Santapan Rohani


Random Hadith Widget

Wednesday, October 14, 2009

Perbahasan Berkenaan Niqab (Purdah)

Saya diminta untuk membahaskan tentang niqab oleh salah seorang sahabat kita. Terima kasih diucapkan kepada beliau. Kalau saya menerangkan ketika sedang mengajar memang agak mudah kerana saya cuma memberikan pendapat ulama tanpa perlu memberitahu mukasurat dan sebagainya. Tetapi bila menulis , kita perlu terangkan semua perkara termasuk mukasurat dan cetakan kitab . Ini merupakan amanah ilmu. Zaman sekarang bukanlah seperti zaman Syeikh al-Imam Anwar al-Kashmiri rahimahullah yang tidak perlu lagi melihat kepada rujukan . Pada zaman tersebut , jika para ulama seperti al-Imam menyampaikan fatwa maka itu sudah mencukupi dan tidak perlu lagi kepada penuntut ilmu melihat kepada kitab-kitab.

Sebelum kita membahaskan tentang niqab dan hukum pemakaiannya, elok kiranya kita membahaskan apakah yang dimaksudkan dengan niqab.

Niqab ialah sesuatu yang digunakan oleh wanita bagi menutup bahagian wajah mereka.Cuma yang dipamerkan hanya bahagian mata sahaja.Terdapat lagi istilah-istilah yang ada kaitan dengan niqab.Antaranya ialah khimar, burqa’ , hijab, dan litham. Saya akan terangkan secara ringkas satu persatu kaitan antara istilah-istilah tersebut dengan niqab.

1. الخمار : ini ialah nama bagi kain yang digunakan untuk menutup bahagian kepala bagi wanita.Ini berdasarkan firman Allah taala di dalam al-Quran surah al-Nur ayat 31:
وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ

Maksudnya: dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka.
Kaitan di antara niqab dan khimar ialah niqab digunakan untuk menutup wajah,manakala khimar digunakan untuk menutup kepala.Kedua-duanya merupakan pakaian muslimah.

2. الحجاب: Ini merupakan nama bagi kain yang digunakan untuk menutup keseluruhan wanita tersebut.

3. البُرقَع : Ini merupakan nama bagi kain yang digunakan untuk menutup keseluruhan wajah wanita.Menurut Ibn Manzhur ,pengarang kitab Lisan al-Arab: Terdapat sedikit ruang untuk memperlihatkan mata bagi burqa’. Jika kita mengambil dengan takrif yang diberikan oleh Ibn Manzhur maka ianya sama maksud dengan niqab.

4. اللِثام : Ini merupakan nama bagi kain yang digunakan untuk menutup bahagian mulut.Kaitan di antara niqab dan al-Litham ialah , niqab digunakan untuk menutup keseluruhan wajah kecuali kedua mata. Manakala al-Litham pula digunakan untuk menutup bahagian mulut dan ke bawah. Bilamana niqab digunakan untuk menutup bahagian wajah wanita maka ianya mempunyai kaitan rapat dengan aurat. Ini kerana, aurat adalah merupakan anggota yang wajib ditutup. Maka para ulama berbeza pendapat, adakah wajah termasuk di dalam aurat bagi wanita?

Jumhur para ulama iaitu Hanafiyah, Malikiyah, Syafieyah dan Hanabilah berpendapat mengatakan bahawa wajah wanita bukanlah aurat. Ini bermakna, diharuskan bagi wanita untuk menutup wajahnya dan dibenarkan juga baginya untuk membuka wajahnya.

Menurut para ulama bermazhab Hanafi: Wanita muda dilarang mempamerkan wajahnya di hadapan lelaki yang ajnabi . Larangan di sini bukanlah disebabkan wajah mereka aurat. Tetapi adalah untuk mengelakkan fitnah.Ini juga merupakan pendapat al-Imam Ibn Abidin rahimahullah, salah seorang ulama Hanafi.

Manakala para ulama bermazhab Maliki pula berpendapat: Makruh bagi wanita untuk memakai niqab( yang dimaksudkan dengan niqab oleh para ulama Maliki ialah yang menutup keseluruhan wajah termasuk mata)sama ada semasa solat atau selainnya.Ini kerana ianya terlalu berlebih-lebihan. Maka berdasarkan pendapat ini, golongan lelaki adalah lebih utama tidak memakai niqab, kecuali jika ianya menjadi adat bagi tempat tersebut.

Para ulama Maliki juga menyebutkan bahawa: Jika wanita tersebut muda dan cantik serta dibimbangi ianya akan menimbulkan fitnah, maka wajib baginya memakai niqab(purdah), serta menutup kedua tapak tangannya(dengan memakai sarung tangan).

