Santapan Rohani


Random Hadith Widget

Saturday, March 12, 2011

Luahan Rasa : Laporan PBS Semester 3/2011

Hari Pertama / 6 Mac 2011

Pada semester ini saya bersama seorang rakan dari kelas saya, major Bahasa Melayu, telah menjalani Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) di Sekolah Kebangsaan Seri Banai yang terletak di Jitra, Kedah. Jadi , saya telah menetap di rumah sahabat saya selama seminggu untuk menjalani program PBS di sini. Sekolah ini dikategorikan sebagai sekolah luar bandar kerana terletak di kawasan kampung.

Saya bertolak ke sekolah pada pukul 7.15 pagi kerana perhimpunan bermula seawal pukul 7.30 pagi. Setibanya saya di sekolah, saya bersama sahabat saya terus menuju ke pejabat sekolah untuk melaporkan diri. Setelah berkenal-kenalan dengan beberapa orang guru, saya diminta untuk menghadiri perhimpunan pagi.

Seperti biasa, semua guru dan pelajar diminta menyanyikan beberapa buah lagu, bacaan doa, ucapan dan lain-lain. Kami diperkenalkan diperhimpunan oleh Guru Penolong Kanan kerana pengetua sekolah tidak hadir atas beberapa sebab dan urusan. Pada waktu ini saya dapat melihat semua mata pelajar tertumpu ke arah kami.

Selepas perhimpunan, saya berjumpa pula dengan Guru Penolong Kanan untuk bertanya dan mendapatkan beberapa maklumat berkaitan sekolah. Alhamdulillah, beliau juga banyak membantu untuk saya mendapatkan maklumat yang diperlukan.
Setelah itu, saya mengambil peluang untuk berjalan dan meninjau ke sekitar kawasan sekolah. Pada waktu rehat, saya mengambil peluang untuk berbual-bual dengan pekerja kantin dan sekolah. Saya pulang pada pukul 1.30 petang.



Laporan Hari Kedua / 7 Mac 2011

Pada hari ini saya ke sekolah seperti waktu biasa. Pada hari ini saya telah melihat aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran (PnP) untuk subjek elektif saya iaitu Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK). Saya meminta izin dari seorang guru untuk melihat aktiviti yang dijalankan. Saya juga telah membuat temujanji
dengan guru tersebut untuk melihat lagi aktiviti yang dijalankan.

Selepas itu saya telah menemubual guru bimbingan dan kaunseling di sekolah ini untuk bertanyakan tentang masalah-masalah yang pelajar hadapi di sekolah ini. Menurut beliau, tiada masalah disiplin yang serius
di sekolah ini. Tetapi kebanyakan masalah pelaajar datangnya dari latar belakang keluarga mereka sendiri. Ada yang ibu bapanya bercerai, ibu mereka lari, hidup dalam kemiskinan dan banyak lagi kisah-kisah pelajar di sekolah ini yang menyentuh hati saya

Seterusnya saya di minta mengganti kelas selama satu jam iaitu kelas 5 Arif. Saya menggunakan masa yang ada bersama pelajar untuk berkenalan dan bercerita. Jadi tiada sesi pengajaran berlaku dan penceritaan saya lebih kepada pengalaman hidup dan sedikit motivasi.

Kemudian pada pukul 10.15 pagi saya
rehat bersama sahabat dan guru-guru di kantin sekolah. Pada pukul 11.45 saya diminta menggantikan kelas 6 Bijak. Seperti biasa saya lebih suka menggunakan pendekatan yang santai dan rileks. Saya sepatutnya menggantikan kelas ini sehingga 12.15 tengah hari tetapi guru besar meminta saya menggantikan kelas ini sehingga pukul 1.15 petang. Guru besar ada memberikan kerja kepada pelajar di kelas ini dan saya diminta mengawasi kelas ini sehingga tamat waktu persekolahan kerana beliau perlu menghadiri mesyuarat.



