Santapan Rohani


Random Hadith Widget

Saturday, March 30, 2013

Istikharah, Dan Istisyarah



''Kalau suka tapi masih belum tiba masa yang sesuai (still study ke, kewangan belum cukup ke, ilmu agama belum mantap ke) diam diam je, cerita dengan Allah je. Suatu masa nanti, akan tiba jua. jangan gopoh. Sekian''
Penjelasan yang cukup baik berkenaan topik ''Istikharah, Dan Istisyarah'' dari Hilal Asyraf. Terasa kebenaran dari tulisan beliau..

Istikharah. Popular di alam para muslim dan muslimah kala bercinta. Yang menggeletek jiwa saya pula adalah, istikharah ini hanya sibuk diperkatakan untuk perkahwinan sahaja.

Sedangkan, istikharah ini sebenarnya bukanlah satu perkara yang khusus untuk mereka yang mahu berkahwin semata-mata. Bukan ‘alat pencari jodoh’. Bukan juga alat ‘penentu’ mana yang patut menjadi pasangan kita. Tetapi istikharah ini adalah apa yang dididik oleh Rasulullah SAW kepada kita, dalam hendak membuat apa-apa sahaja keputusan.

Namun, apabila ‘sesetengah pihak’ mula menganggap ianya ‘alat pencari jodoh sebenar’ yang kononnya ‘tepat 100%’, maka mulalah istikharah menjadi satu punca kekeliruan hati. Bukan lagi yang membantu menenangkan jiwa dan men’thabat’kan kalbu kita.

Mengapa saya nyatakan demikian?

Di lembaran ini saya berkongsi.

Istikharah, Bila Menjadi Satu Fitnah.

Fitnah. Bukanlah ‘cakap benda tidak betul fasal fulan bin fulan atau fulanah binti fulan’. Bukan. Tetapi interprestasi fitnah yang sebenar adalah ujian yang menduga kepercayaan.

Di dalam situasi pergerakan ke arah rumahtangga ini, istikharah juga boleh menjadi satu fitnah.

Bagaimana?

Saya berikan beberapa situasi yang popular.

1 – Fulan bin Fulan telah bertunang dengan fulanah binti fulan, kemudian fulan bin fulan ini pergi beristikharah lagi selepas telah bertunang, tiba-tiba dia ‘nampak’ perempuan lain dalam mimpinya. Terus dikatakan itu adalah ‘petunjuk istikharah’ dan kemudiannya dia hendak memutuskan pertunangannya dengan fulanah binti fulan, kerana dirasakan bahawa Allah telah tunjukkan bahawa pertunangannya itu satu kesilapan.

2 – Fulan bin Fulan sedang mencari seseorang untuk dijadikan isteri. Akhirnya, dia beristikharah. Dia nampak Fulanah binti Fulan. Terus dia menyatakan hasratnya kepada Fulanah binti Fulan itu. Tetapi Fulanah binti Fulan menolak, namun Fulan bin Fulan ini berkeras dan mengugut bahawa Allah memang sudah takdirkan mereka bersama, berdalilkan istikharahnya. Membuatkan Fulanah binti Fulan serba salah untuk menolak ‘wahyu Ilahi’ ini.

3 – Fulanah binti Fulan, beristikharah, dan ‘nampak’ Fulan bin Fulan. Tetapi Fulan bin Fulan tidak pula dikenalinya. Tidaklah pula mampu dicapainya. Pada masa yang sama, datang pula Fulan bin Fulan yang lain, melamarnya. Fulanah binti Fulan ini ‘hold’ dahulu untuk menerima Fulan bin Fulan yang kedua, semata-mata kerana merasakan jodohnya dengan Fulan bin Fulan yang ‘dilihatnya’. Walaupun dia sedar, dia tak mampu mencapai, mendekati, mendapatkan Fulan bin Fulan yang dilihat dalam istikharahnya itu.

