tanpa belas kasihan.

Pagi esoknya Aiman mula tersedar daripada pengsan. Kepalanya dirasakan begitu berat seolah-olah menanggung berat sebuah batu yang besar.

“Aduh, aku kat mana ni? Aiman bertanya pada dirinya sambil tangan kanan Aiman memegang kepalanya yang masih berat. Aiman terkejut kerana hanya memakai seluar tanpa baju yang menutupi tubuhnya.

“Adik ada kat bilik akak. Semalam akak yang angkat adik dari tepi lorong tu. Baju adik akak basuhkan sebab penuh sangat dengan darah.” Seorang wanita yang amat dikenalinya memberikan jawapan kepada setiap persoalan di fikiran Aiman waktu itu.

“Akak perempuan malam tadi yang saya jumpa. Kenapa akak tolong saya?” Aiman menghamburkan soalan. Wanita itu hanya mendiamkan diri. “Akak ni seorang…………” kata-kata Aiman terhenti sambil matanya memandang wanita itu.

“Ye, memang……….. memang aku seorang pelacur! Memang aku ni perempuan kotor, takde maruah. Sudah! Kau ambil baju kau dan pergi dari sini. Berambus!!!” marah wanita itu terhadap Aiman. Aiman berasa serba salah dengan apa yang dipertuturkannya sebentar tadi.
“Minta maaf kak, Aiman cuma nak temu ramah akak je semalam. Aiman tiada niat apa-apa pun. Lagipun Aiman kena siapkan kajian kerja kursus akhir semester Aiman ni. Aiman pilih tajuk ‘Jangan Pilih Jalan Hitam.’ Sebenarnya pada pandangan Aiman mungkin masyarakat tidak tahu disebalik kehidupan akak dan wanita-wanita lain yang berada di sini. Kalau boleh Aiman nak sedarkan masyarakat bahawa setiap orang perlu dihormati, termasuklah golongan seperti akak, bukannya memandang serong, mencaci malah menghina golongan seperti akak. Setiap manusia sama sahaja pada pandangan tuhan kak. Aiman harap sangat akak boleh tolong Aiman. Tolong Aiman untuk menyedarkan masyarakat di luar sana. Akak tak nak ke tolong diri akak?” Aiman memberi penerangan penuh harapan, dengan harapan wanita yang membelakanginya itu dapat menolong Aiman menyiapkan kajiannya selain niat murninya untuk menyedarkan masyarakat di luar sana.

“Nama adik siapa?” sambil wanita itu mengemaskan rambutnya tiba-tiba bertanya kepada Aiman.

Aiman yang masih mengharapkan pertolongan daripada wanita itu dengan tegas memberitahu namanya. “Aiman kak,” sambil matanya memandang wanita itu. “Hmm….Aiman panggil saja akak Kak Suhaila atau Kak Su.”

“Apa yang akak boleh buat untuk tolong adik?” Niat suci dan kesungguhan Aiman akhirnya membuka hati Suhaila untuk membantu Aiman menyiapkan kajiannya. “Hmm….. Kalau akak tak keberatan, Aiman teringin sekali mengetahui kisah hidup akak sebelum akak terjebak dalam dunia gelap di sini?” Dengan penuh hikmah Aiman menuturkan bicara. Tidak mahu sekali lagi mengecilkan hati wanita di hadapannya itu.

Aiman pulang ke biliknya dengan menaiki teksi setelah selesai tugasnya menemuramah Kak Su.  Kata-kata yang dituturkan Kak Su sentiasa bermain dalam fikiran Aiman. Aiman tersentak apabila telefon bimbitnya berdering. Selesai berbual di telefon, Aiman melabuhkan semula punggungnya di hadapan komputer riba di biliknya. Mata Aiman memandang pula perakam suara yang terletak di dalam almarinya. Aiman bangun daripada tempat duduk dan menuju ke almari untuk mengambil perakam suara kepunyaannya lantas menekan butang ‘PLAY’ yang terdapat pada perakam suara tersebut.

“Hidup akak dulu bahagia, akak ada orang tua yang sangat menyayangi akak. Sehinggalah pada suatu hari orang tua akak terlibat dalam kemalangan dan kemalangan itu meragut nyawa mereka sewaktu umur akak lapan belas tahun. Akak anak tunggal, tiada siapa yang sudi menjaga akak kecuali pak cik dan makcik akak yang sangat akak percaya. Rupanya kebaikan yang mereka lakukan kepada akak ada makna yang tersirat. Akak dipaksa berkahwin gara-gara untuk melangsaikan hutang mereka. Duit hantaran itulah yang mereka gunakan untuk membayar hutang mereka. Akak tiada pilihan selain menyerahkan duit hantaran akak kepada pak cik dan mak cik akak.