Para ulama bermazhab Syafie pula berbeza pendapat didalam masalah niqab ini.Sebahagian ulama bermazhab Syafie berpendapat wajib bagi wanita memakai niqab,sebahagian lagi mengatakan ianya sunnah manakala sebahagian lagi mengatakan ianya merupakan Khilaf al-Aula.

Didalam hadis baginda sallallahu alaihi wasallam disebutkan:

عن سيدنا ابن عمر رضى الله عنهما أن النبي صلى الله عليه و سلم قال: لا تنتقب المرأة المحرمة و لا تلبس القفازين

Maksudnya: Diriwayatkan daripada Saidina Abdullah bin Umar radhiyallahu anhuma, Sesungguhnya Baginda Nabi sallallahu alaihi wasallam bersabda: Janganlah seorang wanita tersebut memakai niqab dan memakai sarung tangan ketika dalam keadaan ihram.

Disebutkan oleh Ibn Taimiyah rahimahullah : Hadis ini menjadi dalil bahawa wanita pada zaman Baginda sallallahu alaihi wasallam memakai niqab dan sarung tangan. Oleh sebab itulah baginda sallallahu alaihi wasallam melarang pemakaian tersebut pada ketika waktu menunaikan ibadah haji.

KESIMPULAN

Jika kita menilai dengan baik pendapat para ulama tersebut, maka jelas menunjukkan bahawa niqab adalah sesuatu yang dituntut di dalam Islam. Cuma perlu difahami, bukanlah saya bertujuan untuk menyuruh semua wanita memakai niqab secara total. Amalkan berdasarkan kemampuan kita. Jika wanita tersebut merasakan bahawa jika dia tidak memakai niqab maka ianya akan menjadi lebih bahaya dan fitnah(manusia akan memandang kepadanya dengan syahwat),maka wajib baginya memakai niqab. Tetapi jika dia merasakan bahawa tiada masalah jika dia tidak memakai niqab, maka tidaklah menjadi dosa jika dia tidak memakai niqab sekalipun. Mereka boleh mengunakan sebahagian pendapat yang dipegang oleh ulama bermazhab Syafie yang mengatakan bahawa ianya merupakan Sunnah.

Wallahu a’lam

Rujukan:

Mausu’ah Kuwaitiyah jilid 41 mukasurat 134

Mausu’ah Yusufiyah oleh Syiekh Doktor Yussuf Khattar hafizahullah mukasurat 605-610

Sumber utama dari sini.

5 comments:

  1. Aslmualaikum wbt..
    Salam ukhuwah..
    Alhmdulillah , ana suka dengan entry saudara yg ini. Tentang pemakaian purdah di klgn wanita Islam. Ana mmg teringin berpurdah tp ana blm menjumpai sesuatu yg benr2 kukuh utk ana jdikan pggan andai ana berpurdah 1 hri kelak. Tmbhn lagi,tiada yg bnr2 menyokong ana utk begitu,buat ms ini , keluarga cnthY.Mgkin 1 hri nnti andai disokong oleh suami(jika ada), ana akn berpurdah.W/bagaimanapun, sykran utk entry ini, sedikit sebyk membantu ana.

    ReplyDelete
  2. ika ada sorang kawan yg berminat nak berniqab..
    tapi rasa cm slh je niat dia..
    dia kata nak berniqab sbb slh sorang kenalan lelaki dia suka wanita berniqab..
    n dia kata berniqab ni lawa..

    hm..:)]
    cmne tuh?

    ReplyDelete
  3. hmm, ana pun tak tahu nak cakap..
    tapi kalau pendapat ana sendirilah, suruh jelah kawan ika tu pakai.
    sebabnya mungkin niat dia sekarang sebab kawan lelaki dia suka tengok dia berniqab.
    mana tahu suatu hari nanti dari niat yang sebegitu, dia akan betul2 minat memakai niqab suatu hari nanti.
    mungkin niat dia sekarang salah, tapi tak mustahil dari niat yang salah tu akan timbulnya niat yang ikhlas.

    sekadar pandangan ana.. mungkin lain orang lain pendapatnya..

    ReplyDelete
  4. Sopan ke kalau sy pkai niqab semasa meeting?

    ReplyDelete
    Replies
    1. ini bergantung pada organisasi sesuatu tempat tersebut. harus diingat hukum pemakaian niqab bukanlah suatu kewajiban. jika sesuatu tempat memerlukan kita membuka, tidaklah menjadi dosa seperti untuk tujuan keselamatan atau pengenalan diri.

      dalam masa yang sama usaha untuk terus memakai haruslah selari.

      wallahualam.

      Delete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Waktu Solat