Ya. Ini beberapa situasi. Serabut bukan? Hati jadi keliru, jiwa jadi serabut, kalbu rasa kontang.
Bukankah sepatutnya istikharah itu meyakinkan?
Jadi, mengapa boleh begini?

Istikharah, Dan Istisyarah.

Istisyarah. Satu perkara yang manusia sering lupa. Istisyarah adalah seperti kita meminta pendapat orang lain(Ibu Bapa contohnya), mengumpul maklumat dan pandangan terhadap situasi yang sedang kita berhadapan dengannya. Dalam konteks kita sekarang, situasi hendak memilih pasangan.

Ramai meninggalkan perkara ini.

Ini adalah antara sebab mengapa Istikharah menjadi satu perkara yang kemudiannya menyerabutkan jiwa. Kerana akhirnya kita menganggap Istikharah itu MEMANG ‘alat pencari jodoh’. Kemudian, dari celah mana, kita yakin bahawa istikharah itu akan datang dalam bentu mimpi dan tanda-tanda ajaib(nampak wajah seseorang di langit, contohnya).

Di celah-celah kepercayaan seperti inilah, syaitan menyusup dan menyuntik ‘was-was’ serta keraguan dan kekeliruan.

Kerana itu, mimpi hakikatnya tidak akan boleh menjadi dalil. Petanda-petanda ‘ajaib’ itu, bukannya dalil. Dan bukanlah sesuatu yang mesti, pada orang beristikharah, jawapannya adalah mimpi dan petanda-petanda itu.

Kadangkala, kita yang sibuk memikirkan ini dan itu, maka ia keluar dalam bentuk mimpi. Maka, apa pun yang kita nampak, kita ‘lihat’ apa yang kita nak. Di situ, kita keliru, dan kemudian sibuk menyatakan ‘Inilah dia petunjuk Tuhan’!

Kita lupa untuk bermesyuarat dahulu dengan keluarga. Sepatutnya, kita bentangkan pilihan-pilihan yang ada, dan bincangkan pro dan kontranya setiap pilihan. Di situlah kita menilai dan mengimbang. Kalau dengan itu telah kita dapat nampak yang mana pilihan yang terbaik, maka istikharah tidak diperlukan. Jika kita rasa tidak yakin, barulah istikharah. Bila istikharah yang pertama tidak mendatangkan keyakinan, buatlah istikharah yang kedua dan ketiga. Kemudian tetapkanlah hati, dan buatlah pilihan!

Rasulullah SAW juga, ada beberapa situasi penting, baginda tidak melakukan istikharah. Kerana baginda telah yakin, pilihan itu adalah pilihan yang tepat.

Contohnya dalam peperangan Badar, Rasulullah SAW hendak memilih satu kawasan yang jauh dari mata air. Para sahabat pula mencadangkan agar dipilih tempat yang dekat dengan mata air. Rasulullah SAW selepas mendengar penerangan betapa pentingnya membuat kem dekat dengan mata air, terus menerima cadangan sahabat itu, tanpa diriwayatkan melakukan istikharah. Kerana, cadangan itu memang relevan dan jauh lebih baik dari cadangan baginda yang pertama tadi.

Ketika peperangan Khandaq pula, apabila Salman Al-Farisi mencadangkan untuk menggali parit, Rasulullah SAW menerimanya tanpa beristikharah. Kerana cadangan itu memang dalam pertimbangan, adalah yang terbaik.

Hadith berkenaan Istikharah pun, tidak menunjukkan kewajipan dalam melakukannya:
Daripada Jabir bin Abdullah RA berkata : “Adapun Rasulullah s.a.w. mengajarkan kami Istikharah dalam melakukan sesuatu perkara sebagaimana baginda mengajarkan kami satu Surah daripada Al-Quran. Baginda Rasulullah s.a.w. bersabda : Apabila merancang salah seorang daripada kamu dalam sesuatu perkara, maka hendaklah dia melakukan solat sunat dua rakaat..” Hadith Riwayat Imam Bukhari.

