Santapan Rohani


Random Hadith Widget

Sunday, December 26, 2010

Mak Cakap Tak Nak Dengar! Tapi..?

"Kenapa bila Encik Talha nasihatkan dia, dia boleh terima, walhal nasihat yang sama saya selalu beri, tapi dia tak mau ubah perangai pemalas dia tu, tapi sekarang ni, alhamdulillah, bilik dia sentiasa kemas, tak lah macam tempat kucing beranak...Hairan betul budak sekarang ni, emak sendiri beri nasihat, tak mau dengar, tapi orang lain beri, boleh pulak dia ikut..."


Aku cuma tersenyum mendengar luahan seorang ibu yang pernah menghantar anaknya ke salah satu dari seminar yang kukendalikan.


Benar, saya rasa bukan hanya remaja tersebut, tetapi ramai lagi remaja mahupun orang dewasa yang susah untuk mendengar nasihat dari ibubapa, akan tetapi, boleh mengikut nasihat yang sama dari orang lain. Mengapa?


Perkara ini sebenarnya amat penting untuk diketahui oleh bukan sahaja setiap pasangan yang akan menjadi ibubapa, tetapi jua individu yang mempunyai hubungan rapat dengan bayi atau kanak-kanak.


Usia antara 2 hingga 7 tahun merupakan waktu yang sangat aktif bagi perkembangan minda anak-anak. Didalam usia inilah, minda mereka mula mengumpul info dan input yang akan berkumpul menjadi 'sub conscious mind' atau minda separa sedar mereka. Dalam ertikata lain, kebanyakan input yang diserap ke dalam minda mereka akan membentuk cara mereka menanggapi dunia, personaliti dan lain-lain termasuk tabiat dan persepsi. Proses pengumpulan info dan input yang berupaya mempengaruhi minda separa sedar ini akan berterusan hingga keusia remaja.


Amat malang bagi ibubapa yang menggunakan usia anak-anak mereka ini penuh dengan leteran, pendekatan marah yang negatif (tidak berhikmah) dan lain-lain perlakuan negatif yang dilakukan dihadapan anak-anak ketika usia 2-7 tahun ini, seperti bergaduh di depan mereka, mengeluh dan merungut tentang masalah kewangan dihadapan mereka dan lain-lain. Semuanya ini akan memberikan impak negatif kedalam pembentukan minda separa sedar mereka.


Antaranya ialah, secara tak disedari (sub-conscious) mereka menjadi fobia dan tidak selesa dengan ibu mereka sendiri yang hanya suka meleteri mereka, walaupun mereka pada hakikatnya menyayangi ibubapa mereka. Oleh itu, sedikit-demi sedikit, hari demi hari, minda separa sedar mereka yang juga agen pertahanan diri, mula mempelajari dan memahami bahawa suara ibu adalah suatu yang menyakitkan, memberikan tekanan dan kesakitan pada diri mereka, dan memberi arahan pada minda bahawa suara ibu adalah sesuatu yang perlu diawasi dan dijauhi. Dan ini akan menghasilkan fobia atau trauma tanpa disedari oleh sesiapa.


Saya berikan contoh, seorang ibu yang mempunyai anak kecil yang masih bayi,dengan mudahnya akan dapat terjaga ditengah malam jika bayinya menangis atau pun merengek kecil. Walaupun dari segi psikologi, ini adalah kerana ikatan naluri dan instinct seorang ibu, akan tetapi juga melibatkan subconscious mind ibu bahawa suara rengekan anak adalah tanda amaran dan perlu diambil perhatian. TETAPI, ibu tersebut dapat tidur nyenyak tanpa terganggu oleh bunyi dengkuran suaminya. Ini adalah kerana subconscious mind ibu itu memahami bahawa suara dengkuran suaminya bukan perkara penting yang perlu diberi perhatian.


Maka, inilah yang berlaku pada ramai remaja, mahupun orang dewasa hari ini, yang mana sebenarnya, tanpa disedari, mereka ini fobia dengan suara ibu atau bapa mereka sendiri, sehingga mereka tidak dapat untuk menerima nasihat yang diberikan oleh ibu mereka walaupun mereka tahu bahawa apa yang dikatakan oleh ibu mereka adalah nasihat yang benar dan berguna. Hal ini berlaku adalah disebabkan minda separa sedar mereka bagai telah memasang penggera amaran bahawa suara dari ibu itu adalah suatu yang menyakitkan, memberikan tekanan dan kesakitan pada diri mereka. Maka dengan itu, input dan info yang ingin disampaikan oleh ibu ini kepada anak mereka ditolak mentah-mentah oleh mereka kerana jiwa mereka dikelirukan oleh amaran dari minda separa sedar yang tidak dapat membezakan antara nasihat dan leteran. Atau pun, anak-anak ini mengikutkan nasihat ibu itu dengan muka yang masam dan tidak ikhlas.


Maka inilah juga sebabnya, mengapa nasihat yang sama yang dikeluarkan dari lontaran suara orang lain dapat mereka ikuti atau fahami dengan mudah, ikhlas tanpa penolakan. Ini adalah kerana minda separa sedar mereka mengetahui bahawa suara ini tidak memberikan kesakitan atau keperitan dijiwa mereka.


Mulai dari hari ini, bagi sesiapa yang membaca artikel ini, samada anda adalah bakal ibubapa, atau sudah mempunyai anak, atau seorang kakak atau abang, mulailah mengubah cara pendekatan kita dengan orang-orang yang kita sayangi. Jangan kita selalu letakkan mereka didalam keadaan tidak selesa dan menyeksakan dari segi psikologi kerana ini hanya akan membuatkan sisiem pertahanan jiwa mereka yang dikuasai oleh minda separa sedar mereka akan membentuk sistem penggera amaran bahaya terhadap suara atau diri kita, kepada mereka.


Bagi mereka yang mempunyai fobia atau trauma terhadap suara atau (ada yang melihat wajah pun sudah terganggu), muhasabah kembali diri anda, beritahu minda anda bahawa mereka yang anda 'trauma' kan itu adalah orang-orang yang telah melahirkan, membesarkan anda, dan tiada sesiapa pun didunia ini yang tidak melakukan kesilapan. Lagipun, sebilangan besar dari ibubapa dahulu, tidak mempelajari pelajaran psikologi, ilmu minda dan lain-lain yang amat mudah anda miliki pada hari ini. Antara perkara yang paling baik untuk menghilangkan fobia ini ialah dengan cara muhasabah diri. Selain dari itu, method EFT (Emotional Freedoms Technique) juga telah banyak dapat membantu membetulkan semula subconcsious mind yang telah tercemar.


Sebaiknya, semua dari kita, amalkan 'memberi kemaafan' dengan tulus ikhlas kepada semua orang yang kita kenali termasuk diri kita sendiri, setiap malam sebelum tidur.


Semoga kita semua diberi Rahmat dan Keampunan serta Petunjuk oleh Allah S.W.T

Dipetik dari sini.

No comments:

Post a Comment