Suami akak pula akak sangkakan seorang yang ikhlas menerima akak dan mampu membimbing akak menjadi seorang wanita yang taat kepada agama. Namun, keikhlasan yang ditunjukkan dan kebahagiaan yang akak kecapi rupanya tidak lama setelah sekian lama akak berkahwin. Suami akak sering pulang lewat ke rumah dan tidak pernah memberikan nafkah yang sepatutnya akak terima. Pada suatu hari, ada seorang lelaki masuk ke rumah akak. Akak sangat mengenali lelaki itu kerana lelaki itu sering menuntut hutang daripada suami akak. Rupa-rupanya suami akak sendiri yang menjual akak kepada lelaki itu. Akak kecewa sangat dengan suami dan hidup akak.

Waktu itu akak ada anak yang baru saja akak lahirkan. Akak tak mampu menjaga anak akak dan akak serahkan anak akak kepada seorang jiran akak yang banyak membantu akak ketika itu. Akak sangat berterima kasih kepada mereka dan akak tidak mampu membalas jasa mereka. Malah sehingga ke hari ini akak tak pernah berjumpa dengan mereka lagi. Bila akak datang semula ke rumah mereka, rumah mereka dah tiada. Akak hilang arah dan kecewa sangat kerana tidak tahu ke mana satu-satunya anak yang akak lahirkan pergi dibawa jiran akak dulu.

Akibat kekecewaan yang teramat, akak akhirnya terjerumus ke dalam dunia pelacuran di sini. Akak tahu apa yang akak lakukan ini salah, tetapi adakah tuhan masih mampu mengampuni semua dosa-dosa yang akak lakukan? Akak rasa diri akak sangat kotor dan hina untuk menghadap tuhan. Masyarakat juga seringkali mencaci dan menghina pekerjaan yang akak lakukan ini. Mereka tidak tahu penderitaan yang akak lalui selama ini.”

Aiman menekan butang ‘STOP’. Air matanya bercucuran setiap kali mendengar luahan daripada seorang wanita yang dianggap masyarakat sebagai kotor dan hina. Aiman menaip segala maklumat ke dalam komputer riba dengan hatinya yang hiba. Jam menunjukkan tepat jam dua pagi. Aiman menutup komputer ribanya kerana esok Aiman akan berjumpa dengan pensyarah untuk menunjukkan hasil awal tugasannya. Minggu depan pula Aiman sudah berjanji dengan Kak Su untuk berjumpa. Namun sepanjang tempoh itu hanya telefon bimbit yang menjadi penghubung antara Aiman dan Kak Su.

Aiman melihat Kak Su sudah setia menunggu di pondok berhadapan tasik di tempat yang dijanjikan. “Kak Su, dah lama tunggu? Maaflah, Aiman terlewat sikit. Aiman jumpa pensyarah Aiman tadi.” Aiman menegur Kak Su yang sedang duduk sambil memegang telefon bimbitnya. “Eh takdelah, akak pun baru je sampai. Oh ye, bagaimana dengan tugasan Aiman, siap dah semua?”

“Alhamdulillah kak, insyaAllah kalau tiada halangan dua minggu lagi Aiman akan hantar tugasan Aiman kepada pensyarah untuk disemak. Hmm akak…” kata Aiman terhenti seakan berat untuk Aiman menyambung tutur bicaranya itu.

“Hah, ada apa? Beritahu jelah.” Kak Su sabar mendengar sambungan kata-kata Aiman tadi.
“Boleh Aiman panggil akak………. MAK.” Aiman melepaskan apa yang terpendam di lubuk hatinya selama ini. Kak Su yang terkejut dengan apa yang dipertuturkan Aiman memandang wajah Aiman penuh kesyahduan. Tanpa disedari, mengalir manik-manik kegembiraan dan keinsafan dari matanya.

“Aiman…. Kak Su… err… Mak tak tahu kenapa Aiman begitu mengambil berat terhadap Mak.” Kak Su cuba membiasakan diri dengan gelaran yang dipinta Aiman.

“Emak ni kotor Aiman. Sudi ke Aiman ada seorang mak seperti Mak?”

“Kenapa mak cakap begitu, Aiman percaya semua orang boleh berubah. Begitu juga dengan Mak, Aiman tahu Mak boleh berubah. Lagipun emak kandung Aiman dah lama tinggalkan Aiman. Apa salahnya Aiman anggap Mak sebagai emak Aiman.”

Air mata Suhaila yang mengalir terus membasahi pipi bagaikan sungai yang deras airnya. Hatinya diruntun pilu apabila masih ada orang yang menganggap dirinya begitu mulia lebih-lebih lagi dengan gelaran “Mak” yang dipanggil Aiman.

Selang seminggu Suhaila menerima sepucuk surat. Tidak sabar Suhaila membuka sampul surat berwarna putih yang dikirim Aiman itu. Dibukanya surat yang ditulis Aiman itu perlahan-lahan.

Assalamualaikum mak,Pertama sekali, Aiman memohon seribu kemaafan daripada Mak kerana sudah lama rasanya Aiman tidak menjenguk Mak di sana. Bukan Aiman tidak mahu datang ke sana tetapi banyak kerja yang perlu Aiman siapkan terutamanya tugasan Aiman yang sudah Aiman serahkan kepada pensyarah Aiman.