Hadith ini umum. Bukannya disebutkan bahawa ‘wajib melakukan istikharah’. Ini terbukti, apabila Rasulullah SAW sendiri, dalam beberapa hal, tidak pula melakukan istikharah.

Kemudian, tidak pernah diriwayatkan apabila Rasulullah SAW telah membuat keputusan, baginda beristikharah lagi. Tidak pernah.

Justeru, sesiapa yang telah membuat keputusan, hingga telah bertunang contohnya, maka buat apa beristikharah lagi? Hiduplah dengan keputusan yang telah dilakukan itu. Berusahalah dengan apa yang telah berada di dalam tangan. Melainkan, ketika pertunangan itu, berlaku perselisihan, atau telah jelas kita dengan tunang kita tidak serasi, maka di situ bolehlah kita lakukan istikharah. Bukan istikharah untuk cari jodoh lain, tetapi istikharah untuk ‘apakah putus tunang ini baik untuk aku dan dia?’. Begitu!

Dan semestinya, istisyarah jangan ditinggalkan dalam situasi sedemikian. Berbincanglah dengan keluarga, minta pendapat orang-orang tua yang kita kenali, ustaz ustazah yang kita rapati.

Daripada Rasulullah SAW sendiri kita belajar. Bukan daripada orang lain.

Rasulullah SAW, manusia yang Allah paling kasih. Tidak pula baginda meninggalkan mesyuarat bersama manusia, mengambil pandangan mereka, mempertimbangkannya. Di sini Rasulullah SAW mendidik kita. Yang kita perlukan adalah apa yang Allah telah ajarkan kita. Di situ, kita membuat keputusan, berdasarkan selagi keputusan itu tidak bercanggah dengan perintahNya dan ajaranNya. Bukannya kita meletakkan bulat-bulat kepada mengangkat kepala ke langit, menanti ‘wahyu yang baru’!

Istikharah dan Saya.

Saya istikharah tiga kali.

Pertama, sebelum memberitahu abang perempuan yang saya cintai bahawa saya berhajat nak menjadikan adiknya isteri saya.

Keduanya, ketika saya berpeluang menjejakkan kaki ke tanah haram, Makkah dan Madinah. Di situ saya meminta kepada Allah SWT, agar jika perasaan yang ada di dalam jiwa saya itu hanya mainan, saya minta disisihkan. Saya minta petunjuk kepada Allah SWT, apakah pilihan saya ini benar, atau sepatutnya saya tidak membuat pilihan ini? Begitu.

Ketiganya, apabila saya mendapat panggilan daripada Sang Abang, bahawa Ibu kepada perempuan yang saya cintai ingin menghubungi saya berkenaan anaknya. Saya pantas meminta masa seminggu. Seminggu itu, saya berusaha solat istikharah saban malam, dan meminta kepada Allah SWT agar membantu saya membuat pilihan. Saya masih ingat ketika itu saya meminta:

“Ya Allah, lepas ini, kalau aku kata ‘ya’, tak ada patah balik. Maka tunjukkanlah aku. Janganlah perasaan ini main-main. Jika main-main, buanglah ia ya Allah.”

Tetapi selepas seminggu, keyakinan saya semakin menebal untuk menyatakan ‘Ya, saya ingin memperisterikan perempuan yang saya cinta’.

Maka apabila Ibu kepada perempuan yang saya cinta, menghubungi saya di Jordan, sedangkan dia di Malaysia sana, saya dengan yakin menyatakan: “Ya makcik, Hilal suka pada anak makcik. Memang benar-benar nak memperisterikan anak makcik.”

Saya masih ingat bagaimana sembang-sembang kami berlaku. Bermula dengan tanya khabar dan berbasa basi bertukar cerita, masuk kepada soalan cepu mas daripada Ibu perempuan yang saya cinta.