Laporan Hari Ketiga / 8 Mac 2011

Saya tiba pada pukul 7.20 pagi dan mengambil kedatangan seperti biasa. Selepas itu saya berjumpa lagi dengan guru Bimbingan Dan Kaunseling untuk mengambil beberapa maklumat yang tertinggal serta tandatangan dari beliau.

Masa saya untuk hari ini agak lapang. Saya mengambil peluang untuk membersihkan surau dan membuat tugasan yang diberikan di bilik guru.

Pada waktu rehat pula saya membuat sesi perbincangan bersama pengurus kantin. Antara perkara yang kami bincangkan ialah tentang pengurusan di kantin, Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan hal-hal lain yang b
erkaitan. Saya juga mengambil kesempatan untuk berbual dengan guru-guru yang makan semeja dengan saya.

Antara perbualan yang paling berguna apabila ada seorang guru menceritakan pengalamannya bertugas di kawasan pedalaman Sabah
selama beberapa belas tahun. Oleh kerana beliau seorang guru agama Islam, saya berpendapat cabaran beliau adalah lebih banyak dan mencabar. Ini kerana seorang guru agama perlu terjun ke dalam masyarakat dengan lebih mendalam. Mereka juga diminta membacakan khutbah, mengurus majlis tahlil, pengebumian, dan banyak lagi.

Pada waktu petang pula, saya menghadiri ke sekolah sekali lagi untuk melihat kelas tambahan yang dilaksanakan di sekolah ini. Pada hari ini, subjek yang diajar ialah Bahasa Melayu dan sewaktu saya tiba di sini saya melihat pelajar sedang diajar tentang teknik menjawab penulisan. Kelas tambahan bermula pada pukul 2.30 dan berakhir pada pukul 4.30 petang dan hanya darjah 6 yang terlibat.



Laporan Hari Keempat / 9 Mac 2011

Pada hari ini saya telah membuat temujanji dengan seorang guru Pendidikan Jasmani. Saya membuat pemerhatian ini kerana perlu memfokuskan kepada subjek minor saya, Pendidikan Jasmani pada semester ini. Kemudian saya merekodkan semua maklumat yang dapat saya kumpul ke dalam laptop saya. Saya banyak menghabiskan masa di bilik guru untuk membuat
tugasan yang diberi. Alhamdulillah, banyak juga yang dapat saya siapkan pada hari ini.

Pada waktu rehat pula, saya dan sahabat saya makan bersama guru besar sekolah ini. Banyak yang beliau kongsikan bagaimana untuk menjadi guru yang baik dan cemerlang. Antara nasihat beliau yang saya ingat ialah anak-anak kecil ibarat kain putih, kitalah yang perlu mencorakkan mereka. Selain itu, antara nasihat beliau ialah bila menjadi guru, janganlah kerana terpaksa. Jadi guru perlulah ikhlas dan amanah dengan semua aspek terutamanya aspek masa.



Laporan Hari Kelima / 10 Mac 2011

Hari ini merupakan hari terakhir saya berada di sekolah ini. Kebanyakan maklumat yang perlu dicari sudah saya perolehi.
Oleh itu saya diminta menggantikan beberapa kelas iaitu darjah 3 Arif dan 3 Bijak. Ini antara pengalaman yang banyak mengajar saya kerana murid-muridnya agak aktif. Mereka mengikut saya ke mana sahaja saya pergi. Ada yang bertanya bermacam-macam soalan yang idak berkaitan dan banyak lagi cabaran mengajar kelas tersebut berbanding darjah 6 dan 5 yang pernah saya masuk sebelum ini. Apapun, ini antara pengalaman yang sangat berguna untuk saya sebelum menghadapi praktikal nanti.

Saya mengambil peluang yang ada untuk bergambar di kawasan sekitar sekolah dan mengucapkan terima kasih kepada guru-guru yang banyak membantu saya sepanjang berada di sekolah ini.

Puan Shamsukinah Bt Saad. Guru Besar SK Seri Banai, Jitra.



Sahabat Se'PBS'. Terima kasih banyak-banyak kepadanya..

6 comments: