Santapan Rohani


Random Hadith Widget

Thursday, September 3, 2009

Apa Itu Cinta?


Maha suci Allah yang mengurniakan pelbagai kenikmatan kepada sekalian hamba-Nya. Allah Maha Mengetahui yang mengurniakan cinta kepada kalangan manusia. Hidup manusia tidak terasa lengkap tanpa kehadiran cinta. Itu satu hakikat dengan fitrah insan yang sentiasa ingin disayangi dan menyayangi.


Allah tidak melarang hamba-Nya bercinta. Malah, Dia yang mengurniakan perasaan itu dalam hati setiap manusia. Beruntunglah bagi sesiapa yang menyucikan cinta.

Cinta nikmat bagi hati setiap insan. Tanpa cinta, manusia akan terus hidup dalam kesakitan dan kesukaran. Tanpa cinta, manusia akan saling benci membenci. Manusia akan hilang perikemanusiaan. Manusia akan sanggup menyakiti insan lain demi mencapai kepentingan diri.

Justeru, sucikanlah cinta dan suburkanlah perasaan itu dengan takwa kepada Yang Maha Esa.

Cinta yang ditafsir sebagai kasih dan sayang, dianugerahkan sejak awal penciptaan manusia. Ketika Nabi Adam di dalam syurga yang penuh kenikmatan, masih terasa ‘kekosongan’ di hatinya. Lantas, Allah Yang Maha Mengetahui, segera menciptakan seorang perempuan, Hawa bagi mengisi kekosongan tersebut. Maka, terisilah keresahan dan kekosongan yang sebelum ini membelenggu jiwa Adam.

Jelaslah, cinta sudah bermula sejak di syurga. Tanpa cinta, pasti akan ada kekosongan dalam jiwa manusia.

Syurga adalah matlamat setiap manusia yang beriman. Allah menjanjikan syurga kepada mereka yang mengamalkan segala perintah-Nya dan meninggalkan apa dilarang. Orang yang layak menghuni syurga adalah mereka dalam kalangan yang baik-baik iaitu para rasul, nabi, siddiqin, syuhada dan solihin. Pahala adalah mahar untuk memasuki syurga. Justeru, cinta juga boleh dijadikan alat untuk mencapai hasrat itu. Jadilah kita insan yang baik-baik agar tergolong dalam kalangan penghuni syurga.

Cinta dilahirkan di tempat baik (syurga), dianugerahkan Yang Maha Baik (Allah), dinikmati kali pertama oleh orang yang baik (Nabi Adam AS) dan diwariskan kepada orang-orang yang baik (para solihin). Cinta lahirnya di syurga dan akan berakhir di syurga.

Bercinta kerana Allah

Cinta sesama manusia hanya alat untuk mencapai cinta Allah. Untuk menjaga kesucian cinta, jadikan cinta Allah sebagai dasar untuk mencintai manusia.

Cinta adalah ‘hadiah’ daripada Tuhan. Maka, kita perlu menghargai cinta dengan mendahulukan ‘pemberi’. Cinta bukanlah pendahulu bagi segala-galanya. Jangan taasub dengan cinta hingga merana jiwa dan lupa daratan.

Peliharalah cinta kerana Allah. Sucikan cinta dengan perkara-perkara disukai Allah. Berkasih sayang sesama manusia kerana Allah. Bagaimanapun, jangan biarkan cinta pada manusia mendahului cinta pada Allah.

Sayangnya, dunia hari ini terlalu disemai dengan cinta abadi sesama manusia. Manusia yang sanggup lupakan keluarga dan sanggup mati kerana cinta. Manusia yang lumpuh seluruh jiwa kerana cinta. Sedangkan, Allah sepatutnya menjadi yang pertama dalam meraih cinta. Cinta sekadar alat pelengkap kekosongan jiwa, namun ia bukanlah segala-galanya.

Jangan biarkan jiwa terus hanyut kerana kekecewaan dalam cinta. Bacalah al-Quran kerana anugerah ketenangan jiwa dengan mengamalkannya adalah cinta daripada Allah. Seperti mana firman Allah:


"Kami turunkan daripada al-Quran penawar-penawar dan rahmat bagi orang mukmin"
(al-Isra’: 82)


Begitu juga dengan amal ibadat lain. Jangan diabaikan kerana kita perlu cintai Allah melebihi segala-galanya. Ini termasuk mendirikan solat kerana menerusinya, kita mampu menghindarkan diri kita daripada ingkar terhadap ketentuan Allah dan dikurniakan ketenangan dalam hati.

Sentiasa menjaga peraturan cinta

Sebagaimana kurniaan lain, cinta dicetuskan dengan beberapa peraturan. Peraturan inilah yang mendorong manusia agar berada di landasan yang benar. Tanpa landasan ini, manusia akan tersasar kerana mengejar cinta.

Ia adalah syariat. Hukum halal (wajib), haram, sunat, makruh dan harus.

Jangan diabaikan yang wajib kerana cinta. Jauhilah yang haram kerana yang kemanisan dengan menempuh yang haram, maka akan berakhir dengan kepahitan. Bagi yang makruh dan harus, gunakanlah pertimbangan yang waras untuk melakukan atau meninggalkannya.

Pelihara cinta dalam rumah tangga

Cinta adalah ‘warisan’ Nabi Adam AS pada orang baik pada kemudian hari. Justeru, jadikanlah cinta sebagai alat untuk melakukan perkara yang baik-baik dalam rumah tangga.

Sabar, reda dan mujahadah semasa menjalankan tanggungjawab dan peranan dalam melayari bahtera rumah tangga.

Tiada rumah tangga yang tidak dilanda badai. Maka, tempuhilah ujian itu dengan penuh sabar dan ketenangan. Ingatlah, ujian datang tanda kasih sayang Tuhan kepada hamba-Nya. Semakin sayang Tuhan kepada kita, maka semakin hebat ujian diberi. Semuanya menuntut kesabaran dan ketakwaan.

Malah kecewa dalam bercinta di alam rumah tangga ujian kepada umat Islam selepas mengakui beriman kepada Allah.

Hal ini dijelaskan Allah dalam firman-Nya yang bermaksud:


"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang orang-orang yang berdusta." (al-Angkabut: 2-3).


Contohilah Ummu Sulaim yang mengingatkan suaminya bahawa anaknya adalah ‘pinjaman’ daripada Allah dan apabila anak itu kembali ke rahmatullah, ertinya ia dikembalikan kepada pemiliknya (Allah).

Mungkin contoh itu terlalu sukar untuk diteladani, namun contohilah ketabahan mereka dengan memaniskan wajah, menahan kata-kata yang buruk dan bertindak sebaiknya ketika ujian melanda rumah tangga.

Justeru, hadapilah setiap ujian dalam percintaan itu dengan tenang kerana yang terbaik sudah tentulah datangnya daripada Allah.

Dipetik dari: DestinasiMu..

No comments:

Post a Comment