“Dengar kata, Hilal suka anak makcik. Benarkah?”

Saya mula rasa segan. Risau kalau Ibu kepada perempuan yang saya cinta, tidak suka dengan saya mencintai anaknya. “Makcik tak sukakah?”

“Cakaplah dulu, betul ke?”

“Ya makcik, Hilal suka pada anak makcik. Memang benar-benar nak memperisterikan anak makcik. Makcik marah ke?”

“Eh, tak adalah. Kenapa haritu masa datang rumah, tak cakap awal-awal?”

Ya. Begitulah. Selepas itu, saya tidak pernah beristikharah lagi. Kerana keputusan telah dibuat, dan Ibu kepada perempuan yang saya cinta merestui, begitu juga ayahnya. Saya memilih untuk yakin. Dan mengusahakan apa yang ada.

Perkara itu dirahsiakan kepada perempuan yang saya cintai, kerana pada ketika itu dia baru habis SPM dan baru nak memulakan pengajian di Universiti. Saya sendiri memahami keadaannya, dan meminta Si Ibu untuk merahsiakan terlebih dahulu, hingga bila saya sendiri ingin melamarnya.

Namun, apa yang menariknya dalam perjalanan cinta saya adalah, belum saya melamar, saya sudah di’reject’ oleh perempuan yang saya cinta beberapa bulan selepas sembang-sembang dengan Si Ibu.

Rupa-rupanya, Si Ibu risaukan saya, membuatkan dia bertanya kepada anaknya akan saya.

Anaknya tidak mahu bersuamikan saya.

Nah, menarik kan?

Perkara ini akan saya sambung di lembaran lain.

Penutup: Bersederhanalah.

Istikharah ini adalah untuk menjemput keyakinan dalam membuat pilihan. Tidak semestinya datang petandanya dalam bentuk mimpi dan petanda-petanda. Dan, sekiranya datang sekalipun, istikharah kita tidak boleh menjadi dalil dalam memaksa seseorang, menderitakan seseorang.

Saya bila kena reject, tidaklah pula saya menghubungi perempuan yang saya cinta, dan menceritakan dia istikharah saya. Menggugut dia dengan istikharah saya. Sebab saya jelas memahami bahawa, ada kemungkinan saya yang tidak pandai menilai sebuah istikharah. Ada kemungkinan, dia ini sekadar satu ‘checkpoint’ untuk saya sampai kepada pasangan saya yang sebenar. Begitulah saya positifkan hati saya. Bukan pergi ugut-ugut dia dengan menceritakan bahawa istikharah saya sekian dan sekian.

Sentiasalah berpijak di alam realiti. Bermesyuaratlah, berbincanglah.

Saya bila kena reject itu, Ummi Abah adalah yang saya cari.

“Ummi, Hilal kena rejectlah.”

“La, ya ke? Sabar ya.”

“Ummi bolehlah kut carikan yang lain.”

“Eh, sabar dulu. Kita bagi masa.”

Begitulah Ummi. Dan itulah dia istisyarah yang saya lakukan. Benda ini saya akan kupas lebih panjang, menceritakan hari-hari saya di’reject’. Jangan ingat saya dapat semua benda yang saya mahu. Allah, Dia sentiasa mengaturkan saya ujian demi ujian, untuk saya meningkat tahap demi tahap. Saya sentiasa yakin dengan itu.

Pokok pangkalnya, istikharah bukan ‘alat ajaib penentu jodoh dengan tepat’.

Istikharah hanyalah satu galakan, untuk kita bergantung kepada Allah, dalam membuat keputusan. Tanpa menafikan, bahawa Allah SWT dan RasulNya juga, menggalakkan bermesyuarat dan meminta pendapat manusia lain.

Pendek kata, bersederhanalah. Imbangilah dengan baik.
Jangan hingga istikharah kita menjadi fitnah!

Dipetik daripada sini.

No comments:

Post a Comment