Alhamdulillah, tugasan Aiman sudah diterima pensyarah. Ini bermakna Aiman akan menamatkan pengajian Aiman hujung tahun ini sebagai seorang siswazah. Ini semua berkat doa dan bantuan daripada Mak yang paling banyak memberi sokongan kepada Aiman. Selepas ni bolehlah Aiman bekerja. InsyaAllah dengan duit gaji yang Aiman terima nanti Aiman nak bawa Mak keluar dari tempat tu dan ajak Mak memulakan hidup baru. Nanti bolehlah Mak jagakan rumah Aiman bila Aiman keluar bekerja. Boleh kan Mak?

Untuk pengetahuan Mak, Aiman sekarang berada di Hospital Kuala Lumpur. Aiman minta maaf kerana Aiman tak memberitahu Mak yang Aiman menghidap kanser. Aiman harap Mak tak perlu risau kerana kanser Aiman hanya di tahap pertama. Doktor kata Aiman boleh sembuh macam sediakala beberapa bulan lagi. Sekali lagi Aiman perlukan doa daripada Mak. Mak doakanlah Aiman supaya cepat sembuh ye Mak…..

Aiman doakan yang terbaik buat Mak dan Mak pun jangan lupa doakan Aiman di sini ye. Oklah Mak, doktor dah datang ni. Ada masa dan kesempatan, insyaAllah Aiman poskan lagi surat kepada mak.
            Yang menyayangi Mak,
 Aiman

Suhaila yang membaca surat itu tidak mampu menahan air matanya dari menitis ke bumi. Air mata kegembiraan dan penyesalan keluar mengalir tanpa henti daripada matanya. “Ya Allah, Kau ampunkanlah dosa-dosa yang telah aku lakukan. Aku bertaubat Ya Allah, Kau bimbinglah aku ke jalan yang lurus, ke jalan yang Engkau redhai. Betapa banyaknya dosa yang telah aku lakukan Ya Allah.” Suhaila menginsafi dirinya yang penuh dengan dosa. Semoga manik-manik keinsafan yang mengalir ini akan menjadi saksi bahawa Suhaila benar-benar ingin bertaubat dengan sebenar-benar taubat. Dengan linangan air mata yang masih mengalir Suhaila terus mencapai kunci kereta Vios miliknya.

Tiba sahaja di Hospital Kuala Lumpur Suhaila terus meluru ke kaunter pertanyaan. Lantas Suhaila bertanya dimanakah wad yang menempatkan Aiman dan sebaik mendapat nama wad dan nombor katil Aiman, Suhaila terus berlari menuju ke wad yang disebutkan untuk mencari orang yang banyak mengubah hidupnya itu. Sebaik pintu bilik Aiman di buka, Suhaila terkaku melihat seorang wanita di sisi Aiman.

“Suhaila!” wanita di sisi Aiman yang terkejut itu terus menyapa Suhaila.

“Kak Ima.” Suhaila masih kaku melihat jiran lamanya yang banyak membantu sewaktu dia dalam kesusahan sebelum diceraikan suaminya. Orang yang diamanahkan untuk menjaga bayinya dahulu. Kini, sudah hampir 25 tahun kejadian itu berlalu dalam kenangan Suhaila dan Kak Ima.

“Aiman ni……..” tutur bicara Suhaila disekat apabila Kak Ima menyambung kata-katanya.

“Ye Suhaila, Aiman ni anak yang kau tinggalkan untuk akak jaga dahulu”. Kalimat yang menerobos masuk ke ruang telinga Suhaila membuatkan air mata Suhaila mengalir lebih deras. Tidak pernah disangka Aiman itu anak kandungnya sendiri.

Walaupun sebulan telah berlalu, peristiwa itu masih tetap segar di ingatan Suhaila. Saat manis bersama Aiman sentiasa bermain dibayangan mata. Aiman yang dulu terpaksa berulang alik ke hospital kini sudah beransur pulih. Ditatapnya gambar Aiman pada dinding rumahnya. Suhaila hanya tersenyum sendirian.

“Mak…!!!”, lamunan Suhaila tersentap apabila Aiman menjerit memanggilnya. “Macam mana perancangan kita nak bercuti ke Langkawi tu Mak?” Aiman bertanya sambil memandang wajah emaknya itu.

“Hmm, kan Mak dah janji dengan Aiman nak pergi dengan Kak Ima sekali. InsyaAllah kalau tiada aral minggu depan kita pergi sama-sama ye Aiman”, lembut seorang ibu menutur kata dengan senyuman penuh kasih sayang.

Aiman hanya tersenyum mendengar jawapan daripada emaknya sambil terus memeluk tubuh orang yang telah melahirkannya itu. “Ya Allah, betapa besarnya keagunganMu, semoga kemesraan ini akan berkekalan sehingga ke syurga-Mu Ya Rabb”, sambil hati Aiman penuh kesyukuran memuji yang Maha Esa.


Nukilan:
Azinuddin Muhammad Bin Zainudin
PISMP Pengajian Melayu Semester 6/2012
IPG Kampus Sultan Abdul Halim, Sg Petani Kedah.

2 comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Waktu Solat